Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Terkenang kisah lampau - Nabil

Perasaan menyambut kedatangan lebaran bagi setiap umat Islam itu berbeza-beza kerana masing-masing ada cerita tersendiri sebelum menanti kehadiran Syawal. Begitu juga dengan pelawak Nabil Ahmad yang sempat berkongsi dengan Hits rasa terujanya menunggu kedatangan Aidilfitri dengan status baru sebagai seorang bapa. Masakan tidak, kehadiran anak perempuan sulungnya, Naira Mikayla, 7 bulan, menambahkan lagi kemeriahan beraya pada tahun ini. "Menyambut Syawal tahun ini memang memberi perasaan yang bercampur baur buat saya kerana ini kali pertama beraya dengan dua status sebagai suami dan seorang bapa. "Tambah seronok lagi, tahun ini menyaksikan buat pertama kalinya saya akan menerima duit raya bagi pihak anak saya. "Selalunya saya yang akan beri duit raya pada anak buah, tetapi kali ini tiba giliran saya pula menerima duit raya untuk Mikayla," katanya berseloroh. Mungkin disebabkan rasa teruja Nabil dan isterinya, Nazirah Ayub membuatkan mereka pada tahun ini pertama kali merayakan Aidilfitri dengan busana rona sedondon. "Kalau ikutkan memang tidak pernah kami sedondon, tetapi tahun ini terasa hendak memilih warna yang sama," katanya yang memilih dua busana sedondon rona biru dan hijau. Tambah Nabil, tahun ini dia sekeluarga akan beraya di kampung halamannya di Seremban, Negeri Sembilan. "Kalau ikut turutan, memang tahun ini beraya di seremban. Tetapi, apa yang buat saya gembira sebenarnya ialah kerana ibu saya pun begitu teruja dan mahu saya beraya bersamanya tahun ini. "Lagipun, ramai kawan-kawan ibu yang mahu saya pulang beraya kerana mahu berjumpa dengan anak saya. "Saya pun belum berkesempatan lagi hendak memberi peluang kepada rakan-rakan ibu untuk bertemu dengan Naira," jelasnya. Jelas Nabil, jika mahu dibandingkan antara kampungnya dan kampung isterinya, dia lebih seronok beraya di kampung Nazirah di Perak. "Sebenarnya saya sangat suka beraya dengan suasana kampung, tambahan pula kampung Nazirah memang meriah dengan kanak-kanak. "Suasana itu memang berbeza dengam kampung saya kerana sudah kurang kanak-kanak. Semua dah meningkat besar. "Tambahan pula ada yang sudah meninggalkan kampung dan bekerja di luar. Suasana kampung ada, tetapi sudah tidak meriah macam dulu lagi," ujarnya. Terkenang kisah lalu Berkongsi kenangan kisah hidupnya yang lalu, Nabil mengakui, dia sendiri tidak pernah bermimpi untuk berada di tahapnya sekarang. "Jujurnya, memang saya tidak pernah bermimpi untuk memiliki apa yang saya ada sekarang. Punya isteri, anak dan kerjaya yang stabil. "Kalau dulu, apa yang pernah saya impikan hanyalah menjadi ketua penghantar surat sahaja ketika itu," jelasnya. Bukan sahaja mengecapi apa yang dimilikinya kini ibarat satu mimpi, malah menyertai dunia seni pun sesuatu yang mengejutkan dirinya. "Dengan apa yang saya ada sekarang, saya memang bersyukur. Saya bukanlah berasal daripada keluarga seni. "Malah saya masuk ke industri seni ketika itu cuma bergadai bakat seni yang saya ada sahaja. Kalau ada rezeki jadi, kalau tiada, kembali ke kerja asal. Alhamdulillah, saya diberi rezeki oleh tuhan," ujarnya. Mengimbas kembali zamannya ketika sebelum bergelar anak seni, Nabil mengakui memang melalui kehidupan yang agak sukar. "Sebelum jadi anak seni, memang kehidupan saya dan keluarga agak susah. Lagipun, dengan kerja saya dulu, memang tidak merasa hendak hidup senang," jelasnya. Malah, dia turut teringat satu peristiwa ketika sedang menyambut bulan Syawal. "Ketika itu, ada orang hendak datang beraya di rumah kami. Saya tutup semua tingkap dan buat seperti tiada orang di rumah. "Ketika itu bukanlah niat tidak mahu orang datang berkunjung atau sebagainya, tetapi kami memang terpaksa buat begitu. "Sebenarnya, atap rumah saya bocor dan kalau hujan turun, ruang tamu saya akan banjir dengan air hujan. Bila sudah jadi macam itu, hendak beri orang datang melawat pun kita segan," jelasnya. Oleh kerana itu, jelas Nabil, bila dia teringat kembali memori lama, pasti membuatkan dia memanjatkan kesyukuran kepada ilahi. "Bukanlah hendak mengatakan saya kaya, tetapi dengan rezeki yang saya ada, sekurang-kurangnya kedua ibu dan bapa saya mampu hidup senang. Itu sudah cukup," katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails