Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Raja Azmi yakin Eddie pilihan terbaik

DALAM tempoh setahun bergelar janda setelah bercerai pada Jun 2012, penerbit kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa orang lelaki. Namun begitu, bekas isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jalani Sidek itu akhirnya memilih Mohd. Eddie Ghazali, 45, sebagai teman hidupnya. Setelah lima bulan bercinta, kedua-duanya mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang diadakan di rumah penerbit tersebut di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor pada 15 Julai lalu. Ketika ditemui selepas majlis pertunangan tersebut berakhir, ternyata penerbit yang popular menerusi filem ... Dalam Botol itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah menjadi tunangan Eddie. “Sebelum majlis berlangsung saya agak gemuruh dan gementar, maklumlah ini kali kedua saya merasai pengalaman bertunang. Namun begitu, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar. “Pada masa yang sama, saya rasa diri ini merupakan insan yang paling bertuah kerana tidak ramai yang dapat bertunang dua kali. Saya anggap ini anugerah yang paling besar daripada Allah,” ujarnya. Majlis pertunangan yang bermula sekitar pukul 6 petang itu dimulakan dengan acara merisik yang membabitkan perbincangan antara anak sulung Raja Azmi, Puteri Suraya Jalani, 28, dan anak sulung Eddie, Muhammad Daniel, 21. Selepas itu, majlis pada petang tersebut diteruskan dengan acara menyarung cincin yang disempurnakan oleh ibu Eddie iaitu Mariah Abu Samah, 73. Dalam majlis yang sama, pihak perempuan menerima tiga dulang hantaran seperti buah-buahan, coklat dan telekung serta senaskah al-Quran yang menggantikan wang hantaran. Ia dibalas dengan lima dulang hantaran iaitu beg duit, jam tangan, baju kemeja, kek dan coklat. Ketika ditanya apakah yang menyebabkan dia memilih Eddie sebagai bakal suami, Raja Azmi menyatakan sepanjang lima bulan bercinta dia melihat Eddie seorang lelaki yang baik dan tidak pernah kisah dengan status dirinya. “Pada usia sekarang bukanlah wang ringgit yang saya cari, tetapi lebih kepada kasih sayang. Saya yakin Eddie adalah pilihan yang terbaik dan dia mampu memberi sepenuh kasih sayang kepada saya,” jelasnya.
Mengenai majlis pertunangan yang diadakan pula, penerbit itu menyatakan bahawa ia adalah kehendak anak-anak yang mahu melihat dia dan Eddie menjalinkan ikatan yang lebih kukuh. Ujarnya, pemilihan angka ‘15’ sebagai tarikh pertunangan dan perkahwinannya pula dibuat kerana dia dan Eddie kali pertama bertemu dan bertentang mata pada 15 Februari lalu. “Mungkin ramai yang agak pelik apabila saya mengambil keputusan untuk bertunang pada usia sekarang, tetapi saya rasa ia tidak salah. “Lagipun ini permintaan anak-anak yang mahu melihat sejauh mana Eddie serius dengan saya. Kini, Eddie telah membuktikan yang dia memang mahu mengambil saya sebagai isteri,” ujarnya. Untuk majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada 15 September nanti, Raja Azmi memberitahu, dia mahu mengadakan majlis secara besar-besaran dengan mengundang lebih ramai tetamu. Tidak kisah Sementara itu, Eddie yang ditemui pada majlis pertunangan tersebut menyatakan dia memilih Raja Azmi sebagai teman hidupnya kerana sifat-sifat keibuan yang dimiliki oleh penerbit itu. Menurut pemain bass kumpulan CRK itu, sepanjang lima tahun bergelar duda setelah kematian isteri pada tahun 2008, dia memang pernah terfikir untuk mencari pengganti. “Saya tidak menyangka bahawa Raja Azmi merupakan wanita yang bakal mengisi kekosongan hati saya. Kali pertama bertemunya dahulu saya sudah jatuh cinta pandang pertama dengannya. “Walaupun kami mengambil keputusan untuk bertunang dan berkahwin dalam tempoh yang singkat, saya rasa ia langkah yang terbaik dan percaya dia wanita terbaik untuk saya,” ujarnya. Ketika ditanya sama ada dia tidak kisah untuk memperisterikan seorang wanita yang selalu dilanda kontroversi, Eddie menyatakan dia langsung tidak kisah dan menerima Raja Azmi seadanya. “Biarlah apa yang orang hendak cakap termasuk segala kontroversi yang pernah melanda dirinya sebelum ini. Sudah tentu kontroversi ini akan lenyap apabila kami berkahwin nanti,” jelasnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails