Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Black hampir putus tunang

TIADA khabar berita sejak bergelar tunangan orang, Black Mentor sebenarnya mempunyai alasan kenapa dia kurang mendapat publisiti sejak kebelakangan ini. Mendapatkan penjelasannya, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah berkata, dia tidak pernah lari daripada media. Cuma terdapat beberapa urusan yang membuatkan dia agak sibuk. Tambahnya, dia tidak mahu terlalu menonjol kerana dugaan bertunang amat berat untuk dipikul lebih-lebih lagi bagi seorang selebriti seperti dirinya. Black yang ditemui semasa rakaman Rockestra Raya untuk saluran TV9 bersama Amy Search dan Azlan The Typewriter di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini sempat bercerita. Ujarnya, dia hampir putus tunang ekoran perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Black bagi mengetahui cerita dugaan bergelar tunangan kepada gadis yang dikenali sebagai Cira Khairi itu. Kosmo!: Black, sejak anda bertunang pada 26 Januari lalu, susah betul mahu mendapatkan perkembangan terbaharu anda. Kenapakah anda seperti mahu melarikan diri daripada wartawan? BLACK: Sebenarnya saya bukan lari daripada sesiapa. Selepas bertunang, saya ada banyak jemputan show yang perlu dihadiri sehingga tidak menang tangan. Lebih-lebih lagi pada masa itu saya sering mengikuti kempen-kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-13 tempoh hari. Malah, saya juga sibuk menguruskan persiapan perkahwinan. Alhamdulillah, kini persiapan perkahwinan sudah hampir 70 peratus siap. Sudah mahu kahwin rupa-rupanya. Bilakah akan berlangsung hari bahagia Black tersebut? Itu saya tak boleh beritahu lagi. Saya akan buat sidang akhbar pada 3 Julai ini bagi mengumumkan tarikh perkahwinan saya itu. Di manakah lokasi dan masa pengumuman itu akan dibuat, saya akan beritahu kelak. Apa yang pasti, pernikahan itu akan berlangsung pada tahun ini juga. Sejak bertunang, apakah cabaran paling besar yang perlu anda hadapi? Saya akui dugaan bertunang amat berat. Tiga hari sebelum PRU-13 berlangsung, saya mengalami kemalangan di Behrang, Perak bersama abang. Kereta BMW saya terbalik dan berpusing. Syukurlah tidak ada kecederaan serius. Selain itu, saya dan tunang terkena buatan orang. Kami sebenarnya hampir putus tunang. Sebulan selepas bertunang, kami bergaduh hampir setiap hari. Pantang bercakap atau berjumpa, asyik panas sahaja. Tetapi syukurlah, setelah menjalani rawatan alternatif semuanya kembali pulih. Adakah anda mengetahui siapakah dalang di sebalik perbuatan tidak bermoral itu? Tidak. Kami tidak mengenali individu tersebut. Saya pun pelik mengapa perkara ini terjadi. Mungkin ini dugaan yang perlu dihadapi sejak berdarah manis. Saya pun tidak tahu kenapa perkara itu boleh terjadi kerana kami tidak pernah bermusuh dengan sesiapa. Tetapi tak apalah sebab semuanya sudah selesai. Memandangkan tarikh pernikahan anda bakal tiba tidak lama lagi, apakah persediaan yang dibuat untuk bergelar seorang suami? Saya sudah bersedia dan mula melengkapkan diri. Saya akan mengambil kursus perkahwinan pada bulan depan. Bila saya lihat semula, perjalanan saya untuk bergelar suami ini cantik dan sudah tersusun. Saya serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Black, kenapa anda terlalu merahsiakan gadis yang bertakhta di hati sehingga sekarang ramai yang masih menantikan kemunculan bakal isteri anda itu? Saya kalau boleh tak nak dia terlibat dalam industri ini kerana saya tidak mahu mencampuradukkan hal peribadi dengan kerja. Kalau boleh nak bersanding pun biar saya seorang di atas pelamin itu (ketawa). Tengoklah, saya tidak tonjolkan dia pun masih ada orang yang dengki dan tidak puas hati. Tunggulah pada majlis persandingan nanti. Bercerita mengenai kerjaya pula, apakah perkembangan terbaru anda? Insya-Allah saya akan muncul dengan dua buah single baharu yang berjudul Puisi Sang Dewi dan Takkan Terpisah yang masing-masing dijadikan runut bunyi untuk filem Lemak Kampung Santan dan drama untuk siaran Astro. Semoga rezeki saya semakin melimpah.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails