Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

ZIANA ZAIN BELOM BERSEDIA BERTUDUNG

DI USIA 44 tahun, dia masih lagi mengancam laksana anak dara sunti. Mahu tidak mahu, perlu bagi Ziana untuk kekal cantik kerana itulah bayaran apabila bergelar artis. Kata pelantun Madah Berhelah yang dilahirkan dengan nama Siti Roziana Zain itu, hendak ke kedai pun perlu bersiap rapi untuk menjaga mata peminat serta masyarakat yang sentiasa ingin melihat golongan artis kelihatan sempurna. “Kalau ikutkan seksa sebenarnya hendak kena jaga makan dan keluar rumah terpaksa bersolek, tetapi artis memang perlu menjaga penampilan serta menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. “Tahun ini saya sudah 44 tahun, kalau tidak menjaga susahlah. Bukan saja untuk kelihatan menarik di hadapan peminat, jaga pemakanan amat baik untuk kesihatan. Cuma, perlu disiplin yang tinggi,” katanya. Menawan dengan gaun paras lutut rekaan Rizman Ruzaini, penyanyi yang juga pelakon kelahiran Merlimau, Melaka, itu turut diajak berbual mengenai penghijrahan diri. Tambahan pula, tatkala ini ramai artis muda yang mula berhijab (bertudung), justeru apakah Ziana tidak terpanggil melakukan hal yang sama? “Penghijrahan manusia Allah s.w.t berikan kepada setiap makhluk-Nya dengan cara berbeza. Ada orang berubah daripada segi penampilan tetapi hati tidak. Ada pula yang berhijrah dengan membersihkan hati serta menjaga pertuturan, tetapi seru untuk berhijab belum tiba. “Saya pasti suatu hari saya akan melakukan hal (bertudung) yang sama, tinggal lagi masa saja akan menentukan. Sebagai seorang Muslim, Insya-Allah jika diberi kesempatan suatu hari saya ingin menunaikan fardu haji. “Masa itu memang tidak boleh buka-buka lagi dah kerana apabila ke sana kita membuat perjanjian dengan Yang Maha Esa untuk berubah dan bertaubat, jadi kita perlu pegang pada janji. “Apapun, saya kagum dengan adik-adik yang memperoleh seru di usia yang muda dan berharap mereka ikhlas dan terus kekal begitu. Sesetengah orang sudah elok bertudung, bila rasa jemu dibukanya tudung. “Tidak manislah begitu seolah persendakan agama pula dan inilah yang saya bimbangkan sebenarnya. Bila keputusan ini kita buat seikhlas hati tanpa pengaruh atau desakan mana-mana pihak, insya-Allah perubahan yang dilakukan itu adalah terbaik kerana ia datang dari lubuk hati yang murni,” kata ibu kepada empat orang cahaya mata itu. Beralih topik perbualan, meskipun jarang membuat kemunculan di TV dan majalah, kerjaya nyanyiannya masih berjalan seperti biasa dan pada 25 Februari ini, akan berangkat ke Sarawak untuk menjayakan sebuah program amal yang turut dijayakan Awie dan Dayang Nurfaizah. Single terbaru Ziana, Misteri Cinta yang dinyanyikan secara duet dengan Sohaimi Mior Hassan juga mula diputarkan di radio. Jika tiada aral, bertitik tolak daripada single berkenaan, satu demi satu single baru akan diperkenalkan Ziana sehingga kuantitinya cukup untuk dimuatkan dalam satu album. “Ibarat orang mengantuk disorong bantal, begitulah saya saat menerima pelawaan abang Sohaimi. Dari dulu saya memang meminati vokalnya yang maskulin termasuk lagu-lagu beliau terutama Khaty. “Kemudian kali pertama mendengar lagu Misteri Cinta, sekejap saja saya sudah suka. Semua perkara jadi mudah, saya suka lagu yang diberikan, suka vokal beliau dan bekerjasama dengannya juga senang. “Orang lama, disiplin bagus dan tidak banyak kerenah kerana mereka faham dan ikhlas dengan kerja mereka selain menghormati pihak lain yang bekerjasama dengan mereka,” katanya. Dihujani pelbagai undangan nyanyian, isteri kepada Ketua Pramugara Sistem Penerbangan Malaysia, Armin Zaharin, itu turut dihujani pelbagai tawaran lakonan. Antara produksi yang tidak pernah jemu melamar Ziana adalah Suhan Movies, milik pelakon dan produser terkenal, Rosyam Nor. “Selalu mereka memujuk saya berlakon. Bukannya tidak mahu atau tak rindu cuma masa tidak bersesuaian kerana ada anak kecil. Si kembar baru dua tahun, kalau mereka sudah besar sikit barulah saya berani tinggal. “Tambahan pula, berlakon menuntut masa yang panjang untuk berada di set penggambaran. Tidak seperti menyanyi, satu dua jam sudah boleh balik. Kalau ada undangan persembahan luar Kuala Lumpur tiada masalah untuk bawa anak-anak,” katanya. Ziana pernah membintangi filem ‘pecah panggung’ antaranya Sembilu, Maria Mariana dan Merah mendirikan rumah tangga dengan Armin pada 2 Mei 1998. Hasil perkongsian hidup hampir 14 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata - Muhammad Aiman, 12, Muhammad Ammar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 2. Merancang kejutan buat peminat tahun ini, namun Ziana belum bersedia untuk berkongsi sama ada acara bakal dijayakan itu sebuah showcase, konsert, filem mahupun terbabit dalam program realiti. Ini kerana Ziana bimbang jika ia tidak berlaku seperti diharapkan, pastinya mengecewakan semua pihak. Menjawab satu soalan apakah dia tidak berminat untuk mempunyai jenama sendiri atau menjalinkan kolaborasi dengan adiknya, Anuar Zain untuk membuka jenama mereka memandangkan kedua-duanya diberi jolokan ‘trendsetter’, Ziana berkata, minat itu ada, tetapi harus ada perancangan teliti. “Sekarang ini bisnes online ada macam-macam fesyen yang mereka tawarkan dengan harga menarik. Boleh kalau mahu usahakan perniagaan ini tetapi kami perlukan pasukan pereka yang kreatif dan pemasaran yang bagus. “Yang menjadi keutamaan saya adalah pemilihan material yang bagus, rekaan eksklusif supaya jenama kita berbeza dengan orang lain namun pada masa sama dijual dengan harga berpatutan. “Memanglah boleh letak harga mahal apabila artis menggunakan nama mereka sebagai jenama tetapi saya lebih suka jenama itu boleh digayakan sesiapa saja. Kerana akan beli pakaian kita ini adalah peminat dan tidak semua peminat berpendapatan besar,” katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails