Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ya, kami memang rapat! - Fathia

IBARATNYA, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang! Analogi kisah cinta Fathia dan Aiman itu sehingga kini masih tersimpan dalam kotak rahsia dua pelakon muda itu. Kuncinya tergenggam erat antara Fathia atau Aiman. Kalau sebelum ini Aiman enggan mengulas lanjut mengenai gosip kisah cintanya bersama Fathia ekoran enggan memalukan kedua-dua belah keluarga, Kosmo! mendapatkan respons daripada Fathia pula. Jawapan lebih mendalam dan utuh disertakan Fathia untuk menjawab teka-teki yang bersarang di minda peminatnya selama ini. Ironi, baru hujung minggu lalu si empunya badan mengaku memang bercinta dengan jejaka tinggi lampai tersebut dalam sebuah akhbar mingguan. Bagaimanapun, apabila diminta penjelasan lanjut agar khalayak tidak keliru dengan 'sandiwara cinta' mereka, Fathia tetap menegaskan hubungannya dengan Aiman masih berada dalam fasa perkenalan yang memerlukan masa untuk duduk selesa dalam sebuah hubungan cinta. "Bercinta atau tidak, itu tidak penting. Yang penting kami dapat keserasian bila bergabung bersama. Jodoh itu di tangan Tuhan. "Sebelum ini pun banyak gosip keluar pasal saya dan tidak pernah reda, sudah menjadi perkara normal untuk saya menerima gosip-gosip ini sampaikan kalau saya beritahu perkara betul pun tetap jadi gosip. Jadi lebih baik saya berdiam diri," jelasnya yang ditemui ketika sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini.
Aiman yang jujur Menghuraikan lebih jelas maksud keakraban antaranya dan Aiman sejak kali pertama dilihat intim ketika sama-sama ke Paris, Perancis bulan April lalu, Fathia akui Aiman sering menemaninya keluar. "Kami selalu lepak bersama, malah kami juga banyak digandingkan bersama sekarang. Hubungan yang terbentuk dalam setiap lakonan kami adalah selesa dan tidak kekok. "Jujur saya akui dia ialah pelakon lelaki yang paling selesa untuk saya berlakon bersama setakat ini," ujar Fathia yang mula mengenali Aiman menerusi set penggambaran drama Diandra beberapa bulan lalu. Digosipkan bercinta dan saling memadu asmara, Fathia hanya membalas dengan senyuman. Pelakon filem Darah Panas itu sebenarnya enggan memberikan sebarang kenyataan yang dikhuatiri mampu menjerat dirinya. Fathia bagaimanapun menyifatkan Aiman seorang pelakon yang tidak pernah membanggakan diri, sentiasa menghormati pelakon lain dan seorang yang jujur. Malah, kualiti itu kata Fathia, mengeratkan hubungan mereka berdua. "Ya, kami memang rapat tapi belum ada sebarang perancangan. Aiman lelaki kedua selepas ayah saya!" simpul Fathia yang seperti memberi gambaran bahawa Aiman sebagai lelaki penting dalam hidupnya. Ganggu konsentrasi Dalam pada itu, sebelum ini pernah timbul dakwaan yang menyifatkan Aiman sengaja menipu pihak produksi semata-mata untuk berjumpa dengan Fathia sehingga menjejaskan jadual penggambaran. Secara tidak langsung, situasi itu menyebabkan Fathia dilihat seperti cuba mengganggu prestasi dan reputasi baik Aiman selama ini. "Aiman pernah beritahu saya bahawa dia terpaksa lari dari lokasi penggambaran kerana ahli keluarganya sakit dan tidak elok untuk mengaitkan saya dengan cerita-cerita negatif. Itu sama sekali tidak betul. "Sejak kami mengenali antara satu sama lain, karier kami masih berjalan lancar. "Prestasi dia terganggu bukan sebab siapa-siapa dan saya sama sekali menafikan dakwaan itu. Kami berkawan dan sudah tentulah saya menyokong kerjaya seni dia," katanya.
Sementara itu, Fathia turut mengulas berkenaan sekeping gambar bersama Aiman yang dilihat berpelukan dalam keadaan gelap yang telah dikirimkan menerusi e-mel kepada Kosmo! baru-baru ini. "Gambar itu mungkin telah dirakamkan oleh kru produksi atau pelakon tambahan ketika penggambaran drama bersiri Diandra yang melibatkan saya dan Aiman. "Itu gambar kandid dan tidak menyampaikan apa-apa makna tersirat. Lagipun, pakaian yang kami pakai ketika itu masih pakaian konti," tegasnya. Terlanjur berbicara mengenai drama Diandra yang telah mula disiarkan di TV3 untuk slot Lestary pukul 9 malam setiap hari Selasa, Fathia memberitahu, dia pertama kali diberikan kepercayaan untuk membawakan watak gadis kasar yang bercinta dengan lelaki kasanova.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails