Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

ELLY MAZLEIN CUTI SINGKAT DI HARI RAYA

Sepatutnya sebagai artis, mereka mempunyai banyak masa untuk bercuti tambah-tambah di hari raya yang bakal menjelang. Namun ia berbeza sekali dengan pelakon dan penyanyi Elly Mazlien yang komited dengan tugas yang harus digalasnya. Ujar Elly, dia tidak dapat cuti panjang pada hari raya tahun ini demi melaksanakan aktiviti seni yang telah dipertanggungjawabkan. Tambah Elly, dia enjoy bekerja meskipun sedia maklum bahawa aidilfitri memerlukannya bersama keluarga di kampung.
"Hari raya pertama subuh-subuh lagi saya akan pulang ke Tanjung Malim untuk beraya, tetapi pada hari itu juga (Maghrib) saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Lagipun, perjalanan dari kampung ke Kuala Lumpur jaraknya taklah jauh sangat," ujar Elly. Terdahulu, menjawab soalan wartawan yang mendakwa Elly mencucuk muka bagi menambah seri kecantikan, jawab Elly itu semua khabar angin semata-mata. Katanya, fanomena cucuk yang telah tersebar luas dalam dunia seni membuat masyarakat menganggap semua artis melakukan hal yang sama. "Sebenarnya ia tidak benar sama sekali. Jujurnya saya tidak melakukan perkara tersebut," jelasnya ringkas.

Kami Kena Tipu - Mawi

Ketidakhadiran penyanyi, Mawi, dan isterinya, Ekin, pada sebuah majlis membabitkan pengusaha produk kecantikan di Shah Alam, beberapa minggu lalu, menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga ada yang menghentam tindakan pasangan ini. Sebahagiannya menganggap kedua-dua selebriti ini sengaja membatalkan kehadiran mereka pada saat akhir, tanpa sebarang sebab. Bagaimanapun, pemilik syarikat Unequein ini menjelaskan, mereka sebenarnya ‘ditipu’ stokis sendiri. Bukan sengaja tidak menghadirkan diri, Ekin sebaliknya berkata, stokis mereka di bandar itu yang menghalang kedua-duanya daripada muncul majlis terbabit. “Kami sudah bersiap untuk ke majlis berkenaan, tetapi kemudian kami dapat panggilan daripada stokis terbabit. Dia memaklumkan kami tak payah datang sebab tak ramai orang datang ke majlis itu. “Apabila dia cakap macam itu, jadi kami mengambil keputusan untuk tidak datang. Tiba-tiba, kami dapat panggilan daripada wartawan yang ada di sana bertanyakan mengenai ketiadaan saya dan Mawi. Ketika itu, baru kami tahu rupanya kami ditipu. “Ramai artis yang datang ke majlis itu dan kehadiran kami pula bagi mewakili produk kami. Rupa-rupanya, dia beritahu penganjur yang kami tak jadi datang dan mengata kami ini artis yang tidak menepati janji,” katanya. Tersentak dengan tuduhan dilemparkan sehingga boleh mencemarkan imej, pasangan ini bagaimanapun enggan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak. Menganggap kejadian itu sebagai pengajaran dalam mengharungi dunia perniagaan yang penuh dengan hasad dengki dan dendam, mereka kini bertindak melantik stokis baru sebagai pengedar di negeri terbabit. sumber : Berita Harian

Elly Mazlein Terus Terang Tentang Status Diri

Sebelum ini penyanyi dan pelakon Elly Mazlein tidak mengiyakan, juga tidak menidakkan ketika diminta mengulas mengenai desas-desus yang timbul kononnya dia telah pun memutuskan pertunangannya pengarah, Azmi Hatta. Namun gosip itu masih terus berlegar mengatakan dia memang bukan lagi tunangan kepada sutradara tersebut. Bertemu dengan pelantun Sabarlah Hati ini, tanpa sempat Malaysian Digest.com bersama pihak media lain sekali lagi mahu bertanyakan sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut, Elly lebih pantas berkata, "Pasal tunang? Buat masa ini hubungan kami macam biasa, baik-baik saja. Sibuk dengan tugas masing-masing. Tak ada lagi perancangan untuk melangsungkan pernikahan. Tunggu saja perkhabaran gembira daripada saya. Bila tiba masanya nanti, saya akan berkongsi bersama semua mengenai hari bahagia saya. "Pada saya benda baik buat apa nak dirahsiakan. Memang saya akui dari dulu lagi saya memang tidak suka berkongsi hal peribadi saya. Tapi sejak saya berkongsi mengenai berita pertunangan saya pada umum, ramai terkejut dan tentunya nak tahu bila kami akan bernikah, kan. InsyaAllah, bila tiba masanya nanti, saya akan khabarkan", katanya ketika ditemui pada majlis majlis Iftar KRU Studios dan Pelancaran album Oh My Raya & Hijab di Ufuk Barat bertempat di sebuah hotel di pinggir ibu kota, malam tadi. Elly dan Azmi, telah mengikat tali pertunangan pada 29 Mei pada 2011 dalam satu majlis di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, dekat sini. Pasangan yang berkenalan sejak 2009 itu sepatutnya bernikah pada Februari tahun lalu, namun ia masih lagi tertangguh sehingga sekarang. Mengenai sikap Elly sebelum ini seolah-olah berdolak dalih apabila ditanya soal tunangnya sekaligus menguatkan lagi spekulasi dan dakwaan sesetengah pihak mengatakan dia dan Azmi memang sebetulnya tiada lagi apa-apa ikatan, pelakon Awan Dania The Movie ini berkata,
"Kepada mereka yang 'lebih tahu' tentang hal peribadi saya, apa yang saya boleh katakan pada mereka, cuba lagi", tuturnya sambil tersenyum sinis. Lantas ditanya mengapa melengah-lengahkan untuk melangsungkan perkahwinan mereka, Elly menyatakan kekangan masa dan kesibukan terhadap kerjaya masing-masing membuatkan impian mereka mahu bergelar suami isteri belum terealisasi sehingga hari ini. "Bila dah bertunang tentunya kami nak berkahwin. Tapi kami sibuk dengan jadual masing-masing. Selain tu, dalam semua hubungan pun ada pasang surutnya. Tak semestinya kalau kami ada masalah, terus nak berpisah. "Walaupun saya tak suka kongsi hal peribadi pada umum tapi bagi saya, kalau nak cerita, saya suka cerita tentang yang manis-manis kepada semua. Saya tak suka cerita yang buruk-buruk dan apa yang berlaku antara kami. "Alhamdulillah, meskipun timbul gosip sebegini (putus tunang), keluarga kedua-dua pihak dapat menerima dengan baik. Apa yang penting, mereka faham dan tahu tentang situasi kami. Dan saya pun sebenarnya tak kisah nak jawab spekulasi ini", tuturnya. Sementara itu mengenai persiapan raya, tahun ini dia akan pulang ke kampungnya di sungai Perak dan Tanjung Malim untuk berhari raya bersama sanak saudara. "Raya ni saya hanya cuti semiggu selepas tu dah kembali bekerja. Saya akan balik ke Sungai Perak dan kemudia pergi melawat keluarga sebelah ibu di Tanjung Malim", katanya. Dalam perkembangan lain, Elly yang kini sedang menghabiskan penggambaran drama 40 episod, Mencari Cinta bakal muncul menerusi program raya, Raya Sama-Sama di saluran RTM.

Ana Dahlia serah pada takdir

KEHIDUPAN harian pelakon Ana Dahlia tetap berjalan lancar biarpun sekarang ini tanpa suami di sisi. Kesibukan berlakon membuatkan dia tiada masa untuk memikir soal mencari pengganti. Ana yang berlakon sebagai Zafirah, wanita buta menerusi drama Cinta Yang Satu, arahan Along Kamaruddin itu berkata, dia tidak pernah serik untuk bertemu cinta baru selepas bercerai dengan Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan. Mereka hanya berkesempatan melayari hidup sebagai suami isteri selama 11 bulan dari tarikh pernikahan pada 31 Disember 2011. "Biarpun sekarang ini saya hidup seorang diri tanpa suami tetapi saya tidak sempat nak merasa sunyi atau bersedih kerana sepanjang bulan Ramadan ini saya sibuk di lokasi drama. "Alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus. Drama lakonan saya Cinta Yang Satu sedang disiarkan di RTM 2, setiap Jumaat. Manakala drama Dia Tetap Ayah boleh diikuti di saluran Astro Pirma setiap Isnin hingga Khamis," jelasnya. Disebabkan kesibukan di lokasi, Ana yang perlu menunggang motosikal untuk drama Mat Cepat, arahan Rashid Sibir itu berkata, dia lebih senang menyerahkan soal jodoh kepada Allah. Tidak dinafikan, sejak berstatus janda ada beberapa lelaki yang cuba berkawan dengannya namun setakat ini pintu hatinya belum berjaya dibuka. "Bukan saya terlampau memilih tetapi dalam soal ini saya perlu berhati-hati kerana sudah melalui pengalaman berumah tangga. Kalau boleh biarlah orang itu boleh menjaga dan membimbing saya. "Pada saya, kalau Allah sudah kata si dia atau si polan itu jodoh saya dan bakal bernikah dalam waktu terdekat, saya terima dengan hati terbuka. Untuk saya meletak sasaran bila bakal menamatkan zaman keseorangan ini tidaklah. "Biar keadaan menentukan. Bagi saya tumpuan pada kerjaya lebih penting sekarang ini kerana banyak perkara yang belum saya laksanakan. Lepas raya inipun sudah ada satu tawaran lakonan," katanya. Bercerita mengenai lakonannya sebagai gadis buta dalam Cinta Yang Satu, Ana berkata, selama seminggu dia belajar di Pusat Latihan Orang Buta, Brickfield, Kuala Lumpur. "Bila berlakon jadi buta, barulah saya tahu macam mana golongan tidak berupaya itu melalui kehidupan. Sekali gus membuatkan saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah. "Untuk membawa watak Zafirah tidaklah semudah yang dijangka. Banyak yang perlu saya pelajari untuk menampakkan watak itu benar-benar hidup," katanya. Baik dengan bekas mertua Ada sesetengah orang, bila bercerai dalam keadaan duka disebabkan sesuatu perkara, maka sebaik talak dilafaz tidak akan ada lagi silaturahim yang dijalin sebelum ini. Berlainan pula halnya dengan Ana Dahlia bersama bekas keluarga mertua, Chef Wan serta ipar, Serina kerana hubungan mereka masih berterusan hingga kini. "Sehingga sekarang saya masih berhubungan dengan papa (Chef Wan) yang sering bertanya khabar. Cuma untuk bulan puasa ini kami belum berkesempatan untuk berbuka bersama kerana kesibukan masing-masing. "Lagipun hubungan anak dan papa mana boleh putus. Saya anggap papa seperti mana papa saya sendiri. Begitu juga dengan Serina, ramai yang ingat kami bermusuhan. Sebenarnya, hubungan kami tetap mesra seperti dulu," ceritanya. Jelasnya, hubungan dengan Serina tetap mesra dan mereka saling berhubungan cuma sekarang ini bekas iparnya itu sibuk menguruskan perniagaan sendiri. Persiapan raya awal Mengetahui dirinya bakal sibuk sepanjang Ramadan, awal-awal lagi Ana Dahlia sudah membeli pakaian raya untuk ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Dia yang bakal beraya di Taiping berkata, segala persiapan raya untuk keluarga telah disediakan sebelum puasa lagi. "Awal-awal dulu saya nak berehat pada bulan Ramadan tapi bila ada rezeki tak mungkin saya menolak. Lagipun kebetulan saya sudah siapkan semuanya keperluan pakaian keluarga, jadi tidaklah saya tergocoh-gocoh nak membeli sedangkan di waktu yang sama saya sibuk di lokasi. Kali ini pun saya tidak berpeluang buat fotoshot dengan media kerana sibuk di lokasi. "Saya adalah anak kedua daripada enam beradik dan menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan keperluan adik-adik dipenuhi. Saya akan balik kampung bergantung kepada jadual penggambaran drama Mat Cepat. Sekarang ini kami cuba habiskan drama 13 episod itu dalam waktu singkat sebab masing-masing nak beraya," katanya tersenyum. Bercerita mengenai sambutan raya bersama keluarga, Ana berkata, sudah menjadi kebiasaan keluarganya akan menikmati rendang Malaysia yang disediakan oleh ibunya. "Paling seronok, rendang buatan mak itu akan dimakan bersama lemang yang dibakar oleh bapa. Sebelum bakar lemang bapa sibuk pergi cari buluh. "Setiap kali raya itulah tugas bapa. Raya di kampung biasalah, tak payah nak tunggu hari tertentu untuk buat rumah terbuka, kerana orang datang tak pernah berhenti. "Hari pertama, memang saya berada di rumah sahaja melayan tetamu. Raya kedua barulah ke rumah saudara mara di kampung berhampiran dan saya juga akan ambil kesempatan untuk berjumpa dengan rakan-rakan lama," katanya.

Nubhan tempat Siti Nordiana meluah perasaan

SETELAH bercerai dengan pelakon drama Allahyarham Mohd. Faizal Yusop pada tahun 2009, sehingga kini penyanyi Siti Nordiana atau Nana belum menemui pengganti. Sepanjang tempoh empat tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran itu agak jarang dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Bagaimanapun, baru-baru ini Nana, 29, digosipkan dengan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 6, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubahan Ahamad, 27. Hubungan mereka dikatakan agak rapat sekarang. Gosip berkenaan tercetus apabila kedua-duanya dikatakan bercuti bersama-sama di Pulau Perhentian, Terengganu bulan lalu bersama lapan orang rakan yang lain. Ibu kepada Muhamad Rayyan Nakhaie, 5, yang ditemui pada majlis bersempena program Melodi Raya anjuran TV3 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini, menjawab spekulasi tersebut secara terbuka. Kosmo!: Sepanjang bergelar janda, anda jarang dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Boleh jelaskan hubungan anda dengan Nubhan yang kini hangat diperkatakan? SITI NORDIANA: Apa yang boleh saya katakan, memang kami berkawan rapat sejak setahun yang lalu. Antara punca saya dan Nubhan rapat kerana masing-masing berasal dari Negeri Sembilan dan status kami sebagai artis. Sepanjang berkenalan dan berkawan rapat, saya lihat dia seorang lelaki yang baik dan selalu mengambil berat. Sejujurnya dia menjadi tempat untuk saya meluahkan perasaan sekiranya ada sebarang masalah. Kenyataan anda ini seolah-olah menandakan ada satu ikatan istimewa antara anda dan Nubhan. Apa status sebenar hubungan kalian berdua sekarang? Seperti yang pernah dijelaskan sebelum ini hubungan kami tidak lebih daripada sekadar teman rapat, malah saya menganggap dia seperti seorang adik memandangkan usianya yang lebih muda dua tahun daripada saya. Misalnya, kalau dia ada melakukan sebarang kesalahan yang kecil saya akan terus tegur dia, seolah-olah teguran daripada seorang kakak kepada adiknya. Jika ada yang kata kami bercinta, ia tidak benar sama sekali. Adakah anda dan Nubhan selalu keluar bersama-sama? Tidaklah selalu sangat kerana masing-masing ada kerja dan komitmen sendiri. Lagipun kini kami agak jarang berjumpa kerana Nubhan sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri. Anda sudah bergelar ibu tunggal selama empat tahun. Adakah anda telah bersedia untuk mencari pengganti? Kalau bercerita tentang jodoh, wanita mana yang tidak mahu berkahwin. Malah, saya sendiri sudah bersedia untuk kembali bergelar isteri. Cuma sehingga kini saya belum bertemu dengan lelaki yang sesuai. Apakah ciri-ciri lelaki calon suami anda itu nanti? Tentang pemilihan calon suami pula saya bukanlah jenis yang terlalu memilih. Namun sudah tentu saya mahu mencari lelaki yang kuat pegangan agama serta boleh menerima dan menyayangi anak saya dengan sepenuh hati. Sebenarnya bukan mudah untuk mencari lelaki yang boleh dijadikan calon suami. Saya akui pernah didekati beberapa orang lelaki, namun mereka seperti tidak betul-betul serius. Kini soal jodoh saya serahkan kepada Allah. Ceritakan sedikit tentang perkembangan kerjaya nyanyian anda? Saya masih aktif menyanyi dan banyak buat persembahan di merata-rata tempat. Tak lama lagi, saya akan keluar dengan single terbaharu dan berduet bersama Syura setelah kali terakhir berkolaborasi dengannya pada tahun 2003 menerusi lagu Bakawali. Proses rakaman untuk lagu baharu kami itu masih lagi pada peringkat pemilihan lagu yang sesuai. Kami mengekalkan genre etnik kreatif, tetapi ada sedikit elemen rap dalam lagu tersebut.

Nelydia gembira dengan pengakuan Qi

SEBELUM ini pasangan pelakon Qi Razali dan Nelydia Senrose selalu berteka-teki mengenai status hubungan mereka, biarpun ramai yang sudah tahu tentang keakraban kedua-duanya. Apabila ditanya tentang sejauh mana hubungan yang terjalin antara mereka, baik Qi mahupun Nelydia lebih suka memberi jawapan selamat dengan mengatakan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar teman rapat. Bagaimanapun, akhirnya Qi yang terkenal dengan program Jalan-Jalan Cari Makan itu telah mendedahkan bahawa dia kini merupakan kekasih kepada Nelydia. Ia sekali gus menepati tanggapan ramai yang menganggap mereka sememangnya menjalinkan hubungan cinta. Nelydia yang ditemui semasa penggambaran telemovie khas Setia Hujung Nyawa Raya terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. baru-baru ini berkata, pada mulanya dia agak terkejut dengan pendedahan tersebut, tetapi tidak kisah apabila hubungan mereka kini diketahui ramai. "Saya cuma dapat tahu tentang pengakuan Qi menerusi laporan media, jadi pastinya ia satu kejutan. "Namun begitu, saya tidak menyalahkan dia kerana hakikatnya kami kini pasangan kekasih. "Qi tidak pernah berbincang dengan saya sebelum dia membuat kenyataan itu, tetapi saya lega kerana akhirnya dia yang membuka mulut. "Lagipun saya rasa sudah tiba masanya untuk kami bersikap lebih terbuka dan peminat perlu tahu tentang hubungan kami sekarang," ujarnya. Ketika ditanya mengenai tindakan mereka yang berahsia tentang hubungan yang terjalin sebelum ini, Nelydia menjelaskan, dia dan Qi tidak berniat untuk merahsiakannya.
Pelakon itu turut menyangkal dakwaan yang mengatakan populariti mereka yang sedang meningkat akan merudum sekiranya perkara itu diketahui oleh peminat. "Saya akui sebelum ini kami belum bersedia untuk memberikan jawapan sebenar mengenai hubungan kami. Sebenarnya perasaan risau pun ada jika hubungan kami ini tidak menjadi. "Mengenai populariti pula saya percaya peminat sekarang lebih bijak menilai seseorang artis itu. Malah saya gembira kerana mereka juga banyak memberikan sokongan terhadap hubungan kami," ujar pelakon yang baru mencecah usia 19 tahun itu. Sementara itu, memandangkan kedua-duanya kini sudah mengaku sebagai pasangan kekasih, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Spa Q itu turut ditanya kalau dia dan Qi pernah berbincang tentang perkahwinan mereka. Berjauhan Menurut Nelydia, setakat ini mereka belum berbincang mengenainya meskipun Nelydia sedar usia kekasihnya itu sudah menjangkau 35 tahun. Ujarnya, buat masa ini dia lebih selesa untuk menjalinkan hubungan cinta dengan Qi sebelum merancang untuk berkahwin. "Ketika ini saya dan Qi sibuk dengan kerjaya masing-masing dengan tawaran yang semakin mencurah-curah. "Mungkin itu salah satu faktor yang membuatkan kami tidak sempat untuk membawa hubungan ini ke fasa yang lebih serius. "Pada masa yang sama, dengan usia saya sekarang perkahwinan bukanlah keutamaan kerana fokus saya sudah tentu kepada bidang lakonan dan pelajaran," jelas penuntut dalam bidang Psikologi di Kolej SEGi, Subang Jaya, Selangor itu. Bagaimanapun, pelakon itu mendedahkan, dia tidak mampu menolak sekiranya ditakdirkan mendirikan rumah tangga pada usia muda. Setelah hampir sebulan menjalani ibadah puasa, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 8 Ogos ini. Namun begitu, Nelydia menyatakan sambutan Aidilfitri tahun ini kurang berseri kerana dia tidak dapat meraikannya bersama kekasih hatinya yang kini berada jauh di perantauan. "Ketika ini Qi sedang berada di Buenos Aires, Argentina untuk menjalani program kanak-kanak Art Attack. Dia berada di sana selama dua bulan dan dijangka pulang pada bulan September ini. "Sepanjang tempoh tersebut kami terpaksa berjauhan dan tidak dapat beraya buat kali pertama sebagai pasangan kekasih. "Apa yang mampu saya lakukan sekadar berdoa agar dia selamat dan sihat sepanjang berada di sana," ujarnya yang mengakui sedikit sedih kerana hasrat untuk beraya bersama-sama tidak tercapai.
Cuti seminggu Mengakui memendam perasaan rindu yang mendalam terhadap kekasihnya itu, Nelydia berkata, kerinduannya itu dapat diisi dengan memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya lakonannya. "Secara kebetulan jadual lakonan saya sekarang agak padat, jadi tidaklah terasa terlalu rindu. Kalau ada masa terluang kami akan saling berhubung antara satu sama lain menerusi panggilan telefon," ujarnya. Bercerita tentang aktivitinya sepanjang bulan puasa, Nelydia memberitahu pada tahun ini dia lebih sibuk berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana terbabit dengan penggambaran dua telemovie iaitu Setia Hujung Nyawa Raya dan Syurga Tanpa Bidadari. "Tahun ini memberikan cabaran yang cukup besar kerana saya banyak terbabit dengan penggambaran di kawasan terbuka pada waktu siang sehingga membuatkan badan cepat letih. "Bagaimanapun, saya mengharungi segala cabaran itu dengan kudrat yang ada. Pernah juga terfikir untuk tolak berlakon pada bulan puasa, tetapi rasa sayang pula kerana tawaran yang diterima memang menarik," ujarnya. Ujarnya, kesibukan di lokasi penggambaran membuatkan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dapat dilakukan. "Sehingga kini baju raya pun saya tak sempat nak beli, malah jadual lakonan saya hanya akan tamat pada hari terakhir umat Islam berpuasa. "Selepas itu barulah saya akan pulang menyambut hari raya ke kampung halaman di Bachok, Kelantan selama seminggu sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk kembali menjalani penggambaran," ujarnya.

Tiz Zaqyah Dedahkan Kekasih Ke Dunia Hiburan

Pelakon Tiz Zaqyah mahu kekasihnya, Daniel Haziq, faham selok-belok dunia hiburan agar tidak timbul rasa curiga dengan membawanya ke majlis-majlis tertentu. Tiz, 25, berkata, dia mahu kekasihnya itu dapat melihat bagaimana kehidupan golongan artis selain bersedia untuk berhadapan dengan teman-teman media dan juga peminat. "Ya, saya ada bawa dia ke beberapa majlis hiburan salah satunya adalah kerana untuk beri pendedahan bagaimana situasi saya bekerja. "Tapi dia agak pemalu sedikit dan tidak mahu di temu ramah atau diambil gambar bersama," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Jodoh Itu Milik Kita, di sini, Selasa.
Dalam pada itu, jelas Tiz, mereka masih belum merancang untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan tersebut. "Kami belum fikir lagi untuk bertunang atau berkahwin, buat masa sekarang kami masih lagi berkawan dan mengenali hati budi masing-masing. "Tetapi setiap perhubungan sudah tentu ada perancangan ke arah itu. Begitu juga kami namun ia bukanlah dalam masa terdekat ini," katanya. Bercerita tentang kekasihnya, Tiz berkata Danial Haziq, 25, seorang yang sangat memahami dan tidak mudah cemburu. "Dia seorang yang sentiasa dalam keadaan tenang, saya tidak pernah nampak dia berasa tertekan," katanya. Sementara itu, bercerita tentang watak Dahlia dalam drama Jodoh Itu Milik Kita, Tiz yang bergandingan dengan pelakon Farid Kamil mengakui agak janggal berlakon degan aktor tersebut. "Pada mulanya memang rasa takut dan janggal kerana ini kali pertama kami berlakon sebagai pasangan suami-isteri. "Saya merasakan Farid Kamil merupakan satu nama besar dalam industri dan membuatkan saya jadi malu untuk berlakon babak romantik dan manja dengannya," katanya. Drama adaptasi novel itu mengisahkan pasangan suami isteri iaitu Aariz (Farid Kamil) dan Dahlia (Tiz Zaqyah) terpaksa berkahwin secara paksa oleh keluarga. Pelbagai konflik timbul dalam kehidupan mereka selepas menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Drama ini turut dibintangi oleh Nabila Huda, Syazwan Zulkifly, Ziela Jalil dan Keith Foo. Jodoh Itu Milik Kita akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Rabu pukul 10 malam bermula 19 Ogos depan di saluran 134, Mustika HD.

Isu Ditangkap Tidak Puasa Tak Jejaskan Lana Nordin

Pelakon Lana Nordin menyifatkan isu kononnya dia ditangkap gara-gara tidak berpuasa dan meminum arak di sebuah pusat siber di Bandar Puteri, Puchong pada 12 Julai lalu langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai seorang selebriti. Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin, 33, berkata, dia sudah lali dengan pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengannya dan menganggap perkara itu hanyalah perkara kecil. "Gosip saya ditangkap tidak berpuasa sedikit pun tidak menjejaskan saya dan saya tak kisah pun apa orang nak kata. "Sama ada betul atau tidak kesahihan berita itu, saya sudah membuat penjelasan. Jadi terpulanglah sama ada mereka mahu percaya atau tidak. Kalau saya tegaskan saya tidak melakukan perkara terkutuk itu, tidak semua yang percayakan saya. "Lebih baik saya ketepikan perkara itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya kepada mStar Online. Tambah Lana, dia juga sering membuat lawak dengan isu diri ditangkap dengan teman-temannya kerana menganggap ia satu perkara yang tidak berasas lebih-lebih lagi dikatakan meminum arak sedangkan dia tidak pernah mengambil minuman keras. "Diakui, saya seorang yang gemar ke kelab, tetapi tidak pernah menyentuh alkohol atau dadah. Saya dah biasa orang selalu memberi tafsiran negatif berdasarkan apa yang mereka lihat secara luaran," ujarnya. Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharunya, Lana bakal muncul menerusi drama Jodoh Itu Milik Kita yang akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Rabu pukul 10 malam bermula 19 Ogos depan di saluran 134, Mustika HD. Bagaimanapun, Lana berasa kesal apabila ramai penerbit menganggap dia sudah meletakkan harga bayaran yang tinggi sejak dicalon untuk Pelakon Pembantu Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) tahun lalu. "Sejak dicalonkan dalam FFM, saya semakin kurang menerima tawaran lakonan. Tak faham dibuatnya, saya bukannya menang, tetapi ramai penerbit menganggap harga saya dah naik. "Jadi mereka takut untuk mengambil saya berlakon. Sedangkan, harga bayaran lakonan saya masih lagi macam biasa. Saya harap menerusi kenyataan ini, mereka tidak salah anggap lagi," tuturnya.

3 GAMBAR TERKINI ANAK ZAHIRIL ADZIM

Gambar terkini anak Zahiril Adzim dan Shera Aiyob yang diberi nama Nadi Anaqi. Awalnya... ramai yang senyum bila baca nama anak Zahiril ni, kata mereka nama tersebut sedikit pelik dan unik. Namun kini rata-rata peminat sudah boleh menerima pemilihan nama tersebut setelah mengetahui mempunyai maksud 'keindahan yang menawan hati'. Jom tengok...!

MENARIK RAMADHAN - AKSI JEHAN MISKIN DAN ISTERI

Gambar terkini pelakon Jehan Miskin dan isterinya Julie Camelia Rhee yang berkahwin pada bulan Mei lalu. Pastinya, banyak lagi yang perlu dipelajari oleh Julie mengenai masakan, adat budaya, ajaran Islam dan bagaimana berpuasa di bulan Ramadhan. "Soal makanan tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, saya tidak boleh makan makanan seperti susyi yang kurang masak sebagaimana budaya orang Korea.
"Manakala isteri saya pula tidak makan daging kambing atau makanan Melayu yang pedas. Setakat ni dia hanya suka makan nasi lemak dan yong tau foo sahaja," ujar Jihan dipetik sebagai berkata.

Nadiya Nisaa Risau Nak Bawa Ain Hawani ke Panggung

Sebut saja nama Nadiya Nisaa, pasti ramai akan teringat pada Ain Hawani. Watak yang dihidupkannya menerusi drama bersiri yang pernah mencetuskan, Adam & Hawa yang ditayangkan di saluran Astro Mustika. Bakal kembali menjadi isteri Adam lakonan Aaron Aziz lantas Nadiya meluahkan kerisauannya untuk memikul kembali tanggungjawab tersebut dan kali ini di layar perak pula menerusi Adam & Hawa The Movie (sekuel kepada drama bersiri). Bukan kerana bimbang penerimaan penonton sepertimana sewaktu awal-awal dulu, dia teruk dikritik. Sebaliknya aktres yang pernah dinobat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (ASK11) dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik (FFM24) ini risau kerana 'roh' Ain Hawani telah lama dibuang jauh-jauh. "Saya dah lama buang karakter tu. Jadi saya gementar dan risau nak lakonkan semula watak Ain. Saya kena tonton semula drama Adam & Hawa. Saya difahamkan jalan cerita untuk filem adalah kesinambungan daripada drama bersirinya. Ia Ada juga watak baru diwujudkan. "Saya juga risau akan jangkaan penonton sebab bagi pengikut siri, mereka ah tahu Ain seorang yang macam mana. Jadi mereka mesi meletakkan harapan yang tinggi. Itu yang saya risau. Mungkin juga karakter Ain sedikit berbeza sebab mungkin dia dah lebih matang. Saya harap saya boleh dapat semula Ain", katanya yang bakal sibuk di set penggambaran filem tersebut mulai 1 September depan. Sibuk Urus Majlis Kahwin
Dalam pada itu Nadiya yang kini sedang menjalani penggambaran telemovie Kamikaze berkata persiapan menyambut raya tahun ni dibuat dalam kadar sederhana kerana dia lebih sibuk menguruskan majlis kahwin kakak sulungnya. "Raya tahun ini biasa saja. Tak buat persiapan sangat. Sebab saya sibuk uruskan majlis kahwin kakak saya. Majlis akan diadakan pada 31 Ogos depan. Kami lima beradik dan saya anak kedua. Jadi kakak memang mengharapkan saya membantunya selain adik-adik yang lain. "Baju raya saya dan suami pun, tahun ni dua helai saja. Warna biru dan ungu. Itu pun adalah baju yang akan saya pakai untuk majlis kahwin kakak saya nanti. Saya cuti raya pun tak lama. InsyaAllah tahun ni kami beraya di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Pekembangan lain, Nadiya bakal muncul menerusi telemovie khas Aidilfitri, Baju Raya Kain Perca pada Raya keenam, jam 4 petang di TV3. Selain itu, sebuah filem khas yang akan ditayangkan di Astro First berjudul Anugerah Dendam Yang Terindah yang menyaksikan gandingannya bersama Aaron Aziz. - mD

Syukri Yahya Tertikam Tangan Sendiri

Malang tidak berbau. Itulah yang terjadi kepada pelakon, Shukri Yahaya apabila dia tertikam tangannya sendiri ketika menjalani penggambaran drama Menjinak Ombak. Difahamkan kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 5 petang, kelmarin (Ahad). "Ini bukan salah sesiapa tetapi kesilapan saya sendiri apabila pisau yang saya pegang tertikam tangan sendiri. Sepatutnya tikaman itu dibahagian tepi tetapi ia terkena di bahagian pergelangan tangan kanan saya. "Saya sendiri terkejut kerana tidak sangka ia tersalah tikam. Mujur Abang Along selaku pengarah dengan segera mengambil baju dan megikatnya ke tangan saya," ujar Shukri yang terus dibawa ke Hospital Selayang. Bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman pada luka tersebut, Shukri akan menjalani pembedahan pada jam 3 pagi ini. Menurut Shuk lagi, selepas pembedahan dia diminta berehat selama tiga hari di hospital sebelum menjalani rawatan susulan. Selain Shukri, pelakon lain yang terlibat di dalam drama ini ialah Talha Harith dan Alex Yanz. sumber : media hiburan

Tiz Zaqyah Dedah 'Dunia Artisnya' Pada Kekasih

Kisah pelakon putih gebu, Tiz Zaqyah sedang hangat bercinta dengan seorang pemuda yang dikenali sebagai Daniel Haziq bukan lagi rahsia. Selepas bersikap terbuka apabila boleh dikata aktres ini sering berkongsi bersama peminatnya menerusi laman Instagram mengenai hubungan cintanya, dan semalam Tiz nampaknya sudah berani 'memperkenalkan' kekasihnya pada pihak media. Ini kerana sewaktu di majlis sidang media drama bersiri lakonannya, Jodoh Itu Milik Kita, kelihatan lelaki yang boleh tahan tampan itu turut hadir sama menemani Tiz. Bukan berniat mahu menunjuk-nunjuk, tetapi kata Tiz, kehadiran kekasihnya itu bersamanya malam tadi hanya kebetulan. Malah peluang itu secara tak langsung digunakannya untuk memberi pendedahan mengenai dunia artisnya, kepada pemuda itu. "Saya ajak dia dan kebetulan dia kata nak ikut, jadi saya bawalah. Secara tak langsung ini juga sikit sebanyak pendedahan bagi dia tentang dunia kerjaya saya sebagai seorang selebriti. "Tapi sebenarnya dia sangat okay. Dia lelaki paling releks yang pernah saya kenal. Dari segi soal lakonan saya terutama kalau membabitkan babak romantik, dia okay. Ini kali kedua saya bawa di majlis sebegini", kata Tiz Zaqyah sambil tersenyum. Hampir setahun menjalin hubungan cinta, sepertimana pasangan lain yang sedang bercinta, Tiz mengakui dia dan Daniel ada berbincang soal masa depan hubungan mereka. Namun masih terlalu awal untuk mereka memikirkan untuk membawa perhubungan mereka ke selangkah lagi ke depan - bertunang ataupun berkahwin.
"Alhamdulillah keluarga pun merestui hubungan kami. Ya, kami ada berbincang tapi tak ada apa-apa perancangan lagi. Kami ada sasaran tapi tak tahu lagi bila", ujarnya ringkas. Dalam pada itu, Tiz berkata tahun ini merupakan tahun yang baik bagi dirinya kerana sesibuk mana pundia dengan aktiviti seni, dia masih dapat mencuri masa untuk menikmati masa lapangnya. "Allhamdulillah, hidup saya semakin bagus. Tahun ni saya rasa saya lebih enjoy. Dalam pada banyak tawaran yang saya terima dan banyak pengalaman baru saya lalui, saya masih ada masa untuk aktiviti masa lapang saya. Tak lah kelam kabut sangat", katanya. Tiz bakal muncul menerusi drama Jodoh Itu Milik Kita yang bakal bersiaran mulai 19 Ogos depan di Mustika HD (saluran 134). Drama yang adaptasi dari novel judul yang sama nukilan Sara Aisha ini menyaksikan gandingan Tiz bersama Farid Kamil. Perkembangan lain, selepas Aidilfitri nanti Tiz berkemungkinan akan menjalani penggambaran sebuah filem. Namun buat masa ini semuanya masih dalam perbincangan. Dalam masa sama Tiz memberitahu dia sedang mempertimbangkan lamaran menjayakan sebuah sebuah teater terbitan produksi milik Datin Seri Tiara Jacquelina. Difahamkan teater tersebut akan di pentaskan di Sabah dan Sarawak. - mD

Amaran Farid Kamil Kepada Ibu Mertuanya

Pelakon dan pengarah filem Farid Kamil, 32, menegaskan sekiranya ibu mertuanya, Norsiah Ramli mahu bertemu dengan isterinya, Diana Danielle, 22, serta anak mereka, wanita itu perlulah bersemuka terlebih dahulu dengan dirinya. "Apa yang boleh saya katakan, sekiranya dia (ibu mertua) ingin melihat baby dan berjumpa isteri saya, suruh dia datang jumpa saya dulu. Selagi beberapa perkara belum selesai, adalah lebih baik dia berjumpa saya dulu. "Saya risaukan perkara yang tidak diingini serta kemungkinan-kemungkinan yang buruk akan berlaku pada anak dan isteri saya. Saya dapat merasakan mertua saya akan melakukan sesuatu yang buruk kepada mereka. "Saya bukan berdendam tetapi lebih kepada mahu melindungi anak dan isteri saya. Lagipun sebelum ini saya dengar banyak cerita negatif yang keluar dari mulut ibu mertua saya tentang kami berdua", jelas Farid Kamil dengan panjang lebar. Beliau ditemui pada sidang media drama bersiri Jodoh Itu Milik Kita yang diadakan di Restoran Teeq, Lot10, malam tadi. Farid sebelum ini mencetuskan kontroversi ekoran beliau meluahkan rasa kecewa terhadap ibu mertuannya itu di laman Twitter. Kata-kata Farid ketika itu seolah-olah menggambarkan dia dan mertuanya itu berdepan dengan krisis. Malah semasa pernikahan Farid dan Diana, timbul desas desus Norsiah kononnya tidak merestui perkahwinan pasangan itu.
Ternyata khabar tersebut benar apabila pada pertemuan semalam, Farid turut mendedahkan Diana sangat kecewa dengan sikap Norsiah yang tidak mengambil tahu keadaan anaknya itu. Apatahlagi di saat-saat proses terakhir kehamilan Diana. "Diana kecewa dengan ibunya sejak dia tidak merestui perkahwinan kami. Saya juga tidak pula pernah mendengar ibu mertua saya telefon bertanyakan khabar kepada Diana", katanya. Untuk pengetahuan Farid dan Diana telah berkahwin pada 3 November 2012. Selepas disahkan hamil, Diana berangkat ke Sydney, Australia bagi melanjutkan pelajarannya sehinggalah aktres itu selamat melahirkan bayi lelaki, pada 2 Julai lalu di sebuah hospital di sana. -mD

Diana Amir nikah tahun ini juga

SEMENJAK mengambil keputusan untuk berhijab kira-kira dua tahun lalu, ternyata pelakon Diana Amir sudah agak jarang muncul di kaca televisyen atau layar perak. Berkesempatan menemui Diana pada majlis berbuka puasa anjuran Metrowealth baru-baru ini, dia mengakui terpaksa menolak banyak tawaran berlakon lantaran watak yang kurang sesuai. Kali terakhir berlakon dalam filem Salam Cinta pada tahun lalu, Diana menyatakan, sehingga kini dia masih lagi aktif berlakon dan kekal bernaung di bawah Metrowealth sehingga bulan Februari 2015. Diana yang turut bergelar pengacara rancangan SIS terbitan TV9 itu berkata, kini dia masih lagi menunggu sekiranya ada tawaran yang memerlukannya membawa watak yang sesuai dengan penampilannya sekarang. Kosmo!: Ketika ini Diana dilihat seperti sudah tidak aktif berlakon. Adakah Diana mahu melupakan terus bidang lakonan? DIANA: Perkara tersebut memang benar-benar terjadi sejak saya mengubah penampilan kepada bertudung sekarang. Tawaran berlakon masih lagi ada, cuma watak yang diberikan tidak sesuai dengan penampilan saya. Bagaimanapun, saya tidaklah terlalu memilih sangat apabila ditawarkan berlakon dan tidak semestinya saya memilih drama atau filem yang berbentuk keagamaan. Asalkan jalan ceritanya yang memberi mesej positif kepada penonton pun saya terima. Adakah Diana pernah mengadakan perbincangan tentang masa depan karier lakonan anda dengan Metrowealth? Saya pernah berbincang dengan bos Metrowealth iaitu David Teo tentang karier saya. Kemudian dia memberitahu bahawa setakat ini masih belum ada filem atau drama yang sesuai untuk ditawarkan kepada saya. Sebenarnya saya tidak kisah kalau tidak banyak mendapat tawaran kerana percaya rezeki itu di tangan Allah. Lagipun, kalau tidak berlakon saya masih ada lagi punca pendapatan lain untuk menampung kehidupan seharian saya.
Memandangkan anda tidak aktif berlakon, apakah aktiviti yang dilakukan sekarang? Baru-baru ini saya baru sahaja menerbitkan sebuah buku motivasi berjudul Titisan Mahabbah terbitan Mustread Publication yang telah dilancarkan kira-kira dua minggu lalu dan sambutan yang diterima memang sangat memberangsangkan. Selain itu, saya juga menjalankan perniagaan menjual tudung jenama Emel secara dalam talian serta diundang untuk memberi ceramah tentang etika dan ketrampilan wanita di beberapa syarikat korporat. Anda sudah mengikat tali pertunangan dengan Mohd. Habib Bullah A. Rahman pada tahun lalu. Jadi, bilakah kalian akan melangsungkan perkahwinan? Kalau mengikut kepada perbincangan semasa bertunang dahulu, memang kami ikat selama setahun dan sepatutnya perkahwinan akan dilangsungkan pada bulan September depan. Bagaimanapun, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana persediaan perkahwinan masih belum dilakukan lagi. Sebenarnya saya tidak mahu tangguh lama-lama dan kalau boleh saya tetap ingin berkahwin pada tahun ini. Lagipun sekarang saya sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri tetapi sebagai seorang wanita saya cuma menunggu tarikh yang akan diberikan oleh tunang saya. Apakah aktiviti yang anda lakukan sepanjang bulan puasa? Sepanjang tempoh sebulan ini kelas agama bersama kumpulan Usrah Fitrah dihentikan buat sementara waktu untuk memberi tumpuan kepada amal ibadat. Ketika ini, saya bersama ahli Usrah Fitrah yang lain seperti Heliza Helmi, Irma Hasmie dan Yatt Hamzah bekerjasama dengan Masjid As-Syakirin di KLCC menganjurkan program tarbiah, solat tarawih dan qiamullail.

Siti Nordiana Anggap Nubhan Seperti Adik

Penyanyi Siti Nordiana menjelaskan hubungan akrabnya dengan penyanyi Nubhan, 27, adalah seperti adik beradik dan tidak lebih daripada itu. Siti Nordiana atau lebih mesra dipanggil Nana, 29, berkata, penyanyi lelaki itu merupakan rakan baiknya yang sering berkongsi masalah dan membantu ketika dalam kesusahan. "Ya, Nubhan antara kawan lelaki yang rapat dengan saya tapi bukan dia sahaja, ramai lagi cuma mungkin orang hanya kenal dia sebab dia artis. "Bagaimanapun saya anggap dia sebagai adik sahaja kerana dia memang seorang yang baik dan sering membantu jika saya dalam kesusahan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Nana, anaknya Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini berusia lapan tahun juga mesra dengan bekas pelajar Akademi Fantasia keenam itu. "Keluarga kami baik mungkin kerana kami masing-masing dari negeri yang sama iaitu Negeri Sembilan, emak Nubhan selalu masak sedap-sedap dan panggil kami untuk makan," katanya. Bagaimanapun, ditanya tentang rancangan untuk membina rumah tangga sekali lagi, Nana berkata, hatinya belum terbuka untuk itu. "Memang ada terfikir untuk berkahwin semula dan ingin cari ayah kepada Rayyan tetapi itu semua adalah ketentuan Allah. "Saya hanya menerima jika ada jodoh yang datang, namun buat masa ini biarlah saya fokus untuk cari rezeki dan besarkan anak," katanya. Tambah Nana, ada lelaki yang cuba menghampirinya namun ke banyakkan mereka tidak serasi dan kurang memahami dirinya sebagai ibu tunggal. "Ada juga lelaki yang cuba ingin berkawan dengan saya tetapi mereka tidak faham tanggungjawab saya sebagai ibu tunggal. "Ada juga yang tidak serius dan sekadar suka-suka sahaja," katanya.

Nora Danish Henti Jual Bedak Sejuk

Pelakon Nora Danish terpaksa menghentikan sementara penjualan produk bedak sejuk ‘Tanaka’ kerana mahu mendapatkan kandungan yang lebih berkualiti daripada pengeluar bedak itu di Myanmar. Nora, 30, berkata selain daripada itu dia kecewa apabila terdapat pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan namanya bagi menjual produk yang sama. "Buat masa sekarang saya menghentikan penjualan bedak tersebut kerana pihak kami sedang mencari kandungan bedak yang betul-betul baik yang kita akan ambil terus dari Myanmar. "Dulu saya ambil daripada sebuah kedai namun selepas saya promosi dan jual ramai pula yang serbu kedai tersebut dan jual bedak yang sama," katanya ketika ditemui mStar Online. Nora yang mula menjual produk bedak sejuk yang diberi nama ‘Tate Dea by Nora Danish’ itu sejak awal tahun lalu menganggap ia sebagai bedak tradisional keturunan Myanmar. "Saya berketurunan Myanmar dan memang bedak ini diperbuat daripada kayu ‘Tanaka’ yang menjadi bedak tradisional masyarakat Myanmar. "Kalau boleh saya mahu memperkenalkannya di Malaysia kerana ia memang bagus untuk menjadikan kulit licin dan cantik," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Nora dan tujuh selebriti lain telah dilantik sebagai duta Anugerah Syawal TV3 untuk mempromosikan program terbaik terbitan stesen tersebut sepanjang bulan Syawal ini. Dia juga bakal membintangi telefilem berjudul Ijab dan Kabul bergandingan dengan pelakon Adi Putra yang akan bersiaran pada 18 Ogos, pukul 10 malam.

Saida Sudah Bertudung

Sempena keberkatan bulan Ramadan ini, penyanyi yang juga kakak kepada Dato' Siti Nurhaliza, Saida telah mula mengenakan hijab atau bertudung. Perkara ini disahkan sendiri oleh kakak ipar Saida yang juga pengurus Siti Nurhaliza, Rozi menerusi akaun Instagramnya. "Masuk opis hari ni, terpercik cahaya dari bilik sebelah..ingatkan ada lentera timur..rupanya lentera Kuala Lipis. Cahayanya terpantul membelah dinding..hehe. Penghijrahan 16 Ramadhan yg manis. @saidatarudin," tulisnya sambil memuat naik foto Saida yang ayu mengenakan tudung. sumber : media hiburan

Aeril Zafril & Wawa Zainal Jalin Hubungan Cinta Senyap-Senyap?

Pelakon Aeril Zafril sebeum ini pernah dikaitkan bercinta dengan Ummi Nazeera namun masing-masing menafikan dakwaan tersebut. Terbaru Aeril Zafril dikaitkan pula dengan artis yang semakin meningkat naik, Wawa Zainal. Gosip tersebut dengarnya bermula selepas masing-masing digandingkan di dalam filem terbitan MIG berjudul 7 Petala Cinta tahun lalu, namun tiada pengesahan dari mereka berdua dan masing-masing dengarnya pandai menyimpan rahsia sehingga tiada siapa dapat menghidu bahawa mereka kini benar-benar bercinta. Apa yang menguatkan cerita tersebut adalah Wawa Zainal sanggup meninggalkan keretanya kepada Aeril ketika pulang ke kampung di Lahad Datu, Sabah dan Aeril Zafril pula bersedia membayar ganti rugi di atas kehilangan kereta yang dijaganya itu.
Menurut laporan Berita Harian, Wawa Zainal yang sudah berada di Sabah hampir sebulan kerana menjalani rawatan tradisional dan tidak menjawab panggilan telefon dan juga sms.

Anzalna Nasir Cuti Panjang Untuk Sambut Raya

Pelakon Anzalna Nasir memberitahu akan bercuti selama dua minggu daripada sebarang aktiviti seni bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada Ogos nanti. Anzalna, 24, berkata, dia mengambil cuti panjang itu kerana ingin menghabiskan masa bersama keluarganya kerana sebelum ini sibuk dengan kerjaya lakonannya. "Tahun ini saya nak bercuti raya puas-puas kerana terlalu sibuk dengan kerja sebelum ini sehingga tiada masa bersama keluarga. Jadi kesempatan yang ada ini ingin saya gunakan berehat dan berkunjung ke rumah saudara mara yang sudah lama tidak berjumpa. "Malah semenjak awal Ramadan lalu saya sudah memperlahankan aktiviti seni dan akan bercuti sehingga 23 Ogos depan," katanya kepada mStar Online. Anzalna berkata, dia dan keluarganya akan menyambut perayaan itu di Muar, Johor terlebih dahulu sebelum berangkat ke Pulau Pinang. "Tidak sabar untuk balik ke kampung ayah di Johor dan ibu di Pulau Pinang kerana kemeriahan yang berbeza-beza di dua tempat itu dan saya memang sukakan suasana desa," ujarnya.
Dalam pada itu, Anzalna berkata, kedatangan bulan Ramadan ini juga dia mengambil peluang untuk lebih banyak melakukan kerja-kerja amal dan mengakui insaf apabila melihat penderitaan orang lain. Katanya, selain menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dia juga turut bekerjasama dengan pihak Hospital Kuala Lumpur untuk meluangkan masa dengan 47 orang penghidap penyakit kanser. "Saya banyak menghabiskan masa dan cuba menceriakan mereka kerana itu sahaja sumbangan yang mampu saya berikan agar mereka berasa sedikit terhibur di sebalik penderitaan yang dialami. "Menerusi pengalaman itu juga saya banyak mengambil iktibar dan peringatan supaya dapat menjalani kehidupan lebih baik," katanya. Sementara itu, Anzalna berkata, dia akan kembali ke set penggambaran drama Lady Gagah selepas bercuti nanti selain beberapa projek lain dan duta produk.

Liyana Jasmay Dedah Sikap Cemburu Suami

Pelakon Liyana Jasmay menjelaskan suaminya, Fathuddin Mazlan masih mempunyai sifat cemburu yang menebal jika melihat dia berlakon dalam adegan-adegan cinta walaupun sudah hampir enam bulan mereka mendirikan rumah tangga. Liyana, 25, berkata, Fathuddin, 29, juga mengambil pendekatan untuk tidak menonton adegan-adegan romantik lakonannya semata-mata mahu menepis perasaan itu. “Sudah hampir enam bulan kami kahwin, suami saya masih tidak dapat menerima sepenuhnya perjalanan dunia seni saya malah dia sering kali meluahkan perasaan cemburunya jika melihat saya melakonkan adegan romantik. “Tetapi saya faham, perasan itu wujud kerana dia mahu menjaga isterinya dan saya harus menjaga hatinya pula,” kata Liyana kepada mStar Online. Pasangan itu selamat diijabkabulkan pada 2 Februari 2013 dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Hotel Seri Pasific, dekat sini.
Jelas Liyana lagi, suaminya juga memberi syarat agar dia tidak melakonkan adegan keterlaluan selain perlu membatasi babak-babak bersentuhan dengan pelakon lelaki lain. “Setakat ini jika ada mana-mana tawaran yang memerlukan saya bersentuhan dengan mana-mana lelaki, saya akan maklumkan kepada suami terlebih dahulu dan dia meminta saya agar tidak keterlaluan melakonkan adegan berkenaan,” katanya. Menurut Liyana, dia menggemari sikap cemburu itu kerana ia adalah petanda betapa si suami benar-benar mengambil berat dan sayangkan seseorang isteri. Katanya, adalah satu masalah besar kalau seseorang suami tidak ada perasaan itu apatah lagi bagi seseorang pelakon yang perlu melakonkan watak-watak romantik, bersentuhan dan juga sesetengahnya di ranjang. Bagaimanapun Liyana telah membuat keputusan untuk tidak menerima watak-watak romantik yang memerlukan dia berpelukan selepas berumah tangga.

Gosip Putus Cinta Tidak Benar, Roslan Shah Tetap Kahwin

Berita kononnya Roslan Shah sudah putus cinta adalah tidak benar sebaliknya pengacara itu bertegas akan tetap berkahwin pada hujung tahun ini seperti mana yang pernah dihebohkan. Roslan, 41, bagaimanapun berkata, buat masa ini dia tetap dengan keputusannya untuk merahsiakan identiti wanita yang berasal dari Kelantan itu sehinggalah tiba waktunya. "Sebelum ini memang saya ada uar-uarkan akan berkahwin dan akhirnya cerita itu sudah senyap. Sebenarnya saya masih bercinta dengan wanita berkenaan dan Insya-Allah akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini juga," katanya kepada mStar Online. Roslan diminta mengulas desas-desus mengatakan percintaannya dengan seorang wanita dari Kelantan hanyalah sekadar hangat-hangat tahi ayam dan hubungan itu dikatakan sudah pun putus. Dalam perkembangan sama, Roslan berkata, bakal isterinya itu mengetahui tentang sifat dirinya yang lembut dan dapat menerima kekurangan tersebut. "Bakal isteri tahu saya lembut dan itu bukan masalah kerana apa yang penting nawaitu kita terhadap sesuatu perkara.
"Saya sukakannya kerana dia sangat sporting dan memahami diri saya di sebalik kata-kata negatif yang sering dilemparkan oleh masyarakat terhadap saya," jelasnya. Sementara itu, Roslan berkata, dia menerima pelbagai reaksi daripada peminat dan rakan artis apabila mengetahui dia akan menamatkan zaman bujangnya. Jelas Roslan, dia bersyukur apabila ramai yang gembira dan mendoakan perkara yang baik dengan keputusan itu namun turut mengakui terkilan apabila ada yang melemparkan kata-kata negatif. "Ada yang mempertikaikan 'kemampuan' saya untuk berumah tangga hanya kerana sifat saya yang lembut dan pelbagai kata-kata negatif dilemparkan. "Bukan kata-kata negatif yang saya harapkan daripada peminat dan masyarakat sebaliknya doa supaya rumah tangga itu nanti akan berkekalan sehingga akhir hayat," ujarnya. Bagaimanapun kata Roslan, kata-kata tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya kerana dia sedar keputusannya untuk berkahwin adalah sesuatu yang baik dan murni.
Dalam perkembangan lain, Roslan berkata, dia kini sedang sibuk dengan rakaman program bual bicara kendaliannya berjudul Diva De Vida yang memfokuskan kepada topik kecantikan, kesihatan dan hiburan. Jelas Roslan, dia sangat terharu diberikan peluang sebagai pengacara oleh penerbit eksekutif program berkenaan iaitu Datuk Dr Hasmiza Othman yang juga pengasas produk Vida Beauty. "Ini adalah kali pertama saya menggalas tugas sebagai pengacara program televisyen dan sangat berbesar hati diberikan peluang oleh Astro dan Datuk Hasmiza untuk mengendalikan program berkenaan. "Walaupun sudah biasa dengan pengacaraan di pentas namun saya tetap rasa gementar kerana ini adalah pengalaman pertama saya," jelasnya. Diva De Vida akan mula bersiaran pada minggu ketiga Aidilfitri setiap hari Isnin pukul 9 malam di Astro Prima.

Erra Fazira Minta Peserta Ratu Cantik Akur Larangan

Penyanyi Erra Fazira menasihatkan gadis beragama Islam di negara ini supaya akur dengan perundangan negara yang melarang mereka daripada menyertai pertandingan ratu cantik. Erra yang merupakan peserta beragama Islam terakhir menyertai pertandingan ratu cantik tersebut pada 1992 berkata, dia percaya undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan itu bertujuan melindungi maruah wanita Islam. "Ketika menyertai pertandingan berkenaan, saya juga berdarah muda yang ingin mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir kesannya jangka panjang. "Tambah pula waktu itu, undang-undang tidak diperketat lagi, jadi saya pun sertainya atas kemahuan sendiri.
"Tetapi apabila pertandingan itu melarang gadis Islam untuk menyertainya, kita terpaksa akur. Siapalah kita untuk melawan undang-undang," katanya. Tambah Erra, ketika ini terdapat banyak saluran lain yang membolehkan penyertaan gadis beragama Islam menyertai pertandingan seumpama itu dengan garis panduan yang dibenarkan. Erra diminta mengulas mengenai pembatalan penyertaan empat peserta akhir pertandingan MMW2013 yang beragama Islam pada Selasa lalu. Empat yang berkenaan ialah Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, Wafa Johanna De Korte, 19, Miera Sheikh, 19 dan Kathrina Ridzuan, 20. Keempat-empat gadis berkenaan bagaimanapun mempertikai larangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan tersebut. Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik yang diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam. Sementara itu, Erra berpendapat, penganjur pertandingan ratu cantik antarabangsa dapat memberi kelonggaran terutamanya dari segi pemakaian membabitkan wanita Islam. "Mungkin sudah tiba masanya masyarakat luar melihat wanita Islam dalam perspektif yang berbeza dengan melonggarkan syarat-syarat penyertaan terutamanya daripada segi pemakaian. "Ini kerana, pertandingan ratu cantik bukan dilihat hanya pada wajah dan fizikal semata-mata, tetapi juga cara pemikiran seseorang dalam melontarkan pendapat. "Jadi, jika gadis Islam menyertainya, apa salahnya pihak penganjur menghormati mereka dengan memberi kelonggaran pemakaian yang lebih sopan. Kerana kecantikan bukan sahaja daripada luaran semata-mata, tetapi juga pemikiran kita," tegasnya.

Noniswara Lebih Tenang Selepas Bercerai

Pelakon Noniswara berasa lega dan tenang apabila kes penceraiannya dengan Datuk Rosman Ridzwan akhirnya selesai apabila mereka sah bercerai menerusi lafaz taklik pada 18 Julai lalu. Nonis atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, 44, berkata, dia kini mahu hidup berdikari dan memberikan tumpuan kepada tiga anaknya yang sedang membesar selain tumpuan kepada kerjaya lakonannya. "Setahun saya naik turun mahkamah bagi menyelesaikan kes ini dan akhirnya saya mampu menarik nafas lega kerana semuanya telah selesai. "Walaupun sedih mengenangkan pengakhiran rumah tangga kami tetapi saya berasa lebih tenang sekarang dan mahu memberikan fokus kepada kerjaya dan anak-anak," katanya kepada mStar Online. Nonis membuat tuntutan cerai taklik pada 9 Mei lalu mengikut Seksyen 50 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tindakan itu dibuat selepas suaminya meninggalkan rumah kelamin sejak 5 September 2012 selain tidak memberi nafkah adalah selari dengan lafaz taklik yang dibacakan defendan pada hari pernikahan mereka pada 31 Julai 2009. Lafaz tersebut dilakukan di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus berserta Noniswara dan juga peguamnya, Datuk Amly Embong tanpa wakil dari pihak lelaki. Dalam pada itu, Nonis berkata, buat masa ini dia tidak terfikir untuk mencari pengganti sebaliknya hanya mahu fokus kepada kerjaya dan anak-anak. Jelas Nonis, dia mahu membina kehidupan baru tanpa mengharapkan sokongan daripada lelaki dan menganggap soal itu tidak penting. "Bukan serik tetapi ia bukan fokus saya lagi kerana paling penting kerjaya dan anak-anak diutamakan," katanya. Pelakon berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails