Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Suami izin Liyana terus berlakon

SELEPAS mendirikan rumah tangga pada bulan Februari lalu, cerita mengenai perkembangan kerjaya atau peribadi pelakon Liyana Jasmay agak kurang dipaparkan menerusi media. Tidak dinafikan jarak menjadi punca utama sehingga agak sukar untuk mengatur pertemuan atau sesi fotografi dengan Liyana memandangkan dia kini mengikut suaminya menetap di Kota Kinabalu, Sabah. Berkesempatan bertemu dengannya semasa majlis pelancaran filem Sindiket baru-baru ini, pelakon itu sempat menceritakan tentang kehidupannya selepas berumah tangga. Cerita Liyana, dalam tempoh awal perkahwinannya dengan Fathudin Mazlan, dia lebih banyak menghabiskan masanya di Sabah untuk berada di samping suaminya yang menjalankan perniagaan di negeri tersebut. "Sebelum ini saya memang menetap bersama suami di Sabah kerana dia memiliki perniagaan sendiri di situ, tetapi sekarang ini saya akan berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk meneruskan karier seni saya. "Sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Sahabat untuk saluran Astro yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Kuala Lumpur," ujar pelakon berusia 25 tahun itu. Luahnya, dia berasa sangat beruntung kerana memiliki seorang suami yang begitu memahami kerjayanya sebagai pelakon dan tidak kisah sekiranya dia mahu terus berlakon. Ujar Liyana lagi, dengan kembali aktif berlakon ia dapat mengisi masa terluangnya memandangkan suaminya kini sedang sibuk menguruskan restoran yang baru sahaja dibuka iaitu Restoran Dapur di Harbour City, Kota Kinabalu. "Saya mula berkecimpung dalam bidang lakonan sejak berusia 17 tahun dan berlakon sudah menjadi sebahagian kehidupan saya. Jadi, saya rasa bertuah kerana suami memberi keizinan untuk meneruskan apa yang saya minat. "Dengan keizinan yang diberikan oleh suami, sudah tentu saya akan gunakan sebaik-baiknya untuk memilih tawaran tertentu seperti membabitkan babak yang tidak melampau atau bersentuhan," jelasnya. Menurut Liyana, apa yang dilakukannya itu bukan kerana mahu menjadi terlalu selektif, sebaliknya mahu menjaga status dirinya sebagai seorang isteri dan membalas segala kepercayaan yang diberikan oleh suaminya itu. Ketika ditanya sama ada kesibukan dirinya dan suami mampu menangguhkan hasrat mereka untuk menimang cahaya mata, pelakon itu menyatakan ia semuanya terserah kepada ketentuan Allah. Ujarnya, dia dan Fathudin memang tidak pernah merancang untuk mendapatkan anak, sebaliknya mereka bersedia untuk dikurniakan cahaya mata pada bila-bila masa sahaja. "Meskipun saya dan suami sibuk dengan kerjaya masing-masing, rasanya ia tidak menghalang kami untuk mendapatkan cahaya mata. Cuma, pada masa ini belum masih ada lagi rezeki buat kami," ujarnya. Toleransi Berbalik kepada kisah kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga, Liyana menceritakan bahawa kini dia merasakan hidup yang lebih sempurna dan matang sejak bergelar seorang isteri. Bagaimanapun, sekarang terdapat perbezaan yang ketara berbanding sebelum berkahwin dahulu apabila tidak boleh lagi terlalu bergantung dengan ibunya. "Perkahwinan itu adalah sesuatu yang cukup membahagiakan, tetapi bukan mudah untuk memegang status sebagai isteri. "Sehinggakan ayah saya sendiri pernah risau apabila saya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga. "Selain itu, saya juga tidak boleh buat sesuka hati seperti sebelum berkahwin kerana banyak perkara yang dilakukan perlu diberitahu kepada suami terlebih dahulu," jelasnya. Liyana juga berpandangan bahawa dalam menjalani kehidupan berumah tangga, perkara yang lebih diutamakan sudah tentulah sikap toleransi antara suami dan isteri. "Sebagai isteri, paling penting saya perlulah menghormati suami. Namun, ia bukanlah penghalang untuk kami berbincang dan mengemukakan pendapat masing-masing dalam sesuatu perkara. "Disebabkan itu, saya berasa lebih seronok dalam menjalani kehidupan sekarang kerana memiliki seorang suami yang senang bertolak ansur dan mudah diajak berbincang," ujarnya. Bergurau Berkenaan dengan perkembangan karier seninya pula, Liyana bakal membintangi sebuah filem baharu berjudul Sindiket yang diarahkan oleh Bade Azmi. Dibintangi oleh ramai pelakon terkenal seperti Sharnaaz Ahmad, Rashidi Ishak, Daphne Iking, Sharifah Amani, Tony Eusoff, Soo Wincci dan Wangi Julianda, filem berkenaan mula menjalani penggambaran pada 6 Jun di Kota Kinabalu, Sabah. Ketika ditanya tentang penglibatannya dalam filem tersebut, Liyana menyatakan semuanya terjadi secara kebetulan semasa dia menghubungi Bade beberapa minggu yang lalu. "Ketika bercakap menerusi telefon dengan Bade, dia ada memberitahu akan mengarah sebuah filem aksi. Kemudian, saya secara bergurau menyatakan ingin turut berlakon dalam filem berkenaan. "Bagaimanapun, tidak sangka pula dia mengambil serius kata-kata saya itu. Beberapa hari kemudian saya telah dihubungi oleh Loyal Studios Sdn. Bhd. yang menerbitkan filem berkenaan dan menawarkan saya watak sebagai Noreen," jelasnya. Namun begitu, pelakon berkenaan menafikan bahawa dia menerima tawaran tersebut kerana lokasi penggambarannya di Sabah, sebaliknya ia disebabkan hubungan baiknya dengan Bade. "Rasanya ramai yang sudah tahu filem pertama lakonan saya ialah Castello arahan Bade. Kali terakhir saya bekerja di bawah arahannya ialah menerusi filem Maut pada tahun 2009. "Jadi, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya kembali berlakon dengan Bade. Dia merupakan seorang pengarah yang sangat bagus dan banyak memberi bimbingan ketika saya mula-mula berlakon filem dahulu," ujarnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails