Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Awin hadiah terindah - Izzue

SEPINGGAN nasi goreng menjadi titik permulaan kepada perkenalan pasangan Izzue Islam dan Awin Nurin yang telah sah bergelar suami isteri pada hari Ahad lalu. Cerita yang dikongsikan sendiri oleh penyanyi kumpulan Forteen itu, pertama kali dia bertemu dengan Awin ketika menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2008. Kata Izzue, dia ketika itu cuma seorang pembancuh air di sebuah kedai makan yang terletak berdekatan dengan salun rambut kepunyaan Awin di Petaling Jaya, Selangor. “Tiada istilah terhutang budi antara saya dan Awin. Saya mengenalinya sebelum bergelar artis lagi dan saya masih ingat mula-mula perkenalan saya membelanja dia sepinggan nasi goreng. “Syukur Alhamdulillah, hubungan kami berjalan lancar dan biarpun pada mulanya kami memilih untuk tidak bercerita kisah peribadi, selepas kami bergelar suami isteri tiada apa-apa lagi yang perlu kami selindungkan,” ujar Izzue yang ditemui usai majlis akad nikah bersama pasangannya, Awin Nurin di Dewan Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Dengan hanya sekali lafaz, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, selamat menjadi suami kepada Awin atau Nurinafilah Waharudin, 31, yang merupakan pengurus peribadinya selama lebih lima tahun. Menyarungkan sepasang busana berona putih rekaan Satris Anggun, pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit, 58, yang disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Masjid Negeri Selangor, Khairuddin Haiyon kira-kira pukul 9.45 pagi. Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak 11 dinar dan wang hantaran berjumlah RM11,111.11. Pengantin lelaki memberikan tujuh dulang hantaran berupa sebentuk cincin, set barang kemas, sepasang baju, tas tangan Fossil, cek wang hantaran, dompet dan senaskhah al-Quran serta sejadah. Sementara pihak pengantin wanita membalas sembilan dulang hantaran iaitu sebuah komputer riba Macbook Air Apple, sepasang baju kemeja, wangian Paco Rabanne, jam tangan Marc Jacobs, pemegang pasport, tepak sireh, kamera digital Nikon, sejadah dan al-Quran serta manisan. Hadiah hari jadi Istimewanya, majlis akad nikah dan persandingan yang diadakan pada Ahad lalu jatuh pada tarikh yang sama dengan sambutan hari jadi Izzue Islam yang ke-24 tahun. “Awin hadiah hari jadi terindah saya sepanjang hidup dan syukur Alhamdulillah kami kini selamat bergelar suami isteri. Insya-Allah kami mahu cepat-cepat dapat anak,” ujarnya berseloroh. Sementara itu, Awin berkongsi rasa gemuruhnya bergelar isteri kepada seorang selebriti yang sedang mencipta populariti dan digilai ramai wanita. “Kami belum pernah tinggal serumah dan mulai daripada hari ini kami akan lebih mengenali peribadi masing-masing dengan lebih mendalam. Kadang-kadang Izzue nampak juga seperti seorang yang cerewet,” kata Awin yang masih bekerja sebagai seorang eksekutif di Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). Hutang budi Izzue mencelah, katanya, sifat Awin yang matang sepanjang menguruskan kerjayanya sebagai seorang artis tidak menggugat kedudukannya sebagai suami atau menjatuhkan saham sebagai artis selepas berkahwin. “Dia seorang yang matang dan memahami kerjaya saya. Tidak ada langsung soal cemburu kerana dia yang mendapatkan saya tapak dalam bidang ini dan saya berbangga kerana memperisterikan seorang wanita yang memahami saya,” tambah Izzue yang teringin merasa masakan isterinya buat pertama kalinya. Malah kata pelakon Saya Sebenarnya Isteri Dia itu, dia tidak pernah melihat pilihannya untuk berkahwin dengan Awin adalah kerana terhutang budi kepada gadis kelahiran Selangor itu. “Dia sayang saya bukan sebab saya artis dan sepanjang enam tahun saya nampak kejujuran dia. Daripada saya bukan sesiapa sehingga hari ini, dia sentiasa berada di samping saya,” katanya yang belum merancang lokasi bulan madu. Majlis dihadiri oleh lebih 1,400 orang tetamu termasuk rakan artis. Antara selebriti yang hadir ketika acara berlangsung adalah Adi Putra, Lisa Surihani, Yusri, Edry, Sheera Ayob, Beto Kusyairy, Fadlan dan anggota kumpulan Forteen.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails