Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya budak kampung - Najwa Latif

BERTEMU dengan penyanyi remaja ini, terpancar riak keseronokan pada wajahnya bila ditanya mengenai dunia sebagai seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi. Namun, ada ura-ura mengatakan bahawa Najwa Latif diterima untuk menyambung pelajaran adalah kerana ditaja sendiri oleh pihak Unitar. Merungkai persoalan tersebut, jelas Najwa, dia sebenarnya bukanlah ditaja. Sebaliknya, dia diberi biasiswa oleh pihak universiti itu untuk menyambung pelajaran di peringkat Asasi. "Lepas menghabiskan pelajaran di peringkat SPM, saya ada buat senarai pendek beberapa universiti yang ingin saya sambung pelajaran dan salah satunya adalah di Unitar. "Kebetulan, selepas saya habis belajar, pihak Unitar berminat untuk memberi saya biasiswa dan melantik saya sebagai duta di universiti itu," ujarnya. Tambah Najwa, mungkin disebabkan pelantikan duta itu yang membuatkan orang berfikir bahawa dirinya ditaja oleh pihak universiti. "Tugas saya sebagai duta ialah untuk memperkenalkan Unitar dan beberapa lagi bahagian untuk mempromosikan Unitar," jelasnya. Ditanya tidakkah dia berasa statusnya sebagai artis dipergunakan oleh universiti itu tanpa melihat keputusan SPM miliknya, Najwa terus menggeleng tanda tidak setuju. "Sebenarnya saya tidak rasa dipergunakan. Biasiswa yang diberikan ialah perkara yang berlainan dengan pelantikan diri saya sebagai duta. "Lagipun, ia adalah situasi menang-menang buat kedua-dua pihak. Saya diberi biasiswa untuk menyambung pelajaran. "Jadi apa salahnya jika saya memberi sumbangan pula sebagai duta untuk mempromosikan universiti saya. Saya rasa tidak salah dan faedahnya diterima kedua-dua pihak," jelasnya. Tambah Najwa, dia sebenarnya ditawarkan oleh pihak universiti untuk menyambung pelajaran daripada peringkat Asasi hingga ke Ijazah Sarjana Muda. Namun, bagi Najwa, dia lebih selesa untuk meneruskan pelajarannya di peringkat Asasi dahulu. "Saya kalau boleh hendak sambung pelajaran di universiti lain pula untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda. "Universiti dalam atau luar negara, itu saya belum fikir lagi. Buat masa sekarang, saya mahu fokus pada pengajian saya sebelum memikirkan untuk menyambung pengajian di universiti lain," jelasnya. Sepanjang tiga minggu menuntut di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), jelas Najwa Latif, dia begitu teruja dengan pengajiannya. "Mulanya, saya sangka akan menjadi kekok apabila belajar di universiti apatah lagi bila teringat saya seorang artis. "Tetapi, sangkaan meleset. Kebanyakan penuntut di sana tahu saya merupakan seorang artis dan mereka tidak kekok untuk berbual-bual dengan saya," jelasnya. Tambah Najwa lagi, dia kini sedang menyambung pengajian dalam jurusan Asasi Pengurusan selama setahun sebelum meneruskan pengajian. Kurus kerana sakit Sebelum ini, ramai juga yang mengatakan selepas Najwa tamat SPM, badannya semakin meningkat naik atau dalam erti kata lain, semakin berisi. Namun, bertemunya pada sesi rakaman raya Stailista Unplugged baru-baru ini, belum nampak lagi pengurangan berat terhadap badannya. Menurut Najwa, dia sebenarnya sudah mula mengamalkan diet untuk menguruskan berat badan. Malah, tambah penyanyi remaja ini lagi, dia sebenarnya sudah berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak enam kilogram (kg). "Saya dah mula mengamalkan diet hampir sebulan setengah dan kini masih lagi mengamalkan diet untuk mencapai sasaran mengurangkan berat badan sebanyak 20 kg," katanya. Ditanya sama ada berat badannya yang semakin berkurang itu disebabkan tekanan berada dalam industri seni atau tidak, jelas Najwa, ia adalah kerana sakit. "Bukan kerana tekanan dalam industri yang buat berat badan saya semakin berkurang. Sebaliknya saya sendiri yang memilih untuk mengurangkan berat badan kerana merasakan diri sudah semakin berat. "Semuanya bermula awal tahun ini, ketika saya sedang membuat persembahan untuk sebuah konsert terbuka di ibu kota. "Ketika berada di belakang pentas, saya dapat merasakan kaki saya berat dan sukar untuk melangkah. "Ketika itu saya memang merasakan bahawa berat badan sudah tidak berada pada tahap normal dan saya perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkannya," jelasnya. Ujar Najwa, dia kini semakin menjaga pemakanannya berbanding sebelum ini, terutamanya mengawal jumlah pengambilan nasi. "Sebelum ini saya selalu ambil nasi dengan jumlah yang banyak, tetapi kini saya dah kurangkan. Malah, saya juga banyakkan untuk minum minuman air mineral berbanding air manis," katanya. Tambahnya, disebabkan kini dia sibuk dengan pengajiannya dan jadual seni, latihan senaman terpaksa dikurangkan dan lebih fokus kepada diet pemakanan sahaja.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails