Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tegas terhadap anak-anak - Didie Alias

APABILA mengenali secara dekat insan yang bernama Didie Alias, tidak dinafikan pelakon dan pelawak itu sentiasa kelihatan ceria dan selalu bergurau senda dengan orang di sekelilingnya. Tidak hairanlah kalau bertemu dan berbual dengan pemilik nama sebenar Fadzillah Mohammad itu, memang tidak kering gusi dibuatnya dengan celotehnya yang sentiasa mencuit hati dan menghiburkan. Bagaimanapun, tentunya ramai yang ingin mengetahui latar dirinya dalam dunia sebenar, terutamanya kehidupan seharian yang dilalui bersama ahli keluarga. Berkesempatan bertemu dengannya semasa acara Anugerah Lawak Warna baru-baru ini, Didie menyatakan kehidupannya sebagai seorang artis dan ibu kepada lima orang anak sememangnya jauh berbeza. "Selama ini orang melihat saya seorang yang kelakar dan selalu membuat orang lain ketawa, tetapi apabila berada di rumah bersama keluarga, karakter saya memang berbeza. "Tidak dinafikan, dengan anak-anak, saya memang seorang ibu yang sangat tegas. Kalau saya kekal mengamalkan sikap yang kelakar di rumah, saya risau anak-anak akan hilang rasa hormat," ujar ibu kepada lima orang cahaya mata itu. Sehingga kini Didie memiliki empat orang cahaya mata perempuan dan seorang lelaki iaitu Nurdhaniyah, 20, Muhammad Dhanial, 19, Nur Dinie, 17, Nur Dayini Ahza, 15, dan Nur Diyana, 14, hasil perkahwinan terdahulu dengan pelakon Ridzuan Hashim. Tambah Didie, dengan sikapnya yang tegas itu tidak bermakna dia perlu menggunakan kekerasan atau meninggi suara, sebaliknya dia lebih suka mengamalkan sikap toleransi untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang baik.
Mengakui anak-anak memang takut dengan ketegasannya itu, namun dia lebih suka melayan mereka seperti kawan dan akan sentiasa bertanya dan memantau tentang perkembangan diri masing-masing. "Kalau ada kelapangan dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti seni, saya akan menghabiskan masa di rumah. Dengan masa yang ada itu saya gunakan sebaik-baiknya untuk berborak dengan anak-anak. "Walaupun mereka melihat saya ini seorang ibu yang tegas, tetapi saya sebenarnya bersikap terbuka dan lebih suka kalau anak-anak berterus terang dan menceritakan segala aktiviti mereka kepada saya," jelasnya. Berkenaan dengan minat anak-anaknya terhadap bidang seni pula, Didie mendedahkan dia langsung tidak menghalang sekiranya ada antara mereka yang ingin mengikut jejak langkahnya. Ujarnya, kesemua anaknya itu pernah berlakon dalam drama dan telemovie sebelum ini, malah anak bongsunya iaitu Nur Diyana turut memiliki karakter kelakar seperti dirinya. "Apa yang saya lihat masing-masing ada bakat untuk menjadi pelakon, cuma mereka tidak menunjukkan minat yang lebih mendalam. Jadi, lebih baik kalau mereka buat apa yang diminati dan saya akan sentiasa menyokong," ujarnya.
Penampilan berbeza Berbalik kepada cerita mengenai imej pelik yang selalu digayakan apabila menghadiri sesebuah acara hiburan, Didie ternyata mempunyai alasan tersendiri. Jelasnya, tindakannya itu bertujuan untuk menampilkan pelbagai kelainan serta mahu meninggalkan kenangan tersendiri buat dirinya dan para peminat. "Tidak semua acara saya perlu tampil dengan imej pelik. Semuanya perlu bergantung kepada tema yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. "Selepas itu, barulah saya akan berbincang dengan pereka fesyen serta jurumekap tentang penampilan yang akan digayakan supaya tidak nampak terlalu pelik dan melampau," ujarnya. Mengenai penerimaan kelima-lima anaknya terhadap penampilannya itu, Didie menyatakan mereka cukup memahami bahawa semua yang dilakukan semata-mata mahu mencari rezeki. Biarpun selalu dicerca dan dikritik segelintir peminat yang kurang gemar dengan caranya itu, pelakon berkenaan menyatakan anak-anaknya merupakan pihak yang paling banyak mempertahankan dirinya. "Mungkin ramai yang tidak tahu kesemua anak perempuan saya kini telah bertudung. Keputusan yang dibuat itu bukanlah paksaan sesiapa kerana ia atas kerelaan hati. "Kalau ada yang bertanya bila saya akan bertudung pula, jawapan yang akan diberikan mudah sahaja. Saya anggap perubahan yang ingin dilakukan itu semua kuasa Allah," jelasnya.
Hadiah hari jadi Setelah meraih anugerah Artis Komedi Wanita Popular dalam acara Anugerah Bintang Popular pada April lalu, kali ini Didie menjadi pilihan peminat apabila muncul pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular semasa Anugerah Lawak Warna baru-baru ini. Menurut isteri kepada Nor Isham Ismail itu, kemenangan yang diraih itu ternyata cukup bermakna kerana ia diraih sehari sebelum usianya yang ke-40. "Kejayaan yang diraih ini pastinya memberikan kenangan yang begitu istimewa kerana ia diterima semasa saya meraikan ulang tahun kelahiran. "Selain itu, ia bukan sahaja kejayaan peribadi kerana trofi yang saya genggam ini merupakan sokongan yang tidak putus-putus daripada peminat," ujarnya yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 17 Ogos lalu. Memandangkan usianya kini yang sudah mencapai empat dekad serta anak-anak yang semakin membesar, Didie turut ditebak dengan persoalan tentang sehingga bila dia mahu terus menjadi seorang pelawak. Menurutnya, dia tidak pernah meletakkan sebarang tempoh tertentu kerana semuanya bergantung kepada rezeki yang diterima serta kepercayaan yang diberikan oleh penerbit dan pengarah. "Selagi ada mana-mana pihak yang menawarkan saya berlakon komedi, sudah tentu saya akan menerimanya kalau ia bersesuaian dan berbaloi. "Lagipun dalam industri hiburan sekarang ini kita agak ketandusan pelawak-pelawak wanita. Setakat ini dunia komedi memang didominasi oleh golongan lelaki," jelasnya mengakhiri bicara.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails