Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Siti jadi jururawat

SELURUH teman dan keluarga terdekat yang menyaksikan pengabdian Siti Nurhaliza terhadap suaminya ketika ia sakit, pasti rasa terharu. Dan momen di mana Datuk K mengucapkan 'syurgalah tempat Siti Nurhaliza,' kepada sebahagian besar teman yang datang melawatnya di hospital sebelum ini, seperti dekat kebenarannya. Derita suami, turut dirasai pelantun Lebih Indah yang mengambil cuti panjang daripada aktiviti seninya. Bergegas terbang ke New Zealand, meninggalkan konsert di Banjarmasin, Jakarta, itu bukan satu-satunya pengorbanan Siti. Selama suami di katil hospital, di situ jugalah dia tidur, makan minum dan mandi manda. Dia pernah hanya tidur beberapa minit dalam jangkamasa 24 jam, demi memastikan tidak terlepas pandang si suami, takut-takut ada kehendak yang tidak dapat disediakan. Memandikan, menyuap makan-minum malah membasuh hajat kecil dan besar Datuk K juga, Sitilah yang melakukannya dengan penuh ikhlas. Status divanya terbuang sama sekali ke tepi, saat itu. Tiada khidmat jururawat peribadi digunakan sepanjang proses penyembuhan Datuk K, keputusan itu dibuat oleh Siti sendiri. Malah kata anak kedua Datuk K, Adib Khalid, 23, memberitahu, dia dan adik-adiknya menjadi bertambah sayang melihat pengorbanan 'Mak Iti', kala Datuk K sakit. "Satu minit sekalipun dia tidak meninggalkan ayah. Sewaktu di New Zealand, saya dan keluarga lain ada juga pulang ke hotel penginapan, bertukar baju dan berehat. Tetapi Mak Iti tetap di samping ayah. Memang terharu sebab kami tahu, dia sangat menyayangi ayah dalam apa juga keadaan ayah," kata Adib yang juga produser album muda. Sementara Mohammad Asyraf, 22, si anak ketiga juga mengangguk dan menambah: "Kami sangat tersentuh. Orang sakit macam ayah akan banyak 'kerenahnya'. Hairan juga bila Mak Iti melayan dengan penuh sabar. Bukan semua isteri boleh buat seperti apa yang Mak Iti lakukan kepada ayah," katanya bersungguh-sungguh. Sementara Siti pula, menganggap ia adalah pengorbanan yang biasa bagi mana-mana isteri sekalipun kala 'belahan jiwa' mereka terlibat dengan tragedi ngeri sebegini. Apa yang paling penting, kata penyanyi nombor satu negara ini, inilah makna 'kasih sayang' dan cinta dalam erti kata yang sebenar-benarnya. "Kita selalu bercakap tentang cinta dan sayang. Bagaimanakah bendanya? Inilah dia makna cinta dan kasih sayang yang sebenar. Apabila insan yang kita sayang jatuh sakit atau ditimpa bencana, di situlah ujian kasih sayang kita yang sebenarnya. "Jika sihat dia boleh menjaga kita dengan baik, pada ketika dia sakit inilah, pengorbanan kita diperlukan. Saya tidak anggap kejadian kemalangan suami sebagai dugaan, tetapi ujian kesetiaan yang mengeratkan lagi kasih sayang kami suami isteri. Selepas insiden itu, kasih sayang kami sebagai suami isteri juga bertambah," kata Siti. Pada ketika saat pertama mengetahui suami diduga sebegitu, apa yang Siti lakukan? Menangiskah dia, meraungkah dia atau hanya memendam di dalam hati? "Perkara utama yang Siti buat ialah kuatkan hati, tabahkan diri terlebih dahulu. Siti set dalam minda, perlu tunjuk kuat dengan suami supaya dia tidak terus lemah. Saya ibarat menjaga 'baby besar'. "Tidak sangka, selepas enam bulan, dia sudah boleh berjalan-jalan dan kembali normal macam biasa. Dia memang kuat," kata Siti lagi. Tidak dinafikan, ketika suaminya jatuh sakit, kata Siti dia sangat takut untuk menghadapi kehilangan. Tetapi perasaan itu dibuang jauh-jauh kala di depan Datuk K. "Suami yang Siti kenali seorang yang sangat kuat semangat. Apa yang dia hendak, dia akan usahakan dan mesti dapat. Tetapi bila melihat dia lemah, terlantar tidak berdaya, hati isteri mana yang tidak sedihkan? Tetapi akhirnya, dia membuktikan kekuatan semangatnya itu dengan sembuh lebih cepat. Siti sangat bersyukur dan berasa ini semua adalah keajaiban yang Tuhan berikan kepada kami sekeluarga," katanya. Sebelum saya dan team jurugambar pulang, pada ketika malam menyambut Ramadan yang pertama itu, Siti sempat membisikan ke telinga: "Siti tidak pernah kesal mengahwininya. Sungguh!" Lalu kami simpulkan, inilah sebuah kisah 'cinta abadi' yang masih hidup di depan mata.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails