Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Poligami di mata Ashraf

LAMA sudah tidak bertemu dengan pelakon Ashraf Muslim. Sejak kontroversi poligami yang mengaitkan namanya menjadi kecoh, sukar sekali untuk menjejaki dirinya. Bertemu dengan Ashraf baru-baru ini di set penggambaran drama terbitan produksi miliknya berjudul Qarina di Yayasan Restu, Shah Alam, Selangor, jelas sekali wajahnya kelihatan sedikit cengkung. Ashraf hanya mengangguk, mengakui yang dia sememangnya banyak berfikir sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, kata Ashraf, dia berada dalam keadaan stabil dan tidak pernah tergugat dengan apa yang berlaku meskipun telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Operasi di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah milik bapa mertuanya Lokman Abdul Hamid. "Alhamdulillah, saya masih okey, keadaan saya stabil. Walaupun saya mengundur diri daripada bekerja di pusat perubatan, saya masih lagi merawat orang jika ada orang memerlukan bantuan saya," balasnya. Disoal tidakkah dia berada dalam keadaan tertekan selepas kontroversinya hangat diperkatakan? Jawabnya tenang: "Saya hanya perlu bersabar kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya menganggap ini sebagai ujian Allah kepada saya dan juga keluarga." Akui Ashraf, kontroversi seperti ini bukan yang pertama buatnya kerana dia sudah lali sebagai seorang selebriti, tetapi kali ini kesannya lebih berat terhadap isterinya, Noor Dayana. "Saya okey, tetapi tidak isteri saya. Memang dia kelihatan kuat, tetapi lumrah wanita apabila berhadapan dengan isu seperti ini pasti meninggalkan kesan. Saya mempunyai cara untuk tenangkannya dan selalu meminta dia berfikir secara positif selain berdoa kepada Allah. "Hubungan saya dan isteri tidak ada masalah, kami masih bahagia bersama dan dia masih satu-satunya isteri saya sehingga ke hari ini. Kalau boleh saya tidak mahu isu ini berlarutan lagi, cukuplah apa yang sudah terkeluar di akhbar sebelum ini," pintanya. Sebelum ini, heboh kononnya Ashraf bakal menikahi seorang wanita bernama Sakinah, malah kelibatnya di mahkamah syariah juga telah dihidu pihak media. Tegas Ashraf, setakat hari ini dia tidak menikahi mana-mana wanita selain isterinya. "Memang saya ada ke mahkamah syariah, tetapi saya tidak boleh kongsi kenapa dan untuk apa saya ke sana kerana bersifat terlalu peribadi.
"Saya mengakui mengenali Sakinah kerana dia seorang kawan lama saya, tetapi itu sahaja yang saya boleh beritahu. Soal berkahwin lagi (dengan Sakinah), saya tidak boleh komen kerana jodoh, pertemuan dan ajal segalanya di tangan Allah," katanya. Ditebak lagi, kontroversi poligami tersebut tercetus gara-gara dia dan isteri masih belum dikurniakan cahaya mata meskipun telah berkahwin selama dua tahun sejak Ogos 2011, Ashraf hanya menggelengkan kepalanya . "Sudah belum ada rezeki nak buat macam mana? Rezeki semuanya datang daripada Allah, saya hanya mampu berdoa tetapi isu anak tidak timbul," balasnya. Apabila ditanya apa pandangannya terhadap isu poligami secara umum, Ashraf terdiam seketika sebelum meluahkan buah fikirannya. "Saya tidak faham kenapa isu poligami dipandang negatif. Rata-rata orang Malaysia memandang serong terhadap orang yang berpoligami sedangkan ia bukan satu perkara yang berdosa. "Apa yang penting dalam sebuah perkahwinan, suami isteri harus faham hak masing-masing. "Mereka juga harus sedar tanggungjawab masing-masing. Tidak kisahlah poligami atau tidak, tetapi itulah asas dalam setiap perkahwinan. "Jika ada seorang isteri tetapi suami tidak menjalankan tanggungjawab pun tidak boleh juga. Ini pandangan saya secara umum, bukannya menjurus kepada kontroversi saya," ujarnya dalam nada yang cukup serius. Beras Muslim Dalam kekecohan kontroversi dirinya yang dikatakan berpoligami itu, Ashraf tiba-tiba pula meninggalkan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah. Kini, Ashraf sibuk mengguruskan syarikat produksi, Hidayah Production selain dalam proses mengeluarkan beras menggunakan jenama Muslim bersama dua rakan kongsinya tidak lama lagi. "Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana otak saya ligat berfikir, apa yang harus saya lakukan untuk masa hadapan. Bukan untuk pendapatan hari esok sahaja tetapi pendapatan untuk 30 tahun akan datang. "Selepas saya mengundurkan diri daripada Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, saya lebih banyak masa untuk menguruskan perniagaan saya sendiri. "Contohnya produksi ini sebenarnya sudah lama wujud dan telah menerbitkan tiga buah drama. "Disebabkan saya yang sentiasa sibuk, banyak rancangan tergendala. Sekarang, saya telah membawa haluan saya sendiri dan yakin inilah pilihan yang tepat," katanya. Besar rancangannya untuk syarikat produksi tersebut. Menjelaskan itu antara medium yang digunakan untuk berdakwah, katanya, kesemua program terbitannya akan mempunyai unsur Islamik dan dakwah tidak kiralah apa juga program yang diterbitkan. "Berdakwah bukan satu cara sahaja, banyak cara lagi. Bagi saya, medium penyiaran amat besar pengaruh terutama pada golongan muda dan kanak-kanak. Sebab itu, saya menggunakan medium ini untuk menyebarkan dakwah. "Mereka yang menontonnya boleh terhibur tetapi dalam masa yang sama ada mesej yang ingin disampaikan. Jika mereka dapat menerima sedikit daripada mesej itu sudah memadai buat saya," jawabnya.
Selain syarikat produksi, Ashraf juga ligat dengan perniagaan beras di bawah jenama Muslim yang dijangka akan berada di pasaran selepas Hari Raya Aidilfitri kelak. Menariknya, beras yang keluarkan oleh syarikat bumiputera sepenuhnya itu turut menyumbang kepada tabung wakaf daripada setiap pembelian beras. "Jika tidak ada aral melintang, selepas raya saya akan keluar dengan beras jenama Muslim. Sekarang dalam proses pengilangan dan tidak lama lagi, saya akan buat promosi secara besar-besaran. "Apa yang ingin saya tekankan, selain membeli beras sebagai makanan ruji, pembeli juga secara tidak langsung berwakaf kerana saya ingin orang yang membeli menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. "Mungkin saya akan buat 10 atau 20 peratus daripada pendapatan beras disalurkan terus kepada tabung wakaf. Membeli dan mendapat pahala dalam masa yang sama, bukankah itu cara yang baik untuk beramal?" ujarya. Tidak terhad dengan dua perniagaan itu sahaja, Ashraf juga merupakan seorang pengedar tunggal bagi minyak wangi jenama Solat Perfume di seluruh Malaysia. Disebabkan jadual yang padat, Ashraf amat selektif dalam memilih produksi lakonannya. "Saya tidak berlakon seperti dahulu lagi, hanya muncul berlakon jika mempunyai masa dan skrip yang sesuai. "Bukan tidak mahu berlakon tetapi jadual saya tidak mengizinkan kerana berlakon memerlukan masa yang panjang untuk menunggu. Sekarang masa saya amat terhad," luahnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails