Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta selepas bernikah - Pierre Andre

ALAM perkahwinan pastinya merupakan suatu perkara yang diimpikan oleh setiap individu. Dan pastinya, seseorang yang mahu membina mahligai rumah tangga akan berfikir panjang sebelum memilih siapakah yang akan menjadi pasangan sehidup semati mereka. Untuk tujuan itu, kebiasaannya ia akan memakan tempoh masa yang bukan singkat untuk mengenali personaliti dan peribadi pasangan mereka, ada yang mengambil masa sehingga melebihi sepuluh tahun untuk berbuat demikian. Namun bukan setiap daripada kita mengambil langkah sedemikian kerana ada di antara kita yang tidak memerlukan masa terlalu lama sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama insan pilihan mereka. Pelakon dan pengarah, Pierre Andre, 28, yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama gadis pilihannya, Siti Nur Hidayah Hashim, 26, pada 23 Jun lalu sebaliknya memilih untuk tidak bercinta terlalu lama. Bagi Pierre, percintaan yang terlalu panjang tidak mendatangkan sebarang faedah sekiranya kedua-dua pihak tidak mempunyai perancangan untuk membina mahligai bersama. "Disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga tanpa terlalu lama menunggu. Kemudian kami akan terus menjalinkan hubungan cinta selepas bergelar suami isteri. "Memang tempoh percintaan kami hanya beberapa bulan sahaja tetapi saya yakin, Hidayah adalah wanita yang ditakdirkan untuk menjadi suri di hati saya," katanya. Kedua-dua mempelai itu disatukan hanya dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang diadakan bertempat di Masjid Al-Ikhlas, Taman Melati, Selayang pada pukul 2.10 petang. Pihak lelaki memberi wang hantaran berjumlah RM20,000, mas kahwin sebanyak RM300 dan tujuh dulang hantaran sambil dibalas oleh pengantin perempuan dengan sembilan dulang hantaran. Sementara itu, Hidayah yang juga seorang model menjelaskan antara ciri-ciri yang membuatkannya terjatuh hati kepada anak lelaki pelakon Khatijah Tan ialah sifat kesederhanaan yang dimiliki. "Saya akui saya jatuh hati dengan sifat peribadi Pierre, disamping caranya yang lebih gemar kepada kesederhanaan," katanya. Majlis resepsi sebelah perempuan bakal diadakan selepas hari raya tahun ini manakala majlis sebelah pihak lelaki masih belum ditentukan. Lega Pierre sudah bernikah Selain kedua mempelai yang diraikan, pastinya ibu kepada pengantin juga tidak kurang gembira di saat detik perkahwinan anak sulungnya, apatah lagi beberapa hubungan sebelum itu pernah kecundang di tengah jalan. Jelas Khatijah, sebagai ibu, pastinya dia gembira dan terharu disaat Pierre melafazkan akad nikah justeru menyaksikan anak lelakinya itu kini telah melangkah ke alam baru dan memikul tanggungjawab baru sebagai suami orang. "Tidak dinafikan sebelum ini, saya sering berasa runsing akan perihal Pierre. Walaupun dia seorang anak yang baik tetapi sebagai ibu, saya tetap risau memikirkan dirinya. "Kini dia telah berumah-tangga dan saya berharap mahligai yang mereka bina ini akan terus kekal sehingga ke akhir hayat mereka. "Pastinya ini merupakan antara detik paling menggembirakan dalam hidup dan saya mendoakan yang terbaik buat kedua-duanya," katanya yang ditemui selepas selesai majlis pernikahan tersebut. Tambah Khatijah lagi, dia berharap Hidayah akan dapat memahami tugas dan tanggungjawab yang dipikul Pierre, apatah lagi sebahagian besar daripada masanya akan dihabiskan di luar rumah.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails