Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dunia baharu Izreen

PERUTNYA sudah memboyot ke depan, hanya menghitung hari untuk menyambut kelahiran anak sulung. Namun, pelakon Izreen Azminda masih ceria dan kekal aktif seperti selalu. Dia tidak kelihatan lelah seperti ibu hamil yang lain. Walaupun perutnya sudah besar, Izreen hadir ke sesi fotografi dengan memandu kereta sendirian. Malah, pada saat pertemuan kami berlangsung, kandungan pelakon itu telah mencecah usia sembilan bulan. Pendek bicara, dia kini menghitung hari untuk bersalin. "Alhamdulilah, sepanjang hamil saya tidak mempunyai sebarang alahan dan tidak pula mengidam makanan yang pelik-pelik. Saya masih bekerja seperti biasa kerana sudah tandatangani kontrak dan hanya berehat daripada lakonan apabila kandungan sudah mencecah empat bulan," ujarnya. Berehat di rumah dalam jangka waktu yang lama memberi peluang kepadanya untuk memantapkan lagi ilmu masakan. Jelasnya, sebelum ini, dia hanya tahu memasak makanan yang ringkas sahaja. "Bila duduk di rumah, saya jadi bosan jadi banyaklah masa untuk membelek resipi baru. Seronok juga sebab saya dapat luangkan lebih banyak masa bersama suami dan mencuba masakan yang langsung tidak pernah saya masak sebelum ini. "Mungkin ada yang ketawakan saya jika saya mendedahkan bahawa sebelum ini saya langsung tidak pandai masak pajeri nanas, tetapi sekarang bolehlah masak jika dipinta suami. Kira ini waktu cuti panjang saya sebelum siapkan diri untuk kembali aktif selepas bersalin kelak," balasnya. Selain daripada berehat, Izreen juga banyak diperturunkan petua daripada ibunya dan saudara-maranya yang lain sepanjang kehamilan. Bagaimanapun sebagai wanita moden, Izreen hanya mengikut sesetangah daripada petua yang diberi. "Sejak hamil, macam-macam petua yang saya tidak pernah dengar diberi oleh keluarga saya. Misalnya, kalau mengidam mesti dipenuhi, nanti air liur anak meleleh, tidak boleh koyakkan plastik makanan, sebaliknya kena pakai gunting nanti takut anak sumbing. "Jujurnya, saya sangat terkejut dengan segala petua itu, tetapi saya tidak ikut semua. Saya hanya ikut mana yang saya rasa logik sahaja sebab kalau nak ikut semua, saya yang penat," katanya dalam tawa. Rahsiakan jantina bayi Mungkin sudah minat dalam bidang lakonan, meskipun dalam tempoh istirehat, Izreen tetap menerima tawaran lakonan ketika kandungannya enam bulan. Katanya, dia menerima tawaran dalam telefilem Barakah yang akan ditayangkan pada hari raya kedua di RTM itu kerana wataknya sebagai ibu hamil. "Saya curi-curi bekerja. Tambahan pula, wataknya sangat sesuai iaitu sebagai ibu hamil. Saya tidak perlu bergerak banyak dan penggambaran hanya mengambil masa lebih kurang seminggu sahaja. Jadi, apa salahnya asalkan saya utamakan kesihatan saya dan bayi dalam kandungan," balasnya. Disoal tentang jantina bayi yang bakal dilahirkan, Izreen hanya tersenyum dan memberitahu dia enggan mendedahkan jantina bayi yang bakal lahir. "Rahsialah, tunggu sampai saya lepas bersalin nanti (ketawa). Saya dan suami memang sudah tahu, tetapi kami ingin menjadikan saat kelahiran itu istimewa buat kami berdua. Jadi lebih baik rahsia dahulu daripada orang lain. "Saya percaya petua orang dahulu kata, jangan terlampau teruja dan seronok menyambut kelahiran anak pertama. Jadi, biarlah saya simpan semuanya sehingga saat akhir, nanti lambat laun orang akan tahu juga," tuturnya. Berbicara tentang perubahan berat badannya, Izreen memberitahu berat badannya kini mencecah 75 kilogram daripada berat asal iaitu 53 kilogram.
Dia bagaimanapun tidak bimbang dengan berat badan naik mendadak kerana menurutnya kenaikan berat badan adalah sesuatu yang normal. Selagi tidak menganggu kesihatannya, dia bebas makan apa sahaja. "Saya jenis yang makan apa sahaja yang ada depan mata. Tidak pernah mengidam, tetapi kalau sudah nampak memang saya akan makan banyak. Orang kata waktu hamil saya boleh makan sepuasnya, sebab semasa berpantang, saya akan berusaha untuk mendapatkan berat badan asal semula," katanya. Akui Izreen yang berdebar menanti kelahiran anaknya, dia merancang untuk melahirkan anak di Hospital Ampang Puteri, Selangor dan berpantang di Kuala Lumpur sahaja. "Memang mulanya saya merancang ingin berpantang di kampung halaman di Perlis, tetapi jauh sangat perjalanannya selepas bersalin. Suami pula kerjanya sebagai jurukamera tidak tentu masa dan lokasi, jadi lebih baik saya berpantang di Kuala Lumpur, mudah untuk suami melihat saya dan anak. "Saya tetap minta ibu saya datang ke Kuala Lumpur untuk menjaga saya ketika berpantang kerana ibu lebih memahami saya daripada orang lain," ujarnya yang akan kembali bekerja selepas hari raya Aidilfitri. Disoal apakah persiapan yang telah dilakukan untuk menyambut kelahiran anaknya, Izreen menjelaskan segalanya telah disiapkan memandangkan tempoh waktu untuknya bersalin cukup dekat. "Semua sudah siap, baju, kelengkapan bayi dan keperluan saya sendiri sebagai bakal ibu. Bila lihat barang-barang bayi, saya rasa tidak sabar untuk pegang anak sendiri, tetapi dalam masa yang sama bila dengar cerita rakan-rakan kesakitan waktu bersalin, saya jadi takut pula," katanya yang dijangka bersalin secara normal. Sama seperti ibu bapa yang lain, pastinya Izreen dan suami ingin yang terbaik untuk anak mereka. Namun, sebolehnya, Izreen enggan anaknya mengikut jejak langkahnya terlibat dalam bidang seni kerana tahu kesukaran sebagai penggiat seni. "Kalau boleh saya mahu dia berjaya dalam bidang akademik dan memilih kerjaya yang menjamin masa depan seperti peguam atau doktor. Jika, dia mahu terlibat juga dalam bidang seni, dia harus berjaya mendapat segulung ijazah terlebih dahulu," ceritanya tentang perancangan masa hadapannya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails