Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Elyana nafi hidap kanser

KETIKA ini kisah mengenai artis berbakat besar iaitu pelakon dan penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau lebih popular dengan panggilan Elyana agak jarang kedengaran. Kelihatan seperti memencilkan diri daripada industri hiburan, tiba-tiba ada sumber yang menyatakan penyanyi itu kini sedang bertarung dengan penyakit kanser. Namun begitu, sumber berkenaan tidak menyatakan jenis kanser yang dihidapnya. Apa yang lebih mengejutkan, akibat penyakit yang dideritainya itu membuatkan Elyana pergi mengerjakan umrah baru-baru ini dan berdoa di depan Kaabah agar penyakitnya itu sembuh. Bagi mendapatkan cerita yang sebenar, Kosmo! menghubungi Elyana yang sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang kerana ingin pergi bercuti bersama ibu dan kakaknya ke Vietnam. Kosmo!: Rasanya sudah agak lama tidak mendengar perkembangan Elyana. Apakah aktiviti anda sekarang? ELYANA: Buat masa ini saya sedang sibuk dengan proses pembikinan album terbaharu yang dijangka dilancarkan pada tahun ini. Ia merupakan album yang kelima selepas Jaga Diriku yang dihasilkan pada tahun 2007. Minta maaf, saya ingin bertanya tentang kesahihan berita ini. Betulkah anda sedang menghidap penyakit kanser? Sakit kanser? Rasanya sekarang saya masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit kritikal. Kalau setakat demam itu memang ada, tetapi tidak pula mengalami penyakit kronik seperti kanser. Ada orang kata pemergian anda ke Mekah untuk mengerjakan umrah tempoh hari kerana mahu berdoa di depan Kaabah agar penyakit itu cepat sembuh. Boleh komen sedikit? Sebenarnya pemergian saya ke Mekah bersama suami merupakan undangan daripada pihak produksi rancangan Romantika yang akan disiarkan di Astro pada bulan Ramadan ini. Secara jujurnya saya agak terkejut dan ia undangan pada saat-saat akhir. Sebelum ini rancangan tersebut menyiarkan pasangan selebriti yang bercuti di tempat percutian yang menarik, tetapi apabila tiba giliran saya mereka buat keputusan untuk membawa kami ke Mekah dan saya rasa sangat bertuah. Biasanya kebanyakan artis wanita yang pulang dari Mekah, pasti mereka akan membuat perubahan terutamanya tampil bertudung. Bagaimana pula dengan imej anda selepas mengerjakan umrah? Secara jujurnya saya masih lagi tampil seperti biasa, namun sentiasa berdoa agar terbuka pintu hati untuk bertudung nanti. Buat masa ini saya mahu menjaga solat terlebih dahulu. Berkenaan dengan pembikinan album, apa yang membuatkan anda mahu kembali muncul dengan album baharu? Penerbitan album ini merupakan permintaan daripada peminat yang selalu bertanya tentang produk terbaharu saya. Lagipun kali terakhir saya menghasilkan album ialah kira-kira enam tahun lalu. Selain itu, saya rindu untuk masuk semula ke studio rakaman setelah lama tidak berbuat demikian. Perancangan ini sudah lama dibuat, namun masa selalu tidak mengizinkan. Boleh ceritakan tentang album berkenaan? Setakat ini sudah ada dua buah lagu yang saya rakam, termasuk single yang dirakamkan pada dua tahun lepas berjudul Sewaktu Dulu-Dulu. Secara keseluruhannya ada 10 buah lagu yang akan dimuatkan dalam album itu. Berkenaan dengan konsep pula, saya masih lagi mengekalkan muzik Pop Rock. Tetapi kali ini susunan muzik dan lirik untuk setiap lagu menjadi lebih matang dan bersesuaian dengan usia saya sekarang yang sudah menjangkau 26 tahun. Bagaimana pula dengan aktiviti lakonan? Saya mahu memperlahankan aktiviti lakonan kerana ingin memberikan lebih tumpuan kepada pembikinan album baharu saya ini. Selepas album tersebut disiapkan, barulah saya akan aktif semula.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails