Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ini cara Sakinah

APA yang dia fikir" itu mungkin merupakan kata-kata awal penonton laman sosial Keek milik pelakon wanita ini. Bukan soal terlalu berani yang membuatkan nama dia terus dihurung kontroversi tetapi mengapa dia tidak pernah mahu berhenti untuk terus melakukan perkara yang sama. Menjawab persoalan itu, Hits mengatur sesi fotografi bersama pelakon yang mula dikenali melalaui drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang ini. Mahu menjadi diri sendiri, serta berkongsi kegembiraan merupakan jawapan padu yang diberikan Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar ketika ditanya tujuan sebenar dia memuat turun video yang dianggap menyinggung oleh sesetengah pihak. Bukan mahu bersikap degil atau sengaja mempamerkan keegoan diri, bagi Sakinah mereka di luar sana sentiasa diberi peluang untuk tidak menonton dan seterusnya mencemuh dirinya. "Saya hanya mahu menjadi diri saya, bukan soal serik atau tidak serik tetapi saya mahu mereka di luar sana menerima saya seadanya. "Jangan hanya melihat video itu untuk mencari bahagian yang negatif, cuba amati betul-betul ada kisah yang ingin saya sampaikan sebenarnya," katanya. Ketika dia terus-terusan ditekan perkara ini, Hits ajukan soalan tidakkah dia berfikir kesan tindakan ini, sebelum memuat turun video sebegitu. Menjawab soalan ini Sakinah memberitahu, bukan sebab sengaja mencari publisiti murahan menyebabkan dia kelihatan begini. "Saya hanya melakukan aktiviti harian saya, dan bila saya terfikir untuk berkongsi langsung saya kongsikan bersama peminat. Soal kesan itu sebenarnya, memang saya ada fikirkan, cumanya percaturan itu salah apabila saya fikirkan artis yang tidak terlalu popular seperti saya ini tidak akan membawa impak, mungkin saya silap soal itu. "Tetapi itu bukan bermakna saya akan bersikap plastik, ia seharusnya menjadi video yang mampu membuat penonton ketawa sebab itu yang saya mahu," katanya. Bersikap 'bodoh' seperti yang dilabel oleh sesetengah pihak, bagi Sakinah itu merupakan pendirian masing-masing, sungguhpun tujahan kritikan itu agak pedas namun bagi adik kepada pelakon Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahira (Shira) dia lebih mementingkan kehendak dirinya. "Jika ada artis yang memilih untuk berkongsi aktiviti harian mereka dengan cara yang berbeza, itu cara mereka. Tetapi saya bukan mereka, saya ada cara saya sendiri. "Saya mahu peminat mengenali saya ketika saya di luar bebanan kerja, bukan sebagai pelakon tetapi sebagai Sakinah," katanya. Berkongsi perasaan sebenarnya ketika perbuatannya ini terus dipersoalkan, menurut Sakinah dia sesekali tidak akan berubah menjadi orang lain demi memuaskan hati mereka di luar sana. "Saya tidak akan jadi hamba kepada mereka yang membenci saya, bagi saya perasaan saya dan keluarga lebih penting dari semuanya. "Ironinya ketika saya sangka ramai yang tidak menyukai saya, ada juga peminat yang mahu saya terus menjadi diri saya yang dilihat mereka sebagai sesuatu yang berani dan jarang dilakukan artis lain," katanya. Keluarga lebih kenal siapa Sakinah Kedua-dua kakaknya mempunyai reputasi yang agak hebat di kancah dunia lakonan. Menjelaskan situasi dirinya dengan keluarganya, menurut Sakinah dia bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sangat memahami. Malah dia turut memberitahu kakaknya Shira juga tidak pernah menyalahkan dirinya. "Kakak saya okay, ketika perkara ini diperkatakan, dia cuma memberi nasihat. Bagi saya nasihat mereka sangat ikhlas, yang saya sendiri tahu ia lebih kepada kebaikan. "Memandangkan mereka lebih mengenali saya lebih dari mereka di luar sana, antara nasihat yang mereka sertakan agar lebih berhati-hati pada masa hadapan. Tetapi mereka lebih faham dengan diri saya, yang tetap mahu adik mereka ini menjadi diri sendiri," katanya. Ditanya sampai bila dia akan berterusan berkelakuan seperti ini memandangkan perjalanannya di dalam industri ini masih jauh, bagi Sakinah dia sendiri tidak tahu. Namun ada sesuatu yang tidak akan dikompromi dirinya iaitu untuk sentiasa berkongsi keceriaan. "Ia bukan sesuatu yang buruk, kalau mereka di luar sana faham ia lebih kepada cara untuk saya menghiburkan mereka. "Mungkin saya terlibat secara langsung dengan industri menyebabkan perkara ini menjadi lebih besar," katanya. Menggodam laman Keek pelakon Anzalna sewaktu video kontroversinya tersebar, Hits sekali bertanyakan bagaimana sebenarnya hubungan kedua-dua pelakon remaja ini. Menjelaskan Anzalna sebagai antara rakan artis yang rapat dengannya, perkara yang terjadi sebelum ini sedikitpun tidak menjejaskan hubungan mereka. "Hubungan kami masih baik, malah sewaktu video itu dilakukan dia ada bersama saya. Senang cerita Anzalna kenal siapa saya. "Sebab itu saya agak marah ketika ada pihak yang cuba melagakan kami sewaktu perkara ini belum reda," katanya. Memang sudah terkenal dengan sikap bersahaja, Hits mencadangkan Sakinah untuk kekal menjadi pelakon komedi yang sebelum ini Shira juga memang terkenal dengan gelaran pelakon komedi. Enggan berbuat begitu, bagi Sakinah sebagai pelakon dia sebenarnya lebih senang untuk menerima pelbagai watak berbeza. "Walaupun perangai saya macam ini, bukan bermakna saya selesa untuk dikenali sebagai pelakon komedi, saya mencari kepuasan dalam lakonan dan saya mahu kekalkan itu. "Tetapi saya tidak kisah sebenarnya jika ditawarkan watak komedi sekali sekala," katanya yang sebelum ini terkenal melalui drama bersiri Bunga Merah Punya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails