Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya terlalu hampir dengan kematian - Datuk K

KAK Engku, duduk dekat sikit, betul-betul sebelah depan sini. Saya tak nampak," katanya dalam bahasa kesakitan yang cuba ditahan-tahan. Dalam keadaan darah saya yang masih berderau-derau dek kerana terkejut, (sungguh, saya tidak sangka dia akan selemah itu). Kenapakah? Apakah terlalu serius sehingga dia kehilangan penglihatan juga atau bagaimana ni? Dalam keadaan terlentang kesakitan, tengkuk disokong pendakap leher, kaki tangan berbalut simen sana sini, saya boleh nampak kesan jahitan panjang yang menghuni pada beberapa anggota badannya. Di sebalik wajah menahan sakit, lelaki yang dikenali segak bergaya setiap kali berdiri di sisi 'si jantung hati Malaysia', Siti Nurhaliza ini masih sempat tersenyum mesra. Episod rasa terkejut saya itu berlaku di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur selepas dua minggu Datuk K dibawa pulang ke Kuala Lumpur menaiki pesawat peribadi ekoran kemalangan yang menimpanya di Queenstown, New Zealand pada detik yang seumur hidup tidak mungkin dilupa - 13 Disember 2012. Ketika itu Datuk K bersama seorang sahabat yang dikenali sebagai Cikgu Syamsuri dan seorang pemandu pelancong berbangsa Inggeris dalam perjalanan bermotosikal di Queenstown. Mereka menaiki motosikal berkuasa besar, melalui kawasan berbukit dan curam di kiri kanan jalan yang sempit di pendalaman daerah tersebut. Ketika melalui sebuah kawasan ladang kambing,sekitar pukul 4 petang, motosikal Datuk K tersasar lalu terlanggar pagar ladang itu. Dia terjatuh lalu tersembam di bahu jalan. Banyak yang barangkali tidak tahu, kesan daripada kecederaan itu sangat parah sebenarnya, Datuk K dalam keadaan kritikal. Dan ini pertama kali, cerita benar yang keluar daripada bibir empunya diri, selepas tujuh bulan kejadian ngeri itu berlalu. Menurut Datuk K, sejurus selepas kemalangan, beliau pengsan dan hanya kemudian tersedar kala kalimah azan di laungkan ke telinganya oleh cikgu Syamsuri. "Ketika tersedar, saya sudah berada di atas ribanya. Saya dengar suara dia, 'Datuk kemalangan, mengucap Datuk, mengucap', Itu sahaja dan saya tiba-tiba menjadi sangat takut. "Dalam keadaan cemas, tiada kenderaan lalu-lalang langsung, saya fikir barangkali saat untuk saya menemui Allah sudah pun hampir. Beberapa anggota badan terkulai, mulut berdarah, saya fikir saya akan mati di negara orang. "Saya menangis, saya berasa diri sangat kerdil dan semua yang saya punya akan hilang sekelip mata," cerita Datuk K dalam nada sangat perlahan, tertahan-tahan. Lelaki dengan empat zuriat ini kemudian menyambung bicaranya. "Kuasa Allah, kesedihan saya hanya seketika. Dalam kesakitan yang teramat itu, saya tiba-tiba mendapat semangat luar biasa. Saya kata kepada diri, aku perlu hidup untuk orang yang saya sayang. "Anak-anak masih lemah, masih memerlukan saya sebagai ketua keluarga. Dan perkahwinan dengan isteri yang baru berusia enam tahun, banyak yang perlu saya selesaikan demi masa depannya. Begitu juga dengan ibu saya yang semakin tua, saya tidak boleh tinggalkan mereka ketika ini. "Itu yang bermain-main di fikiran dan saya tiba-tiba membisikkan kepada diri sendiri - Jangan mengalah Khalid, jangan mengalah. Engkau perlu terus hidup," katanya. Dalam kesakitan, darah merah membasah seluruh muka dan memercik di sana-sini ke anggota badan, terfikir juga di benak, apakah dia akan terus lumpuh atau mengalami kecacatan di beberapa bahagian utama badan? Bahu kiri cedera parah, leher retak di bahagian C2, C5 dan C6, lengan kanan dan bahu kiri patah, tangan kanan juga retak dan perlu segera dibedah. Ya Allah, aku reda dengan 'malapetaka' yang engkau hadirkan ini. Biarlah segala kesakitan ini menggugurkan segala dosa-dosaku selama ini. Dia hanya mampu berserah, memanjatkan doa kepada Illahi- bantulah aku, aku mahu terus hidup. Cinta menghidupkan Kuasa Allah, setiap insan diberi peluang yang baru dalam kehidupan. Hampir setengah jam tersadai pada laluan yang sunyi dan sepi itu, hanya doa yang mampu dipanjat. Tuhan Yang Esa, aku mahu terus hidup. Tidak lama kemudian, Dia hadirkan bantuan. Secara kebetulan, kereta yang melintas kawasan kemalangan itu dinaiki oleh tiga doktor tetapi mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana keadaan Datuk K yang sangat teruk. "Tersalah angkat, semua organ dalaman boleh jadi rosak atau saya barangkali boleh lumpuh. "Kemudian datang lagi sebuah kereta yang kebetulan juga di dalamnya dinaiki oleh dua doktor. Sememangnya Allah sangat kasih dan sayang kepada saya, lalu Allah utuskan mereka untuk memberi bantuan. Bayangkan, secara kebetulan dua kereta yang lalu, ada doktor di dalamnya. Sesuatu yang pelik sebenarnya, tetapi itulah kuasa Allah. "Seorang daripada doktor tersebut telah menelefon bahagian kecemasan dan mendapatkan bantuan helikopter ambulan untuk membawa saya ke hospital," ujarnya Sesampai saja di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand, satu lagi dugaan besar menanti. Dia menerima berita, pembedahan segera tidak boleh dibuat kerana semua doktor pakar tiada dek cuti umum. Terpaksa menunggu dalam kesakitan maha hebat, empat hari kemudian barulah pembedahan dijalankan. "Empat hari itu adalah saat-saat paling menyeksakan. Dua hari awal, saya sendirian, isteri dan anak-anak pun belum sampai kerana tiada penerbangan terus Malaysia ke New Zealand waktu itu, saya sendiri," cerita Datuk K. Ketika itu, kata Datuk K, dia memang berserah sepenuhnya kepada Allah. Tidak ada lain yang dilakukan melainkan berdoa dan terus berdoa. Isteri tersayang diperlukan untuk mencari kekuatan. Dari katil hospital dia hanya mahu mendengar suara Siti lalu kata-kata semangat insan terdekat melalui corong telefon menghidupkan semula perasaan yang semakin lemah. Dia melalui sesi pembedahan kemudiannya, setelah beberapa ahli keluarga termasuk isteri ada di sisi. Selepas pembedahan, proses penyembuhan mengambil masa yang lama. Oleh kerana banyak anggota badan yang tercedera, dia hanya dibenarkan kembali ke Kuala Lumpur selepas lebih dua minggu menjalani pembedahan. Kerana kondisi yang sangat lemah, Datuk K diterbangkan dengan pesawat peribadi, hasil bantuan seorang rakan, pada 29 Disember 2013. Ratusan ribu terpaksa dihabiskan, demi memastikan kesihatannya tidak terjejas lebih teruk. Sampai di Kuala Lumpur, dia terus dimasukkan ke Hospital Gleaneagles, Jalan Ampang dan melalui sesi pembedahan keduanya di situ. Datuk K dan Siti menginap di hospital tersebut hampir sebulan selepas pembedahan kedua dilakukan.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails