Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Julie tidak memilih

PASTINYA Syawal dengan status sebagai suami amat berbeza dengan lebaran sebagai orang bujang. Perasaan teruja itulah yang dikongsikan oleh pelakon, Jehan Miskin, yang menyambut Aidilfitri sambil ditemani buat pertama kali suri hidupnya, Julie Camelia Rhee. "Memang teruja sebenarnya kerana sebelum ini, kita sudah biasa beraya seorang diri terutamanya ketika berkunjung ke rumah saudara mara dan rakan-rakan. "Tetapi kini, berlainan sedikit kerana kali ini, saya ada peneman yang akan menemani saya setiap masa dan senario ini bagi saya sesuatu yang sangat membahagiakan," jelasnya. Ditanya mengenai persiapan raya mereka sebagai suami dan isteri, ujar Jehan, mereka membuat persiapan secara sederhana sahaja kerana kebanyakannya telah tersedia. "Banyak persiapan raya disediakan sejak awal lagi dan di akhir-akhir Ramadan, kami hanya buat persiapan secara biasa sahaja. "Lagipun, kami masing-masing sibuk dengan kerja jadi pada malam raya, saya ambil keputusan untuk menghabiskan masa bersamanya," jelas jejaka romantis ini. Tambah Jehan, ini bukanlah kali pertama isterinya menyambut Aidilfitri bersama dengannya di ibu kota. Menurutnya, sebelum ini, sudah beberapa kali dia membawa Julie untuk menyambut lebaran bersama dengannya ketika perkenalan mereka. "Dia tidak kekok untuk menyambut Syawal kerana sebelum ini pun saya sudah meraikan bersama dengannya cuma tambah istimewa baginya ialah kerana kali ini merayakannya sebagai isteri," ujar Jehan yang hanya beraya di ibu kota sahaja. Ditanya mengenai kegemaran Julie ketika di Aidilfitri, kongsi Jehan, satu makanan yang paling dinantikan pada lebaran bukannya makanan tradisi Aidilfitri. "Sebenarnya apa yang paling dinantikan oleh Julie pada hari raya bukanlah juadah raya tetapi dia menantikan hidangan asam laksa," katanya sambil tertawa. Menyambung bicaranya, menurut Jehan, bila cerita makanan yang paling Julie suka sebenarnya dia makan semua makanan seperti ketupat dengan sambal kacang, rendang, lemang dan lain-lain. "Dia memang tidak kisah makan makanan yang pedas kerana warga Korea Selatan memang makan makanan yang pedas. "Tetapi satu yang pasti akan dielakkan oleh Julie ialah makanan yang berkuah. Dia memang sukar hendak makan makanan yang terlampau banyak berkuah. "Sama juga seperti saya, ada beberapa juadah Korea Selatan dan Jepun yang tidak saya makan seperti sashimi. Tapi, kami saling memahami dan tidak mendatangkan masalah," katanya yang jelas begitu seronok bercerita mengenai isterinya. Ditanya mengenai aktiviti raya bersama dengan isterinya, jelas Jehan, dia mengambil peluang untuk membawa isterinya beraya di rumah saudara-mara dan rakan-rakan di sekitar ibu kota. "Masa yang ada untuk beraya tidak cukup panjang sebenarnya kerana pada hari Ahad, dia perlu ke Australia atas urusan kerja," jelasnya. Raya berjauhan dengan ibu Menyambut raya kali ini di Kuala Lumpur, ada perasaan yang bercampur baur di hati Jehan. Masakan tidak, Syawal kali ini, Jehan terpaksa berjauhan dengan ibunya yang menyambut raya di Amerika Syarikat. Mengakui agak sayu beraya tanpa bersalaman dengan ibu, Mariam Abdullah di pagi Syawal, ujar Jehan, dia cukup memahami dengan keadaan situasi yang membuatkan ibunya terpaksa berada di sana. "Kakak saya ada di sana bersama dengan anak-anaknya. Jadi saya rasa kakak saya lebih memerlukan ibu saya di sisinya. "Memang sedih tapi saya cukup memahami. Lagipun kini saya sudah mempunyai isteri, dan dia bersama dengan saya di pagi raya pun sudah cukup bermakna," katanya. Ditanya sama ada dia akan beraya semula bersama dengan ibunya setelah ibunya pulang kembali ke tanah air, jelas Jehan, mungkin dia tidak berkesempatan. "Mungkin tidak berkesempatan untuk beraya bersama dengan ibu kerana dia pulang pada bulan September," jelasnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails