Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Serina tak menang tangan

KETIKA bertemu dengan pelakon Serina Redzuawan pada majlis berbuka puasa anjuran Aquilla Emas dan Hotel Federal, Kuala Lumpur baru-baru ini, ternyata dia kelihatan sedikit kurus berbanding beberapa bulan lalu. Berkesempatan menemuinya selepas majlis berakhir, Serina mengakui yang berat badannya kini sudah menyusut sebanyak 12 kilogram sejak tiga bulan lalu berbanding 80 kilogram sebelum ini. “Secara jujurnya saya tidak melakukan sebarang diet memandangkan saya seorang yang kuat makan. Namun begitu, saya cuma mengamalkan pengambilan makanan tambahan daripada produk kecantikan keluaran sendiri iaitu Anggun Serina. “Sebagai seorang selebriti pastinya penampilan perlu dijaga dan diutamakan dan sudah tentu saya risau apabila berat badan naik. Kini saya berasa lega kerana mampu menurunkan semula berat badan yang ideal,” ujarnya. Bagaimanapun, anak kepada chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu mendedahkan, faktor lain yang menyebabkan berat badannya susut disebabkan jadualnya yang terlalu sibuk sebagai pelakon, penerbit drama dan ahli perniagaan. Ujarnya, kini dia sedang sibuk menguruskan syarikat produksi miliknya iaitu YKS Film Makers Sdn. Bhd. yang memang aktif menerbitkan drama bersiri dan telemovie. “Sebelum ini saya cuma sekadar bergelar seorang pelakon sahaja tetapi kini saya turut bertindak sebagai seorang penerbit. Sekarang ini barulah saya dapat merasai sendiri pengalaman untuk menghasilkan sesebuah program. “Kalau boleh saya memang tidak mahu mengharapkan sesebuah projek itu datang sendiri. Sebaliknya, saya sendiri yang akan menghasilkan kertas kerja dan turun padang berjumpa dengan pihak stesen televisyen,” jelasnya. Selektif pilih tawaran Selain sibuk sebagai seorang penerbit, Serina turut memberi fokus kepada perniagaannya setelah membuka sebuah farmasi Cosway yang terletak di Kota Damansara. Ujarnya, setelah hampir setahun membuka farmasi berkenaan, sambutan daripada para pelanggan sangat memuaskan. Namun begitu, dia bernasib baik kerana perniagaan tersebut dikongsi bersama rakannya yang bertindak sebagai pengurus. “Dalam masa terdekat ini juga saya bakal membuka sebuah restoran khusus untuk makanan char kuetiau. Restoran yang diberi nama Char Kueh Teow Simply Delicious Penang Mai dibuka berhampiran dengan farmasi saya,” ujarnya. Melihat kepada kesibukannya dalam menjalankan pelbagai bentuk perniagaan, Serina turut ditanya sama ada dia masih lagi aktif berlakon atau sebaliknya memandangkan kelibatnya di kaca televisyen semakin berkurangan. Tidak menafikan dia kini memang semakin kurang bergiat aktif dalam bidang lakonan, Serina menjelaskan bahawa sekarang dia terpaksa lebih selektif dalam memilih setiap tawaran yang diterima. “Kalau melihat kepada jadual harian saya, memang tak menang tangan dibuatnya. Jadi, itu yang menyebabkan aktiviti lakonan saya menjadi terhad dan saya akan menerima skrip dan watak yang sesuai sahaja,” jelasnya. Tidak abai Memandangkan jadual hariannya yang begitu padat, timbul persoalan tentang bagaimana dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada dua cahaya mata iaitu Tristen Tareef, 3, dan Isabella Saffiya, 2. Tegas Serina, meskipun mengakui mempunyai masa yang terhad dalam menjalani kehidupan seharian tetapi dia tidak mengabaikan peranannya sebagai ibu dan isteri kepada Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar. “Tidak dinafikan dengan kesibukan saya sepanjang hari pastinya akan membuatkan diri berasa letih. Namun begitu, keletihan itu akan hilang sekiranya berada di samping anak-anak tercinta. “Biasanya dalam seminggu saya akan mengambil masa dua hari untuk bercuti. Waktu tersebut akan digunakan sebaik-baiknya untuk meluangkan masa bersama suami dan anak di rumah atau keluar berjalan-jalan bersama mereka,” jelasnya. Menurutnya, dia juga agak beruntung kerana mempunyai seorang suami yang cukup memahami kerjayanya sekarang dan memberi kebebasan buat dirinya untuk bekerja kuat. “Suami memang mengizinkan saya untuk melakukan apa sahaja yang digemari. Cuma, dia ada berpesan supaya saya tidak sesekali melupakan peranan dalam kehidupan berumah tangga,” ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails