Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dira pegang amanah ayah

TIADA lagi susuk tubuh dan wajah girang ayahanda tercinta yang duduk di kerusi malas menunggu kelibat anak-anaknya terutama anak bongsunya, Dira Abu Zahar pulang berhari raya. Tahun ini, kerusi malas yang terletak di luar rumah besar itu kosong selepas pemiliknya, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, 74, menghembuskan nafas terakhir pada 12 Julai lalu. Bekas Ketua Menteri Melaka itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, di Merlimau, Melaka akibat komplikasi buah pinggang dan kencing manis kira-kira pukul 5.30 petang, pada saat umat Islam berada di hari ketiga Ramadan. Allahyarham menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai pada 1986 selama dua penggal, diikuti DUN Merlimau (1995-1999) dan Parlimen Jasin (1999-2004). Beliau kemudian menjadi Ketua Menteri Melaka kelapan menggantikan Datuk Seri Mohd. Zin Abd. Ghani yang meninggal dunia akibat angin ahmar pada 1997. Allahyarham menjadi Ketua Menteri Melaka bermula Mei 1997 hingga Disember 1999 sebelum digantikan oleh Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Ada getaran duka pada suara Dira dan sesekali kelopak mata pelakon berusia 29 tahun itu bergenang menahan sebak berkongsi memori indahnya bersama ayahnya tatkala ditemu bual secara eksklusif oleh Kosmo! di kediaman orang tuanya di Melaka. "Setiap tahun, saya akan pulang sehari awal sebelum raya untuk berada di sisi ayah dan mak pada malam raya. Saya dan adik-beradik akan membuat ketupat dan mengacau dodol bersama-sama. "Pada sebelah malamnya pula kami akan bermain bunga api dan ketika itulah ayah akan datang mengusik kami. Dia suka menyakat anak-anak dan cucu-cucunya, malah anak saya, Tengku Anggun Deandra sangat rapat dengannya. Telatahnya benar-benar menceriakan kami. "Namun, raya tahun ini kami akan sunyi dan berasa janggal tanpa kelibat dan keletah ayah," ungkap Dira dengan suara yang tertahan-tahan menahan tangis. Selepas menarik hela nafas, Dira menyambung bicaranya. Ujarnya, dia percaya arwah tidak mahu anak-anak dan cucu-cucunya bersedih dan andai mereka reda dengan pemergiannya, dia pasti tenang di sana.
Mengimbau mengenai arwah ayahnya, bicara Dira, ayahnya mengalami masalah buah pinggang dan keadaannya serius berikutan faktor usia dan daya tahan badannya yang tidak kuat. "Selepas lima minggu berada di hospital, kami ambil keputusan untuk pindahkan ayah ke Hospital Besar Melaka dan pada 11 Julai lalu, tekanan darahnya turun mendadak. "Ketika itu kami sekeluarga sedar yang hayat ayah mungkin tidak lama. Selepas Jumaat, ayah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya. Saya lega kerana dapat berada di sisi arwah dari hari pertama dia masuk hospital sehinggalah saat-saat akhir hayatnya," jelasnya yang memberitahu lega segala urusan pengebumian ayahnya mudah dan lancar. Tangisan arwah Disoal adakah sebarang permintaan arwah ketika masih hidup yang tidak dapat ditunaikannya, dedah Dira, semua kehendak arwah tidak pernah ditentang olehnya sama ada diminta belajar jurusan guaman, berkahwin dan pulang ke kampung apabila diminta. Begitupun, Dira akui ketika awal pembabitannya dalam bidang seni, arwah tidak begitu menyenanginya kerana beliau mahukan anak bongsu daripada enam beradik itu meneruskan karier sebagai peguam. "Saya berlakon tanpa pengetahuannya. Bila dia dapat tahu, memang dia tidak suka tetapi selepas melihat kesungguhan saya dalam bidang ini, akhirnya dia merestuinya. "Selama saya dihimpit kontroversi, arwah tidak pernah melatah sebaliknya menasihati saya supaya mengambil semua itu sebagai iktibar. ' "Dia pernah cakap kerjaya saya dan dia lebih kurang sama iaitu terdedah kepada masyarakat, jadi tidak semua perkara yang dilakukan mampu menggembirakan hati orang ramai," jelasnya yang tersentuh dengan sokongan dan semangat yang diberikan oleh arwah ayahnya itu. Meneruskan cerita mengenai ayahnya, kongsi Dira, berbanding anak-anak lain, ketika ibunya mengandungkannya, ayahnya sentiasa menemani ibunya, malah selepas lahir ayahnya juga sanggup bangun pada tengah malam membuat susu.
Sehingga ketika dia menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, ayahnya menangis untuk melepaskannya. "Malah, ketika saya dapat meneruskan pengajian di Los Angeles, Amerika Syarikat, ayah tidak bagi pergi dan mahukan saya meneruskan pengajian di Malaysia sahaja,"ungkapnya. Bimbang keadaan ibu Tidak menyediakan sebarang persiapan raya, malah sempat membeli dua helai baju di gedung pakaian JAKEL yang dibawa ketika sesi fotografi yang turut disertai ibu dan anaknya, Dira mengakui bimbang mengenai keadaan ibunya. "Apa yang saya bimbangkan sekarang adalah mak kerana dia tidak pernah berjauhan dengan ayah. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mak bersedih dengan pemergian ayah. "Tetapi saya tahu dia sangat sedih sebab selama 49 tahun berkahwin mereka tidak pernah berjauhan, malah hubungan mereka mekar romantik. "Ketika hujung hayatnya juga, ayah memang tidak bagi mak tinggalkannya walaupun sekejap. Ayah juga pernah berpesan untuk sentiasa menjaga mak jika dia tiada kelak. Amanahnya itu saya ingat dan akan pegang sampai bila-bila," jelasnya yang sering pulang ke kampung ketika bulan puasa untuk menemani ibunya. Ujarnya lanjut, buat masa ini ibunya hanya tinggal bersendirian sambil ditemani oleh pembantu rumah. "Dalam keadaannya sekarang, mak perlukan sokongan anak, dan saya tidak kisah berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur. Boleh dikatakan kebanyakan masa saya memang di Melaka bersama mak," katanya menutup bicara.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails