Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saleha bukan sekadar kontrol cantik

KUASA yang dijana wanita berdarah kacukan Melayu dan Inggeris ini belum cukup panas untuk membuatkan penonton teruja menontonnya di pawagam. Pertaruhan pertamanya menerusi Kerat 14 bersama Aaron Aziz, regu yang sama-sama digilai menerusi Nora Elena juga sekadar mencatat penonton ala kadar. Siti Saleha sedar situasi berkenaan. Sebagai percubaan pertamanya ke layar perak, catatan yang diterima oleh Kerat 14 memberi satu dimensi baharu buatnya. "Filem tetap sebuah filem. Orang mahu tengok filem bukan sekadar nak tengok pelakonnya sahaja tapi penonton mahukan kepuasan menyeluruh termasuk elemen-elemen di bahagian produksi, skrip dan jalan cerita. "Macam saya dan Aaron, walaupun drama lakonan kami berdua dapat sambutan hangat, tapi tidak pula hasilnya dengan filem. Saya kena akur bahawa saya belum cukup pengaruh itu. "Mujurnya, tak banyak komen negatif yang saya dengar berhubung dengan lakonan. Saya juga masih baharu dalam bidang filem. Ini satu pengalaman yang banyak beri pendedahan kepada saya," katanya tanpa perlu menjadi terlalu sensitif atau bersedih kerana filem pertamanya sekadar meraih kutipan RM1 juta. Sengaja mengalirkan cerita Saleha kali ini menyimpang dari cabang sensasi, kisah putus cinta atau dibayangi episod hendak berumah tangga, bicara bersama pelakon yang mula menjual bakat sebagai pelakon iklan bersambung pula tentang pengiktirafan. Malam penutup Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) yang berlangsung malam tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya telah menyaksikan anak wayang terbaik turun dan naik pentas menerima sebuah penghormatan. Meneka apa yang tersemat dalam naluri adik vokalis Sam Bunkface itu, dia juga menyimpan angan untuk menjadi salah seorang daripada pelakon terbaik di Malaysia. "Bukan hanya terbaik kerana sudah menjulang trofi, maksudnya meletakkan piawaian terbaik setiap kali terlibat dengan mana-mana produksi. FFM itu kemuncak kepada pengiktirafan terhadap anak seni. Sesiapa sahaja yang menerima trofi FFM haruslah berbangga dan meraikan penghormatan yang diterima. Itu tandanya kerja seni kita diiktiraf," getus Saleha yang turut menanti peluang untuk setidak-tidaknya tercalon ke dalam senarai terbaik pada masa depan. Tahun ini langkahnya bergelar pelakon filem tidak akan terhenti hanya disebabkan Kerat 14 kurang mendapat sambutan. Dalam stor syarikat produksi yang pernah disertainya, senarai judul-judul seperti Pencinta, Bravo 5, KL Zombie, Mamat Cup Cake dan Pak Pong sedang menanti untuk tampil ke mata penonton. "Tahun ini saya ada lima buah filem lagi. Pencinta arahan Khir Rahman mungkin tayang pada September. Filem Bravo 5, KL Zombie juga dijadualkan tayang pada tahun ini. Tak tahulah. Saya harap tahun 2013 akan beri tuah. Jika dengan judul-judul itu orang akan mula buka mata mereka bahawa saya juga layak digelar aktres filem, alangkah manisnya," katanya yang akan ke udara juga dengan sebuah drama bersiri terbaharu Asmara Luna di TV3 menjelang April nanti. Anak ketiga daripada empat beradik itu juga menaruh impian agar kerja seni yang dilakukannya akan membawanya ke satu fasa baharu. Pertama kali tersenarai dalam pencalonan akhir untuk kategori anugerah berdasarkan populariti dalam satu majlis anugerah yang akan berlangsung April nanti, hal itu juga satu pencapaian menyenangkan buat Saleha. Jika tahun ini tercalon untuk kategori popular, lantas berdasarkan hasil kerja tahun ini, tidak mustahil pula untuk masuk senarai calon kategori terbaik dalam anugerah kualiti pula pada tahun hadapan. "Tercalon pun sudah cukup bagus. Kalau menang lagi bagus sebab itu bukti penerimaan peminat terhadap seseorang pelakon. Untuk bercakap tentang anugerah berdasarkan kualiti pula pada masa hadapan, alangkah bagus kalau perkara itu jadi kenyataan tapi saya tidak berani berharap. Siapa yang tidak mahu kerjanya diiktiraf. Jika ada pihak yang fikir saya layak, saya patut terima dengan besar hati," katanya yang bakal mencecah usia 23 tahun pada 14 Mac ini. Gila dalam hutan Menanti tarikh penggambaran untuk sebuah filem berjudul Bikin Filem terbitan Playground Production dalam masa terdekat, Saleha merasakan jalan kariernya sedang di trek yang sempurna. "April nanti saya sudah beri kata putus untuk terlibat dengan drama Memberku Hawa manakala Mei nanti ada juga sebuah tawaran filem daripada sebuah syarikat penerbitan yang sedang saya pertimbangkan. "Saya akan cuba ikut laluan ini sebaik-baiknya. Dalam usia 23 tahun, ketika ada kawan-kawan baik saya sudah mula berkeluarga dan merancang masa depan bersama pasangan masing-masing, saya rasa peluang sebegini tidak harus dipersia-siakan. Bukan saya tidak mahu bercakap tentang komitmen tetapi adakalanya hidup secara solo seperti sekarang ada baiknya juga. Tidak perlu pening-pening kepala atau asyik berdating jika tiada penggambaran," katanya mengingatkan penulis terhadap kisah putus cinta yang baru-baru ini hangat diperkatakan. Satu lagi pengalaman baharu yang sedang dinikmati Saleha ketika ini adalah mengacara sebuah program berjudul Projek Gila. Untuk empat episod, Projek Gila akan mendedahkan segala aksi dan perilaku Saleha yang selama ini mungkin tidak pernah diketahui oleh khalayak. Dalam program seumpama Fear Factor namun tidak melibatkan artis lain itu, Saleha diberikan satu cabaran pelik seperti masuk dan hidup dalam hutan atau meneroka cara hidup di sebuah pulau. "Sepintas lalu, banyak aksi saya memalukan akan ditonjolkan dalam program itu. Semuanya secara spontan kerana saya tidak diberikan skrip. Untuk episod pertama yang menjalani penggambaran di Taman Negara, saya kena memanjat pokok dan tidur atas pokok. Memang kena jadi lasak dan saya memang suka aktiviti begitu. Kena hadap pacat dan serangga dalam hutan tak payah cakaplah, saya seronok walaupun agak sengsara. "Jika selama ini orang tengok saya macam lemah-lembut atau kontrol cantik sahaja dalam drama, Projek Gila memang gila. Saya jadi lasak, ketawa, menjerit macam tak ingat dunia dan buat aksi gila-gila yang saya sendiri tak pernah terfikir pun akan buat perkara sebegitu," katanya ceria. Gembira, tenang dan punya banyak masa untuk diri sendiri serta paling penting memiliki keluarga yang kekal menyayanginya apa jua keadaan, itulah erti kehidupan sempurna selebriti muda Saleha ketika ini.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails