Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Salwa tabah hadapi dugaan

“SAYA banyak belajar daripada pengalaman sepanjang bergelar seorang insan seni.” Itu kata gadis tinggi lampai, Salwa Razak yang dahulunya pernah dikenali sebagai Arora Salwa pada awal kemunculannya. Ketika ditemui pada sesi fotografi di D’Rias, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia yang lebih mesra disapa sebagai Salwa ini ternyata seorang yang peramah. Melalui luahan hati yang diceritakan, ternyata Salwa seorang wanita yang tabah menghadapi dugaan yang menimpa dirinya. Bukan satu, malah nama Arora Salwa pernah beberapa kali dilanda kontroversi yang pernah membuatkan dirinya tertekan dan kecewa antaranya dia dikatakan lari daripada membayar hutang. “Tipulah jika saya cakap saya tidak pernah kecewa ketika ditohmah dengan pelbagai kontroversi. “Namun, kerana minat saya yang mendalam terhadap bidang seni ini, saya harungi jua,” tutur anak kelahiran Johor ini. Tambah Salwa: “Sejujurnya, pengalaman lepas saya sebagai seorang anggota polis banyak membantu diri agar menjadi seorang yang kuat dari segi mental dan fizikal.” Menurutnya, ketika dirinya dilanda kontroversi, dia pernah mendiamkan diri seketika dan banyak berfikir. “Saya tinggal di rumah keluarga saya di Johor dan berfikir apa yang perlu saya lakukan. Ini kerana, bukan sahaja diri saya, malah keluarga juga terkena tempias dengan kontroversi yang melanda diri. “Saya akui, sebagai seorang manusia, siapa yang tidak melakukan kesalahan. Saya bukan seorang yang sempurna, ada betul dan juga salahnya,” beritahunya yang mana keluarga adalah orang yang sering beri sokongan.
Nyanyian dan lakonan Walaupun bermula dari bidang nyanyian, Salwa juga tidak terlepas daripada menerima tawaran dalam bidang lakonan. Ketika ditebak persoalan tentang keutamaan antara nyanyian dan lakonan bagi dirinya, jelas Salwa, dia mahu ia seiring. “Saya minat kedua-dua, nyanyian dan lakonan. Jadi, kini saya telah terlibat dalam dua bidang iaitu lakonan dan nyanyian, saya akan seiringkan kedua-duanya,” tuturnya yang bakal muncul dalam sebuah drama yang akan ditayangkan di RTM berjudul Misteri X. Bersyukur dengan rezeki yang diperoleh, cerita Salwa, dia juga telah menerima beberapa tawaran berlakon drama lain. Beralih cerita mengenai nyanyian pula, pada bulan Mac lalu, Salwa telah melancarkan sebuah single yang berjudul Hidup Baru. Jelasnya, jika singlenya sebelum ini yang berjudul, Ahmad adalah lagu genre rancak, Hidup Baru pula sebaliknya balada. “Ahmad adalah sebuah lagu yang mudah, yang mana ia berentak catchy dan sesiapa sahaja boleh menyanyikan lagu tersebut. “Namun, single Hidup Baru berentak balada dan saya mahu menguji kebolehan saya sebagai seorang penyanyi. “Ada beberapa not tinggi yang saya perlu nyanyikan dalam lagu ini. Tidak dinafikan, balada merupakan genre yang agak sukar. Saya tukar genre kerana ingin membuktikan kebolehan saya sebab ada yang kata saya tidak boleh menyanyi,” katanya serius. Mengakhiri temu ramah bersamanya, bicara Salwa, melalui lumrah hidup sebagai seorang artis, kini dia lebih berhati-hati. Mungkin jika dahulu dia teruja menguar-uarkan sesuatu perkara yang ingin dilakukan terlebih dahulu. Bagaimanapun, setelah pelbagai kejadian menimpa diri, Salwa lebih gemar mendiamkan diri dan hanya mengumumkan tentang sesuatu perkara selepas semuanya pasti.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails