Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nasha sunyi sambut raya tanpa kekasih

BERTEMU dengan pelakon yang kekal cantik seperti dulu, Noraishah Abdul Aziz atau Nasha Aziz, pada majlis berbuka puasa bersama media dan tayangan program Aidilfitri Astro di Hilton Kuala Lumpur baru-baru ini, ada perkara menarik yang dikongsikannya. Biarpun sedar peluang untuk menyingkap mengenai perihal peribadinya terutama mengenai teman hidup adalah satu hal yang mustahil, sedikit sebanyak pelakon dan juga model yang kini berusia 42 tahun itu lebih terbuka bercerita mengenainya. Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005 menerusi filem Trauma itu mengakui, dia sangat sunyi tanpa kekasih lebih-lebih lagi ketika menyambut kehadiran Syawal. Baginya, jika orang lain gembira menyambut Syawal dengan kekasih hati dia pula sebaliknya. “Sambutan raya saya sama sahaja setiap tahun. Sunyi, tanpa kekasih,” ulasnya ringkas sekali gus menimbulkan tanda tanya adakah hubungannya dengan promoter konsert terkenal, Nur Iman Tang sudah putus? Enggan mengulas panjang jawapannya itu, ujar Nasha: “Nak buat macam mana kalau saya belum ada kekasih biarpun pada usia yang kini sudah mencecah 42 tahun.” Tambahnya, selepas lapan kali menyambut Ramadan tanpa mengambil sebarang tawaran berlakon, tahun ini buat pertama kalinya dia terlibat dalam penggambaran telefilem raya iaitu Kasih Bersulam Daun Palas. Pandai anyam ketupat Ujarnya, ada sebab kenapa dia bersetuju untuk membintangi telefilem yang bakal ditayangkan pada hari raya kedua, 9 Ogos, pukul 2 petang itu. Menurutnya yang bakal bergandingan dengan pelakon Shah Iskandar, dia tidak berdaya menolak permintaan pihak Zeel Production kerana pujukan mereka terlalu kuat. “Selama lapan tahun saya tidak ambil sebarang tawaran berlakon sepanjang bulan Ramadan, tetapi tahun ini saya terpaksa terima. “Sebabnya, pihak Zeel Production terlalu beria-ia memujuk saya supaya berlakon dalam telefilem raya mereka. Mereka sangat pandai memujuk hingga saya tidak berdaya untuk menolaknya,” ujarnya.
Mengakui sangat selektif dalam memilih karya yang bakal dilakonkannya, ulas Nasha, dia tidak kisah wajahnya jarang ditonton di kaca TV kerana ingin menjaga nilai eksklusif dirinya. Selain sibuk dalam bidang lakonan dan peragaan, kongsi Nasha, dia juga kini sibuk dengan dunia baharunya iaitu perniagaan korporat yang sedang diusahakan. Namun, Nasha enggan mengulas lanjut perniagaan apa yang dijalankannya dan sekadar memberitahu ia masih di peringkat awal. Menyingkap aktiviti sambutan Syawal pula, ujar Nasha, setiap tahun dia akan ditugaskan untuk menganyam ketupat nasi malah dia mampu menganyam sehingga 50 ketul ketupat seorang diri. “Saya suka anyam ketupat nasi. Bagi saya, ia satu seni yang tidak pernah pupus tetapi orang akan lupa dari semasa ke semasa. Setiap tahun memang saya lah orangnya yang akan anyam ketupat ini. Kalau dah leka anyam sampai ke petang jadinya,” ujarnya yang tidak akan berdiet ketika raya malah akan menikmati segala makanan yang ada. Mengakui sangat menitikberatkan soal pemakanan, jelas Nasha, dia akan pastikan tubuhnya mampu menyarung pakaian-pakaian lamanya. Perkara itu bagi membuktikan tubuhnya sentiasa berada dalam bentuk yang sama. Berkongsi sambutan raya pertamanya, ujar Nasha, setiap tahun, dia akan beraya bersama keluarganya di Kuala Lumpur. Ungkapnya, setiap pagi raya dia akan melakukan solat raya berjemaah dan kemudiannya menziarahi kubur neneknya. Disoal mengenai memori raya yang tidak dapat dilupakannya pula, cerita Nasha, ketika umurnya 10 tahun dia pernah terjatuh longkang besar kerana sibuk memanjat pagar melihat tetamu-tetamu yang datang ke rumahnya. “Saya pernah jatuh longkang ketika raya. Memori itu sampai sekarang saya masih ingat sebab saya rasa ia sangat kelakar. “Saya ini suka sangat tengok tetamu datang beraya. Bila dengar orang datang, saya orang pertama jenguk malah sanggup panjat pagar nak tengok tetamu yang datang. “Akibatnya, masa saya darjah empat, ketika panjat pagar saya tersilap langkah sehingga terjatuh dalam longkang,” luahnya yang malu tetapi dalam masa yang sama geli hati mengingatkan pengalaman hari rayanya ketika itu.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails