Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lisa mohon orang ramai tweet perkara positif

MENJADI seorang selebriti, lebih-lebih lagi jika popular bukan satu perkara yang mudah. Ini kerana, segala perilaku diperhatikan dan jika ia tidak disenangi oleh orang di sekeliling, mereka akan dikritik. Perihal yang sama juga terjadi kepada setiap individu. Bagi pelakon jelita Lisa Surihani, dia juga mengakui tidak terlepas dikritik peminat menerusi muat naik status di laman sosial Facebook atau Twitter. Begitu juga jika dia memuat naik gambar menerusi akaun Instagramnya, @lisasurihani23. Bagaimanapun, isteri kepada pengarah Yusry KRU itu melihat setiap apa yang berlaku dalam hidupnya daripada sudut positif. Bahkan, tutur Lisa, sikap positif yang diamalkannya itu diperoleh menerusi penglibatannya dalam kempen-kempen amal yang berbentuk positif. “Saya pernah mendapat kritikan, malah dimarah oleh peminat apabila memuat naik status Selamat Menyambut hari Natal kepada semua ahli keluarga dan kawan-kawan. Saya terkejut dan pelik kerana bagi saya ia sekadar ucapan. Tiada niat untuk menyambut perayaan tersebut. Saya juga pernah memuat naik gambar dan menerima kritikan mengenai gambar yang dimuat naik. “Itu pentingnya kempen-kempen yang menyalurkan mesej-mesej positif ini dilancarkan agar setiap orang dapat membuang sikap negatif dan menerapkan pula sikap positif dalam diri,” jelas Lisa ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Hari Merdeka Astro di Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mengulas lanjut, kata Lisa, sejak kebelakangan ini juga banyak isu perkauman yang timbul dan ia boleh menyebabkan perpecahan antara kaum. Luah Lisa, masyarakat harus membuka mata dan menyedari isu tersebut boleh memberi kesan pada perpaduan kaum.
“Saya memohon agar setiap orang menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Saya sendiri memiliki darah Cina, India dan Bugis dan bila perkara ini terjadi, ia menyedihkan. “Saya seorang yang sentiasa bersikap positif. Disebabkan itu jika ada aktiviti atau kempen yang positif, saya akan berada di hadapan untuk menyokong,“ luahnya. Mengulas lanjut mengenai kempen tersebut, Lisa juga memohon agar semua orang dapat memuat naik status positif di laman sosial Twitter masing-masing dengan menggunakan hashtag #gobeyond. Ujarnya, orang ramai boleh memuat naik status seperti ‘Mari Membersihkan Kuala Lumpur’, dan jika status tersebut dimuat naik oleh ramai orang perkara itu akan direalisasikan. “Bukan sekadar memuat naik status yang baik tetapi kita dapat merealisasikannya,” ujar Lisa lagi. Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56, Astro melancarkan kempen #gobeyond dan #urmalaysianisshowing dan pelancaran muzik video bertajuk Excuse me Sir, your Malaysian is Showing. Melalui kempen itu, rakyat Malaysia dijemput untuk menyertai kempen #gobeyond dan menggalakkan perkongsian hashtag #gobeyond di media sosial masing-masing.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails