Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Shila ingin jadi lebih baik

TIADA majlis besar-besaran sempena sambutan ulang tahun kelahiran penyanyi Shila Amzah yang ke 23 pada 13 Ogos lalu. Namun begitu penyanyi lagu Patah Seribu itu tetap gembira kerana berpeluang keluar makan malam bersama ahli keluarganya. Dia yang pulang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri dan bakal kembali ke Shanghai, China pada 18 Ogos ini berkata, peningkatan usia membuatkan dia lebih banyak berfikir. Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata, dia mahu menjadi orang yang lebih baik kepada keluarga dan negara. "Tiada apa yang saya impikan selain membaiki diri menjadi anak yang lebih baik untuk ibu bapa agar mereka boleh berbangga dengan usaha saya dan sekali gus mengharumkan nama negara dalam industri seni. "Selain itu saya juga ingin mencari dan menambah ilmu kerana dalam kehidupan ini tiada apa yang lebih penting selain ilmu. Selain bersyukur dengan apa yang ada, saya juga mahu terus berjaya dalam bidang yang diceburi," katanya kepada Hits. Dia yang pulang bercuti kira-kira dua minggu itu berkata, sepanjang tempoh tersebut keluarganya tidak berkesempatan mengadakan rumah terbuka kerana sibuk menziarahi sanak saudara. Namun kata Shila, ada juga rakan-rakan yang datang menjenguknya sempena Aidilfitri dan sempatlah melepas rindu. Bercerita mengenai kehidupannya di negara orang, Shila berkata, setiap hari dia akan masak sendiri. "Saya sekarang sudah menjadi penggemar vegetarian, sedangkan sebelum ini saya amat menggemari daging. Bukan apa, di sana untuk membeli daging yang dijual di kawasan masjid, saya perlu berjalan jauh. "Jadi untuk memudahkan kerja, saya pilih untuk makan sayur-sayuran sahaja. Bila sudah biasa makan sayur, raya lalu nak makan daging pun jadi macam kurang lalu pula," ceritanya yang mengaku sedikit kurus. Hits sempat juga bertanya kepadanya, selepas putus cinta dengan Sharnaaz Ahmad, tidakkah ingin mencari pengganti lain. Jawapan Shila mudah sahaja, katanya buat masa sekarang dia ingin tumpu perhatian pada kerjaya kerana banyak perkara yang perlu dilakukan. "Belum terfikir nak cari teman lelaki dari Malaysia atau mana-mana negara, biar takdir yang menentukan. Lagipun saya tidak ada masa untuk fikir soal itu buat masa sekarang. "Selain sibuk mengadakan promosi di sini, saya juga sedang menyiapkan album Mandarin. Setakat ini alhamdulillah, sambutan yang diberikan oleh peminat di China memberangsangkan," katanya yang beraya di Balakong dan Ipoh.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails