Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hati orang siapa tahu - Anzalna

MINGGU lalu sekeping gambar yang menggandingkan pelakon Anzalna Nasir dan Fasha Sandha telah mengundang kontroversi di laman sosial dan internet. Gambar terbabit bagaimanapun telah meninggalkan komen-komen negatif dua peminat artis tersebut dan tempias paling teruk dirasakan oleh Anzalna apabila dres biru firus yang dipakai olehnya menampakkan sosok tubuh dan bahagian badan yang sensitif. Antara yang ditulis peminat menerusi akaun Instagram milik Fasha Sandha itu ialah komen yang menyifatkan Anzalna tidak peka terhadap pakaian yang dipakai dan cuba meraih publisiti murahan. Berkesempatan bertemu dengan pelakon kelahiran Pulau Pinang itu pada sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! segera mendapatkan penjelasan lanjut. Ikuti sedutan temu bual tersebut. Kosmo!: Sesudah kontroversi video Keek Sakinah beberapa bulan lalu, muncul pula kisah terbaharu mengenai sekeping gambar yang menampakkan bahagian tubuh Anzalna. Apa komen anda? ANZALNA: Saya tidak menganggap itu kontroversi tapi kesilapan yang tidak disengajakan. Saya tidak menyangka pula akan timbul kata-kata yang tidak enak mengenai diri saya sedangkan saya sentiasa berhati-hati apabila memuat naik gambar ke laman sosial. Bagaimanakah boleh timbul cerita terbabit dan kenapakah gambar itu dimuat naik di Instagram? Saya mendapat tahu melalui ruangan gosip dan portal hiburan dalam talian mengenai isu ini. Saya terkejut sebenarnya. Gambar itu dirakamkan ketika penggambaran drama bersiri Tentang Hati di Port Dickson, Negeri Sembilan. Setahu saya ada beberapa keping gambar lain yang lebih sopan, sebaliknya gambar itu juga yang dimuat naik. Jadi, siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal itu? Saya tidak menuding jari kepada sesiapa tapi saya kesal membaca komen-komen negatif daripada peminat di laman Instagram. Ada yang melabelkan saya cuba mencari publisiti murahan, padahal bukan saya yang melakukannya. Kecewa pun ada sebab ia menampakkan saya seolah-olah jahat. Gambarkan keadaan di lokasi semasa gambar itu dirakam? Apabila membabitkan penggambaran di tepi pantai, sudah tentu faktor cuaca sukar dikawal. Ada juga beberapa orang kru produksi yang berpesan supaya berhati-hati ketika bergambar kerana angin sedang bertiup kencang. Apa tindakan anda selepas mendapat tahu hal gambar yang tersebar tersebut? Saya ada menghubungi dia (Fasha) untuk bertanyakan hal itu tapi katanya tiada apa yang perlu dirisaukan. Apabila timbul lagi isu berkaitan medium sosial walaupun bukan anda sendiri yang lakukan, tidakkah anda merasakan ia satu bentuk penganiayaan? Prinsip saya apabila mahu memuat naik gambar atau video di laman sosial, saya akan menapis terlebih dahulu dan bukannya membuta tuli. Kalau diperhatikan sebelum ini pun saya tidak pernah memuat naik foto saya yang tidak sopan di laman Instagram. Soal penganiayaan saya enggan komen lanjut, hati orang siapa tahu. Apa pengajaran daripada kejadian kali ini? Saya akan lebih berhati-hati supaya tidak berlaku lagi perkara sebegini pada masa akan datang. Saya nasihatkan peminat agar jangan mudah membuat spekulasi dan andaian yang bukan-bukan apatah lagi melemparkan kata-kata kesat. Saya sedih apabila bermacam-macam kata-kata negatif dihamburkan kepada saya walhal ini bukan salah saya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails