Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Gabungan Awie-Erra, Isteri tak cemburu

PASTI ramai yang menanti-nantikan kemunculan Awie dan Erra Fazira di satu pentas dan rencana untuk menggabungkan mereka bakal terlaksana pada satu konsert tahun hadapan. Tentu sahaja ini satu berita yang mengujakan bagi peminat mereka apatah lagi gabungan itu turut melibatkan Ziana Zain. Apatah lagi tiga nama ini masih kekal berpengaruh sehingga kini selepas menggegarkan industri seni dengan kemunculan masing-masing sekitar tahun 1990-an dulu. Malah filem Sembilu lakonan mereka pernah menjadi antara filem pecah panggung ketika ditayangkan. "Kehebatan gabungan kami bertiga masih diingati sampai hari ini. Saya percaya peminat kami satu ketika dahulu masih ternanti-nanti kesinambungan apakah yang akan kami buat pada masa hadapan. "Rentetan daripada permintaan-permintaan tersebut akhirnya membuatkan saya terfikir kenapa tak gabungkan sahaja kami bertiga. Ini idea yang baik dan perlu diteruskan. "Sebab itu saya bercadang untuk buat satu persembahan yang melibatkan kami bertiga. Konsepnya, persembahan nyanyian dan lakonan yang akan diadakan di Istana Budaya," jelas Awie baru-baru ini. Sejak insiden putus cinta satu ketika dahulu, Awie dan Erra Fazira cukup jarang sekali digandingkan sama ada di dalam persembahan pentas atau mana-mana filem. Meskipun begitu, tidak ada isu yang harus dibangkitkan sementelah masing-masing sudah bahagia dengan kehidupan berkeluarga dan melupakan kisah yang terjadi antara mereka. Saat ditanya apakah isterinya, Rozana Misbun tidak cemburu melihat dirinya yang akan bergabung dengan Erra Fazira nanti, Awie tidak merasakan itu satu isu yang harus diperbesarkan. "Setiap kali ada majlis atau apa-apa persembahan yang melibatkan saya dan Erra pastinya dia akan saya beritahu dahulu. Masing-masing sudah ada keluarga dan tak ada apa yang harus dirisaukan. "Cuma saya berterima kasih kepadanya kerana selalu memahami saya. Tidak cemburu dan tak kisah memandangkan pertemuan saya dan Erra atas dasar kerja dan profesionalisme semata-mata. "Bila melibatkan hal-hal yang sensitif ini sudah pasti banyak hati yang perlu dijaga. Apa-apa pun setakat ini isteri tidak ada masalah untuk membenarkan saya bekerjasama dengan Erra," jelasnya. SuperMokhSelain sibuk merencanakan konsert tersebut, Awie juga bakal terlibat di dalam teater SuperMokh The Musical yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bulan November ini. Teater muzikal yang diinspirasikan daripada kisah legenda bola sepak tanah air, Datuk Mokhtar Dahari yang digelar SuperMokh itu bakal digalas oleh Awie selaku tunjang utama. Meskipun begitu, vokalis kumpulan Wings ini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menghidupkan watak Mohktar Dahari di atas pentas teater. "Sebenarnya saya pernah berjanji untuk tidak terlibat dengan mana-mana teater muzikal. Tapi bila Hans Isaac menawarkan watak SuperMokh ini kepada saya, saya rasa tidak ada sebab untuk menolak. "Ini watak legenda dan sudah tentu cerita tentang Supermokh ini menjadi inspirasi kepada ramai peminatnya. Saya anggap pemilihan saya sebagai penghormatan saya kepada Supermokh yang dikenali di seluruh Asia. "Ini kisah yang menarik untuk ditonton. Walaupun wajah Supermokh nampak garang tetapi hatinya lembut dan dia memang lelaki yang baik. Banyak lagi kisah yang tidak diketahui umum bakal diceritakan melalui SuperMokh The Musical nanti," kata Awie.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails