Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hubungan Aiman, Fathia tiada noktah

BIARLAH rahsia, demi kebaikan semua pihak. Itulah jawapan yang diberi oleh pelakon jelita Nur Fathia Abdul Latiff, 26, dan Aiman Hakim Ridza Abdoh, 24, setiap kali ditanya tentang sejauh mana hubungan antara mereka berdua. Meskipun jawapan yang diberi oleh pasangan lakonan dalam drama bersiri Diandra itu klise, namun setiap kali Fathia dan Aiman bersama, orang sekeliling dapat melihat adanya tarikan magis antara mereka. Biarpun kedua-duanya mengunci mulut daripada bercerita tentang kisah peribadi, namun sejak berlakunya kejadian di lapangan terbang sebelum berangkat ke Paris, April lalu, ke mana sahaja Fathia dan Aiman pergi, mesti diaju soalan yang sama. Apa pun jawapan yang keluar daripada mulut mereka, kita sebagai peminat dan pemerhati patut hormat pendirian pasangan tersebut kerana mereka juga perlu ruang untuk diri sendiri. Namun apa yang pasti Fathia dan Aiman memang bercinta tatkala berlakon drama 13 episod arahan Eoon Suhaimi sebagai Diandra dan Adam Fahmi. Biarpun pada awalnya mereka bermusuhan, namun lakonan Fathia dan Aiman memang tampak serasi seperti pasangan yang benar-benar bercinta. Aiman lebih suka simpan Nama Aiman mula mendapat perhatian ramai sejak berlakon drama bersiri popular Vanila Coklat bersama Izara Aishah pada tahun lalu, pada hal sebelum ini ketika menjadi peserta program Mentor, penampilan Aiman seakan dipandang sepi. Namun tuah sebagai Aamir dalam drama Vanila Coklat, arahan Emi Suffian Sabhe, terbitan Asia Media Content (AMC) yang bergandingan dengan Zara (Izara Aishah) itu hingga kini tetap menjadi bualan ramai kerana drama itu disusuli dengan telefilem pula. "Sebenarya saya tidak selesa kalau ditanya soal peribadi kerana bagi saya, hal itu adalah hak peribadi. Pembabitan saya dalam bidang seni bukan untuk menjaja cerita peribadi tapi lebih kepada kerjaya. "Saya tidak kisah kalau orang memberi komen tentang lakonan saya. Tidak kisahlah mereka suka atau tidak kerana menjadi lumrah, kita tidak dapat memenuhi kepuasan semua pihak. Namun dari segi peribadi, hanya saya sahaja tahu kebenarannya," kata Aiman yang baru-baru ini beraya di Middlesex, England. Dalam pada itu, Hits sempat bertanya kenapa namanya dikaitkan dengan Fathia sedangkan sebelum ini dia pernah 'bercinta' dengan Izara dalam Vanila Coklat. Malahan kisah cinta dengan Izara itu disukai ramai dan peminat berharap hubungan dalam Vanila Coklat menjadi realiti. "Saya sendiri tidak tahu kenapa bila dengan Fathia timbul pelbagai cerita, sedangkan hubungan saya sama sahaja dengan pasangan lakonan lain. "Seperti yang selalu saya beritahu, saya tidak begitu gemar bercerita soal peribadi. "Terpulang pada orang nak nilaikannya. Saya lebih suka, soal peribadi dipisahkan daripada kerjaya kerana setiap orang ada batas. Kalau semua perkara saya bercerita pada orang luar, apa lagi yang tinggal untuk saya simpan," jawabnya. Biarpun Aiman lebih senang membiarkan hubungannya dengan Fathia 'tergantung' tanpa pengesahan, namun pemuda yang masih menyimpan impian menjadi penyanyi itu tidak menolak yang dia selesa bersama wanita itu. Anak ketiga daripada empat beradik yang juga rakan niaga Fathia untuk jam tangan jenama Thia itu berkata, dia cepat serasi dengan pelakon tersebut kerana mereka saling memahami antara satu sama lain. "Sebenarnya saya sudah lama kenal Fathia. Bukan sewaktu berlakon Diandra atau sewaktu kami sesi foto di Paris. Kami mula bertemu sewaktu drama Mahabbah yang disiarkan tahun lalu. "Dalam drama itu saya menjadi kawan baik dia dan dalam Diandra baharulah kami menjadi pasangan kekasih. Sejak drama Mahabbah lagi kami sudah berkawan dan sebab itulah bila berlakon dalam Diandra semuanya menjadi mudah," katanya. Rindu bidang nyanyian Meskipun sekarang ini Aiman dikategorikan sebagai hero pelapis, namun jauh di sudut hatinya tersimpan perasaan untuk mencipta nama sebagai penyanyi seperti mana pembabitan awalnya dalam bidang seni dulu. Dia yang ingin berlakon bersama Bront Palarae atau Shaheizy Sam bagi menguji kredibilitinya sebagai pelakon menerusi watak berbeza berkata, biarpun sibuk dengan lakonan namun suatu masa nanti pasti menghasilkan album. "Sekarang ini saya mengikut rentak, mana yang datang dulu itu yang saya ambil. Mungkin rezeki untuk bergelar penyanyi belum datang tapi sesekali saya memang ada tawaran mengadakan persembahan tapi tidak dapat terima kerana bercanggah dengan jadual lakonan. "Sebelum ini saya pernah berduet dengan Erni Zakri menerusi lagu Khalimah Janji, namun di mana silapnya lagu itu seakan sepi begitu sahaja. Apa pun saya tidak putus asa, saya tetap menyimpan harapan untuk tampil dengan single," katanya tersenyum.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails