Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya tidak malu bercinta - Raja Azmi

CINTA dan air mata akan selama-lamanya menjadi teman setia buat semua wanita. Begitu juga dengan penerbit wanita sensasi yang sangat dikenali ramai, Raja Azmi Raja Sulaiman. Biarlah bermacam-macam dugaan, berhujan api kejian serta rentetan kontroversi yang pernah jatuh ke mukanya, wanita berumur 54 tahun itu tetap berpegang kepada prinsip hidup mesti diteruskan. Dia juga tidak pernah malu membuka kisah hidup untuk tatapan umum. Terbaharu, Raja Azmi mengaku dia bercinta lagi. Patah tumbuh hilang berganti, selepas putus cinta dengan seorang lelaki muda sekitar Januari 2013, pengarah filem ...Dalam Botol itu kemudian membuat pengumuman untuk mengakhiri zaman jandanya. Lelaki pilihannya itu ialah Eddie, pemain gitar yang pernah menyertai kumpulan CRK sekitar tahun 1990-an dulu. Pada usia 54 tahun dan bersulam hidup yang sarat dengan kontroversi ditangkap basah, bermalam di lokap dan bercerai dengan bekas pemain badminton, Jailani Sidek, itu semua tidak pernah menghalang mata Eddie untuk jatuh cinta dan melihat Raja Azmi sebagai wanita terpilih untuk menjadi suri di dalam hatinya. "Masa mula-mula kenal saya pun risau juga. Banyak yang dibaca melalui media tetapi sepanjang saya mengenali dirinya, dia seorang yang ceria dan banyak mendatangkan inspirasi kepada saya. "Ingat sekadar untuk berkawan tetapi dalam usia saya pun sudah 45 tahun, kami lebih banyak bercakap tentang perkara yang serius. Masing-masing juga mempunyai anak-anak. "Selama ini, sejak isteri saya meninggal, sayalah ibu dan bapa kepada anak-anak tetapi sejak dia muncul, situasi menjadi agak berlainan. Anak-anak saya senang dengan sikapnya. "Apa yang anak-anak selesa, itulah yang paling penting untuk saya," ungkap Eddie tentang Raja Azmi yang bakal disunting sebagai tunangannya pada 15 Julai nanti. Eddie atau nama sebenarnya Mohd. Eddie Ghazali merupakan duda selepas isterinya meninggal dunia. Dia mempunyai dua orang anak lelaki, Mohd. Daniel, 21, dan Mohd. Effy Ashley, 19. Kembali ke alam percintaan dan berkongsi kisah cinta untuk tatapan khalayak, Raja Azmi tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk. "Saya sedar mungkin ramai yang akan memandang sinis dalam hal ini. Mungkin ada yang berkata, sudah tua-tua pun masih bercinta-cinta. "Saya cuma mahu katakan, sejak berpisah dengan Jailani, hidup saya sunyi tanpa cinta dan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan lelaki yang menyintai saya dan memimpin saya di dunia dan akhirat. "Cinta juga tidak mengenal usia dan saya tidak akan pernah berhenti mencari cinta, cinta kepada Tuhan, anak-anak dan keluarga. "Semoga cinta ini dan jodoh saya dengan Eddie nanti akan dirahmati Ilahi," jelas Raja Azmi yang merancang mengadakan majlis pertunangannya mengikut adat biarpun masing-masing sudah berusia dan mempunyai anak. Katanya: "Walaupun sudah tua, kami tetap nak buat majlis pertunangan. Apa-apa pun kena ikut adat, adat juga tak mengenal usia. Lagipun saya masih mempunyai ibu dan wali. "Majlis pada 15 Julai nanti akan berlangsung secara sederhana selepas kedua-dua buah keluarga bertemu dan berbuka puasa bersama-sama di rumah saya." Raja Azmi dan Eddie merancang untuk berkahwin sekitar September. Menurut ibu kepada tiga cahaya mata serta dua orang cucu itu, dia merancang melangsungkan perkahwinan selepas pembikinan filem terbaharunya Anak Ikan selesai dilakukan. Ditanya tentang tempoh membahagiakan yang sedang dilalui kini, Raja Azmi tertawa: "Saya jatuh cinta pandang pertama." Eddie menambah: "Sejarah perkahwinan terdahulu bukan persoalan buat kami, rasanya seperti kembali muda."

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails