Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sedia kahwin bila-bila masa - Fizo Omar

TIDAK ada apa yang boleh membuat saya tersenyum saat melihat ahli keluarga saya bangga dengan kejayaan diri ini. Paling tidak dalam usia sebegini saya sudah boleh membahagiakan mereka dengan kasih sayang tak berbelah bahagi dan sedikit kesenangan," kata Fizo Omar. Menginjak usia 28 tahun pada 19 Julai yang lalu, Fizo cukup teruja dengan sambutan yang diterima daripada peminat yang tidak putus-putus mendoakan dirinya untuk terus berjaya. Baginya apa yang berlaku hari ini merupakan pengorbanan masa lalu. Jerih perih saat kali pertama mahu menempatkan diri sebagai anak seni sukar untuk dilupakan. Meskipun tidak ramai yang tahu apa yang berlaku ketika itu, Fizo yakin kesukaran itulah yang membuat dirinya kekal bertahan sementelah ramai yang tertewas di pertengahan jalan. "Saya tak boleh lupa diri dan alpa dengan apa yang saya dapat hari ini. Masa mula nak naik dahulu bukan senang. Macam-macam peristiwa yang berlaku yang akhirnya membuatkan saya belajar banyak perkara. "Paling tidak dalam usia 28 tahun ini saya mampu tersenyum melihat kejayaan sendiri. Saya bersyukur kerana dikurniakan pekerjaan yang baik, keluarga yang bahagia dan ketenangan jiwa yang sukar untuk digambarkan," ceritanya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa anjuran kelab peminatnya di ibu kota baru-baru ini. Majlis yang dianjurkan oleh SuperF120 Family itu bukan sekadar dihadiri ahli kelab peminat malah turut disertai keluarga terdekat, rakan niaga Hot Burger dan anak-anak yatim yang dijemput khas untuk menghadiri acara berkenaan. Selain berbuka mereka juga meraikan hari lahir pelakon ini yang kebetulan jatuh sehari sebelum majlis itu. Majlis yang pertama kali dianjurkan itu turut dihadiri ibunya, Hasnah Jidin, 53 tahun. Bagi Fizo biarpun pernah ditimpa dengan kes penipuan berjuta-juta ringgit, perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan. "Saya tak menolak untuk terus terlibat dalam bidang seni. Cuma saya hanya mengembangkan bisnes untuk membuktikan yang saya juga boleh berjaya macam mereka. "Nampaknya melalui rangkaian Hot Burger pun saya boleh tersenyum lebar apabila jenama berkenaan semakin dikenali dan menjadi pilihan orang ramai. Ini semua rezeki daripada Allah. "Saya hanya berusaha dan Dia yang menentukan. Kalau kita ikhlas dalam perjuangan apa pun, insya-Allah kita akan berjaya," luahnya satu persatu. Bercerita mengenai kisah peribadi pula, pelakon yang pernah popular dengan filem Minyak Dagu ini mengakui sering diasak dengan pertanyaan mengenai isu perkahwinan. "Saya sedar dalam usia begini orang nak tahu pula bila saya nak kahwin. Jemu sebenarnya nak jawab soalan yang sama daripada peminat. Tapi saya faham soalan tu tak akan berhenti selagi saya tidak mendirikan rumah tangga. "Perkara macam ini memang selalu berlaku. Saya dah bersedia dari segala segi tapi calon pula tak ada. Nak tak nak saya kena tunggu dulu sampailah saya berjumpa dengan wanita yang benar-benar sesuai. "Perkahwinan bukan kerja main-main yang boleh dicuba-cuba. Sebab itu saya reda andai kata jodoh saya lewat sedikit asalkan saya berjumpa dengan orang yang betul," katanya sambil tersenyum. Seperti biasa setiap kali bulan Ramadan dia tidak akan melepaskan peluang untuk berniaga serunding di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Peminat yang ingin mendapatkan serunding tersebut boleh juga membeli di cawangan Hot Burger atau menghubungi talian 010-9099191 untuk tempahan.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails