Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya sedar diri! – Que Haidar

AKTOR terkenal, Que Haidar dan Khir Rahman telah memukau ramai peminat sewaktu mereka menyanyi secara langsung ketika mengadakan persembahan di pentas majlis Anugerah Lawak 2013 yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini. Gaya persembahan mereka mirip penyanyi profesional dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton meski- pun persembahan itu hanyalah tribute khas untuk filem lakonan mereka, Rock Oo. Bertemu dengan Que selepas majlis anugerah tersebut selesai, suami kepada pereka tari, Linda Jasmine itu hanya tertawa apabila ramai yang memuji persembahannya. Namun kata Que, dia langsung tidak berniat untuk menjadikan nyanyian sebagai kerjayanya. “Saya sedar diri, ramai lagi penyanyi yang bagus. Sebenarnya saya malu untuk jadi penyanyi kerana itu bukanlah bidang saya walaupun saya boleh menyanyi sikit-sikit. “Persembahan saya bersama abang Khir Rahman pada majlis ini sebenarnya hanya untuk filem Rock Oo. Saya tidak keberatan kerana kami berdua di atas pentas bukan sebagai diri kami sendiri, sebaliknya watak yang dijayakan dalam filem,” katanya. Tambah Que, keberaniannya untuk menyanyi secara langsung itu timbul bukan untuk menunjukkan bakat nyanyian semata-mata, sebaliknya memberi momentum kepada peminat filem tersebut. “Mula-mula takut juga sebab kami hanya jalani latihan sehari sebelum persembahan tetapi bila difikirkan balik, persembahan ini bagus untuk mengingatkan peminat pada filem Rock. “Selepas filem Rock, Rock Oo, pengarah Mamat Khalid akan membikin filem Rock 3 selepas ini. Kami baru sahaja berbincang dan akan menjalani penggambaran tidak lama lagi,” ujarnya yang memegang watak sebagai Amy Mat Piah dalam filem itu. Walaupun tidak terfikir untuk bergelar penyanyi, Que dan kumpulan Rimba Bara (kumpulan di dalam filem Rock) pernah mengadakan persembahan pada majlis makan malam. “Lucunya, ada orang tawarkan kami buat persembahan selepas filem Rock Oo ditayangkan (ketawa). Saya dan kumpulan Rimba Bara ada membuat persembahan pada majlis makan malam dan kami mendendangkan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang ditukar kepada genre rock. “Sekadar suka-suka bolehlah tetapi kalau ada orang tawarkan kumpulan Rimba Bara untuk buat persembahan secara serius, saya rasa tidak mungkin sebab kami semua pelakon bukannya penyanyi dan pemuzik,” balasnya. Namun kata Que, dia hanya bersetuju untuk menyanyi jika melibatkan filem lakonannya. “Saya akan menyanyi jika tawaran itu datang untuk lagu runut bunyi filem yang saya lakonkan atau apa sahaja yang melibatkan kerjaya saya sebagai pelakon,” balasnya. Bercerita lanjut mengenai perkembangan kerjayanya, selain filem Rock 3, Que terlibat dengan sebuah telefilem berjudul Budak Johor dan sedang menantikan tawaran daripada pengarah filem Bunohan, Din Said. “Sepatutnya saya terlibat dalam filem Bunohan tetapi ketika waktu penggambaran, jadual saya tidak mengizinkan. Jadi, abang Din Said sendiri berkata dia berhutang satu filem dengan saya. “Sebagai pelakon, bagi saya dia seorang pengarah yang hebat dan sangat kreatif. Biarpun agak lambat dan menunggu lama, saya pasti hasil karyanya tidak pernah mengecewakan pencinta seni seperti saya,” tuturnya yang masih sibuk di bengkel lakonan yang diusaha- kan bersama isterinya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails