Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bertahan tanpa album baharu - Ziana Zain

JIKA dihitung pembabitan Ziana Zain dalam bidang seni, tempoh selama 22 tahun mungkin sesuatu yang agak sukar untuk dicapai oleh kebanyakan artis di negara ini. Begitu juga dengan rentetan kejayaan yang diraih sehingga ke peringkat antarabangsa. Maka, sudah sewajarnya penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Madah Berhelah itu contoh kepada penyanyi generasi sekarang. Meskipun dengan kemunculan lebih ramai penyanyi-penyanyi baharu, ia langsung tidak menenggelamkan populariti yang telah diraihnya selama ini. "Saya bersyukur apabila masih lagi diterima ramai dan bukan mudah untuk terus bertahan memandangkan semakin ramai penyanyi hebat yang muncul di persada hiburan tanah air. "Tawaran yang diterima seperti membuat persembahan nyanyian masih lagi tidak putus-putus. Ini semua berkat sokongan peminat yang tidak henti-henti kepada saya," ujarnya semasa ditemui dalam sidang akhbar program realiti pencarian Ratu Rania baru-baru ini. Memandangkan dirinya masih lagi aktif dalam bidang nyanyian, Ziana turut ditanya tentang album baharu. Ini kerana kali terakhir dia menghasilkan album adalah pada tahun 2008 berjudul Dingin. Menurutnya, bukan tidak pernah timbul keinginan untuk menghasilkan album baharu buat para peminatnya, namun dia menyatakan bukan mudah untuk mendapatkan lagu-lagu yang sesuai. "Sebagai seorang penyanyi yang sudah senior, pastinya saya perlu lebih selektif untuk pemilihan lagu. Cuma, buat masa ini untuk mendapatkan lagu yang mampu menyentuh jiwa pendengar agak sukar. "Kalau setakat saya hasilkan album semata-mata ingin memenuhi permintaan orang, rasanya itu tidak perlu dilakukan. Tanpa album baharu pun saya masih lagi terus bertahan sebagai seorang penyanyi," jelasnya.
Akui Ziana, antara punca utama kekuatannya sehingga mampu kekal bertahan sebagai penyanyi sehingga sekarang adalah kekuatan kepada lagu-lagu lamanya. Ujarnya, apabila diundang membuat persembahan dalam sesebuah acara, para tetamu lebih suka sekiranya dia menyanyikan lagu-lagu popularnya sekitar 90-an seperti Puncak Kasih dan Madah Berhelah. "Apabila sudah lama tidak muncul dengan album baharu, mungkin ramai yang beranggapan saya sudah tidak aktif lagi dalam bidang nyanyian. "Sebenarnya saya tetap terus aktif seperti biasa dengan pelbagai tawaran membuat persembahan di merata-rata tempat, cuma belum tiba masa yang sesuai lagi untuk saya tampil dengan album baharu," ungkapnya. Jelas Ziana, tidak semestinya kalau dia muncul dengan album baharu, lagu-lagu yang terkandung di dalamnya mampu memenuhi citarasa yang diinginkan pendengar. Lakonan Selain bergelar penyanyi, Ziana juga cukup dikenali sebagai seorang pelakon yang seangkatan dengan seorang lagi artis yang dikagumi ramai iaitu Erra Fazira. Beberapa filem lakonannya seperti Sembilu, Sembilu 2, Maria Marianna, Merah dan Qabil Khushry Qabil Igam pastinya terus diingati sehingga ke hari ini. Bercerita tentang karier lakonannya, Ziana mengakui tawaran yang diterima agak banyak, tetapi dia terpaksa menolaknya lantaran komitmen terhadap keluarga. "Ketika ini anak-anak pun sedang membesar dan sudah tentu mereka memerlukan perhatian daripada seorang ibu. Kalau saya berlakon, risau pula tidak dapat membahagikan masa kepada mereka. "Lagipun suami juga seperti agak keberatan untuk mengizinkan saya aktif dalam dunia lakonan. Dengan jadual yang sudah padat sekarang ini, pastinya kehidupan saya akan bertambah sibuk lagi kalau saya berlakon," ujarnya yang kali terakhir berlakon dalam filem Magika pada tahun 2010.
Ikut jejak Sepanjang 15 tahun bergelar seorang isteri dan ibu, ternyata Ziana melalui kehidupan yang cukup indah dan bahagia bersama suami, Armin Zaharin serta empat orang anaknya iaitu Muhammad Aiman, 13, Muhammad Amar, 10, serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti Nour Kaseh, 4. Apabila ditanya sekiranya ada di antara keempat-empat anaknya itu yang dilihat menunjukkan minat untuk mengikut jejaknya sebagai anak seni, penyanyi popular tersebut lantas tertawa. "Daripada keempat-empat anak saya itu, rasanya cuma Nour Kaseh yang dilihat lebih menjurus kepada minatnya dalam seni kerana terlalu gemar menyanyi. "Namun begitu, ia cuma persepsi awal saya sahaja kerana usianya pun masih lagi terlalu kecil. Kalau dia suka menyanyi, tidak semestinya kalau dah besar nanti dia betul-betul jadi penyanyi," ujarnya. Bagaimanapun, Ziana menyatakan bahawa dia sendiri tidak kisah sekiranya ada di antara anak-anaknya itu yang ingin terjun ke dalam bidang lakonan atau nyanyian. "Kalau ikutkan kepada zaman semasa mula-mula bergelar penyanyi dahulu, ayah saya sendiri tidak galakkan saya menyanyi. Sehinggakan saya terpaksa menyanyi tanpa pengetahuannya. "Sekiranya itu sudah menjadi minat mereka, saya mungkin tidak mampu untuk menghalangnya. Cuma, sebagai ibu tanggungjawab saya adalah dengan memberikan garis panduan supaya mengikut langkah yang betul.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails