Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Razali kahwini guru tari sekolah

SEMUANYA tercetus selepas gambar pernikahannya tersebar menerusi laman Facebook milik selebriti Roslan Shah. Menerusi laman sosial itu, Roslan telah melahirkan perasaan terkilannya. Ini kerana sebagai individu yang pernah rapat dengan Razali, malah mengenali keluarganya, dia bukan sahaja tidak dijemput, malah langsung tidak mengetahui mengenai pernikahan Razali itu. “Dia (Razali Hussein) menikah pada Jumaat, 7 Jun lalu. Saya hanya mendapat tahu mengenainya pada Ahad, 9 Jun daripada individu yang hadir pada majlis perkahwinannya itu. Mereka tanya kenapa saya tidak dijemput, sedangkan kami kenalan rapat,” ujarnya kepada Kosmo!. Sehubungan itu, Kosmo! segera menghubungi aktor berusia 37 tahun itu bagi mendapatkan pengesahan selanjutnya. Razali akhirnya mengakui dia sudah berkahwin dengan seorang guru tari sekolah bernama Nik Nor Azlina pada Jumaat lalu di Masjid Az-Zubair Ibnu Awwam, Cheras, Kuala Lumpur. Dia sah bergelar suami kepada wanita berusia 29 tahun itu dengan mas kahwin berjumlah RM120 manakala wang hantaran sebanyak RM13,000. Majlis resepsi pasangan itu pula berlangsung Sabtu, 8 Jun lalu di Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan. Ia hanya dihadiri oleh keluarga dan teman-teman terdekat pelakon dan juga penyanyi itu termasuk beberapa peserta program realiti Audition dan juga penyanyi Farhan AF. Kosmo!: Tahniah Razali. Kenapa rahsiakan berita baik ini (kahwin)? RAZALI: Bukan merahsiakan, cuma memang tidak jemput media kerana ia dibuat di sebelah pihak perempuan. Saya jemput adik-beradik sahaja. Insya-Allah, kenduri pihak saya nanti iaitu di Pulau Pinang saya akan jemput pihak media. Anda diketahui umum berkawan baik dengan Roslan Shah, tetapi kenapa anda tidak menjemputnya? Saya memang tidak menjemput mana-mana kawan sebab itu majlis di sebelah pihak perempuan. Bagaimana pula kawan-kawan anda daripada program realiti Audition dan juga penyanyi Farhan AF boleh hadir pada majlis tersebut? Isteri saya kenal dengan mereka dan disebabkan itu mereka dijemput. Roslan menyuarakan rasa terkilan kerana dia tidak dijemput ke majlis perkahwinan anda. Boleh komen? Ketika itu saya dapat tahu Roslan berada di Singapura melawat ibunya yang sakit. Sebab itulah saya tidak menjemputnya. Bagaimanapun, saya sudah menjemput Roslan untuk majlis resepsi sebelah saya yang akan berlangsung di Pulau Pinang.
Bilakah majlis di Pulau Pinang itu akan diadakan? Saya merancang untuk adakan majlis resepsi itu selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Boleh kongsikan detik-detik perkenalan anda dengan isteri? Saya kenal dia (isteri) kira-kira dua tahun lalu ketika saya berlakon dalam pementasan teater Uda dan Dara di Istana Budaya. Saya mendekatinya lalu menghulurkan salam perkenalan. Dia seorang guru tari sekolah. Bilakah anda dan isteri mula serius bercinta? Enam bulan lalu. Apakah ciri-ciri yang terdapat pada isteri membuatkan anda jatuh cinta kepadanya? Dia memiliki wajah yang lembut, senang dengar cakap dan terima pandangan. Sebenarnya ketika berkenalan dia belum pakai tudung dan selepas kami serius bercinta kira-kira enam bulan lalu dia mula bertudung. Apakah perasaan anda selepas mendirikan rumah tangga? Sudah tuntutan sunah. Saya harap dengan usia kematangan ini saya dapat memikul tanggungjawab sebagai suami, insya-Allah. Bagaimanakah pula dengan perancangan untuk memiliki anak? Kami tidak merancang dan menyerahkannya kepada Tuhan. Lagi cepat lagi bagus. Kalau dua kali mengandung, dua kali kembar sepasang lagi bagus (ketawa). Destinasi bulan madu anda berdua? Buat masa ini belum rancang lagi. Selesaikan majlis resepsi pihak saya dahulu. Moga berjalan dengan lancar. Beralih kepada perkara lain, apakah perkembangan terbaharu Razali dalam bidang seni? Saya masih aktif berlakon dan dalam masa yang sama baru menjalankan perniagaan. Saya juga menyanyi sebulan sekali untuk majlis korporat. Bagaimana dengan tawaran berlakon? Pada 16 Jun ini saya akan terlibat dengan penggambaran drama untuk keluaran RTM. Ceritanya berkisar pada zaman komunis sekitar tahun 1940-an. Saya juga banyak terima tawaran daripada produksi, cuma apabila nama saya dihantar ke sebuah stesen popular itu, malangnya tidak lepas. Mungkin pihak stesen itu ada pelakon kegemaran. Begitupun, saya bersyukur kerana RTM masih beri rezeki kepada saya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails