Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Norman suka lihat Memey bertudung

PADA hari Ahad lalu pelakon Memey Suhaiza membuat kemunculan di khalayak ramai dengan tampil bertudung litup ketika menghadiri acara hari sukan anak tirinya, Mohamed Danish Hakim. Beberapa keping gambarnya bertudung turut dimuat naik ke laman Instagram miliknya, sehingga ramai peminat yang menyangka bahawa isteri kepada pelakon Norman Hakim itu sudah mengikut jejak langkah beberapa artis yang kini sudah bertudung. Bagaimanapun, Memey yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini memberitahu, dia tidak mahu peminat salah sangka apabila menganggap dirinya kini sudah bertudung. Sebaliknya, pelakon yang baru dikurniakan cahaya mata, Mohamed Darwisz Hakim itu menyatakan sehingga kini dia masih lagi belum bertudung sepenuhnya, tetapi masih dalam proses percubaan untuk memakai tudung. Kosmo!: Bagaimanakah kehidupan Memey selepas bergelar ibu? MEMEY: Ia merupakan satu perasaan yang sukar untuk diperkatakan, tetapi apabila dikurniakan cahaya mata sudah tentu ia menjadi pelengkap kepada kehidupan saya sebagai seorang isteri. Setelah tamat berpantang pada awal April lalu, adakah anda sudah kembali berlakon? Buat masa ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Roda-Roda KL. Namun begitu, setiap kali ke lokasi penggambaran, saya selalu berasa berat hati untuk berpisah seketika dengan anak kerana terlalu rindu. Sebenarnya, selepas melahirkan anak sudah banyak tawaran berlakon yang diterima, tetapi dalam tempoh sekarang ini saya terima tawaran yang memerlukan saya berlakon di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Bagaimanakah pula dengan anak apabila anda menjalani penggambaran? Tanggungjawab menjaga anak saya serahkan segalanya kepada adik saya yang selama ini memang bekerja dengan saya. Cuma, saya telah memintanya supaya menjaga Darwisz di rumah sahaja. Adakah suami tidak kisah apabila anda kembali aktif berlakon setelah memiliki cahaya mata? Saya sangat beruntung kerana suami tidak pernah menghalang saya aktif berlakon semula. Dia cukup memahami minat saya yang mendalam terhadap dunia lakonan, namun dia tetap meletakkan syarat supaya kepentingan keluarga perlu lebih diutamakan berbanding kerjaya. Baru-baru ini terdapat beberapa keping gambar yang memaparkan anda bertudung sewaktu muncul di khalayak ramai. Adakah sekarang ini anda sudah bertudung sepenuhnya? Ketika ini saya masih lagi belum bertudung dan lakonan saya dalam Roda-Roda KL juga tidak menampilkan saya memakai tudung. Apa yang boleh dikatakan, saya masih lagi dalam proses belajar lagi. Kalau boleh saya tidak mahu peminat keliru dengan penampilan saya itu dan begitu mengharapkan doa daripada peminat agar pintu hati saya terbuka sepenuhnya untuk bertudung. Apakah pandangan suami apabila melihat anda sudah mula berjinak-jinak untuk memakai tudung? Sudah tentu suami merupakan orang yang paling gembira dan memberitahu dia memang suka lihat saya bertudung. Bagaimanapun, dia tidak memaksa saya dan berpesan supaya setiap perubahan yang dilakukannya itu mestilah niat kerana Allah tanpa paksaan daripada sesiapa.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails