Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Populariti Nabil semakin kurang

Pelawak, pelakon, pengacara dan juga juruhebah Nabil Ahmad menyifatkan penglibatannya dalam rancangan permainan komedi popular Super Spontan yang bakal bersiaran di Astro Warna akan dapat membantu menaikkan semula populariti dirinya. Jelas Nabil, setelah kurang melibatkan diri dengan program-program jenaka khususnya terbitan Astro, dia dapat merasa popularitinya semakin menurun, apatah lagi dengan kemunculan banyak bakat-bakat baru. "Saya akui sejak kebelakangan ini populariti saya semakin menurun, jadi saya membuat keputusan untuk menyertai pertandingan ini untuk mengukuhkan lagi jenama saya sebagai seorang pelawak tanah air. "Ini kerana setelah mendirikan rumah tangga, saya lebih banyak memberi fokus sebagai ketua keluarga selain banyak melakukan tugas-tugas luar yang kurang liputan media," katanya. Nabil ditemui sewaktu sidang akhbar Super Spontan 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sama seperti musim terdahulu, seramai 14 pelawak akan bertanding dalam dua kumpulan iaitu Ketam Konfius dan Semut Sentap. Selain Nabil pelawak lain yang terlibat termasuklah Johan Raja Lawak, Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Yus Jambu, Noorkhiriah dan Almy Nadia. Tambah Nabil, sungguhpun dia berniat untuk kembali menaikkan popularitinya sebagai pelawak, tetapi itu tidak bermakna dia amat mementingkan aspek tersebut namun ia tetap merupakan satu bonus yang baik buat seseorang artis. "Apa yang penting, program ini memberi saya peluang untuk bertemu dengan rakan-rakan pelawak lain kerana kesemua peserta adalah rakan-rakan baik saya. "Mungkin di waktu biasa kami tidak dapat berjumpa, tetapi dengan adanya program ini dapat juga kita mengeratkan lagi silaturrahim antara peserta," katanya. Nabil yang kini bahagia dengan isteri dan anak tercinta turut mengatakan dia selesa dengan kehidupannya sekarang kerana karier seni dan urusan keluarga berjalan secara serentak. "Sejujurnya saya selesa dengan keadaan saya kini, walaupun tidak popular seperti beberapa tahun yang lalu, namun rezeki itu berterusan dan memang benar kata orang, setelah mendapat anak rezeki semakin bertambah dan stabil," jelasnya. Selain menyertai Super Spontan 2013, Nabil juga terlibat dengan sebuah telemovie berjudul Kain, Jarum Dan Gunting yang turut menggandingkan dirinya dengan pelawak-pelawak tanah air lain.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails