Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bukan ikut trend - Zehra Zambri

Dalam dunia muzik irama asli, nama penyanyi Zehra Zambri bukanlah baru di samping pejuang lain irama itu termasuk Noraniza Idris dan Datuk Siti Nurhaliza. Malah, bakatnya dalam irama tradisional ini bermula di usia yang muda. Berbeza sekali dengan rakan seusianya yang lebih kepada irama berbentuk segar dan aktif. Lagu Semalakama dendangannya ketika di usia 18 tahun juga berjaya ke peringkat akhir salah satu anugerah muzik terbesar tempatan. Namun, namanya kini kian menyepi dan ada yang mengatakan Zehra sebenarnya sudah bersara sebagai seorang penyanyi. Menafikan perkara itu, ujar gadis ini, dia sebenarnya masih lagi aktif dalam bidang nyanyian dan selalu berada di majlis-majlis korporat. Malah, ditebak dengan persoalan sama ada dia mahu kembali dikenali bukan lagi dengan lagu berbentuk etnik kreatif, jelasnya, perjuangan dalam irama itu belum lagi selesai. "Kalau diikutkan dua album Zehra sebelum ini berkonsepkan pop. "Tetapi kemunculan Zehra sewaktu bertanding di sebuah anugerah pada 2005, Zehra bertanding untuk kategori etnik kreatif. "Selepas pertandingan itu, masyarakat terus cop saya sebagai seorang penyanyi irama Malaysia," katanya kepada Hits baru-baru ini. Sambungnya lagi, dia tidak kisah dengan gelaran itu sebaliknya menganggap gelaran itu sebagai bonus dalam meneruskan kerjaya sebagai penyanyi. Namun, jelasnya, buat masa ini, agak sukar untuk dirinya membawa semula genre irama itu kerana pasaran pendengar yang semakin kurang. Ditanya mengenai single terbaharunya, jelas Zehra, dia sebenarnya bergelut dengan beberapa pihak untuk memasarkan lagunya sendiri. "Bila saya hantar ke stesen radio, banyak halangan dengan alasan genre yang saya bawakan itu tidak bersesuaian. Mereka kata, lagu etnik memang sukar untuk dipasang di radio kerana tiada permintaan daripada pendengar," jelasnya. Walaupun akur dengan peraturan sendiri stesen radio, jelas Zehra, masih terselit rasa terkilan dengan diskriminasi itu. "Memang ada diskriminasi sebenarnya sehingga ramai yang berputus asa untuk mencipta lagu genre irama Malaysia ini," jelasnya. Tambah Zehra, dia sedang berusaha untuk mengeluarkan sebuah lagi single sebelum hujung tahun ini. "Sedikit kelainan untuk single terbaharu ini ialah lagu yang dibawakan berunsur kerohanian sesuai dengan imej saya yang kini sudah berhijab," katanya. Ikhlas berhijab Bertemu Zehra kali ini nampak kelainan pada dirinya yang kini dengan penampilan berhijab. Ditanya apa yang membuatkan dirinya mula mengenakan hijab, jelasnya, dia mula memakai hijab dua minggu sebelum ke tanah suci untuk menunaikan umrah. "Sebenarnya, Zehra daripada awal tahun lagi dah berniat untuk berhijab. Masa itu sudah mula membelek-belek tudung," jelasnya. Jelasnya lagi, dia mula bertudung secara penuh pada Jun lalu, ketika itu dia dalam persiapan untuk kursus menunaikan umrah. "Bila pergi kursus itu, saya sudah bertudung dan lama-kelamaan saya sudah terbiasa untuk bertudung dan terus mengenakan hijab," ujarnya. Ditanya mengenai kata-kata orang yang mengatakan dia mencari publisiti untuk membuat penampilan semula, jelasnya, tidak pernah terlintas dalam dirinya untuk berhijab demi publisiti. "Ada yang cakap pakai tudung sebab ikut orang dan sebagainya. Tetapi bagi saya, terpulanglah apa orang hendak cakap. "Yang penting, saya tahu apa yang saya lakukan dan saya ikhlas dengan apa saya lakukan," katanya yang beraya di Parit, Perak. Jelasnya, sejak daripada dulu lagi sudah memasang niat untuk berhijab sama ada selepas saya berkahwin atau berpeluang ke tanah suci. "Disebabkan Zehra tidak bertemu dengan jodoh lagi tetapi diberi peluang untuk melawat tanah suci, jadi niat berhijab itu saya teruskan," katanya yang menunaikan umrah bersama abangnya. Tidak terdesak Dalam usia yang tidak lagi muda, adalah usia yang sangat molek untuk melayari bahtera perkahwinan. Namun bagi Zehra, sehingga kini, dirinya masih solo dan belum berpunya. Bukan tidak ada lelaki yang berkawan dengannya, tetapi rasa untuk mencintai seseorang agak sukar diluahkan. "Tipulah kalau saya kata saya tidak ada rakan-rakan lelaki tetapi mereka semua hanyalah rakan, tidak lebih daripada itu. "Bagi Zehra, benda ini memerlukan masa yang panjang kerana perkahwinan ini bukan sehari dua. Sebaliknya hubungan hingga ke akhir hayat," jelasnya. Tambahnya, dia juga tidak kisah andai jodoh itu dipertemukan oleh keluarga. "Kalau boleh, saya mahukan seorang lelaki yang boleh membimbing saya ke jalan Allah, sedap mata memandang dan mestilah seorang yang mempunyai kerjaya stabil. "Malah, jika jodoh itu dipertemukan oleh keluarga saya sendiri sekalipun, saya tidak kisah," ujarnya pemilik Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Utara Malaysia (UUM).

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails