Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Faezah Elai letak syarat

SETELAH memperoleh cahaya mata pada bulan Februari lalu, pelakon Faezah Elai mengakui dia terpaksa meletakkan syarat sekiranya ada pihak yang ingin mengambilnya berlakon. Ketika ditemui pada program Melodi Raya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada minggu lalu, isteri kepada pengarah Heykal Hanafiah itu menyatakan tindakan tersebut bukanlah menunjukkan dia semakin terlalu memilih. "Kehidupan saya sekarang tidak seperti dahulu lagi kerana saya sudah memiliki seorang anak. Jadi, jadual harian saya juga pastinya jauh berubah. "Misalnya, saya meletakkan syarat kepada penerbit atau pengarah yang saya tidak boleh balik terlalu lewat dan perlu selesaikan penggambaran sebelum pukul 11 malam," jelasnya. Ketika ditanya sama ada dia tidak risau sekiranya syarat tersebut akan membuatkan tawaran berlakon yang diterimanya semakin kurang, Faezah menegaskan dia tidak kisah jika pihak penerbit tidak boleh mengikut syarat yang diberikannya. Menurut ibu kepada cahaya mata bernama Dealova Heyrinna yang berusia lima bulan itu, syarat tersebut diberikan kerana dia tidak mahu mengabaikan tanggungjawabnya kepada keluarga. "Selepas berumah tangga dan mempunyai anak sudah tentu keluarga menjadi keutamaan saya. Kalau ada yang nak ambil saya berlakon, mereka perlu ikut jadual saya. "Pada masa yang sama, dengan status sebagai seorang isteri dan ibu sekarang, saya juga terpaksa memilih skrip dan watak yang ditawarkan," ujarnya. Meskipun telah meletakkan syarat yang sedemikian, pelakon berkenaan memberitahu, masih ada pengarah yang memahami situasi dirinya serta memberi kelonggaran.
Selain itu, memandangkan jadual lakonannya yang cukup padat, Faezah berkata, adakalanya dia terpaksa membawa anak kecilnya itu ke lokasi setiap kali menjalani penggambaran. Ujarnya, tindakan tersebut dilakukan memandangkan anaknya itu masih lagi menyusu badan serta tidak yakin untuk meninggalkannya dijaga oleh pembantu rumah. "Apabila berada di lokasi penggambaran saya akan kerap terfikirkan anak di rumah sehinggakan konsentrasi terganggu. "Maka, saya ambil keputusan untuk membawanya, asalkan dia ada depan mata saya," jelasnya. Tiada masalah Bercerita tentang perkembangan kerjayanya sepanjang bulan Ramadan ini, Faezah berkata, dia tetap aktif berlakon seperti biasa. Ujarnya, ketika ini dia sedang membintangi dua buah telemovie khas untuk siaran Aidilfitri iaitu Abah Tak Balik Malam Raya (TV3) dan Sirna (RTM). "Seperti tahun-tahun sebelumnya saya tetap berlakon ketika bulan puasa. Namun begitu, saya akui kali ini agak penat sedikit kerana perlu memberi tumpuan kepada anak. "Bagi saya ia satu cabaran dan pengalaman baharu yang harus dilalui, tetapi dengan bantuan dan sokongan suami ternyata ia memberi kekuatan kepada saya untuk terus berlakon," ujarnya. Untuk sambutan Aidilfitri nanti, pelakon berkenaan menyatakan mereka tiada masalah untuk pulang berhari raya memandangkan kampung halaman masing-masing terletak berdekatan di utara tanah air. "Kampung saya terletak di Gelugor, Pulau Pinang dan Heykal pula berasal dari Kulim, Kedah. Jarak di antara kedua-duanya tidaklah jauh. Cuma, mungkin kami akan pulang ke kampung saya terlebih dahulu," ujarnya yang akan bercuti selama dua minggu.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails