Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dua watak berbeza - Faezah Elai

DI mana kan ku cari ganti, Serupa dengan mu, Tak sanggup ku berpisah, Dan perhati patah, hidup gelisah. Itulah antara bait-bait lagu bertajuk Di Mana Ku Cari Ganti gubahan dari Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem Ibu Mertua Ku. Keindahan lagu tersebut memberi inspirasi bagi pengarah tersohor Osman Ali mengadaptasikan lirik lagu Di Mana Ku Cari Ganti kepada sebuah telefilem menerusi Slot Tribute P.Ramlee. Faezah Elai yang membawa dua watak dalam telefilem tersebut mengakui penghayatannya tidaklah seteruk mana walaupun memegang dua watak berlainan. "Dalam telefilem ini, saya diberi tugas besar untuk menjadi Aishah dan Fatin. Tetapi saya rasa tidaklah susah, kerana setiap kali turun ke set penggambaran, saya akan lakukan latihan serta percubaan terlebih dahulu. "Memang pada mulanya agak sukar untuk saya teruskan watak tersebut. Dengan bantuan barisan produksi, akhirnya saya berjaya juga," katanya kepada Hits. Sudah tercalon, jangan tidak datang pula ya Faezah. Nanti peminat naik muak dengan kita. Menjawab perkara itu, Faezah berkata, dia akan memberi komitmen sebaik mungkin kerana pencalonannya di anugerah itu adalah berdasarkan kepuasan semua orang. "Sudah tentu ini kerja saya. Orang percaya akan lakonan saya. Jadi saya kena memberi perhatian. Untuk pengetahuan, saya tidak mengejar populariti. "Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat menghadirkan diri pada sidang akhbar anugerah tersebut," katanya yang akan bercuti bersama keluarga ke Australia pada 29 Mei ini. Tugas getir pasti menanti Faezah kerana dia dicalonkan untuk pelakon wanita terbaik bersama-sama pelakon hebat yang lain. Siapa bakal menjadi juara untuk kategori berkenaan hanya akan diketahui pada malam kemuncak Tribute P.Ramlee, 7 Jun ini yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Di saat gembira bergelar seorang isteri dan ibu, Faezah Elai mengakui hidupnya agak kelam kabut. Ini kerana dia masih dalam proses membiasakan diri membahagi masa antara tanggungjawab di rumah dan komitmen pada kerjaya lakonan. Lebih-lebih lagi sekarang dia perlu menumpukan perhatian lebih pada puteri sulungnya, Dealova Heyrinna yang baru berusia tiga bulan. Faezah turut memberitahu buat masa ini dia tidak mempunyai pengasuh kerana yang lama sudah berhenti. "Bergelar ibu sangat menyeronokkan tetapi saya pula jadi kelam kabut. Banyak perkara yang perlu saya fokuskan. Anak pula masih menyusu badan," katanya. Dalam telefilem Di Mana Ku Cari Ganti, Faezah bergandingan dengan Arja Lee, Farah dan Mislina Putera. Telefilem itu mengisahkan kisah cinta dan kasih sayang seorang suami kepada isterinya yang telah meninggal dunia akibat kemalangan. Ketika itu isterinya, Chah sedang mengandung anak sulung mereka. Hanya potret isterinya menjadi kenangan bagi mengubati rindunya terhadap isterinya yang telah pergi. Kini anaknya Amira permata hatinya dan peneman sejati di kala sunyi. Pada suatu petang Amira bersiar-siar di pusat membeli belah. Amira telah bertemu dengan seorang wanita , wajahnya saling tidak tumpah seperti ibunya. Amira beranggapan bahawa wanita tersebut adalah ibunya yang tidak pernah dijumpainya. Fatin, berasa terkejut apabila disapa oleh Amira. Setelah memeluk Amira, Fatin merasakan sesuatu yang aneh terhadap kanak-kanak kecil ini. Naluri keibuan mengalir dalam dirinya tatkala bertemu dengan Amira.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails