Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Teruja beraya dengan suami

BIASANYA saban tahun Ella sekadar menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya di Klang, Selangor. Tetapi kali ini Ratu Rock tanah air itu dilihat lebih ceria dan seperti tidak sabar untuk meraikannya kerana kehadiran suami tercinta dalam diari hidupnya. Meskipun hampir setahun mendirikan rumah tangga dengan Azhar Ghazali, 31, tetapi masa itu seakan-akan begitu cepat berlalu. Ella juga seolah-olah mahu sentiasa meraikan detik-detik manis sewaktu dia diijab kabul dengan jejaka pilihan hatinya itu. Kemanisan itu turut dirasai menjelangnya Hari Lebaran ini yang katanya dijangka akan lebih meriah berbanding sebelumnya. Penyanyi berusia 47 tahun ini berkata, dia sudahpun merancang untuk menyambut 1 Syawal ini bersama suami serta sanak saudaranya. "Dalam hal balik beraya di kampung kali ini suami yang suruh saya buat pilihan sama ada mahu beraya di kampung saya dulu atau di kampungnya. Untuk kali pertama beraya sebagai suami isteri ini saya pilih untuk beraya di kampung suami di Muar, Johor sampai raya ketiga. "Selepas itu barulah kami akan beraya di kampung saya di Klang. Saya memang teruja kerana inilah peluang saya untuk beraya dan berkenal-kenalan lebih rapat dengan keluarga belah suami," katanya semasa ditemui di Hotel Royale Bintang, Damansara baru-baru ini. Pada majlis berbuka puasa anjuran hotel itu, Ella hadir bersama suaminya selain ramai lagi artis popular seperti Amy Search, Aznil Nawawi, Tam Spider, Alif Satar, Ad Samad dan Norman Hakim bagi memeriahkan lagi sambutan bulan yang penuh berkat tersebut. Sepanjang Ramadan ini, Ella tidak banyak menerima tawaran menyanyi. Sebaliknya, masa yang ada banyak dihabiskan beribadah selain bersama-sama keluarganya. Namun, penyanyi bersuara serak ini seorang yang tidak pandai duduk diam. Sebabnya sementara menantikan ketibaan Aidilfitri ini, dia sempat menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Ella antaranya kini sibuk mengusahakan perniagaan biskut raya yang dikenali sebagai Ella Cookies khusus untuk tempahan sewaktu hari raya ini. "Sebenarnya biskut adalah antara makanan kegemaran saya. Jadi lebih dekat kalau saya jalankan perniagaan ini kerana selain hobi buat biskut ia juga boleh dijadikan duit tambahan. Sebelum ini saya agak sibuk tetapi kali ini barulah ada masa itu pun ramai yang tolong sekali. "Sebagai permulaan saya telahpun keluarkan beberapa biskut dengan perasa seperti kurma, kismis dan kelapa, namun biskut tersebut ada elemen tempatan," jelasnya sambil ketawa kecil sewaktu bercakap tentang hobi dan makanan kegemarannya itu.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails