Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sabri Yunus pernah dihina

AKTOR dan pengarah, Sabri Yunus cukup terkenal dengan karya-karya berkualiti. Deretan anugerah telah berada dalam genggamannya dan terbaharu, dia telah merangkul anugerah Pelakon Komedi Lelaki Terbaik TV dalam Anugerah Lawak Warna baru- baru ini. Kemenangan menerusi drama komedi Kampung Semarah Padi arahan aktres Melissa Saila itu boleh dianggap sebagai kebangkitannya yang dilihat akhir-akhir ini bertambah popular. "Saya bersyukur, sebelum saya bergelar pelakon komedi, saya terlebih dahulu terlibat dengan karya teater yang berat. Selepas terlibat dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, barulah saya dikenali sebagai pelakon komedi. "Bagaimanapun, saya masih kekal dengan dua jiwa, serius dan komedi. Meskipun banyak terlibat dengan karya komedi, saya tidak pernah melepaskan karya yang serius. Alhamdulillah, peminat dapat menerima dengan baik sama ada saya berlakon komedi mahupun serius," katanya. Bercerita lebih lanjut tentang kebangkitannya hari ini, bapa kepada tiga orang anak itu menjelaskan, sejak pemergian isteri tercinta, Norryana Yusof pada tahun 2006 akibat penyakit kanser, kerjaya seninya turut merosot. "Sejak isteri saya meninggal dunia, hidup saya jadi gelap dan saya mula memperlahankan kerjaya seni. Selepas tahun 2010, barulah saya kembali aktif," tuturnya. Dalam tempoh lima tahun menyepi daripada sebarang aktiviti seni, akui Sabri, dia berasa cukup rugi kerana membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa sebarang hasil karya. "Memang cukup rugi. Dalam tempoh saya bersedih itu saya tidak buat apa- apa. Namun dalam saya menyepi, timbul banyak idea dan inspirasi yang menyebabkan saya ingin aktif semula dan mengisi segala kekosongan yang saya tinggalkan sebelum itu," jawabnya. Kini, pada usia 52 tahun, Sabri sedar yang dia harus menghasilkan karya-karya berkualiti, bukannya mengejar populariti semata-mata. "Bila saya kembali aktif, saya harus kejar dengan cepat perkembangan industri seni tetapi waktu itu sudah ramai karyawan yang lebih muda dan kreatif. Jadi, saya tidak boleh menghasilkan sebuah karya untuk popular sahaja. "Sesuai dengan kematangan usia saya, karya yang dihasilkan harus berkualiti dan juga meninggalkan kesan bukan sahaja untuk penonton tetapi diri saya sendiri sebagai pengkarya," luahnya yang cukup terkenal sebagai tukang karut dalam siri popular Karoot Komedia X. Mengimbas kembali perjalanan seninya, Sabri memanjatkan kesyukuran kerana terlalu banyak pahit manis yang telah ditelannya sebagai anak seni. Pengalaman dihina penonton telah membuatnya menjadi lebih berani dan menjadi Sabri Yunus yang dikenali hari ini. "Bukan mudah untuk bergelar pelawak kerana bagi saya melawak ini satu kerja yang cukup bahaya. Ramai yang tidak tahu, ketika saya popular bersama sitkon Pi Mai Pi Mai Tang Tu, selama dua tahun saya tidak berani mengambil sebarang persembahan pentas untuk berlawak. "Sebenarnya saya takut persembahan saya tidak menjadi. Namun, atas pelawaan rakan waktu itu pada tahun 1988, saya beranikan dan akhirnya apa yang saya takutkan berlaku. "Bayangkan, sedang saya membuat lawak dan boleh dikatakan syok sendiri, tiba-tiba ada penonton muncul di depan pentas minta saya turun. "Katanya sudahlah, kami nak tengok Ramlah Ram pula. Waktu itu ND Lala sebagai pengacara turut memanggil saya ke belakang pentas, rupanya persembahan saya terlebih masa dan penonton sudah bosan," katanya. Walaupun pengalaman pertamanya tidak menjadi seperti yang diharapkan, kata Sabri, peristiwa itu banyak mengajarnya untuk menguasai pentas dan penonton dengan lebih baik. "Jika sebelum ini saya asyik menipu promoter kata saya sibuk walhal saya takut untuk buat persembahan seorang diri, tetapi sejak persembahan pertama itu saya menjadi lebih berani dan bijak mengatur masa supaya lawak saya tidak bosan," ceritanya. Terbaharu, Sabri menerusi produksinya Balang Rimbun, bakal menerbitkan sebuah drama komedi berjudul Mat Three Four yang akan menemui penonton pada bulan November depan.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails