Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Farid beri amaran

Farid mendakwa Diana juga kecewa dengan sikap ibunya. Ramai yang ingin tahu keadaan Diana Danielle, 22, selepas melahirkan seorang bayi lelaki pada 2 Julai lalu di salah sebuah hospital di Sydney, Australia. Peminat cuma tahu perkhabaran itu melalui laman sosial dan media yang melaporkan. Tidak lagi tahu isi hati bapa atau ibu kepada bayi tersebut. Boleh dikatakan para media sungguh bernasib baik kerana sebelum sidang akhbar drama bersiri, Jodoh Itu Milik Kita baru-baru ini, Farid Kamil, 32, muncul. Kesempatan itu digunakan oleh media untuk merisik khabar isteri dan anaknya yang kini berada di Australia. Kedatangan Farid yang merupakan teraju utama drama itu sungguh menggembirakan walaupun tangannya berbalut akibat kemalangan ketika menunggang motosikal. Katanya, kemalangan tersebut berlaku dua bulan yang lalu menyebabkan tulang bahu kirinya patah dan terpaksa menjalani pembedahan akibat kerosakan tulang selangka kiri bagi menyambungkan semula tulangnya itu. Dek kecederaan itu penggambaran yang melibatkan lakonannya dalam drama terbitan Pena Creative Pictures terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali. Ikuti temu bual wartawan Hits, GARRET DAWUM bersama dengan Farid Kamil. Hits: Hampir sebulan Diana bersalin, macam mana keadaan dia sekarang? Farid: Alhamdulillah, Diana sekarang sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi selepas melahirkan. Sebelum lahir Diana juga terpaksa menahan kesakitan selama empat jam. Tetapi sekarang, dia mengalami 'mother blues' yang agak teruk. Sangat mengejutkan saya pada mulanya apabila melihat perubahan emosinya bertukar 360 darjah. Diana bersikap sangat defensif lebih-lebih lagi kalau saya pegang anak, dia akan sentiasa perhatikan saya. Kenapa begitu sekali? Farid: Ini mungkin disebabkan di awal kehamilan, Diana tidak mengalami sebarang alahan atau mengidam benda yang pelik-pelik. Jadi selepas bersalin baru dia mengalami sindrom seperti itu. Apa yang Farid lakukan selepas itu? Farid: Melihatkan keadaan isteri saya itu, saya terus dapatkan nasihat daripada ibu saya sendiri. Ibu saya beritahu perubahan yang dialami Diana adalah perubahan biasa yang akan di alami oleh kebanyakan wanita selepas bersalin. Tetapi keadaannya adalah dalam situasi yang berbeza. Siapa yang menjaga Diana sekarang di sana (Australia) memandangkan Farid duduk jauh. Farid: Saya memang akan ke sana semula untuk menjenguk isteri dan anak . Sementara ini, sepanjang berpantang Diana dijaga oleh saudara rapat sebelah keluarganya. Sebut pasal berpantang, macam mana pula proses berpantang Diana di sana? Farid: Sama seperti di Malaysia juga. Tapi saya nasihatkan Diana supaya berpantang 100 hari berbanding 45 hari seperti yang dia inginkan. Cuma ada beberapa benda yang sukar untuk saya bawa ke Australia kerana dilarang oleh pihak sana. Contohnya, herba-herba yang digunakan untuk berpantang. Jadi, semua benda yang digunakan, kami cuba dapatkan di Australia. Bagaimana pula keadaan bayi? Farid: Bayi sihat sahaja. Pertama kali menatap wajah anak, perasaan saya bercampur baur. Rasa gembira, sedih dan kagum dengan kejadian-kejadian yang berlaku dalam hidup saya. Barulah saya faham perasaan seorang ayah. Saya dan Diana kadang-kadang mempertikaikan satu sama lain, yang wajah anak kami mirip siapa. Sebab ada masa dia rupanya mirip saya, ada masa mirip Diana. Sudah ada nama untuk bayi? Farid: Buat masa ini belum diputuskan nama putera kesayangan kami, namun sudah ada beberapa pilihan nama untuknya. Mudah-mudahan dengan keberkatan Ramadan ini saya dikurniakan ilham untuk memilih nama yang paling sesuai untuk bayi kami. Lagipun, kelahirannya belum didaftarkan kerana sebagai warganegara Malaysia, kami suami isteri tidak digalakkan untuk mendaftarkan anak di Australia. Tambahan prosesnya rumit. Apa perancangan Farid selepas ini? Farid: Saya merancang membawa isteri dan anak yang kami panggil baby boy kemungkinan pada hari raya kedua nanti ke Malaysia. Selepas itu saya akan terus daftarkan bayi kami di sini (Malaysia). Kemungkinan kami akan menyambut 1 Syawal di Australia dan selepas itu baru saya bawa Diana dan anak kami pulang beraya di kampung saya di Sungai Petani dan juga di kampung Diana. Apa panggilan setakat ini untuk Farid dan Diana kepada anak? Farid: Setakat ini saya membahasakan diri kepada anak sebagai babah manakala Diana pula dengan panggilan ibu. Bagaimana pula kemelut dengan ibu mertua, Norsiah Ramli? Farid: Sebelum ini memang banyak luahan rasa kecewa terhadap ibu mertua saya di laman Twitter. Apa yang saya kesal, Diana juga kecewa dengan sikap ibunya yang tidak mengambil tahu keadaannya. Apatah lagi di saat-saat proses terakhir kehamilan Diana. Mula-mula, Diana kecewa dengan ibunya sejak dia tidak merestui perkahwinan kami. Saya juga tidak pernah mendengar ibu mertua telefon bertanyakan khabar kepada Diana. Jika ibu mertua ingin berjumpa Diana dan anak Farid macam mana pula? Farid: Jika ingin berjumpa, dia (ibu mertua) perlulah bersemuka terlebih dahulu dengan saya. Apa yang boleh saya katakan, sekiranya dia ingin melihat baby dan berjumpa isteri saya, suruh dia datang jumpa saya dulu. Selagi beberapa perkara belum selesai, adalah lebih baik dia berjumpa saya dulu. Kenapa begitu sekali Farid beri amaran kepada ibu mertua? Farid: Saya buat macam ini sebab risaukan perkara yang tidak diingini serta kemungkinan-kemungkinan yang buruk akan berlaku pada anak dan isteri saya. Saya dapat rasakan mertua saya akan bertindak di luar kawalan. Bukan berdendam tetapi lebih kepada mahu melindungi anak dan isteri saya. Biar semuanya selesai dahulu dan saya juga tidak mahu panjangkan kekecewaan yang pernah ibu mertua saya alami.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails