Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sherry jadi buruan

HAMPIR dua minggu terlantar sakit akibat demam dan batuk membuatkan dirinya sedar yang nikmat kesihatan tidak ternilai dengan wang ringgit. Selama itu juga dia mengehadkan aktiviti seni semata-mata mahu berehat panjang. “Memang saya tak sangka akan dijangkiti demam dan batuk lebih dua minggu. Padahal selama ini pun seingat saya tak pernah lagi berhadapan dengan situasi yang macam itu. “Dek kerana penyakit itu juga saya berehat panjang daripada segala aktiviti seni. Saya sendiri tak pasti kenapa penyakit tu tak hilang-hilang. Tapi sekarang Alhamdulillah semuanya sudah pulih," cerita Shrerry Ibrahim. Sejak nama kembali memuncak selepas drama Teduhan Kasih lakonannya mengumpulkan jutaan peminat, Sherry juga kini menjadi buruan. Malah impak daripada drama tersebut turut membantu Sherry membina keyakinan diri selepas menghilangkan diri beberapa tahun lalu. “Bila drama tersebut memberikan impak sudah tentu sedikit sebanyak merisaukan saya, seandainya peminat tidak dapat menerima saya membawa watak yang lain. “Ini kerana watak Ifa digambarkan sebagai wanita baik yang selalu mendapat malang. Ifa selalu jadi mangsa keadaan tetapi akhirnya Ifa berjaya mengharungi segala masalah. “Saya bimbang sebab ramai yang mahu saya membawakan watak sebegitu. Padahal kalau nak diikutkan masih banyak lagi variasi watak lain yang belum saya cuba. “Sejujurnya saya pun tidak mahu membawakan watak yang sama berulang-ulang," katanya yang banyak menerima tawaran berlakon drama sejak akhir-akhir ini. Ditanya adakah dia risau jika drama akan datang tidak dapat menandingi Teduhan Kasih, Sherry percaya itu semua bergantung kepada penilaian peminat. “Saya yakin peminat setia tidak akan menolak apa jenis drama sekalipun andai kata naskah seterusnya juga baik," ulas Sherry ringkas. Mengenai sambutan raya pula, Sherry cukup teruja untuk menyambut Aidilfitri bersama dengan keluarga besarnya di Kuang, Selangor. Walaupun jarak antara Kuala Lumpur dan Kuang tidak jauh, itu tidak bermakna hari raya bekas pramugari itu hambar. “Tahun ini kami sekeluarga akan balik ke kampung sebelah ibu sahaja. Di sana boleh berkumpul ramai-ramai sambil buat macam-macam aktiviti. “Kalau masa kecil-kecil dulu seronok sangat dapat pakai baju baru. Bila pulang ke kampung dan beraya itu memang jadi aktiviti yang menyeronokkan buat saya. Dah besar-besar macam ini saya rindu suasana itu. “Saya gemarkan ketupat palas yang dibuat oleh arwah datuk. Tapi sejak dia dah tak ada memang jarang makan ketupat macam dulu. Nenek pula memang pandai memasak. Kalau nak tahu kek kukus nenek memang sedap. “Masakan itulah yang akan saya tunggu-tunggu setiap tahun selain dapat menikmati makanan lain yang sedap-sedap. Walaupun menyambut raya sudah tak semeriah zaman kanak-kanak tetapi hari raya tetap menjadi hari yang ditunggu-tunggu," katanya. Hanya mengambil cuti raya lebih kurang seminggu, selepas itu Sherry akan kembali sibuk di lokasi kerana terlibat dalam beberapa buah drama.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails