Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hanny, Anak Julie Dahlan Nikah Adik Hattan

Pelakon drama bersiri Roda-Roda KL iaitu Hanny mengakui mengambil masa hampir enam bulan sebelum menerima cinta bakal suaminya iaitu Shamsul Akmar Sahabudin, 33, sebagai bakal suami. Hanny atau nama sebenarnya Hani Nur Zara Harmi, 31, berkata, jangka masa itu diambil kerana tidak mahu terburu-buru menerima kehadiran lelaki lain dalam hidupnya ekoran kegagalan dalam hubungan sebelum ini. "Apabila Shamsul menyatakan hasratnya saya tidak terus bersetuju kerana tidak yakin dapat membina sebuah hubungan baru selepas putus tunang pada tahun 2011. "Tetapi berkat kesabaran dan kesungguhannya untuk berkawan dengan saya, saya telah terbuka hati untuk menerimanya," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Hanny yang merupakan anak kepada pelakon Julie Dahlan dan Shamsul, adik bongsu penyanyi Datuk Hattan bakal disatukan sebagai suami isteri pada Sabtu (hari ini) di Masjid Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur Majlis akad nikah pasangan ini akan berlangsung pada pukul 10 pagi. Majlis resepsi mereka akan diadakan di Sri Menanti, Negeri Sembilan pada 6 Julai depan. Dalam perkembangan sama, Hanny berkata, dia tertarik dengan Shamsul kerana sifat lelaki itu yang baik hati, romantik dan penyayang. Dia juga terharu dengan kesungguhan Shamsul memikat hatinya sebelum ini yang akhirnya menyatukan mereka sebagai suami isteri. "Sebenarnya saya sudah lama mengenali Shamsul sebagai seorang kawan dan sangat selesa dengannya. Selain itu ciri-ciri yang saya mahukan daripada seorang lelaki ada padanya dan beberapa perkara lain yang membuatkan kami serasi bersama," jelasnya. Malah ibunya, Julie Dahlan juga turut menyenangi dan merestui hubungan tersebut dan menjadi insan paling gembira apabila mereka mengambil keputusan untuk berkahwin. Dalam pada itu, Hanny berkata, persiapan majlis resepsi perkahwinannya telah pun siap dan dia memilih untuk mengadakan majlis berkenaan berkonsepkan tradisional. Tambah Hanny, dia juga bersyukur mendapat beberapa tajaan seperti daripada Sabbiq R Hanis untuk baju pengantin dan Touch Gallery yang menyediakan pelamin. "Saya sebenarnya tidak mempunyai konsep tertentu untuk majlis itu nanti namun tertarik dengan tema tradisional dan akan memakai persalinan dari kain songket pada hari persandingan nanti," katanya. Dalam perkembangan lain, Hanny berkata, selepas berkahwin dia akan meneruskan aktiviti lakonan seperti biasa namun akan lebih memilih terhadap watak yang diberikan sesuai dengan statusnya sebagai isteri orang. Selain itu katanya, dia juga akan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir untuk menerbitkan drama terbaharu. Dia juga baru sahaja menyelesaikan dua projek iaitu drama PA I Love You untuk TVi dan Cinta Putri Salju (Astro Prima). "Saya tidak akan berhenti berlakon tetapi akan lebih memilih watak yang diberikan sesuai dengan status saya sebagai seorang isteri. Selain itu saya turut memberikan tumpuan kepada kerja-kerja penerbitan drama di bawah syarikat ibu saya," jelasnya.

RTM Tidak Pernah 'Gam' Ezany

Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak pernah menyenaraihitamkan pelakon Ezany Nazariff, 40, daripada membintangi sebarang drama terbitan stesen tersebut. Pengarah Bahagian Program TV, Suhaimi Jamalim berkata, pihaknya tidak pernah mengamalkan budaya pemilihan artis mengikut kegemaran seperti dilakukan mana-mana stesen televisyen swasta. "Itu hanya salah faham dan kami sudah jelaskan kepadanya ketika dia datang bersama Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez awal minggu lalu. "Dia perlu faham pemilihan pelakon dilakukan berdasarkan kesesuaian watak sesebuah drama. Dalam hal ini mungkin ada pelakon lain yang lebih layak," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis Tayangan Program Istimewa Ramadan, di sini, Jumaat. Suhaimi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan pelakon tersebut yang dikatakan telah disenaraihitamkan oleh RTM berikutan sebab-sebab tertentu.
Tambahnya, RTM sentiasa membuka peluang kepada artis baharu dan lama tanpa mengambil kira sebarang faktor. "Kita tidak memilih artis tertentu atau popular untuk drama kita sebaliknya memberi laluan kepada semua artis untuk terus mengembangkan bakat mereka," ujarnya. Sementara itu, sempena Ramadan kali ini RTM menyediakan pelbagai program menarik. Selain mengekalkan program tahunan seperti Syahadah, Selera Rasa dan Program Jelajah Ramadan, pelbagai drama menarik bakal disiarkan sepanjang sebulan. Antara drama istimewa adalah Ramadan Jangan Ambil Nyawaku, Calon Menantu dan Ilaika Yusuf.

Kristal Tidak Pernah Sengketa Dengan Awie

Kumpulan Kristal tidak melihat kerjasama mereka dengan Awie selepas 13 tahun sesuatu yang pelik semasa pertandingan akhir program Versus musim kedua yang berlangsung pada 1 Jun lalu. Salah seorang anggotanya, Muhamad Rodi Baharudin atau Rody berkata, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan vokalis kumpulan Wings itu walaupun bekas pemain dram kumpulan mereka iaitu, Ainol Eqraf pernah terlibat dengan pergaduhan bersama Awie. "Apa yang berlaku sebelum ini tiada kena mengena dengan Kristal dan ia hanya melibatkan Ainol sahaja. Mungkin orang ingat hubungan kami tidak baik kerana sudah 13 tahun tidak membuat persembahan bersama. "Apabila dapat kembali mengadakan persembahan bersama Awie dalam program Versus, kami sangat teruja dan merancang untuk bekerjasama lagi pada masa hadapan," jelasnya kepada mStar Online. Pada 26 September 2002, Awie terlihat dengan pergaduhan bersama Ainol dan abangnya iaitu Fairul Ezly dan Muhamad Nazri di lobi Kelab Oakleaf Bukit Antarabangsa, Ampang Jaya dekat sini.
Bagaimanapun mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang terhadap tuduhan bergaduh di tempat awam pada tahun 2005. Selain Rody, Kristal turut dianggotai oleh Mohd Razlan Mohamed Yusuf (Razlan), Izaludin Ibrahim (Izal) dan Mohd NorAshraf Baharudin (Ashraf). Dalam perkembangan lain, Rody berkata, walaupun tidak menyandang gelaran juara program Versus namun penyertaan mereka dalam pertandingan itu dapat memperkenalkan lagi muzik mereka kepada pendengar baharu. Jelas Rody, cabaran menerusi pertandingan itu juga telah memberi peluang kepada mereka untuk melakukan eksperimen dengan muzik yang diperjuangkan sebelum ini. "Alhamdulillah peminat kami semakin bertambah walaupun tidak memenangi pertandingan tersebut malah kami dapat mengembangkan muzik kami yang tidak pernah diterokai sebelum ini. "Ia sekali gus memberikan banyak idea kepada kami bagi mengumpul material baharu untuk album seterusnya nanti," jelasnya. Sementara itu, Rody berkata, buat permulaan mereka akan tampil dengan single terbaharu dalam masa terdekat sebelum muncul dengan album penuh selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.

Kamal Adli Akui Takut Untuk Kahwin

Pelakon Kamal Adli mengakui masih belum bersedia dan takut untuk melangkah ke alam perkahwinan bersama kekasihnya iaitu aktres Intan Ladyana. Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 27, bagaimanapun berkata, itu bukan bererti dia tidak serius dalam hubungan tersebut sebaliknya mengakui masih banyak perkara perlu dilaksanakan sebelum melangkah ke alam rumah tangga. "Saya belum mendapat 'seru' lagi untuk berkahwin dan sementara itu saya sedang melengkapkan diri untuk ke arah tersebut," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Terbaharu Gaya Metropolitan Alfio Raldo di Hotel Royale Chulan di sini, Khamis. Kamal dan Intan turut dijemput untuk menjayakan pertunjukan fesyen dengan mengayakan koleksi jam tangan terbaharu jenama itu. Dalam perkembangan sama, Kamal berkata dia takut untuk berkahwin selepas melihat beberapa kenalan artis yang gagal mempertahankan rumah tangga mereka. Oleh sebab itu kata Kamal, dia mahu mempersiapkan diri dengan ilmu berumah tangga selain menyediakan kelengkapan untuk bakal isterinya supaya tidak timbul masalah selepas berkahwin. "Saya tidak mahu berkahwin hanya kerana ingin puaskan hati orang lain tetapi hanya bila saya dan Intan benar-benar bersedia yang akhirnya akan menghancurkan kami. "Banyak perkara yang sedang saya fahami dan pelajari sekarang ini dalam mempersiapkan diri. Insya-Allah tiba jodoh pasti kami akan bersatu," jelasnya. Sementara itu, Intan atau nama sebenarnya Nurladyana Mohamat Yahya, 31, berkata, sebagai seorang perempuan dia meletakkan soal tersebut kepada pihak lelaki untuk membuat keputusan dan tidak mempunyai masalah dengan pendirian teman lelakinya itu. "Soal ini saya tidak boleh nak kata lebih-lebih kerana tidak manis namun hubungan kami berjalan dengan baik dan kami saling mempercayai," katanya. Dalam perkembangan lain, Kamal memberitahu dia kini sibuk menjalani penggambaran beberapa buah drama untuk siaran pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Rumah Almy Nadia Terbakar, Ibu Patah Tulang

Baru sahaja kes putus cinta dengan pelakon Fizz Fairuz reda, aktres Almy Nadia ditimpa ujian lain apabila rumahnya di kampung terbakar, manakala ibunya patah tulang rusuk kanan. Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, dia amat sedih dengan kejadian itu, apatah lagi tidak dibenarkan pulang ke kampung oleh syarikat produksi kerana masih lagi terikat dengan penggambaran drama. "Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya sekarang, fikiran saya hanya mengingatkan kampung halaman dan ibu yang sedang sakit. "Saya memang minta cuti untuk balik sekejap sejak rumah saya terbakar minggu lalu tapi sehingga sekarang saya tidak dibenarkan cuti dengan alasan akan mengganggu jadual artis lain," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat. Almy memberitahu pada 16 Jun lalu, rumah keluarganya di Kampung Pondok Upih, Balik Pulau, Pulau Pinang terbakar pada bahagian bilik tingkat bawah akibat letupan kecil daripada sebuah radio lama. Bagaimanapun, menurut Almy, tiada ahli keluarga yang tercedera dalam kejadian tersebut. Manakala pada malam Rabu lalu, ibunya Roshida Hashim, 45, pula mengalami patah tulang rusuk kanan selepas terjatuh di bilik air. "Alhamdulillah walaupun kebakaran agak teruk tetapi tiada siapa yang tercedera dan bomba dapat mengawal api sebelum merebak ke bahagian atas. "Saya difahamkan ia berlaku apabila sebuah radio lama meletup secara tiba-tiba walaupun tiada sebarang aliran elektrik kepada radio tersebut. "Belum sempat saya balik menjenguk keluarga, saya diberitahu ibu pula jatuh bilik air, bayangkan bagaimana perasaan saya ketika ini," jelasnya. Tambah Almy, perniagaan makanan sejuk beku yang baru sahaja diusahakan bersama ibunya turut tergendala. "Kami baru sebulan mulakan bisnes karipap sejuk beku yang dibuat sendiri namun selepas rumah terbakar ia dihentikan sementara, ditambah pula ibu sekarang dalam keadaan tidak sihat. "Insya-Allah kalau rumah sudah siap dibaiki dan ibu sihat, perniagaan itu akan disambung semula kerana permintaan setakat ini menggalakkan," katanya. Bagaimanapun, kata Almy dia menerima dugaan tersebut dengan hati yang tenang dan menganggap ia adalah sebagai satu ujian daripada Allah. "Saya susah hati dan tiada pula tempat mengadu, semuanya saya tanggung sendiri. "Sekarang saya hanya fikir positif dan anggap ujian tersebut adalah penghapus dosa-dosa yang telah saya lakukan," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Maahad Al-Amin untuk televisyen Al-Hijrah.

Misha umum berkahwin Februari tahun depan

Penyanyi, Misha Omar, 30, hari ini mengumumkan perkahwinannya dengan jejaka pilihannya, Firos Ezzwan Rossly akan dilangsungkan pada Februari tahun depan. Menurut Misha, keputusan penetapan perkahwinan tersebut baharu mendapat kata sepakat tetapi tarikh sebenarnya masih belum ditetapkan. "Dalam masa terdekat ini, kedua-dua keluarga akan berjumpa untuk berbincang tarikh sebenar. "Insya-Allah, majlis pernikahan akan dilangsungkan di Kota Bharu, Kelantan memandangkan saudara mara dan rakan-rakan banyak yang masih di sana," katanya ketika di temui di majlis pelantikan beliau sebagai duta produk cat, Colourland Paints, di sini hari ini. Perkahwinan Misha dengan Firos Ezzwan sepatutnya dilangsungkan September tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran kesibukan jadual penyanyi tersebut. Kedua-dua mereka mengikat tali pertunangan pada pada 22 Februari 2012. - UTUSAN ONLINE

Aiman Hakim Enggan Dedah Bercinta Dengan Nur Fathia

Pelakon Aiman Hakim Ridza mengambil pendekatan untuk berdiam daripada membuat sebarang kenyataan mengenai gosip kisah cintanya dengan aktres Nur Fathia Abdul Latiff. Aiman, 23, berkata, dia tidak akan menceritakan mengenai status perhubungannya dengan Fathia, 25, kerana mahu menjadikan kisah itu sebagai sesuatu yang harus disimpan. "Saya memang tak nak komen tentang status perhubungan saya dengan Fathia. Rasanya perkara ini tidak sesuai diceritakan kepada umum kerana ia sangat peribadi," katanya kepada mStar Online.
Malah beritahu pelakon yang mula popular menerusi drama Vanila Coklat (TV3) ini, dia mahu mengikut jejak pelakon-pelakon senior lain yang berjaya dalam bidang lakonan tanpa perlu menghebahkan hal peribadi mereka. "Saya tengok, kebanyakan pelakon yang berjaya kurang mendedahkan hal-hal peribadi mereka dan ternyata mereka berjaya dalam kedua-dua bidang iaitu seni dan rumah tangga masing-masing. "Lain pula bagi yang menjajakan cerita, kerja entah ke mana, perhubungan cinta atau rumah tangga pula tak pergi ke mana. "Benda-benda peribadi terutamanya berkaitan siapa pasangan kita, ia sangat sensitif," ujarnya.

Misha Cabar Individu Tuduh Dia Pernah Kahwin Tunjuk Bukti

Penyanyi Misha Omar mencabar individu yang menuduhnya pernah berkahwin sehingga menyebabkan pernikahannya dengan juruterbang Malaysia Airlines System (MAS) iaitu Fiross Ezwan Rosly tertangguh tampil mengemukakan bukti. Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 31, berkata, dia mengenali individu yang menyebarkan fitnah tersebut dan amat kesal kerana tuduhan itu benar-benar mencalarkan reputasinya. "Saya tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki sekalipun. Jika benar saya pernah berkahwin tunjukkan buktinya dan anda boleh merujuk nama saya di mana-mana Pejabat Agama," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai jurucakap produk Colourland, di sini, Rabu. Hadir sama pengarah Coluorland, Loh Boon Leong. Misha diminta mengulas gosip kononnya perkahwinan dia dengan Fiross, 31, tertangguh disebabkan dia menanti surat cerai daripada bekas suaminya iaitu seorang ahli perniagaan di Kelantan.
Misha dan Firos mengikat tali pertunangan dalam satu majlis tertutup di kediaman keluarga penyanyi itu di Kampung Guchil Bayam, Kota Baharu, Kelantan pada 20 Februari tahun lalu. Pada majlis itu keluarga kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk mengikat tali pertunangan selama setahun tetapi majlis berkenaan akhirnya tertangguh. Misha menambah, dia telah mendengar isu berkenaan sejak Februari lalu dan telah mengenal pasti seorang lelaki yang membuat fitnah berkenaan. "Saya sangat kecewa kerana betapa saya menjaga nama baik saya selama ini, ia dicalarkan dengan tuduhan berkenaan. “Saya tahu siapa yang bercakap tentang hal ini dan dia sering mencari kesilapan dan perkara negatif tentang saya. Saya harap lelaki itu tampil jika benar saya pernah berkahwin," tegasnya. Dalam pada itu Misha dan Fiross telah memilih Februari 2014 untuk diijabkabulkan sebagai suami isteri selepas mendapat persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak. Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapati terdapat kelapangan terhadap jadual masing-masing. "Namun tarikh sebenar perkahwinan akan ditetapkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti kerana keluarga kami akan berjumpa untuk berbincang semula,” katanya.

Kisah hidup menerusi lagu - Hafiz

BERHASIL merangkul sehingga 14 anugerah dalam tempoh empat tahun bergelar penyanyi, menjadi kebanggaan buat Mohd. Hafiz Mohd. Suip. Bukan mudah untuk meraih kejayaan sedemikian memandangkan persaingan yang semakin sengit dengan kemunculan ramai penyanyi baharu, namun Hafiz terus konsisten. Terbaharu, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia 7 (AF7) itu muncul dengan album yang diberi judul Hafiz Suip - Luahan Hati Anak Seni. Berkesempatan bertemu dengannya semasa majlis pelancaran album tersebut baru-baru ini, Hafiz berkata, album keduanya itu begitu istimewa buat dirinya. "Pertama, saya sangat berbesar hati kerana ramai komposer hebat terlibat dalam penerbitan album ini. Ia satu penghormatan yang besar. "Kedua, album ini istimewa kerana kebanyakan lagunya menceritakan kisah hidup saya sepanjang berkecimpung dalam dunia seni," ujar anak kelahiran Kuching, Sarawak itu. Menggunakan konsep 'majalah mini' untuk album tersebut, Hafiz menjelaskan, sebanyak sembilan buah lagu dimuatkan dalam album itu antaranya Bahagiamu Deritaku, Mungkinkah, Hanya Ingin Kau Cinta, Deklamasiku, Kesimpulan, Patah Hati, Satu Cerita, Muara Hati dan Matahari. Ujarnya, dia cukup gembira kerana salah satu single iaitu Bahagiamu Deritaku kini semakin mendapat tempat di hati peminat serta mengungguli carta stesen radio popular di negara ini. "Saya bertuah kerana lagu ini dicipta oleh komposer hebat seperti LY dan Baiduri sehingga ia menjadi siulan ramai. "Saya juga bangga kerana komposer seperti Mega Pandawa, Idzam, Ajai, Kunci Demak, Mohd. Atlas, Manusia Putih dan Aiman telah menghasilkan lagu yang menarik dan sedap didengar," ujarnya. Menurut Hafiz, dia kini sudah melangkah setapak lagi dalam karier seninya apabila berpeluang menghasilkan lirik bagi dua buah lagu iaitu Mungkinkah dan Deklamasiku. "Bidang penulisan lirik ini merupakan sesuatu yang baharu bagi saya, namun ia percubaan yang berbaloi. Rasanya tidak sia-sia saya berguru dengan komposer Kunci Demak bagi mendalami ilmu penulisan lagu," jelasnya. Ketika ditanya sama ada lagu-lagu dalam album itu turut membabitkan kisah cintanya, Hafiz tersenyum dan mengambil masa yang agak lama untuk menjawabnya. "Apa yang saya boleh katakan ada beberapa buah lagu yang menceritakan mengenai diri saya, tetapi tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenainya. "Seboleh-bolehnya saya mahu peminat mendengar dan menghayati kesemua lagu sekiranya mahu mendalami kisah hidup saya," ujarnya. Bercerita mengenai kekasih hati setelah dikaitkan dengan penyanyi Adira sebelum ini, Hafiz mengakui dia sedang bercinta dengan seorang gadis. Bagaimanapun, penyanyi berkenaan ingin merahsiakan identiti gadis berkenaan memandangkan si dia masih seorang pelajar. "Buat masa ini, biarlah saya tidak mendedahkan kekasih saya itu kepada umum kerana tidak mahu pelajarannya terjejas," tegasnya.
Nama sebenar Jika sebelum ini dia dikenali sebagai Hafiz AF, penyanyi berkenaan menyatakan bahawa dia sekarang lebih selesa menggunakan nama sebenarnya iaitu Hafiz Suip. Bukan mahu melupakan segala kenangan sepanjang bergelar peserta AF7, tetapi penggunaan nama sekarang lebih sesuai dan membuatkan dirinya berasa begitu dekat dengan keluarganya. "Antara tunjang kejayaan saya sudah tentu sekali sokongan daripada ahli keluarga terutamanya ibu bapa saya. "Jadi, penggunaan nama sebenar ini lebih sesuai kerana saya mahu semua ahli keluarga berkongsi kejayaan dan kegembiraan yang saya kecapi sekarang," jelasnya. Menurutnya, kini dia tidak lagi berasa terlalu sunyi kerana berjauhan dengan keluarga memandangkan kedua-dua ibu bapanya sudah menetap di Kuala Lumpur. Sakit Di sebalik riak wajahnya yang sentiasa gembira serta sikapnya yang ceria, ramai yang tidak tahu bahawa Hafiz berhadapan dengan masalah kesihatan. Menurutnya, beberapa bulan lalu dia terpaksa berehat seketika daripada aktiviti nyanyian setelah disyaki menghidap tonsil. "Ketika mendapat rawatan di klinik kerana berasa kurang sihat, doktor memberitahu saya mengalami masalah tonsil. Setelah makan ubat yang diberikan sakit tekak saya masih tidak sembuh. "Kemudian saya berjumpa dengan doktor pakar telinga, hidung dan tekak. "Akhirnya, barulah saya dapat tahu yang saya sebenarnya mengalami masalah di bahagian saluran telinga yang boleh memberi kesan kepada suara saya," ujarnya. Menurut Hafiz, doktor berkenaan menyatakan dia bernasib baik kerana masalah itu dikesan lebih awal. Sekarang dia masih menjalani rawatan susulan. "Mujurlah masalah yang saya hadapi itu tidak menjejaskan aktiviti seni saya malah saya boleh terus menyanyi. "Cuma pada peringkat awal dahulu adakalanya saya berasa sakit semasa membuat persembahan," jelasnya.

Benjy Ditangkap, Positif Dadah Jenis Syabu

Pelakon Khaeryyl Benjamin Ibrahim, atau Benjy sekali lagi ditahan pada pagi Rabu atas kesalahan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa dekat sini. Utusan Online melaporkan, anak kepada pelakon, Azean Irdawaty itu ditangkap pada kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu selepas ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis syabu. Pihak polis akan memohon perintah reman terhadap pelakon itu pada Khamis di bawah Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952. "Hasil pemeriksaan polis ke atas pelakon tersebut ketika serbuan bagaimanapun tidak menemui dadah yang dibawa bersamanya," kata sumber polis.

Bukti Boleh Memasak, Syura Rancang Buka Restoran

Juara MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua, iaitu penyanyi Syura berazam untuk membuka sebuah restoran bagi membuktikan kepada segelintir penonton yang mempertikaikan kemenangannya dalam program tersebut. Syura atau nama sebenar Zuraidah Badron, 27, berkata dia akan mengambil kursus kulinari bagi mendalami pelbagai teknik masakan terlebih dahulu. "Saya terkilan menangis apabila membaca komen peminat di laman sosial yang mempertikaikan kemenangan saya dalam program ini. "Saya ingin buktikan kepada masyarakat yang kemenangan ini adalah kerana saya benar-benar boleh memasak. Insya-Allah memang saya berniat untuk membuka restoran suatu hari nanti," katanya. Dalam rakaman rancangan itu yang disiarkan pada malam Selasa lalu, Syura berjaya menewaskan saingannya iaitu pengacara Celina Khor. Kemenangan itu melayakkan Syura menerima wang tunai RM60,500 yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang diwakilinya iaitu Breast Cancer Welfare Association of Federal Territory Jelas Syura, disebabkan spekulasi dan pertikaian tentang kemenangan tersebut, ia menguatkan lagi azamnya untuk membuktikan bahawa dia menceburkan bidang masakan bukan sekadar suka-suka. Sementara itu, Syura berkata dia berazam untuk membawa ibunya Samsiah Mohamad, 52, menunaikan umrah dalam masa terdekat ini. "Selepas saya masuk ke peringkat 10 terbaik, saya sudah bernazar untuk bawa ibu menunaikan umrah jika saya menang program ini. "Tapi tunggu dia sihat sedikit kerana dia kini masih dalam rawatan kerana mengalami ketumbuhan di paru-paru," katanya. Sementara itu, Syura menganggap kemenangan ini menjadi pembuka laluan kepadanya untuk kembali aktif dalam industri hiburan selepas lama menyepi. "Saya memang dalam rangka untuk kembali aktif menyanyi dan saya sebenarnya baru sahaja berpindah ke Kuala Lumpur. "Sebelum ini saya menetap di Johor Bahru kerana mengikut suami yang bertugas sebagai guru, tapi atas rayuan kepada Kementerian Pendidikan permohonan suami diluluskan untuk mengajar di Kuala Lumpur," katanya. Syura mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Fadhly Mohd. Yassin, 32, dan memiliki tiga orang cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 6, Nurul Qaisara Sofea, 4, dan Muhammad Irfan Aryan yang berusia 18 bulan. Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli menafikan pihak produksi telah membocorkan keputusan pemenang sebelum rakaman kemuncaknya disiarkan pada malam Selasa lalu. "Ia bukan keputusan bocor tapi ia hanyalah spekulasi sahaja, bukan hanya Syura yang dijangka pemenang tetapi ada juga segelintir yang menyatakan Celina yang bergelar juara. "Pada saya itu adalah perkara biasa pada setiap program yang dibuat secara rakaman, kerana peminat masing-masing mahu selebriti mereka menjadi juara," katanya. Dalam pada itu Raqim berkata pihaknya akan lebih berhati-hati dan memperketatkan lagi kawalan dalam program rakaman rancangan itu pada masa hadapan. Program sebanyak 40 episod itu disertai 19 selebriti tanah air dengan masing-masing diuji daripada aspek kebolehan memasak, kreativiti serta ketahanan fizikal dan mental di dapur. Barisan selebriti yang menyertainya ialah Michael Ang, Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Norish Karman, Cat Farish, Syanie Hisham, Lydiawati, Enot, Zain Saidin, Rozita Che Wan, Datuk Aznil Nawawi, Sabhi Sadhi, Sathiya, Radhi OAG, Yassin Yahya, Afiq Muiz dan Keroz Nazri.

REZEKI AZZA ELITE MAKIN BERTAMBAH

Gaya menarik Azza Elite semenjak bertudung. Nampaknya penampilan Azza lebih menarik berbanding dahulu dan rezekinya juga makin bertambah. Walaupun kurang aktif dalam lakonan, namun beliau masih aktif dalam bidang nyanyian dan kini berjaya pula dalam bidang perniagaan produk kesihatan dan kecantikan.

BILA FIZA ELITE BERBAJU PENGANTIN

Aksi Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza Elite memakai baju pengantin. Memang nampak cantik dan ada gaya untuk bersanding kali kedua... Ahak! Meskipun sudah lama bercerai dengan bekas suaminya Ahmed Farriq Zainul Abidin pada November 2010 serta mempunyai beberapa gosip cinta, namun Fiza tetap masih menjanda. Harap-harap lepas bergaya dengan baju pengantin ni... Fiza akan menemui pengganti dalam hidupnya. Amin.

Poligami di mata Ashraf

LAMA sudah tidak bertemu dengan pelakon Ashraf Muslim. Sejak kontroversi poligami yang mengaitkan namanya menjadi kecoh, sukar sekali untuk menjejaki dirinya. Bertemu dengan Ashraf baru-baru ini di set penggambaran drama terbitan produksi miliknya berjudul Qarina di Yayasan Restu, Shah Alam, Selangor, jelas sekali wajahnya kelihatan sedikit cengkung. Ashraf hanya mengangguk, mengakui yang dia sememangnya banyak berfikir sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, kata Ashraf, dia berada dalam keadaan stabil dan tidak pernah tergugat dengan apa yang berlaku meskipun telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Operasi di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah milik bapa mertuanya Lokman Abdul Hamid. "Alhamdulillah, saya masih okey, keadaan saya stabil. Walaupun saya mengundur diri daripada bekerja di pusat perubatan, saya masih lagi merawat orang jika ada orang memerlukan bantuan saya," balasnya. Disoal tidakkah dia berada dalam keadaan tertekan selepas kontroversinya hangat diperkatakan? Jawabnya tenang: "Saya hanya perlu bersabar kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya menganggap ini sebagai ujian Allah kepada saya dan juga keluarga." Akui Ashraf, kontroversi seperti ini bukan yang pertama buatnya kerana dia sudah lali sebagai seorang selebriti, tetapi kali ini kesannya lebih berat terhadap isterinya, Noor Dayana. "Saya okey, tetapi tidak isteri saya. Memang dia kelihatan kuat, tetapi lumrah wanita apabila berhadapan dengan isu seperti ini pasti meninggalkan kesan. Saya mempunyai cara untuk tenangkannya dan selalu meminta dia berfikir secara positif selain berdoa kepada Allah. "Hubungan saya dan isteri tidak ada masalah, kami masih bahagia bersama dan dia masih satu-satunya isteri saya sehingga ke hari ini. Kalau boleh saya tidak mahu isu ini berlarutan lagi, cukuplah apa yang sudah terkeluar di akhbar sebelum ini," pintanya. Sebelum ini, heboh kononnya Ashraf bakal menikahi seorang wanita bernama Sakinah, malah kelibatnya di mahkamah syariah juga telah dihidu pihak media. Tegas Ashraf, setakat hari ini dia tidak menikahi mana-mana wanita selain isterinya. "Memang saya ada ke mahkamah syariah, tetapi saya tidak boleh kongsi kenapa dan untuk apa saya ke sana kerana bersifat terlalu peribadi.
"Saya mengakui mengenali Sakinah kerana dia seorang kawan lama saya, tetapi itu sahaja yang saya boleh beritahu. Soal berkahwin lagi (dengan Sakinah), saya tidak boleh komen kerana jodoh, pertemuan dan ajal segalanya di tangan Allah," katanya. Ditebak lagi, kontroversi poligami tersebut tercetus gara-gara dia dan isteri masih belum dikurniakan cahaya mata meskipun telah berkahwin selama dua tahun sejak Ogos 2011, Ashraf hanya menggelengkan kepalanya . "Sudah belum ada rezeki nak buat macam mana? Rezeki semuanya datang daripada Allah, saya hanya mampu berdoa tetapi isu anak tidak timbul," balasnya. Apabila ditanya apa pandangannya terhadap isu poligami secara umum, Ashraf terdiam seketika sebelum meluahkan buah fikirannya. "Saya tidak faham kenapa isu poligami dipandang negatif. Rata-rata orang Malaysia memandang serong terhadap orang yang berpoligami sedangkan ia bukan satu perkara yang berdosa. "Apa yang penting dalam sebuah perkahwinan, suami isteri harus faham hak masing-masing. "Mereka juga harus sedar tanggungjawab masing-masing. Tidak kisahlah poligami atau tidak, tetapi itulah asas dalam setiap perkahwinan. "Jika ada seorang isteri tetapi suami tidak menjalankan tanggungjawab pun tidak boleh juga. Ini pandangan saya secara umum, bukannya menjurus kepada kontroversi saya," ujarnya dalam nada yang cukup serius. Beras Muslim Dalam kekecohan kontroversi dirinya yang dikatakan berpoligami itu, Ashraf tiba-tiba pula meninggalkan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah. Kini, Ashraf sibuk mengguruskan syarikat produksi, Hidayah Production selain dalam proses mengeluarkan beras menggunakan jenama Muslim bersama dua rakan kongsinya tidak lama lagi. "Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana otak saya ligat berfikir, apa yang harus saya lakukan untuk masa hadapan. Bukan untuk pendapatan hari esok sahaja tetapi pendapatan untuk 30 tahun akan datang. "Selepas saya mengundurkan diri daripada Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, saya lebih banyak masa untuk menguruskan perniagaan saya sendiri. "Contohnya produksi ini sebenarnya sudah lama wujud dan telah menerbitkan tiga buah drama. "Disebabkan saya yang sentiasa sibuk, banyak rancangan tergendala. Sekarang, saya telah membawa haluan saya sendiri dan yakin inilah pilihan yang tepat," katanya. Besar rancangannya untuk syarikat produksi tersebut. Menjelaskan itu antara medium yang digunakan untuk berdakwah, katanya, kesemua program terbitannya akan mempunyai unsur Islamik dan dakwah tidak kiralah apa juga program yang diterbitkan. "Berdakwah bukan satu cara sahaja, banyak cara lagi. Bagi saya, medium penyiaran amat besar pengaruh terutama pada golongan muda dan kanak-kanak. Sebab itu, saya menggunakan medium ini untuk menyebarkan dakwah. "Mereka yang menontonnya boleh terhibur tetapi dalam masa yang sama ada mesej yang ingin disampaikan. Jika mereka dapat menerima sedikit daripada mesej itu sudah memadai buat saya," jawabnya.
Selain syarikat produksi, Ashraf juga ligat dengan perniagaan beras di bawah jenama Muslim yang dijangka akan berada di pasaran selepas Hari Raya Aidilfitri kelak. Menariknya, beras yang keluarkan oleh syarikat bumiputera sepenuhnya itu turut menyumbang kepada tabung wakaf daripada setiap pembelian beras. "Jika tidak ada aral melintang, selepas raya saya akan keluar dengan beras jenama Muslim. Sekarang dalam proses pengilangan dan tidak lama lagi, saya akan buat promosi secara besar-besaran. "Apa yang ingin saya tekankan, selain membeli beras sebagai makanan ruji, pembeli juga secara tidak langsung berwakaf kerana saya ingin orang yang membeli menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. "Mungkin saya akan buat 10 atau 20 peratus daripada pendapatan beras disalurkan terus kepada tabung wakaf. Membeli dan mendapat pahala dalam masa yang sama, bukankah itu cara yang baik untuk beramal?" ujarya. Tidak terhad dengan dua perniagaan itu sahaja, Ashraf juga merupakan seorang pengedar tunggal bagi minyak wangi jenama Solat Perfume di seluruh Malaysia. Disebabkan jadual yang padat, Ashraf amat selektif dalam memilih produksi lakonannya. "Saya tidak berlakon seperti dahulu lagi, hanya muncul berlakon jika mempunyai masa dan skrip yang sesuai. "Bukan tidak mahu berlakon tetapi jadual saya tidak mengizinkan kerana berlakon memerlukan masa yang panjang untuk menunggu. Sekarang masa saya amat terhad," luahnya.

Popular kerana lagu Arab - Betty Banafe

MUNGKIN tidak ramai yang menyedari bahawa pelakon Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 34, atau Betty Banafe pernah menghasilkan album berjudul Ibtisam pada tahun 2007. Ini kerana album yang memuatkan lagu-lagu bahasa Arab itu jarang kedengaran di corong radio tempatan berbanding penyanyi lain. Namun itu bukan bermakna Betty tidak lagi aktif sebagai penyanyi kerana tanpa publisiti di radio, dia tetap mendapat undangan untuk majlis-majlis tertentu. Ini kerana Betty mempunyai kelebihan tersendiri iaitu mahir dalam mendendangkan lagu-lagu bahasa Arab berbanding penyanyi lain. "Waktu album itu diterbitkan, lagu-lagu saya jarang diputarkan di radio. Memang sedikit kecewa tetapi rezeki saya dalam bidang seni suara tetap ada. "Saya sering diundang mengadakan persembahan untuk majlis yang ada tetamu dari negara Timur Tengah. Malah kerana album Ibtisam itu juga saya berpeluang menjelajah ke beberapa negara Arab," imbasnya tentang album pertama. Bagaimanapun kini Betty cuba beralih arah dengan menghasilkan lagu-lagu bahasa Melayu untuk menguji tahap sokongan peminat seni terhadap perjalanan kerjaya seninya. Sebagai permulaan, single Tak Sengaja yang disiapkan pada tahun lalu diperdengarkan kepada orang ramai awal tahun ini. "Sebenarnya lagu ciptaan komposer Amirudin Syawal dan lirik Alwi Hadad itu sudah lama siap tapi mencari waktu saya yang sesuai. "Tahun lepas saya tidak dapat tumpukan pada seni kerana menjaga ibu yang sakit dan terpaksa keluar masuk hospital. Hujung tahun sibuk dengan persiapan perkahwinan dan lepas itu barulah saya lapang," katanya menjelas kenapa lagu tersebut lewat diterbitkan. Katanya, walaupun Tak Sengaja adalah lagu Melayu namun sebagai penyanyi yang sinonim dengan rentak irama Arab, elemen-elemen Timur Tengah tetap ada dalam single tersebut. Setakat ini Betty yang telah mendirikan rumah tangga dengan Bruce Dargus pada 8 Disember tahun lalu berkata, status isteri tidak menghalangnya untuk terus bergiat dalam bidang seni. "Suami memahami minat saya dan dia yang bersungguh memberi galakan supaya saya teruskan apa yang dilakukan sebelum ini. "Saya bersyukur kerana memiliki suami yang memahami dan bertolak ansur. Biarpun dia memberi keizinan, namun menyedari saya sudah ada tanggungjawab terhadap rumah tangga, jadi saya tetap buat tapisan terhadap setiap tawaran berlakon," katanya terus terang. Dalam pada itu, kata Betty, dia tetap meneruskan kerjaya sebagai pelakon dan semua itu bergantung kepada watak yang ditawar. Menurutnya, dia amat memilih watak kerana mahu penampilannya dalam drama atau filem mampu memberi impak kepada penonton. "Saya pun sudah lama dalam bidang lakonan dan sekarang ini banyak komitmen lain. Jadi kalau saya nak berlakon pun biarlah watak yang saya bawa itu berbaloi," katanya yang tidak pernah jemu berlakon itu.

Ini cara Sakinah

APA yang dia fikir" itu mungkin merupakan kata-kata awal penonton laman sosial Keek milik pelakon wanita ini. Bukan soal terlalu berani yang membuatkan nama dia terus dihurung kontroversi tetapi mengapa dia tidak pernah mahu berhenti untuk terus melakukan perkara yang sama. Menjawab persoalan itu, Hits mengatur sesi fotografi bersama pelakon yang mula dikenali melalaui drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang ini. Mahu menjadi diri sendiri, serta berkongsi kegembiraan merupakan jawapan padu yang diberikan Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar ketika ditanya tujuan sebenar dia memuat turun video yang dianggap menyinggung oleh sesetengah pihak. Bukan mahu bersikap degil atau sengaja mempamerkan keegoan diri, bagi Sakinah mereka di luar sana sentiasa diberi peluang untuk tidak menonton dan seterusnya mencemuh dirinya. "Saya hanya mahu menjadi diri saya, bukan soal serik atau tidak serik tetapi saya mahu mereka di luar sana menerima saya seadanya. "Jangan hanya melihat video itu untuk mencari bahagian yang negatif, cuba amati betul-betul ada kisah yang ingin saya sampaikan sebenarnya," katanya. Ketika dia terus-terusan ditekan perkara ini, Hits ajukan soalan tidakkah dia berfikir kesan tindakan ini, sebelum memuat turun video sebegitu. Menjawab soalan ini Sakinah memberitahu, bukan sebab sengaja mencari publisiti murahan menyebabkan dia kelihatan begini. "Saya hanya melakukan aktiviti harian saya, dan bila saya terfikir untuk berkongsi langsung saya kongsikan bersama peminat. Soal kesan itu sebenarnya, memang saya ada fikirkan, cumanya percaturan itu salah apabila saya fikirkan artis yang tidak terlalu popular seperti saya ini tidak akan membawa impak, mungkin saya silap soal itu. "Tetapi itu bukan bermakna saya akan bersikap plastik, ia seharusnya menjadi video yang mampu membuat penonton ketawa sebab itu yang saya mahu," katanya. Bersikap 'bodoh' seperti yang dilabel oleh sesetengah pihak, bagi Sakinah itu merupakan pendirian masing-masing, sungguhpun tujahan kritikan itu agak pedas namun bagi adik kepada pelakon Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahira (Shira) dia lebih mementingkan kehendak dirinya. "Jika ada artis yang memilih untuk berkongsi aktiviti harian mereka dengan cara yang berbeza, itu cara mereka. Tetapi saya bukan mereka, saya ada cara saya sendiri. "Saya mahu peminat mengenali saya ketika saya di luar bebanan kerja, bukan sebagai pelakon tetapi sebagai Sakinah," katanya. Berkongsi perasaan sebenarnya ketika perbuatannya ini terus dipersoalkan, menurut Sakinah dia sesekali tidak akan berubah menjadi orang lain demi memuaskan hati mereka di luar sana. "Saya tidak akan jadi hamba kepada mereka yang membenci saya, bagi saya perasaan saya dan keluarga lebih penting dari semuanya. "Ironinya ketika saya sangka ramai yang tidak menyukai saya, ada juga peminat yang mahu saya terus menjadi diri saya yang dilihat mereka sebagai sesuatu yang berani dan jarang dilakukan artis lain," katanya. Keluarga lebih kenal siapa Sakinah Kedua-dua kakaknya mempunyai reputasi yang agak hebat di kancah dunia lakonan. Menjelaskan situasi dirinya dengan keluarganya, menurut Sakinah dia bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sangat memahami. Malah dia turut memberitahu kakaknya Shira juga tidak pernah menyalahkan dirinya. "Kakak saya okay, ketika perkara ini diperkatakan, dia cuma memberi nasihat. Bagi saya nasihat mereka sangat ikhlas, yang saya sendiri tahu ia lebih kepada kebaikan. "Memandangkan mereka lebih mengenali saya lebih dari mereka di luar sana, antara nasihat yang mereka sertakan agar lebih berhati-hati pada masa hadapan. Tetapi mereka lebih faham dengan diri saya, yang tetap mahu adik mereka ini menjadi diri sendiri," katanya. Ditanya sampai bila dia akan berterusan berkelakuan seperti ini memandangkan perjalanannya di dalam industri ini masih jauh, bagi Sakinah dia sendiri tidak tahu. Namun ada sesuatu yang tidak akan dikompromi dirinya iaitu untuk sentiasa berkongsi keceriaan. "Ia bukan sesuatu yang buruk, kalau mereka di luar sana faham ia lebih kepada cara untuk saya menghiburkan mereka. "Mungkin saya terlibat secara langsung dengan industri menyebabkan perkara ini menjadi lebih besar," katanya. Menggodam laman Keek pelakon Anzalna sewaktu video kontroversinya tersebar, Hits sekali bertanyakan bagaimana sebenarnya hubungan kedua-dua pelakon remaja ini. Menjelaskan Anzalna sebagai antara rakan artis yang rapat dengannya, perkara yang terjadi sebelum ini sedikitpun tidak menjejaskan hubungan mereka. "Hubungan kami masih baik, malah sewaktu video itu dilakukan dia ada bersama saya. Senang cerita Anzalna kenal siapa saya. "Sebab itu saya agak marah ketika ada pihak yang cuba melagakan kami sewaktu perkara ini belum reda," katanya. Memang sudah terkenal dengan sikap bersahaja, Hits mencadangkan Sakinah untuk kekal menjadi pelakon komedi yang sebelum ini Shira juga memang terkenal dengan gelaran pelakon komedi. Enggan berbuat begitu, bagi Sakinah sebagai pelakon dia sebenarnya lebih senang untuk menerima pelbagai watak berbeza. "Walaupun perangai saya macam ini, bukan bermakna saya selesa untuk dikenali sebagai pelakon komedi, saya mencari kepuasan dalam lakonan dan saya mahu kekalkan itu. "Tetapi saya tidak kisah sebenarnya jika ditawarkan watak komedi sekali sekala," katanya yang sebelum ini terkenal melalui drama bersiri Bunga Merah Punya.

Teroka bidang baru - Asyraf

MENYEBUT nama Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, pasti ramai di kalangan kita akan tertanya-tanya siapakah individu tersebut, namun apabila kita menyebut Asyraf Imam Muda, terus bermain di fikiran juara program realiti bercorak keagamaan, iaitu Imam Muda. Asyraf yang mula dikenali setelah berjaya menjuarai rancangan terbitan Astro Oasis pada tahun 2010 itu sudah lama dikenali ramai sebagai seorang pendakwah dan penceramah generasi pelapis negara. Lebih menarik, Asyraf juga menyandang gelaran tidak rasmi sebagai Ustaz Twitter apabila di laman sosial miliknya itu, dia sering diajukan dengan pelbagai persoalan berkaitan bidang agama. Berbekalkan pengalaman kira-kira tiga tahun bergerak aktif sebagai penceramah, Asyraf pastinya sudah tidak mempunyai perasaan gentar apabila menyampaikan hujah-hujahnya kepada ratusan malah ribuan hadirin yang setia mendengar. Namun, kini Asyraf bakal meneroka suatu bidang yang terlalu asing buat dirinya, iaitu bidang seni suara. Jejaka berusia 29 tahun ini telah melancarkan album solo miliknya yang berjudul Rahmatan Lil'Alamin dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Bidang hiburan merupakan suatu bidang yang mencabar dan kebiasaannya ia lebih dikaitkan dengan perkara-perkara berbentuk negatif dan bukan sebaliknya. Perkara tersebut diakui oleh Asyraf namun percubaannya menjejakkan kaki dalam bidang tersebut merupakan suatu usaha yang dilakukannya untuk menyediakan hiburan berbentuk alternatif kepada masyarakat umum. "Sewaktu saya mula menyatakan hasrat untuk bernyanyi, banyak juga kata-kata sindiran yang diterima tetapi bagi saya, ini adalah suatu perkara yang perlu saya lakukan. "Album sulung ini sebagai satu percubaan kepada saya dalam memberikan suatu hiburan berbentuk alternatif, iaitu yang lebih bercorak kepada keagamaan," katanya yang mengakui tidak mudah bagi seorang berlatar belakang agama menyertai bidang ini. Jelasnya, sebelum ini dia sering mengatakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan apakah yang perlu dibuat, tetapi kini dia mengambil keputusan untuk melakukan dan bukan sebaliknya iaitu hanya bercakap. "Ramai orang yang mengkritik industri hiburan sambil mengatakan apa yang sepatutnya dilakukan, dan ini merupakan usaha saya untuk melakukan perubahan dengan cara bernyanyi," katanya. Asyraf juga berpendapat adalah tidak salah untuk seseorang itu bernyanyi dan berhibur, tetapi setiap individu itu perlu memastikan hiburan tersebut tidak keterlaluan sehingga melanggar batasan dalam agama. Gementar apabila bernyanyi Jelas Asyraf, walaupun dia sudah semakin selesa dengan tugasnya sebagai penceramah, tetapi bidang nyanyian merupakan suatu perkara yang baru buat dirinya. "Tidak dinafikan bidang nyanyian adalah sesuatu yang asing buat diri saya, ini kerana saya bukanlah seorang individu yang terlalu gemar bernyanyi. "Tetapi kini apabila bakal menjejakkan kaki dalam bidang tersebut, ia adalah suatu perkara yang agak menggerunkan juga pada awalnya," katanya yang merupakan suami kepada Nurhusna Yusoff. Album sulung Asyraf yang sudah berada di pasaran mengandungi sejumlah sembilan buah lagu termasuk zikir antaranya Rahmatan Lil'Alamin, Ghuraba, Ummi, Habibatan Kalimatan dan Yahdi Man Yasha'. Kata Asyraf lagi, dia tidak pernah mempunyai keinginan untuk menjadi seorang penyanyi walaupun sering menyanyikan beberapa rangkap lagu dalam sesi ceramahnya. "Tidak dinafikan saya ada juga menyelitkan sedikit nyanyian dalam sesi ceramah, tetapi ia tidak boleh dikatakan sebagai bernyanyi. "Saya juga tidak pernah bercita-cita mahu bergelar penyanyi, tetapi dalam tiga tahun ini ramai di kalangan hadirin saya bertanya bilakah saya akan menghasilkan sebuah album. "Kini, masanya sudah tiba dan terhasillah album sulung saya," katanya yang mengatakan dengan jelas bahawa dia tidak mahu dikenali sebagai seorang penyanyi tetapi sebagai seorang Imam yang boleh bernyanyi. Asyraf mengatakan dia merancang untuk mempersembahkan antara satu atau dua buah lagu setelah selesai sesi ceramahnya, itupun sekiranya terdapat permintaan daripada hadirin.

Cinta selepas bernikah - Pierre Andre

ALAM perkahwinan pastinya merupakan suatu perkara yang diimpikan oleh setiap individu. Dan pastinya, seseorang yang mahu membina mahligai rumah tangga akan berfikir panjang sebelum memilih siapakah yang akan menjadi pasangan sehidup semati mereka. Untuk tujuan itu, kebiasaannya ia akan memakan tempoh masa yang bukan singkat untuk mengenali personaliti dan peribadi pasangan mereka, ada yang mengambil masa sehingga melebihi sepuluh tahun untuk berbuat demikian. Namun bukan setiap daripada kita mengambil langkah sedemikian kerana ada di antara kita yang tidak memerlukan masa terlalu lama sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama insan pilihan mereka. Pelakon dan pengarah, Pierre Andre, 28, yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama gadis pilihannya, Siti Nur Hidayah Hashim, 26, pada 23 Jun lalu sebaliknya memilih untuk tidak bercinta terlalu lama. Bagi Pierre, percintaan yang terlalu panjang tidak mendatangkan sebarang faedah sekiranya kedua-dua pihak tidak mempunyai perancangan untuk membina mahligai bersama. "Disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga tanpa terlalu lama menunggu. Kemudian kami akan terus menjalinkan hubungan cinta selepas bergelar suami isteri. "Memang tempoh percintaan kami hanya beberapa bulan sahaja tetapi saya yakin, Hidayah adalah wanita yang ditakdirkan untuk menjadi suri di hati saya," katanya. Kedua-dua mempelai itu disatukan hanya dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang diadakan bertempat di Masjid Al-Ikhlas, Taman Melati, Selayang pada pukul 2.10 petang. Pihak lelaki memberi wang hantaran berjumlah RM20,000, mas kahwin sebanyak RM300 dan tujuh dulang hantaran sambil dibalas oleh pengantin perempuan dengan sembilan dulang hantaran. Sementara itu, Hidayah yang juga seorang model menjelaskan antara ciri-ciri yang membuatkannya terjatuh hati kepada anak lelaki pelakon Khatijah Tan ialah sifat kesederhanaan yang dimiliki. "Saya akui saya jatuh hati dengan sifat peribadi Pierre, disamping caranya yang lebih gemar kepada kesederhanaan," katanya. Majlis resepsi sebelah perempuan bakal diadakan selepas hari raya tahun ini manakala majlis sebelah pihak lelaki masih belum ditentukan. Lega Pierre sudah bernikah Selain kedua mempelai yang diraikan, pastinya ibu kepada pengantin juga tidak kurang gembira di saat detik perkahwinan anak sulungnya, apatah lagi beberapa hubungan sebelum itu pernah kecundang di tengah jalan. Jelas Khatijah, sebagai ibu, pastinya dia gembira dan terharu disaat Pierre melafazkan akad nikah justeru menyaksikan anak lelakinya itu kini telah melangkah ke alam baru dan memikul tanggungjawab baru sebagai suami orang. "Tidak dinafikan sebelum ini, saya sering berasa runsing akan perihal Pierre. Walaupun dia seorang anak yang baik tetapi sebagai ibu, saya tetap risau memikirkan dirinya. "Kini dia telah berumah-tangga dan saya berharap mahligai yang mereka bina ini akan terus kekal sehingga ke akhir hayat mereka. "Pastinya ini merupakan antara detik paling menggembirakan dalam hidup dan saya mendoakan yang terbaik buat kedua-duanya," katanya yang ditemui selepas selesai majlis pernikahan tersebut. Tambah Khatijah lagi, dia berharap Hidayah akan dapat memahami tugas dan tanggungjawab yang dipikul Pierre, apatah lagi sebahagian besar daripada masanya akan dihabiskan di luar rumah.

Tidak menyesal kenali dia - Hanez suraya

RASANYA umum sudah mengetahui bahawa kisah percintaan antara dua artis iaitu Hanez Suraya dan Awi Rafael sudah tiba ke penghujung apabila Hanez mengakui bahawa dia tidak mahu menjadi beban kepada Awi dalam usahanya memburu cita-cita. Pastinya perpisahan itu bukan suatu perkara yang membahagiakan apatah lagi apabila hubungan yang terjalin antara mereka sudah berlanjutan sehingga setahun lebih dimana ia turut mendapat sokongan daripada peminat mereka. Jelas Hanez, sebelum mengambil keputusan untuk mengumumkan secara rasmi perpisahan mereka, dia telah berusaha beberapa kali untuk menyelamatkan hubungan tersebut. "Sejujurnya memang kami sudah berusaha untuk memperbaiki hubungan antara kami. Akan tetapi setelah beberapa kali mencuba, saya tidak nampak ada jalan penyelesaian selain daripada berpisah. "Sebelum ini kami tangguhkan untuk memberitahu orang kerana mahu cuba bertahan, tetapi apabila sudah diumumkan, itu bermakna hubungan ini memang tidak akan berhasil," katanya. Tambah Hanez, walaupun hubungan yang dibina setahun lalu itu sudah musnah, tetapi dia tidak pernah menyesal dengan perkara yang berlaku. "Saya tidak pernah menyesal menjalinkan hubungan cinta dengan Awi, kerana dalam tempoh itu kami dapat mengenali satu sama lain dengan lebih dekat. "Tempoh percintaan kami itu akan kekal sebagai satu kenangan dan juga pengalaman buat diri saya dalam usaha mengubah diri menjadi seorang individu yang lebih baik di masa hadapan," katanya lanjut. Sementara itu, Hanez yang kini sedang berehat daripada sebarang penggambaran akan kembali ke set rakaman sebuah telemovie pada bulan Julai nanti. Selain itu, drama terbaru dibintangi Hanez yang berjudul Autumn Di Hatiku bakal disiarkan bermula 3 Julai ini di saluran tonton, bergandingan bersama Aiman Hakim dan juga Anas Mentor. Bukan gimik untuk popular Pastinya ada segelintir pihak yang berpendapat apa sahaja perbuatan dilakukan oleh golongan selebriti ini, sama ada baik mahupun buruk sebenarnya bertujuan untuk 'menjual' nama mereka agar lebih popular. Namun menurut Hanez yang kini berusia 28 tahun, pengumuman yang dibuat olehnya itu tidak langsung berniat untuk menimbulkan sebarang gimik apatah lagi untuk menambahkan populariti mereka. "Sejujurnya perkara (perpisahan) ini bukanlah gimik yang kami lakukan untuk menaikkan nama, tetapi lebih kepada pemberitahuan. "Selama ini pun lebih banyak kisah percintaan yang diberi tumpuan oleh pihak media dan masyarakat dan bukan soal karier kami. "Kini saya berharap dapat menumpukan kepada karier lakonan terlebih dahulu," katanya. Hanez juga mengatakan dia tidak mahu mendedahkan punca perpisahan antara mereka itu kerana perkara tersebut adalah berbentuk peribadi buat mereka berdua. "Walaupun saya sudah membuat kenyataan terbuka, tetapi biarlah punca perpisahan itu menjadi rahsia di antara kami berdua," katanya yang bakal kembali menjalani sesi penggambaran pada bulan tujuh nanti.

"Saya masih lagi belum berpunya" - Elfira Loy

Pelakon muda, Elfira Loy, 19, nafi sedang bercinta dengan mana-mana lelaki termasuk aktor dari Indonesia, Baim Wong kerana usianya yang masih muda. Menurut Elfira, buat masa ini dia masih lagi mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya dan pengajiannya dalam bidang Seni Persembahan & Komunikasi, Kolej Damansara Utama (KDU). "Saya masih lagi belum berpunya. Sebenarnya bila difikirkan semula, setiap kali saya berlakon dengan pelakon lelaki, pasti saya akan digosipkan bercinta bersama. "Antaranya yang pernah dikaitkan bercinta dengan saya adalah Randy Pangalela, Zizan Razak dan juga Zoey Rahman," katanya ketika dihubungi hari ini. Isu percintaan Elfira dan Baim hangat diperkatakan selepas pelakon kacak dari seberang itu sendiri membuat pengakuan bahawa mereka sedang dilamun cinta dalam program Meletop di Astro Ria semalam. Malahan untuk membuktikan bahawa mereka sedang serius bercinta, Baim turut menunjukkan khidmat pesanan ringkas (SMS) antara dia dengan Elfira. Bagaimanapun, apa yang ditunjukkan oleh Baim dalam program yang dihoskan oleh Neelofa dan Nabil itu hanyalah gimik memandangkan beliau dan Elfira melakonkan watak pasangan kekasih dalam telefilem terbaharu mereka, "Untuk Terakhir Kali". - UTUSAN ONLINE

Ayu Damit Serik Ditipu Penganjur Ribuan Ringgit

Penyanyi Ayu Damit mengakui agak sukar untuk dia menguruskan kerjaya nyanyiannya sendiri memandangkan tidak mempunyai pengalaman selain pernah ditipu pihak penganjur. Ayu, 24, berkata, peristiwa mengalami kerugian ribuan ringgit apabila dia tidak mendapat bayaran ketika membuat persembahan di Johor benar-benar membuatkan dia serik. "Baru-baru ini saya telah ditipu oleh seorang penganjur di Johor Bahru dan inilah kali pertama saya melalui dugaan seperti ini sejak menguruskan kerjaya sendiri lebih kurang setahun. "Memang susah sebenarnya kalau nak uruskan diri sendiri. Berbeza dengan keadaan dahulu ketika saya mempunyai syarikat pengurusan (Monkey Bone), mereka boleh mengaturkan jadual nyanyian saya. "Ketika di bawah mereka, saya cuma perlu membuat persembahan terus tanpa memikirkan bagaimana nak berurusan dengan pihak penganjur. Terutamanya apabila membincangkan berkaitan dengan bayaran," katanya. Tambah ibu kepada dua orang anak ini lagi, membuat perbincangan harga bayaran dengan pihak penganjur sendiri juga membuatkan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang rendah. Sementara itu, Ayu berasa rindu dengan populariti yang pernah diraih dahulu apabila sering menghadiri pelbagai aktiviti nyanyian di televisyen serta acara-acara korporat. "Memang saya rindu dengan zaman saya yang sering membuat persembahan televisyen serta acara-acara hiburan yang besar. Bukan kerana populariti tetapi suasana kerjanya sangat berbeza. "Jika dahulu satu atau dua kali seminggu saya hanya memenuhi undangan persembahan pentas dengan pendapatan yang agak tinggi,” ujarnya. Sementara itu dalam perkembangan lain Ayu dalam proses menyiapkan single terbaharunya berjudul Hati Ini di bawah syarikat pengurusan baru iaitu Onez Entertainment. Ayu baru mengikat kontrak selama setahun dengan syarikat tersebut dalam menguruskan kerja-kerja seninya. Dalam pada masa sama dia juga turut bekerja sebagai penyanyi di Restoran Cerana, Cheras, dekat sini pada setiap malam dari hari Isnin sehingga Rabu. Selain itu Ayu juga akan mengadakan persembahan sepanjang bulan Ramadan di Hotel Royal, Bukit Bintang, di sini.

Siti Fazurina Mahu Jumpa Ibu Untuk Hapuskan Sengketa

Pelakon Siti Fazurina nekad untuk berjumpa ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 61, pada bulan Ramadan ini untuk meminta maaf bagi menjernihkan kembali hubungan keluarga yang keruh kerana kontroversi perkahwinannya. Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir, 31, mengakui sebagai anak, dia perlu beralah dan berharap agar perkahwinannya bersama Hykal Zulkifli, 32, pada Mac lalu direstui keluarga. "Sebelum ini saya banyak kali juga hantar mesej dan bertanya khabar kepada ibu tapi tiada balasan, Insya-Allah saya nekad awal Ramadan ini saya akan balik rumah ibu. "Buat pertama kali biarlah saya seorang sahaja yang jumpa dahulu, kemudian barulah Hykal." katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen sempena Festival Fesyen Islam (IFF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa. Jelasnya, biar apa juga yang berlaku, dia tetap yakin ibunya dapat menerima lelaki yang dikahwini itu sebagai suaminya.
"Di sini tiada siapa betul atau salah tapi pada saya apa juga yang berlaku di antara anak dan ibu, kita perlu tahu syurga itu di bawah tapak kakinya. "Saya juga tidak mampu menolak jodoh, walau pun ibu menolak beberapa pinangan sebelum ini, tapi Hykal adalah jodoh yang telah ditetapkan buat saya," ujarnya. Tambah Fazurina, lebih menggembirakan apabila dia dan suami akan berpindah dari Pulau Pinang dan akan menetap di Sungai Petani, Kedah berdekatan dengan kampung halamannya. "Alhamdulillah, semuanya seperti sudah diaturkan Allah agar kami dapat tinggal berdekatan. Suami saya akan ditukarkan bekerja ke Sungai Petani dan kami akan berpindah berhampiran dengan rumah ibu dalam masa terdekat ini. "Namun buat masa ini saya masih tinggal di Pulau Pinang bersama keluarga mertua," katanya. Dalam pada itu, Fazurina yang kini aktif menjadi pengacara di program Soal Wanita untuk TV Al-Hijrah berkata, ia merupakan salah satu impian ibunya untuk melihat dia menjadi seorang pengacara. "Saya baru sebulan mengendalikan program tersebut, ketika dapat tawaran itu saya terus beritahu ibu kerana dia suka kalau saya jadi pengacara. "Dia mahu saya jadi macam Norjuma dan pengacara-pengacara lain, walaupun dia tidak membalas mesej yang saya kirim tapi saya tahu dia gembira," ujarnya.

Edika Yusof Mahu Aktif Berlakon

Pelakon Edika Yusof akan kembali aktif dalam bidang lakonan selepas hampir 15 tahun menyepikan diri kerana menumpukan perhatian kepada keluarga. Edika, 45, berkata, meskipun terpaksa memberi perhatian penuh kepada isterinya Norhidayah Yusri, 34, yang lumpuh namun kini tanggungjawab tersebut sudah boleh dibahagikan bersama anak-anak. "Insya-Allah memang saya berhasrat untuk kembali aktif jika ada tawaran berlakon, begitu juga dalam bidang peragaan. "Hari ini (Selasa) pun rasa agak kekok dan gementar sebab dah lama tidak berjalan atas pentas peragaan. "Anak-anak juga sudah besar dan sudah boleh diharap untuk menjaga ibu mereka jika saya keluar bekerja atau ke set penggambaran," katanya yang ditemui pada Festival Fesyen Islam (IFF) berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa. Pada majlis tersebut Edika diberi peluang memperagakan pakaian iaitu kerjaya lama yang dilakukannya ketika aktif dalam bidang berkenaan suatu ketika dahulu. Dalam pada itu pelakon yang popular dengan filem Maria Mariana ini berkata dalam tempoh 15 tahun menyepi daripada dunia hiburan, dia banyak melakukan kerja-kerja grafik dan percetakan. Sementara itu, ditanya tentang perkembangan kesihatan isterinya, Edika berkata ia masih sama seperti dahulu, namun dia kini lebih aktif dalam mengusahakan perniagaan produk kecantikan. "Dia nak bekerja dan mengusahakan bisnes produk kecantikan, jadi saya hanya beri sokongan dan dorongan kepadanya," katanya. Hasil perkahwinannya dengan Norhidayah sejak 10 tahun lalu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Fardeen Nurulhaq, 10, dan Fareena Nurulhaq, 9, serta seorang anak angkat Nazirul Afiq yang kini berusia 15 tahun.

Isu Poligami Buat Ashraf Muslim Tertekan

Pelakon Ashraf Muslim mengakui kehidupannya agak tertekan dengan dugaan kontroversi yang mendakwanya akan berkahwin lagi. Ashraf, 32, berkata, walaupun keluarga di sebelah pihaknya dan isteri Noor Dayana Lokman, 26, tahu hal sebenar, namun isu poligami itu membuatkan mereka berdepan dengan pelbagai pertanyaan daripada orang sekeliling. "Kalau gosip terkena pada saya sahaja, saya sudah biasa. Tetapi apabila melibatkan keluarga ia menjadi sukar kerana keadaan menjadi berbeza. "Kontroversi saya mahu berkahwin lain juga membuatkan saya tertekan. Alhamdulillah sebagai seorang lelaki dan suami, saya ada cara untuk mengatasi masalah ini. "Saya juga kecewa dengan orang yang tak tahu apa-apa fasal kami bercakap dan menyebarkan gosip tentang kami," katanya. Ashraf ditemui pada majlis pelancaran program-program baharu TV3 bagi siaran bulan Ramadan di restoran Al-Rawsha di sini, Selasa.
Pada pertengahan bulan lalu, Ashraf dikatakan telah ke sebuah mahkamah syariah bagi mengambil borang permohonan untuk berpoligami. Pelakon itu berdiam diri dan enggan membuat sebarang kenyataan sehinggalah pada minggu lalu Ashraf mengakui kepada Kosmo! ada berkunjung ke mahkamah tersebut tetapi enggan mengulas lanjut tujuan dia berbuat demikian. Tambah Ashraf mujurlah perhubungan antara dia dan keluarga mertuanya masih lagi baik apabila mereka memahami situasi Ashraf sebagai selebriti. Dalam pada itu dia juga menyifatkan berdiam diri daripada membuat sebarang kenyataan lebih baik daripada menjelaskan hal sebenar dan dia percaya isunya itu lama-lama akan hilang dengan sendiri. "Menjadi hal saya sama ada mahu menjawab sesebuah kontroversi yang berlaku ataupun tidak. "Bagi saya isu poligami sangat sensitif walaupun ia boleh menjerumuskan ke arah kebaikan. "Tetapi bukan hak saya juga untuk menghalang orang ramai daripada bercakap. Jadi lebih baik saya mendiamkan diri," tuturnya. Ashraf dan Noor Dayana bernikah pada 30 Ogos 2011 bersamaan dengan 1 Syawal di Mekah.

Ibu Siti Sarah Meninggal Dunia

: Ibu kepada penyanyi Siti Sarah Raisuddin iaitu Nur Aini Mohamad, 56, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini pada pukul 6.36 pagi Rabu. Menurut Sarah, 30, Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kegagalan buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis. "Arwah ibu dah mula sakit serius sejak Oktober tahun lalu dan sering kali keluar masuk hospital.
“Siapa tak sedih apabila ibu kita dah pergi. Saya hanya kena reda dengan ketentuan takdir," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu di sini. Nur Aini yang juga isteri kepada pelakon Raisuddin Hamzah sebelum ini pernah bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum bersara akibat penyakit berkenaan. Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Sungai Pusu, Gombak dekat sini sebelum solat Zuhur.

Awi Rafael Enggan Komen Panjang Isu Putus Cinta

Penyanyi Awi Rafael mengambil pendirian untuk 'tutup mulut' dan enggan mengulas panjang berhubung isu putus cinta dengan pelakon Hanez Suraya. Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 27, menerusi laman Twitter sebaliknya berkata, dia hanya akan bercerita tentang perpisahan itu menerusi lagu-lagu yang bakal diciptanya sahaja. "Sebagai tanda hormat kepada Hanez, kerana dia adalah wanita, saya tiada komen untuk dikongsikan. Biarlah saya bercerita menerusi lagu-lagu saya," katanya. Hanez menerusi Berita Harian Ahad berkata, dia dan penyanyi kelahiran Singapura itu sudah pun berpisah selepas sekian lama bermasalah. Malah pelbagai usaha telah dilakukan namun hubungan mereka masih gagal diselamatkan. Pasangan itu menjalinkan hubungan cinta lebih daripada setahun dan menyifatkan kegagalan hubungan itu bermula apabila Awi terlalu mengejar cita-cita untuk mengukuhkan kerjaya nyanyiannya sehinggakan Hanez terpaksa menarik diri daripada perhubungan itu.
Bagaimanapun, dalam status Twitter Awi, dia turut mendoakan bekas kekasihnya itu mendapat kebahagiaan dan rahmat bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi. "Saya sentiasa doakan untuk Hanez. Semoga bulan Ramadan yang akan datang ini membawa ketenangan dan rahmat pada kamu sekeluarga. Amin dan Goodbye," ujarnya. Dalam pada itu Awi turut menyatakan fokusnya kini hanya menjaga ibunya dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier seninya. "Fokus saya sekarang adalah kepada ibu yang semakin tua dan kembara seni yang masih jauh. "Doakan Awi InsyaAllah. Terima kasih kerana menyokong," tuturnya.

Diana Danielle sudah bersalin

RASANYA tidak perlu Diva nak jadi ahli matematik atau pakar perbidanan di sini. Cuma apa yang Diva diberitahu, pelakon yang juga isteri kepada Farid Kamil iaitu Diana Danielle sudah pun selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Setakat ini, Diva masih belum dapat pastikan nama bayi atau berat semasa dia dilahirkan, tetapi dengarnya si comel itu dilahirkan di sebuah hospital berdekatan tempat kediaman Diana di Sydney, Australia, pada hujung Mei lalu. Mesti ramai yang masih ingat, Diana ke sana untuk belajar dan ramai juga yang pelik dan tersangat prihatin dengan Diana apabila tidak mempamerkan gambar perut semasa mengandung. Itu hak dia, dia nak pamer atau tidak. Ramai juga yang prihatin tentang tempoh kehamilan Diana apabila pelakon berkenaan mengumumkan kehamilannya dalam tempoh lebih kurang dua minggu selepas bernikah pada 3 November lalu. Belek-belek Instagram Diane, tiada pula gambar atau tanda-tanda bahawa dia ke hospital untuk bersalin. Biasalah, sesetengah artis tak suka hal keluarga mereka jadi tatapan. Apa-apapun, Diva bangga sebab Diana sudah berjaya menjadi ibu dan dalam masa yang sama bergelar pelajar perfileman di Sydney.

Saya tidak malu bercinta - Raja Azmi

CINTA dan air mata akan selama-lamanya menjadi teman setia buat semua wanita. Begitu juga dengan penerbit wanita sensasi yang sangat dikenali ramai, Raja Azmi Raja Sulaiman. Biarlah bermacam-macam dugaan, berhujan api kejian serta rentetan kontroversi yang pernah jatuh ke mukanya, wanita berumur 54 tahun itu tetap berpegang kepada prinsip hidup mesti diteruskan. Dia juga tidak pernah malu membuka kisah hidup untuk tatapan umum. Terbaharu, Raja Azmi mengaku dia bercinta lagi. Patah tumbuh hilang berganti, selepas putus cinta dengan seorang lelaki muda sekitar Januari 2013, pengarah filem ...Dalam Botol itu kemudian membuat pengumuman untuk mengakhiri zaman jandanya. Lelaki pilihannya itu ialah Eddie, pemain gitar yang pernah menyertai kumpulan CRK sekitar tahun 1990-an dulu. Pada usia 54 tahun dan bersulam hidup yang sarat dengan kontroversi ditangkap basah, bermalam di lokap dan bercerai dengan bekas pemain badminton, Jailani Sidek, itu semua tidak pernah menghalang mata Eddie untuk jatuh cinta dan melihat Raja Azmi sebagai wanita terpilih untuk menjadi suri di dalam hatinya. "Masa mula-mula kenal saya pun risau juga. Banyak yang dibaca melalui media tetapi sepanjang saya mengenali dirinya, dia seorang yang ceria dan banyak mendatangkan inspirasi kepada saya. "Ingat sekadar untuk berkawan tetapi dalam usia saya pun sudah 45 tahun, kami lebih banyak bercakap tentang perkara yang serius. Masing-masing juga mempunyai anak-anak. "Selama ini, sejak isteri saya meninggal, sayalah ibu dan bapa kepada anak-anak tetapi sejak dia muncul, situasi menjadi agak berlainan. Anak-anak saya senang dengan sikapnya. "Apa yang anak-anak selesa, itulah yang paling penting untuk saya," ungkap Eddie tentang Raja Azmi yang bakal disunting sebagai tunangannya pada 15 Julai nanti. Eddie atau nama sebenarnya Mohd. Eddie Ghazali merupakan duda selepas isterinya meninggal dunia. Dia mempunyai dua orang anak lelaki, Mohd. Daniel, 21, dan Mohd. Effy Ashley, 19. Kembali ke alam percintaan dan berkongsi kisah cinta untuk tatapan khalayak, Raja Azmi tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk. "Saya sedar mungkin ramai yang akan memandang sinis dalam hal ini. Mungkin ada yang berkata, sudah tua-tua pun masih bercinta-cinta. "Saya cuma mahu katakan, sejak berpisah dengan Jailani, hidup saya sunyi tanpa cinta dan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan lelaki yang menyintai saya dan memimpin saya di dunia dan akhirat. "Cinta juga tidak mengenal usia dan saya tidak akan pernah berhenti mencari cinta, cinta kepada Tuhan, anak-anak dan keluarga. "Semoga cinta ini dan jodoh saya dengan Eddie nanti akan dirahmati Ilahi," jelas Raja Azmi yang merancang mengadakan majlis pertunangannya mengikut adat biarpun masing-masing sudah berusia dan mempunyai anak. Katanya: "Walaupun sudah tua, kami tetap nak buat majlis pertunangan. Apa-apa pun kena ikut adat, adat juga tak mengenal usia. Lagipun saya masih mempunyai ibu dan wali. "Majlis pada 15 Julai nanti akan berlangsung secara sederhana selepas kedua-dua buah keluarga bertemu dan berbuka puasa bersama-sama di rumah saya." Raja Azmi dan Eddie merancang untuk berkahwin sekitar September. Menurut ibu kepada tiga cahaya mata serta dua orang cucu itu, dia merancang melangsungkan perkahwinan selepas pembikinan filem terbaharunya Anak Ikan selesai dilakukan. Ditanya tentang tempoh membahagiakan yang sedang dilalui kini, Raja Azmi tertawa: "Saya jatuh cinta pandang pertama." Eddie menambah: "Sejarah perkahwinan terdahulu bukan persoalan buat kami, rasanya seperti kembali muda."

Stacy Pilih Sukan Futsal Untuk Turunkan Berat Badan

Penyanyi Stacy mengakui gemarkan sukan yang popular dikalangan golongan lelaki iaitu futsal sebagai salah satu cara untuk dia mengurangkan berat badannya. Stacy berkata, dia gemarkan aktiviti lasak seperti sukan futsal dan selain itu dia juga gemar bermain badminton sekiranya mempunyai waktu terluang. "Sebelum ini berat saya 53 kilogram dan ramai yang menegur bentuk badan saya semakin berisi dan berazam untuk kuruskan badan. "Selain bersukan saya juga mengatur cara pemakanan supaya proses penurunan berat badan itu dapat dilakukan dengan cepat," jelasnya. Stacy mengakui sebelum ini dia kurang menjaga berat badannya kerana selain sibuk dengan kerjaya seninya dia juga banyak memberikan tumpuan kepada anak angkatnya, Bella Valentina. Selain itu jelasnya, kekurangan menjalani latihan tarian juga menyumbang kepada peningkatan berat badannya sejak akhir-akhir ini. Dalam pada itu, Stacy berkata, dia tidak mempunyai masa untuk bercinta kerana dia kini memberikan tumpuan penuh kepada anak dan kerjaya nyanyiannya. "Saya tiada masa bercinta kerana Bella adalah perkara pertama yang perlu diberi perhatian dan hubungan kami sangat rapat dan jarang berenggang untuk masa yang lama," katanya. Dalam perkembangan lain, Stacy berkata, dia baru sahaja selesai merakamkan sebuah lagu dengan kumpulan Smash dari Indonesia dan lagu berjudul Hello itu bakal dimuatkan dalam album terbaharu mereka.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails