Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

HIJRAH ALYAH SELEPAS UMRAH

"Saya baru sahaja cuba berhijrah, mana yang kurang harap dapat diterima dan saya akan ubah sedikit demi sedikit," demikian kata Alyah mengenai penghijrahannya memakai tutup kepala. Beliau berkata demikian ketika dijemput membuat persembahan di Wanita Hari ini, TV3. Meskipun tidak bertudung penuh sebagaimana artis lain, namun perubahan tersebut dilihat amat berani dan membawa kebaikan untuk Alyah sendiri. Mungkin hidayah tersebut ditemuinya ketika beliau mengerjakan Umrah baru-baru ini. Alhamdulillah..!

AKSI CERIA ABIL DAN KHEISYA

Gambar ceria Nabila Huda dan anaknya Kheisya Laila. Meskipun gosip panas tersebar luas mengenai percintaan dan kesanggupan Nas-T untuk berjumpa Amy Search bagi meminang Nabila, namun setakat ini semuanya masih belum berlaku. Harap-harap apa yang dirancang oleh mereka berdua (Nabila dan Nas-T) akan berjalan lancar... itu doa kita!

ISTERI APEK KINI BERHIJRAH

Jika baru-baru ini, isteri kepada Khairul Fahmi Che Mat iaitu Leuniey Natasha digosipkan telah mengandung, namun berita terkini sebenarnya lebih menarik. Leuniey telah berhijrah ke arah yang lebih baik iaitu memakai tudung sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Tahniah diucapkan buat Apek kerana berjaya membimbing isterinya. Semoga rumah tangga mereka akan lebih bahagia selepas ini... Insa'Allah.

ANN NGASRI & SUAMI BERSANTAI

Aksi menarik Anne Ngasri dan suaminya Mohd Sumali Reduan, yang tidak jemu-jemu bersantai bersama keluarga. Lebih menarik, perut Ann juga bertambah besar menandakan bakal bertambahnya ahli keluarga mereka nanti. Tahniah!

RAGAM ANAK NABIL & NAZIRAH

Gambar Naira Mikayla, anak kepada Nazirah Ayub dan Nabil Ahmad (Raja Lawak) yang kini berusia 6 bulan. Nampaknya, makin besar... makin tembam si Naira ni..! Untuk info, Naira dilahirkan pada 25 November 2012, melalui pembedahan Caesarean.

Ogy tinggalkan restoran

Awal tahun ini, pengacara sensasi Fauziah Ahmad Daud atau Ogy mengatakan dia tekad meninggalkan dunia seni untuk memberi fokus kepada restoran Ogy D'Greenwood yang dibukanya bersama rakan kongsi di sejak bulan November tahun lalu. Restoran itu terletak di Kampung Simpang Tiga, Jalan Greenwood, Gombak, Selangor. Terasa masih terlalu baru pihak media menghadiri majlis pembukaan restoran tersebut dan masih tidak dapat dilupakan keterujaan Ogy untuk menguruskan restoran yang menjadi impiannya selama ini. Bahkan, Ogy sendiri yang sibuk melayan setiap pengunjung yang hadir. Bagaimanapun selepas hanya enam bulan beroperasi dan Ogy bertindak sebagai pengurus restoran, terdapat desas-desus kononnya Ogy telah menutup restoran dan digugurkan daripada menguruskan restoran tersebut. Bagi mendapatkan kesahihan berita tersebut, ikuti temu bual Kosmo! bersama Ogy baru-baru ini. Kosmo!: Benarkah Ogy telah menutup restoran Ogy D'Greenwood? OGY: Siapa kata saya tutup restoran, itu tidak benar sama sekali. Restoran itu masih beroperasi seperti biasa, cuma saya tidak lagi menguruskan restoran tersebut. Adakah anda digugurkan daripada pengurusan restoran tersebut? Itu hanya desas-desus, orang yang bercakap tidak tahu hal yang sebenar. Saya sebenarnya sudah tidak lagi menguruskan restoran sejak pertengahan bulan Mac dan telah menghantar surat peletakan jawatan secara rasmi pada bulan April. Saya bukan digugurkan tetapi saya yang menarik diri. Apakah terdapat sebarang pergaduhan antara anda dan rakan kongsi sehingga anda meletak jawatan? Saya tidak bergaduh atau wujud sebarang konflik (dengan rakan kongsi). Selepas meletakkan jawatan, saya tidak mahu mengungkit sebarang cerita yang tidak baik atau menyalahkan sesiapa, itu bukan sesuatu yang bijak. Restoran itu masih beroperasi, masih ada orang yang perlu mencari rezeki. Bagi saya, sudah tidak ada rezeki di sana, saya terima dan terus berusaha. Mungkinkah terdapat sebarang masalah ketika anda menguruskan restoran itu? Kalau bercakap tentang masalah, ia ada di mana-mana sahaja dan semua orang mempunyai masalah mereka sendiri. Apa yang terjadi bukannya penamat kepada perjalanan hidup saya. Sepanjang enam bulan di sana, pelbagai ilmu telah saya pelajari, saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menimba ilmu tentang perniagaan makanan. Selepas apa yang terjadi, adakah Ogy masih ingin meneruskan impian memiliki sebuah restoran? Ya, saya sedang berusaha ke arah itu kerana saya tidak bersedih dan sentiasa kekal positif. Selepas puas berlakon, impian saya ialah memiliki sebuah restoran sendiri kerana saya minat memasak. Saya menjadikan pengalaman yang saya perolehi untuk meningkatkan diri ke tahap seterusnya. Tidak lama lagi saya akan bukan restoran sendiri dan saya harap peminat doakan yang terbaik untuk saya. Adakah Ogy masih berminat untuk berlakon? Minat itu sentiasa ada tetapi pada usia sekarang, saya lebih memilih karya yang benar-benar bagus sahaja. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Manisnya Cinta di Cappadoccia arahan Bernard Chauly dan telefilem sempena hari raya yang berjudul Syair Untuk Bonda arahan Rashid Sibir.

Tepis gosip dengan Sharnaaz

PERTAMA kali bertemu dengan pelakon kelahiran Jurong, Singapura, Siti Elfaeza Mohmed Ehsan Ul Haq atau lebih serasi disapa Elfa adalah ketika penggambaran drama bersiri Adam & Hawa di Cameron Highlands, Pahang, sekitar pertengahan tahun lalu. Ketika itu nama Elfaeza Ul Haq masih samar-samar dalam industri hiburan tempatan. Namun, dek tempias drama rantaian itu, Elfa, 27, mengakui sahamnya melambung tinggi dan semakin laris mendapat tawaran. "Syukur sebenarnya kerana saya dikenali menerusi sebuah naskhah hebat bersama pelakon-pelakon yang luar biasa bakatnya. "Boleh dikatakan, lebih kurang saya menumpang sedikit populariti daripada mereka," ujarnya yang ditemui ketika pertunjukan fesyen The Amazing Red Kurung Kebaya & Hijab di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut bahang populariti yang semakin kuat dirasai Elfaeza, dia kadangkala gusar dan takut ledakan itu memakan diri sendiri. "Saya tidak mahu mudah terleka dan hanyut dalam arus populariti. Takut juga suatu masa nanti saya sendiri dimakan perasaan yang riak. Lebih baik saya menjadi diri saya dan kekal berada di tempat sekarang yang tidak terlalu selesa atau terlalu sukar," katanya. Rentetan daripada keberkesanan lakonannya juga, Elfaeza diberikan kepercayaan untuk menggalas peranan utama dalam drama bersiri Iman Nabila terbitan Suhan Movies Trading Sdn. Bhd. yang kini sedang menjalani penggambaran. "Alhamdulillah, pertama kali saya ditawarkan untuk melakonkan watak utama drama bersiri 16 episod, Iman Nabila. Tambah mengharukan apabila drama itu akan disiarkan di TV3 untuk slot Azalea tidak lama lagi. "Apabila ditawarkan watak utama, saya terperanjat bukan kepalang! Perasaan berdebar-debar dan takut untuk bekerja dengan produksi terkenal dan pelakon lain yang belum pernah bekerjasama sebelum ini," ungkap Elfaeza. Turut membintangi drama itu, pelakon kacak Shahrizal Jaszle, Aida Khalida dan Kuza. Elfaeza kini melihat bakat dan kewujudannya dalam industri hiburan di Malaysia sudah semakin diterima ramai dan berusaha untuk mengekalkan prestasi baiknya tanpa sebarang cerita negatif. "Ini percubaan pertama saya dan saya melihat peluang kepada artis dari Singapura seperti saya sudah semakin diterima peminat di sini (Malaysia). "Kalau tidak diberikan peluang kepada artis baharu seperti saya, bagaimana industri kita hendak maju ke depan?" luahnya. Sharnaaz Mengalih topik bicara kepada gosip liar yang mendakwa dia kini sedang mengenali pelakon kelahiran Georgetown, Pulau Pinang iaitu Sharnaaz Ahmad semenjak bernaung di bawah pengurusan yang sama beberapa minggu lalu, nyata wanita ini terperanjat ketika diberitahu. Jelasnya, tidak pernah terlintas untuk dia menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki dalam waktu terdekat memandangkan kerjayanya baru saja bermula. Malah katanya lagi, dia tidak menganggap Sharnaaz sebagai lelaki yang paling rapat dengannya kini biarpun kedua-duanya diuruskan oleh individu yang sama. "Saya sudah agak akan timbul dakwaan sebegini apabila saya memilih untuk diuruskan bersama Sharnaaz dan saya tidak boleh menghentikan cakap-cakap orang. "Sepanjang saya mengenali Sharnaaz, dia bukan seorang yang pemarah, malah dia sebenarnya peramah. "Sebelum ini saya sendiri yang menguruskan kerjaya saya, kebetulan ketika penggambaran drama Mukhlis bulan lalu, saya berkenalan dengan pengurus peribadi Sharnaaz yang kemudian menawarkan saya bernaung di bawahnya. "Saya menerima pelawaan itu dan jika serasi saya akan teruskan khidmatnya. Tiada istilah saya diuruskan oleh individu yang sama dengan Sharnaaz, maka kami mempunyai hubungan. "Lagipun, pertemuan kami hanya di set penggambaran Mukhlis sahaja. Kami tidak pernah membuat temujanji untuk keluar bersama selain waktu bekerja," jelas Elfaeza. Solo Mengukuhkan kenyataan yang dikeluarkan, ujar Elfaeza, dia kini masih solo dan fokusnya kini cuma keluarga dan kerjayanya yang masih mencari tapak. "Ibaratnya lagu Cari Jodoh (Wali Band) sangat sesuai dengan saya. Memang saya tak laku! Prioriti saya adalah kerjaya dan keluarga yang berada di Singapura. "Saya tidak terfikir untuk mencari lelaki buat masa sekarang sejak lima tahun menyendiri. Selepas putus cinta kali ketiga, saya sudah patah hati dan tidak mahu tetapkan lelaki yang bagaimana mahu dipilih," katanya. Ditanya bilakah dia akan kembali mencari cinta, jawab Elfaeza, perkara itu akan berlaku apabila dirinya sudah stabil dan hatinya benar-benar bersedia. "Saya akan kembali mencari cinta apabila kerjaya sudah stabil dan selepas itu saya menerima kalau pintu jodoh saya terbuka. "Saya inginkan seorang lelaki yang baik, boleh membimbing saya, tidak cerewet dan tidak ambil pusing sekiranya jodoh saya adalah individu dalam atau luar industri hiburan," kongsi Elfaeza. Ditanya makna cinta bagi dirinya, jawab Elfaeza: "Cinta penting dan adalah segala-galanya. Hidup kena ada cinta. Cinta kepada keluarga, kerjaya, hidup dan paling penting cinta kepada Allah." Kompang Abang Zabidi Dalam pada itu, Elfaeza baru sahaja muncul menerusi telefilem Kompang Abang Zabidi yang mana tayangan perdananya menerusi Astro Warna (saluran 132) semalam, 29 Mei. Menerusi telefilem arahan Mohd. Ramdan Che Hassan itu, Elfa yang melakonkan karakter Amelia bergandingan dengan aktor Kamal Adli sebagai Zabidi. Kompang Abang Zabidi mengisahkan tentang Zabidi iaitu seorang pemuda kampung yang terdesak untuk mendapatkan wang bagi membayar ganti rugi kerana merobohkan reban ayam Mat Som Karipap Pusing. Suatu hari, Zabidi telah ditawarkan untuk menjadi ketua pasukan kompang kampungnya. Kemunculan Amelia menjadikan semangatnya untuk memimpin pasukan kompangnya itu semakin berkobar-kobar. Namun, Rais cuba mensabotaj pasukan kompang Zabidi. Menerusi telefilem arahan Mohd. Ramdan Che Hassan itu, Elfa yang melakonkan karakter Amelia bergandingan dengan aktor Kamal Adli sebagai Zabidi.

Raja Azmi ditampar, disamun

Penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman melalui detik cemas apabila ditampar sebelum disamun oleh dua lelaki menunggang motosikal berhampiran Hotel Istana di Jalan Nagasari di sini kelmarin. Kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika Raja Azmi, 54, sedang berjalan seorang diri menuju ke arah keretanya yang diletakkan di luar bangunan hotel berkenaan. Cerita ibu kepada tiga orang anak itu, sebelum kejadian, dia baru pulang daripada menghadiri satu majlis kahwin yang diadakan di hotel tersebut. "Pada jarak 20 meter dari kereta tiba-tiba muncul sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghampiri saya. "Salah seorang suspek kemudian menolak saya menyebabkan saya terjatuh ke dinding di kaki lima hotel dengan beg tangan di bahu kiri manakala tangan kanan memegang telefon pintar Samsung Galaxy II," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. Menurut Raja Azmi, suspek yang memakai topi keledar kemudian cuba menarik beg tangannya namun dia meronta-ronta sambil menjerit meminta tolong bagi menarik perhatian orang ramai yang berada di kawasan berhampiran.

Cita Rasa Makanan Berbeza Sukarkan Jehan Miskin, Isteri

Pelakon Jehan Miskin masih sukar menyesuaikan diri soal pemilihan makanan dengan isterinya, wanita Korea iaitu Julie Camelia Rhee setelah hampir tiga minggu mendirikan rumah tangga. Kata Jehan, 34, kedua-dua mereka kebiasaannya akan tetap mengikut cita rasa masing-masing dari apabila menjamu selera. "Soal memilih makanan yang menjadi masalah bagi kami. Saya tidak boleh makan makanan seperti susyi yang rare (kurang masak), ‘shahimi’ dan makanan-makanan asli Korea yang lain. "Isteri pula tidak makan daging kambing atau makanan-makanan Melayu terutama yang pedas cuma ada beberapa makanan seperti nasi lemak dan ‘yong tau foo’ yang dia boleh makan," katanya kepada mStar Online, pada Rabu. Bagaimanapun perkara itu tidak menjadi satu masalah bagi pasangan ini yang sudah lima tahun bercinta. Bercakap soal budaya Melayu, Jehan berkata, isterinya sudah banyak belajar sejak bekerja di negara ini pada 2009. "Dia tidak ada masalah dengan budaya kita, malah dia sendiri memang menyenangi kehidupan masyarakat Malaysia dan sudah selesa tinggal di sini," katanya yang belum merancang untuk mendapatkan cahaya mata dalam masa terdekat. Sementara itu, pasangan ini merancang untuk berbulan madu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti di lokasi yang masih dalam pilihan. Pasangan ini telah diijabkabulkan pada 5 Mei lalu di Carcosa Seri Negara setelah tiga tahun bercinta. Dalam perkembangan lain, Jehan kini sedang sibuk mengarah drama 13 Episod yang bakal ditayangkan di 8TV pada 1 Jun ini. "Ini merupakan drama kedua arahan saya yang berkisarkan tentang seram dan misteri, setakat ini baru habis penggambaran episod 9," katanya.

Nad Zainal Dianggap Sombong Kerana Suara

Pelakon Nad Zainal mengakui sikapnya yang lantang ketika bersuara menyebabkan ada pihak menganggap dia seorang wanita yang sombong. Bagaimanapun, Nad, 23, berkata, dia tidak peduli dengan tanggapan tersebut kerana cara percakapannya adalah disebabkan terbawa-bawa sejak menceburi dunia pentas teater, tiga tahun lalu. "Nada suara saya memang macam ini iaitu lantang kerana mungkin sebab lontaran suara yang sudah dilatih ketika saya belajar seni persembahan teater di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan). "Ditambah dengan rupa saya yang agak garang ramai yang ingat saya ini sukar didekati, dan sombong tapi saya tidak kisah kerana mereka tidak mengenali saya secara rapat," katanya. Dalam pada itu, bercakap tentang media sosial, dia menganggap medium itu mampu membolehkan seseorang artis untuk berinteraksi dengan peminat tetapi perlu mempunyai batas-batas tertentu. "Zaman ini memang ramai orang yang guna Facebook atau Twitter untuk berhubung dengan peminat, namun pada saya semuanya perlu ada batasan. "Jika untuk kegunaan peribadi secara keterlaluan ia tidak sesuai kerana ia akan mengundang publisiti murahan seseorang artis selain boleh membunuh kerjaya artis jika tidak digunakan dengan betul," katanya. Sementara itu, wanita yang mengakui sudah memiliki teman istimewa ini belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. "Ya... saya sudah ada kekasih namun buat masa sekarang fokus utama adalah untuk kerjaya dan membahagiakan ibu bapa, lagi pula usia saya masih muda," katanya. Nad bakal membawa watak Kay dalam Drama Memberku Hawa Musim ke-2 yang akan disiarkan setiap Rabu bermula 5 Jun depan pada pukul 10 malam di Astro Ria. Ulangannya adalah pada setiap Ahad pukul 6.30 petang. Drama ini mengisahkan wanita muda Malaysia yang berdepan dengan cabaran hidup dengan sikap positif dan berpendirian teguh. Selain Siti Saleha dan Nad Zainal, drama ini turut dibarisi Sharifah Sofea, Nur Zaireen Mohd Zait, Christina Suzane dan Nor Nadia Nor Mahazan.

Dia lelaki terbaik buat saya - Fouziah Gous

PELAKON Fouziah Gous tidak pernah sunyi daripada cerita cinta. Sebelum ini namanya hangat dikaitkan dengan seorang ahli korporat. Bagaimanapun. figura jelita ini tidak pernah mengaku tentang spekulasi tersebut dan menutup rapi kisah hatinya. Fouziah tidak mempunyai sebarang jawapan konkrit apabila disoal tentang isu kekasih dan perkahwinan sebelum ini. Bagaimanapun, wanita berusia 30 tahun itu akhirnya membocorkan sendiri rahsia siapa jejaka yang bertakhta di hatinya selama ini. Bukan ahli korporat yang disangka ramai, tetapi Fouziah memilih lelaki bernama Md. Zhafran Md. Yusof yang dikenalinya sejak setahun yang lalu. Zhafran merupakan rakan kongsi perniagaannya dan mereka hanya menyulam cinta sejak beberapa bulan yang lalu. Akui Fouziah, dia yakin Zhafran lelaki yang tepat untuknya dan mereka berdua akan mengikat tali pertunangan pada Sabtu, 1 Jun ini. Ikuti temu bual Kosmo! baru-baru ini bersama Fouziah yang turut mengumumkan tentang perkahwinannya dengan Zhafran. Kosmo!: Apakah tarikan Zhafran pada mata Fouziah? FOUZIAH: Salah satu sebabnya, dia lelaki yang terbaik untuk saya. Sudah pasti dia mempunyai kelebihan tersendiri, apa yang saya inginkan daripada seorang lelaki, ada pada dirinya. Dia bukan hanya kekasih saya tetapi rakan perniagaan, teman saya ketika susah senang, teman bergaduh dan kami sangat serasi satu sama lain. Adakah anda terburu-buru untuk berkahwin kerana baru bercinta hanya beberapa bulan? Tidak terburu-buru kerana saya kenal dia sudah setahun, tetapi bercinta baru sangat. Kami berkenalan atas dasar kerja dan akhirnya saya sendiri tidak sangka hubungan kami boleh mencapai ke tahap seterusnya. Kalau kita yakin orang itu yang terbaik untuk kita buat apa tunggu lama-lama. Pertunangan anda pada Sabtu ini akan menutup segala gosip terdahulu. Komen Fouziah? Gosip akan sentiasa ada kerana saya artis dan dikenali ramai. Sebelum ini saya tidak pernah mengaku bercinta dengan mana-mana lelaki. Saya juga tidak pernah keluar berdua dengan sesiapa kerana saya jaga diri saya sebaik mungkin. Gosip akhirnya berlalu begitu sahaja kerana semuanya tidak benar. Saya telah berjanji dengan diri sendiri akan memberitahu siapakah kekasih saya andai saya benar-benar bersedia untuk berkahwin. Rasanya tidak salah untuk saya kongsi kebahagiaan saya bersama peminat. Bagaimanakah penerimaan Zhafran terhadap kehidupan anda sebagai seorang artis? Setakat ini, dia boleh terima dengan baik sebab sejak dia kenal saya pun, saya sudah jadi pelakon. Sekarang, dia sendiri sudah mengalami impak menjadi kekasih kepada seorang artis dan semuanya berjalan secara positif. Debaran untuk bergelar tunangan orang. Komen Fouziah? Sudah tentu berdebar-debar tetapi saya beruntung kerana ramai rakan dan saudara-mara membantu dalam persiapan majlis. Apa yang boleh saya katakan majlis hanya sederhana, dihadiri rakan dan saudara terdekat serta pihak media sahaja. Benarkah Fouziah akan berkahwin pada September tahun ini? Memang mengikut rancangan pada bulan September tetapi setakat hari ini belum ada sebarang tarikh yang boleh saya umumkan lagi. Tidak kiralah bilakah tarikhnya, saya tetap akan menamatkan zaman bujang pada tahun ini, saya tidak mahu tunggu lama lagi. Bagaimanakah dengan kerjaya seni Fouziah selepas ini? Tidak ada sebarang perubahan, saya tetap akan berlakon seperti biasa kerana itu sudah kerjaya saya. Perniagaan saya juga akan berjalan serentak, tetapi batas-batas yang harus dijaga sebagai tunangan orang saya akan jaga sebaik mungkin.

Masih terima babak romantis-Izzue Islam

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi hero drama Sebenarnya Saya Isteri Dia, Izzue Islam bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang juga merangkap pengurus peribadinya, Awin Nurin. Tanggal 2 Jun 2013 dipilih oleh Izzue dan tunangnya untuk melangsungkan perkahwinan yang bakal dibuat secara sederhana di Shah Alam, Selangor. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan yang ditemui Kosmo! pada penggambaran filem Suami Aku Ustaz di bandar Melaka kelihatan lesu dan tidak bermaya. Diajukan persoalan itu kepadanya, pelakon yang juga penyanyi kumpulan Forteen itu mengakui kurang sihat kerana begitu sibuk menjalani penggambaran dan dalam masa yang sama dia harus membuat persiapan perkahwinannya. Izzue juga tidak lokek bercerita sedikit mengenai persiapan perkahwinannya biarpun dirinya kurang sihat dan juga dalam keadaan ruang waktu yang begitu terhad. Bagaimanapun, dia kini telah bersedia untuk memegang status suami dan bertanggungjawab terhadap seorang wanita yang akan menjadi pelengkap hidupnya. “Sehingga kini tinggal lima peratus sahaja persiapan perkahwinan kami, itupun hanya beberapa perkara-perkara kecil yang perlu diselesaikan. “Kami memilih tema moden yang mana saya akan memakai blazer dan dia (Awin) akan memakai gaun,” jelasnya yang kelihatan berseri sebagai seorang bakal pengantin biarpun kurang sihat. Ceritanya lanjut, majlis akad nikah akan diadakan pada pukul 9 pagi manakala majlis resepsi pula akan berlangsung pada pukul 2 petang. Enggan mendedahkan dimanakah majlis perkahwinannya bakal berlangsung, pelakon berusia 23 tahun itu juga mengakui akan menjemput pihak media pada hari bahagianya itu. Izzue juga mengakui masih belum merancang untuk pergi berbulan madu kerana hanya bercuti seminggu sahaja sebelum kembali memberi fokus kepada kerjayanya. “Saya mula bercuti 29 Mei sehingga 5 Jun sahaja. Selepas itu saya akan kembali menjalani penggambaran yang tertangguh sepanjang saya mengambil cuti kahwin,” ujarnya lagi. Babak romantis Ditebak bagaimana kelangsungan dirinya sebagai anak seni selepas mendirikan rumah tangga kelak, ungkap Izzue, dia akan berlakon dan menyanyi seperti biasa, manakala Awin pula masih bertindak sebagai pengurus peribadinya. Diajukan pula bagaimanakah jika dia ditawarkan dengan babak-babak romantis seperti berpegangan tangan, berpelukan atau babak di atas katil, Izzue mendedahkan, mereka (dia dan Awin) ada berbincang mengenai perkara itu. Awin terbuka mengenai perkara itu (babak romantis) asalkan ia tidak melampau batas. “Kami ada berbincang mengenai perkara itu. Awin masih membenarkan saya melakonkan babak romantis, dan saya juga tidak melihat ada masalah di situ, asalkan saya sendiri tahu batasan saya. “Malah, sebelum berkahwin saya juga tidak pernah melakonkan babak-babak yang melampau batas seperti babak di atas katil,” jelasnya jujur. Izzue kemudian menambah, dia juga sedar selagi berada dalam Malaysia, perbuatan seperti itu (babak-babak di atas ranjang) sangat sensitif dan kalau boleh dia akan cuba mengelak melakonkan babak seumpama itu. Forteen Acap kali menerima tawaran berlakon, bagaimanapun akui Izzue dia masih bersama Forteen dan kini mereka sudah mengeluarkan single ketiga berjudul Kita selepas single Seperti Dulu dan juga Berdua Bersatu. Pengakuan Izzue itu disebabkan dia seringkali dikritik oleh peminatnya yang mengatakan dia lebih sesuai berlakon daripada menyanyi. “Memang ada yang cakap lebih baik saya berlakon daripada menyanyi. Tetapi ada juga peminat saya yang suka saya menyanyi daripada berlakon. Saya hormati pandangan mereka (peminat). Begitupun, saya meminati kedua-duanya dan akan terus berlakon dan bersama Forteen,” tegasnya. Mengulas mengenai single terbaharu Forteen iaitu Kita, Izzue memberitahu, single tersebut juga dijadikan sebagai lagu tema untuk drama popular Sebenarnya Saya Isterinya lakonannya bersama aktres Tiz Zaqyah. Berkonsepkan balada, lagu yang kini meniti di corong-corong radio itu juga dihasilkan oleh komposer Edry Abdul Halim. Kawan baik Nora Danish Terlanjur bertemunya di set penggambaran filem Suami Aku Ustaz, Izzue juga bercerita tentang wataknya dalam filem yang turut dibintangi oleh Adi Putra dan Nora Danish itu. Ujar Izzue, dalam filem Suami Aku Ustaz, dia membawa peranan sebagai kawan baik Nora Danish yang membawa watak sebagai Alisa. “Saya memegang watak Johan iaitu kawan baik kepada Alisa (lakonan Nora Danish). Mereka sentiasa bertemu tetapi tidak melakukan perkara-perkara yang tidak elok. Malangnya, ibu bapa Alisa tidak menyukainya dan memaksanya berkahwin dengan sepupunya yang merupakan seorang ustaz,” jelasnya. Mengulas lanjut, ungkap Izzue, Johan kecewa dengan perkahwinan Alisa kerana dia menaruh hati kepada wanita itu. Mengakui watak Johan tidak terlalu berat, bagaimanapun Izzue tetap melakukan yang terbaik agar watak Johan memberi impak yang besar kepada penonton. Selepas menjalani penggambaran filem Suami Aku Ustaz, Izzue mengakui akan ke set penggambaran Suhan Moivie berjudul Sahabat. Selain Izzue sebagai tonggak utama, drama tayangan Astro Ria itu juga membariskan pelakon-pelakon terkenal seperti Liyana Jasmay dan juga Sara Ali.

Hanez tahu orang meluat

DALAM sejuta orang, percayalah, tak semua orang yang suka untuk menyibuk atau mengambil tahu kisah artis yang kerap disiarkan di surat khabar atau di majalah. Lebih-lebih lagi kalau cerita percintaan yang menjadi topiknya. Orang tentu akan menyampah juga kalau balik-balik itu sahaja yang nak dijajakan. Perkara yang sama berlaku pada pelakon Hanez Suraya, 28, yang dikatakan gemar bercerita hal cinta dan kasih sayangnya terhadap teman lelaki, penyanyi Awi Rafael. Menyedari bahawa hal itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah pihak terutama pembenci dirinya, Hanez kemudian memaklumkan kepada semua pihak untuk tidak lagi mengulas hal cinta. Walau berkata demikian, Hanez tetap menerima kritikan. Kata mereka, Hanez cuma propa atau berlakon dengan kata-katanya itu. Bertanya dengan empunya diri, Hanez mengaku dia sememangnya mahu mengelak daripada sering memperkatakan perihal cinta kepada umum. "Kalau boleh, saya memang dah tak nak hal cinta kerap menjadi topik. Saya tahu orang muak dan meluat dengan cerita-cerita macam itu. "Tapi itu tak bermakna saya akan zip mulut setiap kali ditanya. Kalau media bertanya, saya akan jawab macam biasa. "Macam saya pernah cakap, saya akan kongsi pada semua dan tak akan sesekali sorok hal cinta. Buat apa nak sorok, nanti orang tahu, sama saja," katanya. Selain bimbang orang meluat, kata pelakon drama Sedetik Cinta ini, secara peribadi, dia sendiri merasakan tidak ada apa lagi yang perlu diceritakan. "Benda sama saja... hubungan saya dengan Awi pun masih sama... setakat ini kami pun belum ke fasa baru dalam hubungan ini. Sebab itulah saya rasa dah tak ada apa yang nak dikongsi. Setakat inilah. "Satu lagi, saya pun nak elak daripada dilabel menumpang populariti Awi. Walhal, itu tak pernah berlaku," katanya. Tiada istilah menumpangBercakap mengenai hal siapa tumpang populariti siapa, Hanez awal-awal menolak andaian itu. Kata Hanez, selama bercinta dengan Awi, dia tidak merasakan istilah menumpang itu wujud memandangkan masing-masing punya platform kerjaya sendiri. "Saya ada kerjaya sendiri, dia pula berjaya sebagai seorang penyanyi. Jadi hal siapa tumpang siapa itu tak wujud sebab kami masing-masing punya landasan yang berbeza. "Saya tak nak orang salah anggap mengenai hal ini sebab saya percaya masing-masing antara saya dan Awi, kami punya kekuatan sendiri dalam hala tuju karier. "Orang kenal saya kerana saya dan orang kenal Awi kerana Awi. Saya tak rasa cinta menyebabkan kami sesama sendiri menumpang populariti. Itu semua mengarut. "Rasanya, peminat juga tahu dan sedar mengenai hal ini dan setakat ini saya lihat mereka faham dan boleh menerima situasi ini dengan baik," katanya. Tak dikawal AwiDalam pada itu, mengulas mengenai hasratnya untuk tidak lagi keterlaluan beraksi seksi dalam bab berpakaian, Hanez mengaku itu adalah kehendak dirinya sendiri dan bukan kerana dikawal Awi. Sebelum ini ada yang mendakwa Hanez mengubah pendiriannya itu semata-mata mahu menuruti permintaan Awi yang enggan teman wanitanya dilihat seksi. Lalu, ini jawapan yang diberikan oleh duta produk kecantikan dan kesihatan Aura White ini. "Tak adalah. Memang dia tak suka saya seksi tapi dia tak pernah memaksa saya untuk berubah. Dia tak pernah kawal saya. "Saya bukan menuruti Awi, saya hormat segala apa nasihatnya yang baik untuk saya. Tapi apa yang saya buat ini datangnya daripada niat hati saya sendiri. "Saya memang nak kurangkan imej seksi sebab saya mahu perubahan untuk diri. "Ini untuk kebaikan saya juga selain mahu menjana imej yang lebih bersih untuk kerjaya saya," tegasnya.

Johan mengurat siapa tu?

MISS J dapat tahu ada seorang aktres jelita yang rimas sebab selalu diganggu Johan As'ari gara-gara khidmat pesanan ringkas (SMS) kiriman pelakon itu. Mula-mula aktres itu bersangka baik sahaja. Dia rasa Johan kirim SMS sebab prihatin dengan keadaan dirinya. Lagi pun apa salahnya bertanya khabar kawan-kawan kan. Tapi apabila kerap sangat Johan kirim SMS, siap ada mesej yang berbaur cinta terus aktres yang semakin meningkat nama ini menggaru kepalanya yang tak gatal. Ayat mesej Johan boleh tahan hebatnya... Jadi aktres ini pun terus jadi tertanya-tanya apa niat sebenar Johan mengirimkan SMS macam itu. Lebih teruk lagi apabila aktres ini dapat tahu yang kawan perempuannya juga terima kandungan mesej yang sama daripada Johan. Maka tertanya-tanyalah dalam hati aktres ini adakah Johan ini sebegitu perangainya. Atau pun Johan jenis suka mengurat perempuan guna strategi seperti menjala ikan. Tebar dan kemudian tarik. Mana tahu sangkut. Tapi Miss J yakin Johan budak baik. Takkan dia nak mempermainkan perasaan wanita sebab dia memang jenis hormat kaum perempuan. Tak begitu Johan?

Erin disenangi adik-adik

MELIHAT perkembangan pelakon yang sudah mula dikenali sejak dari usia kanak-kanak tidak dapat dinafikan dia memang seorang yang berbakat. Berbeza dari pelakon remaja lain, pengalaman mengajar Erin Malek untuk sentiasa bersedia, memberi peluang buat dirinya mengagak permainan industri kini. Tidak terlewat untuk bertanyakan hentaman beberapa pihak terhadap foto percutiannya baru-baru ini yang dianggap kurang sopan berbanding adiknya yang sudah bertudung, nampaknya Erin sudah bersedia untuk memberi jawapan dari pihaknya. "Saya memang dah agak hal ini akan menjadi isu sejak awal-awal lagi kerana adik-adik saya telah bertudung. "Sebagai kakak, jujur saya katakan sangat senang dengan penampilan mereka. Bukannya saya tidak langsung menghormati mereka kerana saya tahu jika mahu keluar bersama, saya akan pastikan baju yang dipilih tidak terlalu menjolok mata, " katanya yang kini menjalani penggambaran filem Cinderella, arahan Ahmad Idham. Menafikan Afiqah dan Aqila sedikit malu dengan penampilannya, menurut Erin sebagai kakak, dia sentiasa dihormati. "Mungkin mereka sudah bertudung, namun tidak pernah mereka menyatakan yang mereka malu dengan saya. "Siapa tahu suatu hari nanti hati saya juga terbuka untuk memakai tudung," katanya yang ditemui pada tayangan perdana filem lakonannya Lari bersama aktor terkenal tanah air Aaron Aziz di Subang, Selangor baru-baru ini. Memberitahu sedang berkawan rapat dengan seseorang kini, bagi Erin buat masa ini kerjaya sebagai pelakon akan diutamaka. Membuka sedikit rahsia pengenalan dengan teman itu, menurut Erin pada mulanya, lelaki yang dikenali sebagai Walid itu langsung tidak tahu dia seorang pelakon. "Saya memang sedang berkawan rapat dengan Walid. Namun, buat masa ini kami belum merancang apa-apa. "Masing-masing juga sibuk. Buat masa ini saya akan memegang kata ibu untuk memberi tumpuan buat satu pekerjaan dalam satu-satu masa," katanya yang mungkin akan menyambung pengajian di dalam bidang pengarahan.

Kecewa dengan Lefthanded

Tahun 80-an dan 90-an menyaksikan persaingan sengit antara kumpulan-kumpulan rock ternama tanah air. Setiap lagu yang dihasilkan pasti akan menjadi popular dan siulan peminat. Antara kumpulan yang gah pada era tersebut termasuklah Search, Wings, Lefthanded, May, Mega, Iklim, Slam, Bumiputra Rockers dan banyak lagi. Tetapi setelah masa berlalu, hanya beberapa nama sahaja daripada kumpulan tersebut masihterus mengekalkan kegemilangan setelah cita rasa pendengar terhadap muzik berubah kepada rentak terkini. Antara kumpulan masih gah di persada muzik negara ini hanyalah Search dan Wings. Mereka masih terus menjadi bualan ramai dan tidak kurang juga terus mendapat tempat untuk mengadakan persembahan. Perkembangan sedemikian tentunya merupakan suatu yang mengecewakan anggota-anggota kumpulan rock lain. Itu yang dikongsi secara terbuka oleh vokalis Lefthanded, Nash. Jelasnya, sebagai seorang artis dan anggota kepada sebuah kumpulan rock yang pernah berada di puncak kegemilangan persada muzik tanah air, adalah mengecewakan apabila melihat keadaan kumpulan Lefthanded kini. "Sejujurnya, saya amat kecewa dengan perjalanan karier seni kumpulan Lefthanded. Saya mengatakan ini bukan untuk memperkecilkan sesiapa khususnya ahli-ahli kumpulan, tetapi lebih kepada luahan hati kecil saya sendiri. "Lefthanded pernah berada di puncak kegemilangan. Tidak boleh dinafikan merupakan antara kumpulan muzik rock tanah air yang mempunyai jutaan peminat. Tetapi sayangnya perkara tersebut tidak kekal. "Pada pendapat saya, kekurangan kami berbanding beberapa kumpulan rock lain yang masih gah berdiri seperti Wings dan Search adalah daripada segi pengurusan. "Daripada dulu saya percaya dengan kebolehan setiap anggota kumpulan ini. Setiap daripada kami mempunyai kebolehan bermain muzik setanding dengan pemuzik antarabangsa," katanya. Tambah Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, dia tidak pernah mempunyai perancangan untuk membina nama bersama mana-mana kumpulan lain dan akan terus setia dengan kumpulan Lefthanded walaupun kumpulan tersebut tidak berada pada tahap selayaknya. "Benar, saya berasa kecewa dengan perjalanan seni kumpulan ini. Tetapi itu bukan bermakna saya mahu mencipta nama dengan mana-mana kumpulan lain. Daripada dahulu, kami sudah bersama. "Jika diizinkan, pastinya saya mahu menjadi lebih popular berbanding sewaktu zaman kegemilangan kami bersama-sama dengan semua anggota kumpulan ini," katanya yang kini berusia 53 tahun.

Ainan makin selesa

PASTI ramai di antara kita pernah bercita-cita untuk bergelar penyanyi. Walaupun kehidupan di sebalik kerjaya tersebut bukanlah indah semata-mata kerana setiap perlakuan baik atau buruk akan menjadi bualan dan bicara orang ramai. Begitu juga yang berlaku terhadap penyanyi yang mula dikenali menerusi laman perkongsian video, YouTube, Ainan Tasneem yang kini berusia 21 tahun. Jelasnya, setelah menceburi bidang seni sebagai penyanyi sejak November 2011, kehidupannya banyak berubah. "Jika dahulu setiap tindak tanduk saya tidak pernah diperhatikan orang ramai, tetapi kini tidak lagi. "Apa sahaja yang dilakukan, baik perbuatan mahu pun tutur kata harus dijaga. Saya bersyukur, setelah setahun lebih berada dalam bidang ini, saya semakin serasi dengan kehidupan tersebut," katanya yang ditemui sewaktu majlis pelancaran aplikasi TV Tonton untuk pengguna televisyen pintar jenama Samsung, di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Aku Suka Dia itu, perkara yang paling menggembirakan dirinya setelah bergelar penyanyi adalah mampu membantu keluarga dan adik-beradik, terutamanya daripada segi kewangan. "Jika sebelum ini kami adik beradik banyak bergantung kepada ibu bapa sahaja, tetapi kini saya juga dapat membantu sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa. "Jadi penyanyi, banyak kelebihan yang kita dapat," katanya yang juga merupakan seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Bio-Proses di Universiti Malaysia Perlis. Berbicara soal kerjaya seni, Ainan mengakui pihaknya kini sedang dalam proses menyiapkan album penuh yang mengandungi 10 buah lagu dan dijangka mula berada di pasaran pada penghujung tahun ini. Antara lagu yang terkandung dalam album itu nanti termasuklah Aku Suka Kamu, Kamu Saja, Tak Mungkin Aku, Aku Keliru dan 150 Juta.

Tempias cinta Gaya-Zul

SETAHUN berlalu, cakap-cakap sinis masih yang membidas cinta mereka masih berterusan. Enggan mengambil pusing perkara tersebut, pasangan yang telah menemui sinar itu tetap percaya, bukan mudah untuk mendapatkan perkenan semua pihak dalam soal yang melibatkan hati dan perasaan. Mengambil langkah positif kedua mereka yakin pasti ada hikmah di sebalik hubungan itu biarpun ramai yang berprasangka buruk tanpa sebab. Bagi pelakon Zul Ariffin, 26, dan kekasihnya yang juga penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, pilihan yang dibuat itu mencerminkan kesungguhan mereka untuk meniti kehidupan bersama suatu hari nanti. ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem lakonannya Bikers Kental di Damansara Selangor, baru-baru ini. Sungguhpun hubungan itu bagaikan cinta di antara dua darjat, bagi Zul pandangan negatif yang terus dilemparkan sesetengah mereka bukan sesuatu yang merunsingkan. Malah melalui percubaan-percubaan seperti itulah dia percaya cintanya kini dengan Gayatri semakin kukuh. "Apapun kami sangat gembira sekarang ini. Semuanya okay. Apa yang boleh saya katakan setahun yang berlalu, hidup saya sangat aman dan damai. "Kami tidak ambil pusing dengan dakwaan orang. Bagi kami apa yang lebih penting ialah mendapat kegembiraan melalui hubungan ini," katanya. Katanya, bukan sahaja dia yang menerima tempias, memandangkan wanita yang dicintainya itu mempunyai pengaruh dalam industri perfileman tanah air. Bagi Zul secara logiknya, Gayatri juga turut merasai bahang. "Apabila saya dengan dia, orang cakap saya ambil kesempatan terhadap dia. Mungkin kerana kedudukannya lebih tinggi daripada saya dalam industri. "Tempias yang dia dapat pula, kalau dulu orang mengaitkan dia dengan kerja dia, dengan filem-filem dia, tapi sekarang dengan hal peribadi pula. "Jadi mungkin agak kekok bagi dia untuk menerima semua ini dalam masa setahun. Pokoknya kini kami berdua memang terkena tempias itu cuma dengan cara yang berbeza," katanya. Ditanya mengapa dia amat terbuka untuk membicarakan kisah cintanya sedangkan dia terus menerima pelbagai kata-kata kurang elok, kata Zul, ada perkara yang mampu dikongsi dan ada pula yang dia sendiri tidak mempunyai jawapan. "Kami berdua memang tidak ada masalah untuk berkongsi. Kalau benda yang baik kami akan berkongsi. "Tetapi jika ditanya soal lain yang saya juga tidak mempunyai jawapan mungkin saya terpaksa menolak. Contohnya soal bila mahu berkahwin. Soalan itu tidak akan ada jawapannya," katanya jujur. Mengakui hubungan mereka kini sudah mendapat restu keluarga masing-masing, tetapi bagi Zul masih terlalu awal untuk dirinya memberitahu bila hubungan itu akan berakhir di jenjang pelamin. Menafikan tahun ini dipilih untuk menamatkan zaman bujang, kata Zul, masih banyak yang perlu mereka selesaikan sebelum meneruskan niat tersebut. "Kami sudah bertemu dengan keluarga antara satu sama lain. "saya bertemu dengan ibu Gayatri ketika sambutan Raya Haji tahun lepas, iaitu ketika ibunya dimasukkan ke hospital. Mungkin bukan masa yang baik untuk kami berdua membicarakan soal ini memandangkan ibu Gayatri masih lagi sakit," katanya. Ditanya kesahihan mengenai dirinya kini yang jarang mendapat tawaran dari pihak produksi lain, dia berkata, sebagai pelakon dia mahu bersikap professional dalam bidang yang diceburi. "Ada juga pihak produksi lain menawarkan tapi semuanya bergantung kepada jadual. Saya tidak pernah memilih untuk berada di Tayangan Unggul sahaja. "Saya mengambil kerja ini sebagai sesuatu yang serius memandangkan saya seorang pelakon. " Tidak timbul soal saya hanya akan mengambil tawaran satu produksi sahaja atau tidak akan mengambil langsung tawaran mereka untuk meredakan gosip saya ini," katanya tegas. Buat masa ini dia hanya mahu menjadi pelakon memandangkan lebih selesa dengan tanggungjawab tersebut. "Saya masuk ke dalam industri ini juga secara tidak sengaja, tumpuan saya hanya mahu menjadi pelakon. "Tetapi siapa tahu masa depan saya akan ke bidang lain juga," katanya yang tidak menolak untuk berada di belakang tabir suatu hari nanti.

Diboikot media? - Afiq Muiz

TIADA ruang untuk anak derhaka dalam akhbar kami! Demikian desas desus yang mula kedengaran di kalangan media, khususnya unit hiburan di beberapa akhbar utama sehari dua ini. Khabarnya beberapa media utama telah memboikot pelakon Afiq Muiz gara-gara bersikap seperti si tanggang, memburuk-burukkan ibunya sendiri, Hasliza Mohd. kepada umum. Boikot yang dimaksudkan ialah, tidak lagi mengeluarkan sebarang cerita mengenai artis tersebut dan juga kekasih hatinya, Eina Azman dalam tempoh tertentu. Bukan setakat hal berkaitan kerjaya, gambar hiasan di halaman intisari rancangan TV sekalipun, tiada ruang akan diberikan. "Tak pernah dalam sejarah, seorang artis buat sidang akhbar untuk memburukkan ibunya sendiri," demikian kata seorang pengarang hiburan sebuah akhbar popular. Sebuah akhbar lain pula menyatakan "Tiada ruang dalam akhbar kami untuk anak derhaka seperti Afiq. Dia kena balik dan melutut kepada ibunya dulu sebelum kami memberi ruang untuk mempromosikan dia semula." Hmmmm, memang selayaknya pun. Jangan ingat orang media ni suka sangat artis buat perangai macam itu, kita orang pun tak suka tau. Kalau Afiq tidak insaf, memohon maaf dan melutut ke pangkuan ibu yang melahirkan, memang kena balik jual burger semulalah dia selepas ini. Untuk Eina Azman pula, pergilah sekolah semula dik. Menghayati setiap patah kata yang keluar dari mulut Eina mengenai isu Afiq dan ibunya, memang sah Eina ni tak pandai jaga mulut langsung. Agaknya cara dia bercakap dengan ibu dan bapanya pun, memang lebih kurang macam itu juga, tiada rasa hormat. Terbaru, Eina mendakwa ibu Afiq kurang siuman. Bayangkanlah! Kepada emak Eina, bagilah anak anda nasihat yang betul, bukan sokong saja apa yang anak kata. Sebelum nasihatkan Afiq tu, sehingga dia semakin jauh dengan keluarga, nasihatlah kepada anak sendiri dulu. Sekarang ini, satu Malaysia sudah mengutuk dan mengeji, semoga insaf dan kembali ke pangkal jalan. Ternyata juga, Afiq meminta nasihat daripada pihak yang salah apabila menjadikan Eina dan ibu Eina sebagai penasihat utama. Kami ambil kenyataan Facebook pengarah muda, Shahrulezad Mohammed yang mengenali Afiq semenjak awal memulakan kerjaya lakonan. Dia secara peribadi meminta pihak stesen TV supaya tidak meletakkan nama Afiq Muiz dan Eina Azman dalam setiap projek drama yang melibatkan produksinya. "Melainkan sekiranya mamat sengal ni (Afiq) melutut minta ampun maaf dan balik semula ke pangkuan emak dia semula..." demikian tulis Shahrulezad dalam laman berkenaan. Memang menarik, biar jadi pengajaran kepada artis-artis yang lain, hidup ini bukan menongkat langit. Kita yang muda perlulah hormat yang tua. Kenang jasa ibu bapa, tak kira sehebat manapun kita. Kalau marah sekalipun sebab ada salah silap di mana-mana, jangan sampai menghina darah daging sendiri. Hidup tidak akan selamat kalau derhaka dik!

Saya lebih beremosi - Ning Baizura

PUKUL 3.06 pagi tanggal 31 Januari lalu adalah satu detik gembira buat Ning Baizura apabila berjaya melahirkan seorang anak lelaki. Biarpun kelihatan cukup gembira, sebenarnya pelbagai ujian dan dugaan yang dilalui Ning Baizura semasa membesarkan cahaya mata pertamanya, Ryan Sky Dalton di depan mata. Ketika bayinya yang seberat 3.47 kilogram itu disahkan menghidap demam kuning, luluh hati Ning sebagai seorang ibu. Mana ada ibu yang tidak risau tenatng keadaan anaknya dan pasti naluri ibunya semakin berkobar tatkala kerisauan semakin mendadak walaupun baru dikurniakan seorang anak. "Alhamdullilah. Kini semuanya selamat dan Ryan Sky sihat seperti bayi lain. Memang saya tidak jangkakan Ryan Sky akan dijangkiti demam tersebut," tutur Ning. Menceritakan lanjut pengalaman itu, Ning berkata, dia telah menyewa mesin fototerapi dan dibawa ke rumahnya bagi merawat anak lelakinya itu kerana berasa lebih selesa dan senang untuk dirinya sebagai ibu memantau keadaan Ryan Sky sendiri. Hidup dalam dunia moden juga tidak menghalang Ning untuk menjalani tempoh berpantang secara tradisional selama 100 hari. "Pantang secara tradisional ini sebenarnya sangat penting untuk diamalkan bagi memulihkan kembali hasil pembedahan yang dilakukan. "Setiap pukul 2 hingga 4 petang, mak bidan akan datang ke rumah untuk mengurut saya dan saya sekarang sudah berasa selesa dan sembuh seperti sedia kala," jelas Ning. Dalam tempoh itu juga, akui Ning, dia tidak tidur bersama suaminya, sebaliknya proses berpantang tersebut diisi dengan menumpukan perhatian terhadap anak dan kesihatan dirinya sendiri. "Sepanjang proses berpantang ibu sentiasa ada di sisi. Lagipun, Omar banyak ke luar negara atas urusan kerja," ujar Ning yang melahirkan anaknya secara pembedahan. Tidak mahu 'kecoh' untuk menayangkan wajah anaknya kepada umum dan terpaksa 'menyorok' selama tiga bulan membuatkan ramai yang tidak senang duduk serta berdebar untuk menantikan wajah sebenar cahaya mata pertama dalam kehidupan Ning Baizura. Kehadiran permata hatinya itu juga membuatkan ramai orang di luar sana terutama peminat 'geram' kerana tindakan Ning yang menyembunyikan anak. Sememangnya tidak ada apa yang dapat digambarkan penyanyi soprano itu selain ukiran senyuman dengan wajah berseri-seri sejak lahirnya anak sulung yang diberi nama Ryan Sky Dalton pada 31 Januari lalu. Bertuah sungguh Ning kerana dikurniakan anak yang sungguh comel dan montel walaupun pertama kali memperkenalkan wajah Ryan Sky kepada media dan umum baru-baru ini. Difahamkan sebelum ini, Ning pernah merancang untuk menghantar gambar Ryan kepada media namun di saat akhir dia membatalkan perkara itu supaya anaknya itu diperkenalkan dalam satu majlis lebih teratur. "Berbanyak terima kasih saya ucapkan kepada pihak media yang sentiasa sabar menunggu detik indah ini sejak tiga bulan Ryan Sky dilahirkan. "Saya dan suami sebenarnya mempunyai alasan tersendiri mengapa cahaya mata sulung kami 'disembunyikan' daripada pengetahuan umum," kata isteri Omar Sharif Christopher Layton Dalton, sewaktu majlis pengenalan Ryan Sky kepada media baru-baru ini. Akui Ning, tindakan 'menyembunyikan' anak itu diambil berdasarkan nasihat dan menghormati permintaan ibunya, Stella, yang mahu Ryan Sky mendapat persekitaran tumbesaran tanpa gangguan. "Kini Ryan sudah cukup segala sifatnya. Maklumlah pada mulanya, bayi perlu banyak masa untuk berehat dan bila proses tumbesarannya sudah elok, kami telah mengambil keputusan untuk dedahkan serta tayang Ryan kepada umum," jelas Ning yang tampil anggun dalam majlis tersebut. Lebih beremosi, semakin memilih Bercerita mengenai timbulnya nama Ryan Sky Dalton, Ning memberitahu nama tersebut diambil daripada beberapa bahasa. Di sebalik nama Ryan Sky Dalton pelbagai cerita yang perlu diketahui umum. "Walaupun pada mulanya ramai yang berpendapat nama tersebut tidak sesuai dan tidak mempunyai ciri-ciri Islam, namun saya dan suami tidak perlu risau kerana kami tahu kami berada di tempat yang benar," ujarnya. Menurut Ning sendiri, Rayann adalah perkataan daripada bahasa Parsi dan Arab iaitu Ray dalam bahasa Parsi bermaksud bijaksana atau arif dan ia juga merujuk kepada haruman herba. Sementara itu, katanya, dalam bahasa Arab, perkataan Rayhaan boleh didapati dalam surah Rahman, ayat 12 dan surah Waqi'ah, ayat 89. Rayan atau Rayyan merupakan salah satu daripada pintu syurga. Berbicara lanjut tentang makna nama anaknya lagi, perkataan Sky pula membawa maksud langit jika diterjemahkan kepada bahasa Melayu dan setiap kali memandang langit pasti kita akan ingat kekuasaan Allah. Rancangan Ning yang ingin pulang ke Ireland bersama suami dan Ryan Sky sekitar Julai atau Ogos ini bertemu keluarga Omar dan anak-anak tirinya pasti satu saat yang membahagiakan buat mereka. Malah akui Ning, nama anaknya juga sebenarnya telah dipilih oleh dua orang kakak tiri Ryan Sky yang berusia 10 dan 11 tahun yang kini berada di Ireland. "Sewaktu Omar pulang ke Ireland untuk bertemu mereka saat saya hamil tiga bulan, mereka sudah merancang untuk memberikan nama kepada bakal adik mereka. "Nama Ryan itulah yang disebutkan oleh mereka. Ia macam satu keajaiban dan membuatkan kami terkejut kerana nama Ryan itu juga sudah lama kami fikirkan sebelum ini," jelas Ning lagi penuh ceria. Dalam pada itu, peranan seorang ibu sememangnya perlu dihargai kerana Ning berpendapat pengalaman pertama bergelar seorang ibu telah mengajarnya. "Tidak mudah untuk kita menjadi seorang ibu. Bagi saya, menjadi seorang ibu adalah satu tanggungjawab yang cukup besar. "Banyak cabaran yang perlu dilalui saat kita bergelar ibu. Kenangan indah, pahit semuanya ada. Susah saya hendak katakan perasaan saya sebagai seorang ibu. Nasib, semuanya saya belajar dari ibu tercinta," katanya. Menurut Ning, bergelar seorang ibu membuatkan diri semakin beremosi dan perasaan menjadi tidak stabil. "Ia bukan apa, mungkin tanggungjawab anak semakin terserlah dan saya juga sedang sibuk memulakan karier saya semula. Perasaan itu sentiasa berubah mungkin kerana adanya orang baru dalam kehidupan. "Namun saya tetap bersyukur kerana memiliki seorang suami yang cukup memahami dan banyak menolong selain ibu saya yang sentiasa memberi bantuan sepanjang masa dan berada di sisi saya," kata Ning yang kini giat menurunkan berat badannya. Melepaskan dunia popularnya sejenak demi fokus kepada Ryan, Ning memberitahu selepas ini mungkin dia menjadi seorang pemilih. "Memilih maksud saya bukan dari segi bayaran atau apa. Maksud saya ialah dari segi penyediaan bilik. Dan saya sangat mengharapkan pihak penganjur dapat memahami saya yang kini sudah bergelar ibu," jelasnya.

Ayah Ikut ke Lokasi Kerana Tidak Percaya Emma Maembong

Pelakon jelita Emma Maembong, mengakui pada awalnya agak sukar untuk dia meyakinkan bapanya tentang kerjayanya sebagai seorang pelakon. Emma, 19, yang merupakan anak kepada pelukis tersohor negara, Ismail Embong berkata, dia terpaksa meminta bapanya itu menghantar serta mengambilnya di lokasi penggambaran agar dia faham tugas seorang pelakon. "Masa awal-awal dulu agak sukar juga, dia marah-marah kalau saya balik lewat dan tidak percaya dengan saya. "Untuk meyakinkan dia, saya bawa dia ke lokasi, suruh dia hantar dan ambil saya setiap kali selesai penggambaran," katanya. Ujar Emma, bagaimanapun sejak beberapa drama yang dilakonkannya disiarkan di televisyen, bapanya mula menerima dan memahami kerjaya tersebut. "Sekarang ayah sudah faham dengan kerja saya ini, kalau saya dan adik saya iaitu Chacha balik lewat dia akan masak untuk kami," katanya. Selain Emma, Chacha Maembong turut mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Dalam perkembangan lain, Emma yang baru sahaja selesai melakukan penggambaran program Remaja Ekstrim untuk sebuah stesen televisyen berjaya memiliki lesen menyelam dasar laut. Dia yang jarang melakukan aktiviti lasak, menganggap peluang tersebut sebagai satu cabaran yang berharga. "Mulanya rasa takut untuk menyelam tetapi selepas sesi latihan dan belajar teknik yang betul, barulah saya berani untuk ke dasar laut. "Sebelum ini memang tidak pernah berpeluang untuk buat aktiviti lasak kerana saya ni ada tekanan darah rendah, cepat rasa nak pitam," katanya.

Siti Saleha Dikutuk Gara-Gara Tuala Wanita

Langkah pelakon Siti Saleha berkongsi pengalaman sebagai model iklan tuala wanita menerusi laman sosial Instagram miliknya mendapat hinaan masyarakat yang disifatkannya sebagai berfikiran sempit. Siti Saleha, 23, berkata, golongan yang kebanyakannya lelaki itu cuba mengutuk dan menyindirnya dengan berkata dia sebagai perempuan yang tidak tahu malu selepas dia memuat naik gambar dengan aksi tertentu untuk iklan berkenaan. "Saya pernah muat naik gambar ketika penggambaran iklan tuala wanita jenama Kotax dengan beberapa pelakon lain, selepas itu ramai pengikut (Instagram) yang beri kritikan dan kutukan di gambar itu. "Mereka kata saya tidak tahu malu kerana bercakap berkenaan tuala wanita kepada umum dan jadi duta kepada produk itu," katanya ketika ditemui pada pelancaran drama Memberku Hawa Musim Ke-2, di sini, Selasa. Jelasnya, fikiran dangkal sebegitu tidak sepatutnya timbul pada zaman ini kerana ia merupakan perkara normal bagi setiap wanita dan seharusnya diambil tahu oleh kaum lelaki. "Lelaki sepatutnya sudah boleh menerima perkara ini dan ia bukan memalukan kerana mereka juga akan mempunyai isteri atau anak perempuan yang melalui perkara yang sama iaitu perlu memakai tuala wanita. "Lelaki harus didedahkan dengan perkara ini dan mereka perlu tahu untuk membeli tuala wanita jika diminta oleh isteri dan ia bukan lagi sesuatu yang memalukan," ujarnya. Dalam pada itu selain Siti Saleha turut berlakon dalam drama bersiri Memberku Hawa musim kedua bersama pelakon Nad Zainal. Drama itu adalah tajaan Kotax. "Ya... saya membawa watak Nur Hawa iaitu seorang wanita bertudung dalam drama ini dan dalam masa yang sama saya juga merupakan duta produk tuala wanita ini. "Kami akan adakan beberapa program luar bersama pengguna Kotax, namun begitu ketika di luar, saya tidak bertudung dan imej saya berbeza berbanding dalam drama berkenaan. Tambah Saleha, apa yang lebih penting adalah tanggungjawab sebagai jurucakap atau duta produk tersebut dalam memberi inspirasi kepada setiap wanita. "Tanggungjawab besar saya adalah untuk meningkatkan keyakinan diri setiap wanita, isu bertudung atau watak itu hanya dalam drama sahaja dan tidak dibawa keluar. "Bagaimanapun, secara jujur saya selesa berlakon bertudung dan tidak rasa kekok, sebelum ini juga pernah bawa watak-watak bertudung dan tidak menjadi masalah bagi saya," katanya. Drama Memberku Hawa Musim ke-2 akan disiarkan setiap Rabu bermula 5 Jun depan pada pukul 10 malam di Astro Ria. Ulangannya adalah pada setiap Ahad pukul 6.30 petang. Drama ini mengisahkan wanita muda Malaysia yang berdepan dengan cabaran hidup dengan sikap positif dan berpendirian teguh. Selain Siti Saleha dan Nad Zainal, drama ini turut dibarisi Sharifah Sofea, Nur Zaireen Mohd Zait, Christina Suzane dan Nor Nadia Nor Mahazan.

Bintang Bola Sepak Akmal Rizal Jadi Pelakon

Bekas penyerang bola sepak kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli memperluaskan lagi kerjayanya apabila menerima tawaran untuk bergelar pelakon di bawah syarikat produksi Zeel Productions. Akmal, 32, berkata, sebagai permulaan, dia bersetuju melakukan penampilan khas menerusi drama berjudul Klon untuk siaran RTM bagi membawa watak sebagai tenaga pengajar bola sepak. "Saya ditawarkan oleh pihak Zeel Production untuk melakonkan watak sebagai tenaga pengajar bola sepak. Susah juga nak berlakon, lebih-lebih lagi ketika diminta membuat mimik muka. "Tetapi ia membuatkan hati saya terbuka untuk serius di bidang ini dan sedia bergelar pelakon sekiranya ditawarkan berlakon pada masa akan datang nanti," katanya. Tambah Akmal, walaupun hanya dua hari penggambaran, ia cukup bermakna untuk dia menimba pengalaman bekerja sebagai pelakon yang sememangnya berbeza berbanding beraksi di padang bola. Bagaimanapun, Akmal masih belum bersedia untuk bergelar pelakon sepenuh masa memandangkan dia masih lagi mempunyai komitmen dalam sukan bola sepak. "Memang rasa seronok apabila berlakon, kepuasannya sangat berbeza dan saya senang dengan kerja-kerja seperti ini walaupun banyak masa yang akan digunakan. "Malah ia mencabar diri kita dalam melihat sejauh mana kemampuan kita dalam melakukan sesuatu perkara," ujarnya. Klon yang turut dibintangi pelakon Tasha Shilla, Rozita Che Wan, Reza Hasbi dan Azza Elite itu diarahkan oleh Mazri Mustafa dan masih menjalani penggambaran sehingga 26 Jun ini. Akmal merupakan antara bekas pemain bola sepak negara yang mencipta nama di peringkat antarabangsa selain pernah beraksi di kelab bola sepak Perancis sebelum ini. Selepas meninggalkan skuad kebangsaan, dia kini bersama pasukan Kedah untuk bersaing dalam Liga Malaysia.

Izzue Islam Semakin Berdebar Untuk Menikah

Pelakon Izzue Islam mengakui berdebar menantikan detik-detik manis untuk diijabkabulkan dengan pengurusnya, Nurinafilah Waharudin atau Awin pada 2 Jun depan di Dewan Shah Alam (Indah). Bagaimanapun Izzue, 23, berkata, pada masa sama dia juga tidak sabar untuk bergelar suami serta melalui alam perkahwinan bersama wanita yang disayanginya itu. "Berdebar jugalah dibuatnya, apa-apa pun saya berharap majlis perkahwinan kami akan berjalan dengan lancar. "Tidak sabar rasanya mahu bergelar suami dalam membina rumah tangga. Semoga saya dan Awin dapat melalui susah senang bersama, Insya-Allah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isini. Bagaimanapun tambah Izzue, dia dan Awin masih belum merancang berbulan madu dalam masa terdekat ini memandangkan kerja-kerja penggambaran masih lagi belum selesai. Dalam pada itu pasangan ini sudah mula mengedarkan kira-kira 500 keping kad jemputan perkahwinan mereka. Izzue dan Awin akan diijabkabulkan pada pukul 9 pagi manakala majlis resepsinya akan diadakan pada sebelah tengah hari. Menurut Izzue, seramai 100 orang yang diundang untuk menghadiri majlis bertemakan perkahwinan dalam taman itu. Mengenai busana yang akan dikenakan pada majlis itu kedua-dua mereka akan memakai pakaian songket pada majlis akad nikah manakala pada acara resepsi pula mereka akan berpakaian Inggeris. Pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat juga akan menaja persalinan pasangan itu bagi acara potong kek. Izzue dan Awin telah mengikat tali pertunangan pada Jun 2012.

Michael Ang Jawab Berseluar Pendek Ke Majlis Sanding Anak Rosyam

Pengarah drama dan peserta program MasterChef Selebriti Malaysia iaitu Michael Ang kesal apabila dituduh tidak kesedaran sivik gara-gara hadir dengan berseluar pendek ke majlis perkahwinan anak perempuan pelakon Rosyam Nor pada 18 Mei lalu. Ketika dihubungi mStar Online, Michael turut melahirkan rasa kecewa dengan laporan yang disifatkan berat sebelah tanpa mendapatkan penjelasannya terlebih dahulu kenapa dia berpakaian sedemikian untuk ke majlis berkenaan. "Saya tidak marah apabila ditegur tetapi untuk mengatakan saya tiada kesedaran sivik adalah suatu tuduhan yang agak melampau kerana saya ada sebab tersendiri mengapa hadir dengan berseluar pendek. "Malah saya sudah memohon maaf kepada Rosyam dan menjelaskan kepadanya sebab-sebab saya berimej sedemikian pada hari bahagianya untuk mendapat menantu itu," katanya. Michael mengulas mengenai laporan yang mengkritiknya tidak mempunyai kesedaran sivik apabila tampil dengan berseluar pendek pada majlis perkahwinan anak Rosyam, Arniesha Azureen dengan pasangannya, Mohd Hafiz, di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Menjelaskan perkara itu, Michael berkata, pada hari berkenaan dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama terbaharunya berjudul Sweet Lola dan menyangka majlis berkenaan berlangsung pada Ahad dan bukannya Sabtu. Bagaimanapun selepas dihubungi pelakon Sharifah Shahora tentang majlis berkenaan, baru dia menyedari acara itu berlangsung pada hari Sabtu selepas disahkan sendiri oleh pembantu peribadinya. "Saya ingatkan majlis itu pada hari Ahad tetapi selepas Shahora telefon dan ia turut disahkan oleh pembantu peribadi, saya tekad untuk pergi kerana sudah berjanji dengan Rosyam untuk hadir. "Sudah tentu saya malu dan menganggap ia tindakan kurang sopan kerana berseluar pendek tetapi kerana kesuntukan masa saya tiada pilihan lain sebaliknya mahu memenuhi janji," jelasnya. Tambah Michael, dia pada mulanya mahu membeli pakaian baru tetapi kerana kesuntukan masa dia hanya menukar baju dan seluar yang ada dalam keretanya. Dalam perkembangan sama, Rosyam Nor ketika dihubungi berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan penampilan Michael pada majlis persandingan tersebut. Jelas Rosyam, Michael juga telah memohon maaf kepadanya dan menjelaskan sebab kenapa dia tampil berseluar pendek pada majlis berkenaan. "Saya tiada masalah dengan perkara itu dan pada saya ia bukan satu isu besar. Paling penting dia hadir ke majlis tersebut," ujarnya. Rosyam juga memberitahu beliau akan mengadakan satu lagi majlis resepsi untuk anaknya pada 9 Jun depan di Bangsar, dekat sini.

Khalwat: Shahrizal Jaszle Dedah Diri Diperangkap

Setelah hampir dua minggu ‘menyembunyikan diri’ dan mengunci mulut daripada memberi sebarang kenyataan, pelakon Shahrizal Jaszle, 25, akhirnya mendedahkan kejadian khalwat yang berlaku terhadapnya pada 16 Mei lalu adalah satu perangkap. Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle berkata, dia percaya dirinya tidak bersalah kerana semasa kejadian itu dia bukannya berada berdua-duaan sebaliknya terdapat lima orang lain ketika pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan. "Saya tak boleh komen panjang tentang isu ini kerana ia sudah pun menjadi kes mahkamah. "Cuma apa yang ingin dikatakan, saya diperangkap oleh seseorang yang tidak bertanggungjawab. Saya yakin, saya tidak bersalah terhadap kejadian itu. Kita lihat sahaja kes mahkamah pada November depan nanti," tegasnya. Shahrizal ditemui pada penggambaran drama bersiri Iman Nabila, arahan Shuhaimi Lua Abdullah yang dilakukan di sebuah pusat karaoke di Sri Rampai, di sini, pada Isnin. Drama terbitan Suhan Movies Productions itu akan disiarkan di TV3 bermula 10 Jun depan. Jais dalam satu kenyataan medianya pada 16 Mei lalu mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartment Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi. Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan. Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Dalam pada itu tambah pelakon yang mula popular menerusi drama bersiri Asmara tersebut, dia sedikit pun tidak berasa tergugat walaupun namanya sudah tercalar gara-gara kejadian itu. Beritahu Shahrizal, selepas diikat jamin, dia terus mengumpulkan keluarganya serta keluarga pihak tunangnya, Redzwani Puteri, 25, bagi menjelaskan situasi sebenar apa yang telah berlaku. "Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana memiliki keluarga yang sentiasa menyokong dan mendengar sesuatu perkara sebelum bertindak atau membuat keputusan. "Selepas menceritakan kejadian itu, mereka juga merasakan ia seperti sebuah perangkap," ujarnya. Tambah Shahrizal, dia juga bersyukur mempunyai tunang yang cukup memahami dan tidak melatah selepas mendapat tahu kejadian tersebut "Nampak sahaja dia lembut, tetapi Puteri seorang yang bijak dan berjiwa kental. Ketika saya ditahan pihak Jais, tunang menelefon saya untuk mendapatkan penjelasan tetapi saya kata, hal ini perlu dibincangkan secara bersemuka. "Syukur, dia sangat tenang dan faham selepas mendengar cerita sebenar daripada saya," tuturnya. Dalam pada itu, Shahrizal berkata, kejadian khalwat yang berlaku terhadapnya itu merupakan satu pengajaran besar buatnya di mana dia perlu berhati-hati dalam setiap langkah yang dilakukan selepas ini. "Ia menjadi tauladan besar buat saya. Tidak sangka, dalam berjaga-jaga batas pergaulan, perkara begini boleh terjadi kepada saya," tuturnya.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails