Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tegangkan kulit muka - Raja Ema

RAMADAN tahun ini sedikit berbeza buat empunya nama Raja Ema Raja Ibrahim, sementelah kembalinya dirinya ke dunia seni sejak awal 2013. Berbanding tahun 2012, Ramadan Raja Ema tahun ini dipenuhi dengan aktiviti rakaman program puasa dan raya untuk stesen-stesen televisyen. Bukan itu sahaja, Raja Ema, 45, juga akan sibuk mempromosikan album terbaharunya berjudul Pertemuan Seribu Kenangan yang kini sudah berada di pasaran. Itu rezeki bergolek yang diperoleh penyanyi yang popular dengan lagu Jejaka Idaman dan Angan-Angan itu selepas menjadi penghias wajah muka depan majalah Nona pada bulan November 2012. Dirinya meraih publisiti yang bukan sedikit, termasuk juga tawaran berlakon yang tidak putus-putus sehingga kini. "Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai rezeki anak-anak," ungkapnya merendah diri tatkala disoal mengenai aktiviti Ramadan dirinya tahun ini. Raja Ema yang kelihatan semakin muda dan jelita itu memberitahu, dia mendapat empat tawaran menjalani program rakaman untuk Ramadan dan Aidilfitri oleh stesen-stesen televisyen. Ulasnya, empat tawaran tersebut adalah rakaman Raya Muzik-Muzik, program masakan Ramadan untuk RTM, artis jemputan untuk program Bella di ntv7 dan juga Malaysia Hari Ini di TV3. Biarpun sibuk, Raja Ema mengakui akan memperuntukkan masa untuk berbuka bersama anak-anak. Bukan sebab takut anak-anak merajuk kerana sejak kecil lagi mereka sering berbuka bersama, tetapi dia sendiri yang tidak sanggup meninggalkan anak-anaknya berbuka tanpa dirinya. "Walaupun sudah kembali ke dunia hiburan dan sibuk, saya tetap akan luangkan masa berbuka bersama anak-anak.
Raya sederhana "Saya sudah biasa berbuka bersama mreka sejak dulu lagi," ujarnya mengenai dua orang anaknya iaitu Putera Amar, 19, dan Putera Alqasha, 17. Anak kepada arwah Yusni Jaafar itu turut berkongsi mengenai persediaan sambutan Aidilfitrinya. Ulas Raja Ema, sejak bapanya meninggal dua tahun lalu menyusuli ibunya yang pergi terlebih dahulu lima tahun lepas, sambutan raya figura bersuara manja adalah secara sederhana sahaja. "Raya saya tahun ini sederhana sahaja. Sejak ibu meninggal lima tahun lalu, ayah pula meninggal dua tahun lalu dan kini saya juga sudah sendirian, jadi raya hanya untuk menggembirakan anak-anak," jelasnya yang bakal menyambut Aidilfitri kali ini di Subang Jaya, Selangor bersama adik-beradiknya. Ditanya mengenai menu wajib sambutan Aidilfitri, ujar Raja Ema, setiap tahun dia akan memasak nasi lobak, lontong dan juga mi kari. Mengulas mengenai penampilan terkini dengan potongan rambut pendek, jelas Raja Ema, dia memotong rambutnya itu kerana ingin tampil berbeza bersempena kemunculan album terbaharunya. "Saya sengaja memotong pendek rambut sempena kelahiran album baharu yang memuatkan single terkini di samping lagu-lagu saya yang pernah popular dahulu," ujarnya ceria ketika ditemui pada majlis pelancaran album baharunya itu di pejabat Warner Music, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Benang naikkan wajah Tidak hanya memotong pendek rambutnya, Raja Ema turut mendedahkan dia ada membuat rawatan menegangkan kulit muka iaitu rawatan thread lift. "Sejujurnya, apabila sudah memasuki peringkat umur seperti saya, kulit kita, lebih-lebih lagi pada bahagian muka sudah tidak tegang seperti zaman muda dahulu. "Kulit-kulit pada bahagian wajah akan jatuh, jadi saya fikir tidak salah sekiranya saya membuat rawatan menegangkan kulit muka," tuturnya yang mengakui menjalani rawatan tersebut di sebuah pusat yang sama dia mengambil suntikan vitamin C dan produk berkaitan untuk mengekalkan kecantikan wajah dan tubuh. Yakin dengan rawatan tersebut, ulas Raja Ema, dia nekad menjalani proses menegangkan kulit wajahnya itu kerana ia tidak melibatkan pembedahan mengubah bentuk muka atau sebarang penggunaan kaedah botoks. "Ia sekadar rawatan penegangan kulit yang dipanggil thread lift. Tiada sebarang pembedahan. Saya yakin apabila diberitahu mengenai rawatan ini dan mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada doktor. "Kaedah rawatannya hanya pada kedua-dua bahagian pipi dan terdapat benang yang menaikkan semula wajah saya," dedahnya. Raja Ema juga mengakui dia berani menjalani kaedah rawatan tersebut kerana rasa sakit yang dialaminya tidak lama. Selepas rawatan tersebut selesai, dia tidak lagi berasa sakit. Cuma gurau Raja Ema, dia kini tidak lagi berani memakan kacang kerana bimbang implikasi yang bakal diperoleh daripada memakan makanan yang keras.
Lebih selesa solo Ramai yang masih samar mengenai status Raja Ema. Adakah dia sudah berkahwin semula selepas bercerai atau masih kekal solo selepas perkahwinan keduanya dengan seorang yang dirahsiakan identitinya tidak bertahan lama? Jika sebelum ini Raja Ema enggan mendedahkan mengenai kehidupan peribadinya, tetapi selepas dia kembali menyanyi semula, kini dia lebih terbuka. Ujarnya, dia masih lagi solo setelah perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Sheqal dan perkahwinan keduanya itu musnah. Begitupun, dia enggan mengulas lanjut mengenai bekas suami keduanya dan bilakah status dia kembali menjalani kehidupan solo. "Ya, sekarang saya masih solo. Perkahwinan sebelum ini sudah berakhir, tetapi cukup sekadar itu sahaja yang boleh saya kongsikan. Siapa, bila dan mengapa biarlah perkara itu saya sahaja yang tahu. Kini, saya mahu fokus pada bidang lakonan dan juga promosi album baharu ini," ujarnya. Sengaja melontarkan persoalan adakah dia serik untuk berkahwin setelah kedua-dua perkahwinannya itu gagal, ungkap Raja Ema, dia tidak pernah berasa serik namun dia juga tidak kisah jika tidak bertemu jodoh dengan sesiapa. "Walaupun dua kali gagal dalam perkahwinan, saya tidak pernah berasa serik. Mungkin kerana saya sudah rasa pahit dan manis berkahwin. "Lagipun, pada usia saya yang sudah menjangkau 45 tahun, saya tidak kisah sama ada berkahwin semula ataupun tidak. Saya selesa bersendirian, namun jika ada jodoh saya juga tidak akan menolak," tuturnya yang mengakui bukan mudah mencari pasangan. Kongsinya lanjut, jika perkahwinan baharu nanti akan mendatangkan masalah, lebih baik dia hidup solo. Sementelah, anak-anaknya juga mengatakan dia kelihatan semakin gembira sejak kembali ke dunia seni.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails