Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ujian baharu buat Ziela

ZIELA JALIL sepatutnya boleh memilih untuk tidak berbuat apa-apa atau terlalu bekerja keras berdasarkan kepada pencapaian rumah produksi miliknya, Pena Creatives Sdn. Bhd. yang begitu memberangsangkan. Saban tahun, rumah produksi tersebut begitu produktif menghasilkan karya yang bermutu. Secara kasar, jika melihat kepada pencapaian tersebut, Ziela yang cukup terkenal lewat tahun 80-an dahulu tidak perlu bersusah payah atau kerap muncul di kaca televisyen untuk kelangsungan hidupnya. Mengakui wujud logik tentang teori yang dibuat, Ziela menjelaskan, sebagai seorang wanita yang sudah mula bekerja keras sejak zaman remajanya, dia tidak boleh berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Justeru, jika tidak berada di belakang tabir menerbitkan banyak karya berunsur kesedaran untuk tontonan khalayak, dia mahu 'keluar bekerja'. "Saya seorang yang tidak boleh duduk diam. Jika tidak buat kerja, saya akan resah dan bingung. Masa itu, saya mula akan memikirkan banyak hal yang bukan-bukan. "Jadi dengan bekerja, saya mampu melupakan semua hal yang tidak berkaitan," akuinya saat ditemui di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini. Malah, pertemuan pada hari itu juga bukan pertemuan kosong. Ziela kini melebarkan sayap menyusup masuk ke dalam dunia bisnes kecantikan pula. Pada hari itu, pelakon yang mendadak naik menerusi lakonannya sebagai puntianak dalam filem Perawan Malam itu memperkenalkan produk kecantikan di bawah syarikat miliknya, Ziela Jalil Trading (M) Sdn. Bhd. yang dikenali sebagai FizzCola dan Berry Slim. Terkilan FizzCola merupakan minuman berasaskan kolegan dengan natrium bikarbonat yang pertama dalam pasaran, sementara Berry Slim pula mampu membuat tubuh kelihatan langsing dan mencerahkan kulit. Bercakap tentang produk tersebut, Ziela memberitahu, penglibatannya bersama syarikat Kayla Beverly Hills 15 tahun lalu menjadi pendorong kepadanya untuk melancarkan produk yang sesuai dengan golongan yang sentiasa sibuk. Ziela yang kini lebih kerap dilihat di kaca televisyen turut diminta mengulas tentang namanya yang dicicirkan daripada program bual bicara di Astro Prima, Primadona.
Primadona kini hanya dikendalikan oleh Erra Fazira, Rozita Che Wan dan Raja Azura, manakala nama Ziela digugurkan kononnya kerana dia tidak sesuai untuk program tersebut. "Secara jujurnya, saya berasa sedikit terkilan. Saya terkilan kerana sebelum pihak produksi berjumpa dengan saya mengenai hal ini, telah tersebar gosip yang mengatakan saya tidak sesuai dan kurang membantu. "Bagaimanapun, perasaan tersebut kini hilang selepas saya dan pihak produksi berbincang. Saya mengaku bahawa saya tidak begitu menyerlah kerana ia pengalaman pertama saya sebagai hos. "Jadi, ia macam satu proses atau ujian baharu untuk saya dan saya menerima setiap pandangan orang," ulas Ziela panjang lebar. Biarpun tidak lagi menggendalikan program tersebut, dia memberitahu telah ditawarkan untuk mengemudi sebuah program baharu yang diberi nama 3 Rasa terbitan Astro. Namun, menurut Ziela, ia masih dalam proses perbincangan. Ramadan Bercakap mengenai kehadiran Ramadan, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini memberitahu, dia begitu mengutamakan bulan mulia ini dan sanggup tidak bekerja sepanjang bulan untuk memberi fokus beribadat. Namun, dalam masa yang sama, rumah produksi miliknya tetap akan melahirkan produk, selain ada yang ditayangkan pada Ramadan ini seperti Bunga-Bunga Larangan. Ziela juga sedang sibuk dengan penggambaran drama adaptasi 40 episod, Jodoh Itu Milik Kita yang turut menjalani penggambaran di New Zealand. Untuk tayangan sempena Aidilfitri pula, rumah produksinya menghidangkan sebuah karya yang dibintangi pelakon kanak-kanak menerusi telemovie I Heart Kurma. "Saya sendiri terlibat untuk sebuah drama raya iaitu Ijab & Qabul yang dibintangi oleh Nora Danish dan Adi Putra. Seperti yang saya katakan, saya memang resah jika tidak bekerja," ujarnya sambil ketawa. Ditanya mengenai kehidupan peribadinya selepas pemergian arwah suaminya, Tan Sri Megat Junid Ayob pada tahun 2008, Ziela mengaku melalui fasa sukar pada peringkat awal, khususnya dari segi membesarkan dua anak mereka iaitu Megat Jufri Nasrullah, 19, dan Puteri Julia Nabilah, 21. Bagaimanapun, keperitan tersebut beransur hilang apabila anak-anaknya mula membesar dan memahami tentang kehidupan. Malah, tanpa berselindung, wanita berusia 43 tahun itu mengaku, biar telah lebih lima tahun hidup sebagai ibu tunggal, dia bukan seorang wanita yang mahu keluar mencari pengganti arwah suaminya. Ujarnya: "Anak-anak saya tahu bahawa saya bukan jenis yang keluar dan mencari pengganti arwah ayah mereka. Mereka juga tidak pernah bertanya tentang calon suami baharu untuk saya, walaupun jika ada, mereka juga barangkali tidak akan membantah. Namun buat masa ini saya selesa untuk membesarkan anak-anak terlebih dahulu." - MALIAH SURIP

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails