Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pelakon Umi Kalthum Meninggal Dunia Dalam Tidur

Seniwati veteran iaitu Datin Umi Kalthum, 81, meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah salah seorang anaknya di Taman Melawati dekat sini pagi Rabu. Anak Allahyarham, pelakon Noorkumalasari berkata, ketika kakak sulungnya hendak mengejutkan Allahyarham untuk bersahur kira-kira pukul 4 pagi, Umi Kalthum sudah tidak bergerak. "Ketika kakak saya bersiap untuk bersahur, kakak pergi kejutkan ibu di dalam bilik dan mendapati dia sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pagi Rabu. Noorkumalasari berkata, Allahyarham tidak menghidap apa-apa penyakit kritikal dan beliau masih cergas walaupun sudah mencecah usia 81 tahun. Malah ketika bertemu dengannya kira-kira dua hari lalu, Allahyarham tidak menunjukkan perubahan sebaliknya aktif berbual seperti biasa.
"Semasa saya berjumpa dengannya, saya bawakan dia sambal bilis dan kami sempat berborak sambil gelak ketawa. "Tiada apa-apa perubahan terhadap dia sehinggalah dia meninggal dunia pada hari ini (Rabu)," katanya. Menurut Noorkumalasari, Allahyarham juga tidak meninggalkan apa-apa pesan tetapi selepas kematian suami iaitu pelakon Datuk S Roomai Noor kira-kira 17 tahun lalu di Mekah, Allahyarham kerap berkunjung ke Tanah Suci itu seolah-olah mahu melepaskan rindu kepada suami. Kali terakhir Allahyarham ke sana adalah pada April lalu. Beliau dan S Roomai Noor juga telah mengerjakan ibadah Haji pada tahun 1976 dan 1982. Semasa hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin telah berlakon lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.
Watak jahatnya sebagai Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah yang digandingkan dengan Latifah Omar benar-benar meninggalkan kesan kepada penonton. Beliau juga pernah dipilih sebagai Wanita Melayu Paling Jelita di Asia pada zaman kegemilangannya oleh sebuah majalah di Australia. Hasil dua perkahwinan iaitu bersama Jaafar untuk perkahwinan pertama dan S Roomai Noor bagi perkahwinan kedua, beliau meninggalkan lapan orang anak, 22 orang cucu dan seorang cicit. Seorang lagi anak Allahyarham ialah penyanyi Anita Sarawak hasil perkahwinan pertama S Roomai Noor dengan seniwati Siput Sarawak. Jenazah dimandikan dan dikapankan di masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati, Hulu Klang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, dekat sini selepas solat Zuhur. Antara rakan artis yang melawat Allahyarham ialah Datuk Maria Menando, Datin Rosnani Jamil, Salmah Ahmad, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Aziz Sattar, Zalifah Ibrahim dan Aspalela Abdullah.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails