Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kematangan Remy Ishak

LAPAN tahun lalu, Mohd. Zalimi Ishak bukan sesiapa. Dia hanya seorang pekerja biasa di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Ia berbeza kini. Kini, ke mana kaki melangkah dan perlakuannya diperhatikan khalayak. Dirinya menjadi buah mulut dan kegilaan wanita. Satu hal yang cukup luar biasa dan sukar diterima, sehingga membuatkan dia melalui fasa kejutan budaya yang hampir merosakkan imejnya dengan pihak media. Itu pengakuan yang diluahkan lelaki yang lebih dikenali dengan nama komersialnya, Remy Ishak. Bicara larut malam kami di Seoul, Korea Selatan sewaktu sama-sama mengikuti rombongan pemenang Anugerah Skrin 2011 & 2012 ke negara tersebut selama seminggu minggu lalu, berlangsung santai. Sesekali, boleh dilihat aktor yang memenangi kategori aktor terbaik dalam anugerah tersebut itu cuba mencari zon selesa dalam beberapa persoalan berkaitan kontroversi tentang dirinya. Namun, semua persoalan yang 'ditembak' kepadanya disambut dengan kemas. Satu persatu dia menjawab dengan penuh hemah, termasuk isu panas baran, putus cinta dengan pelakon Tiz Zaqyah dan hala tuju kariernya pada masa depan. Mula bicara, Remy bercerita panjang tentang keterjebakan dirinya dalam dunia hiburan. Dia mengaku, keinginan untuk menjadi pelakon telah wujud sejak di bangku sekolah. Lantas, usai tingkatan lima, tanpa memberitahu ibunya, dia kerap turun naik bas dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk menghadiri pelbagai uji bakat yang dilihat menerusi iklan dalam akhbar. "Ramai orang salah sangka tentang penglibatan saya sebagai anak seni yang bermula daripada pertandingan seperti Hero Remaja dan sebagainya. "Ironi, saya tidak pernah memasuki sebarang pertandingan. Saya menjadi pelakon melalui pelbagai uji bakat yang saya hadiri. Saya yakin diri yang kononnya saya memang berbakat sebagai seorang pelakon," katanya tersenyum mengimbas kisah perdana dia hadir sebagai pelakon. Bagaimanapun, tidak semudah seperti yang disangka, dia kerap ditolak atas alasan tidak cukup kacak, jauh sekali mempunyai pakej komersial untuk dijual kepada khalayak. Hampir berputus asa, lalu dia mencari pekerjaan dalam bidang perhotelan yang menjadi mata pencariannya selama lima tahun, sebelum takdir kehidupan bertemu noktah yang membahagiakan. Pertemuan dengan sutradara yang telah dianggap sebagai abangnya, Osman Ali merubah segalanya. Pada waktu dia menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perhotelan yang dibiayai sepenuhnya oleh hotel tempat dia bekerja ke luar negara, Remy perlu memilih untuk menjadi pelakon dengan tawaran membintangi karya arahan Osman, Aquarium Cinta. "Akhirnya, saya memilih untuk menjadi pelakon dan terlibat dalam karya Aquarium Cinta. Sayangnya, karya tersebut hanya separuh jalan. "Saya mula berasa menyesal kerana tidak memilih untuk sambung belajar, namun saya yakin bahawa hikmah dan rezeki menjadi pelakon tetap ada dan saya benar kerana tidak lama selepas itu saya terlibat dalam filem Anak Halal. Dari situ, karier seni saya terus bermula," katanya sambil bersandar tenang di kerusi.
Bermula dengan Anak Halal, namun nama Remy menjadi sebutan menerusi drama bersiri Nur Kasih. Remy Ishak tiba-tiba menjadi begitu terkenal, digilai dan memberi pengaruh yang luar biasa terhadap peminat perfileman tempatan. Deretan karya lakonannya yang lain menyusul, termasuk drama-drama bersiri yang mencapai hit tersendiri termasuk yang sedang hangat ditayangkan, Cinta Jangan Pergi. Pada saat populariti melingkari dirinya, Remy ironinya mengalami kejutan budaya yang begitu tinggi. Luahnya: "Saya jadi bingung dan rimas kerana saya tidak pernah meletakkan diri sebagai artis popular atau selebriti. Saya hanya orang biasa. Sementelah pada waktu itu, saya masih baharu dalam bidang ini. "Jadi saya berasa tertekan dan kurang selesa apabila sering diasak dengan pelbagai persoalan daripada pihak media. Ini kerana pada waktu itu juga, saya menutup diri saya, terutama tentang kehidupan peribadi saya. Saya berfikir mengapa khalayak perlu ambil tahu kisah diri saya berbanding karier saya. "Namun kini, selepas lebih lapan tahun menjadi anak seni dan telah melalui fasa-fasa kejutan dan ketegangan sebegitu, saya sudah memahami corak dunia hiburan. "Saya minta maaf jika ramai yang kurang senang dengan sikap saya yang kelihatan agak dingin sebelum ini. Saya kini lebih tenang dan terbuka, asal ia tidak keterlaluan." Lanjut Remy lagi, dia kini semakin matang dengan setiap pengalaman yang telah dilaluinya. Sepak terajang yang dilaluinya sepanjang lapan tahun dianggap satu proses yang baik buat dirinya. Melabelkan diri sebagai seorang pejuang, dia tidak akan mengalah. "Sebaliknya, saya akan terus berjuang kerana pada awal menjadi anak seni, saya sudah tanam dalam diri untuk apa jua situasi saya harus berjuang," katanya. Panas baran Satu pemikiran buruk yang tidak pernah terlepas daripada dirinya ialah label pemarah, panas baran dan kaki pukul. Remy nampak kurang selesa saat persoalan tersebut dilontarkan kepadanya. Secara jujur, pinta Remy dia tidak mahu membangkitkan hal seumpama itu. "Saya harap selepas ini, tidak lagi diajukan persoalan seperti ini. Saya bukan pemarah, panas baran atau kaki pukul. "Mungkin, pada fasa saya menerima kejutan budaya, saya bersifat agak dingin, lantas label tersebut terus melekat. Hakikatnya saya tidak begitu," jelasnya yang turut memberitahu tidak mahu membuat ibunya susah hati dengan khabar negatif seumpama ini. Mengaku secara peribadi dirinya seorang yang pemalu dan kekok untuk bergambar apatah lagi dipuja peminat yang sering mahu mengetahui tentang dirinya, dia menafikan dirinya perasan bagus. Ujar anak kedua daripada empat beradik ini, dia tidak pernah menilai dirinya sebagai seorang yang bagus atau hebat. Baginya, tempoh lapan tahun yang dilaluinya sebagai anak seni ini adalah proses pembelajaran yang perlu diteruskan. "Saya tidak pernah berasa diri saya bagus atau meletakkan diri saya lebih baik daripada pelakon lain. Sejujurnya, saya masih dalam proses belajar dan bekerja keras untuk memastikan karier saya berjalan lancar," katanya. Justeru, dia juga tidak kisah untuk terbabit dengan produksi kecil atau baharu seperti penglibatannya dalam filem akan datang yang berjudul CEO. Filem aksi komedi yang mengandingkan dirinya dengan Beto Kushairy menurut Remy bakal diarahkan oleh pengarah baharu, Razaisyam di bawah produksi baharu, ARA Film. Bagaimanapun, katanya apa yang penting, produk tersebut berkualiti dan memberi impak yang baik kepada masyarakat. "Saya mengaku, saya harus selektif dan mementingkan tentang proses sesebuah karya, namun itu tidak bermakna saya tidak membuka ruang untuk orang baharu mengambil saya berlakon. Apa yang penting, semua harus profesional," katanya yang menonton semula hasil lakonannya untuk memperbaiki kelemahannya.
Wanita Hampir menutup bicara dengan lelaki berusia 31 tahun ini, persoalan tentang cinta umpama satu bom jangka yang juga mahu dielakkannya. Remy banyak tersenyum daripada menjawab persoalan yang dilontar kepadanya, umpama satu gambaran jelas bahawa hatinya yang pernah dirobek carik satu ketika dahulu kini sedang disulam semula dengan benang-benang asmara. "Selepas putus cinta dahulu, kini saya boleh mengaku yang hati saya telah pulih daripada kekecewaan. Ia (kecewa) pulih dengan secara berperingkat-peringkat dan saya kini bahagia menjalani kehidupan sebagai lelaki solo. "Ya, pada usia 31 tahun, saya memang ada perancangan untuk berkahwin, tapi bukan sekarang. "Buat masa ini, saya mahu fokus pada karier dan menambah aset untuk kelangsungan hidup saya. Niat saya, jika saya bertemu jodoh semula, saya mahu menyediakan segala keperluan yang lengkap untuk bakal isteri saya. "Jadi sekarang, saya perlu mencari seorang teman hidup yang ikhlas menerima saya sebagai Remy yang bukan pelakon dahulu," jelasnya yang tidak menolak untuk jatuh cinta dengan rakan pelakon atau wanita di luar lapangan seni. Ditanya tentang hubungannya dengan aktres Maya Karin yang mengaku dirinya kini sedang mengenali hati budi seseorang, Remy pantas menjelaskan bahawa lelaki yang dimaksudkan Maya bukan dirinya. Tegasnya: "Saya dan Maya memang tidak pernah bercinta. Kami hanya kawan dan saya sangat selesa berkawan dengannya kerana sifat dia yang terbuka. Jika dia memberitahu telah berjumpa seseorang, saya tumpang gembira." Ditebak adakah dia menerima konsep jodoh pilihan keluarga atau wanita memulakan langkah pertama memandangkan dia kini berstatus solo, Remy ketawa mengekeh. Dalam malu-malu dia menjawab: "Jodoh dipilih keluarga, mungkin tidak kerana saya lebih selesa memilih wanita pilihan sendiri. "Bagaimanapun, jika ada wanita yang mengurat saya dulu, saya boleh terima konsep itu."

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails