Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Heliza bahagia

SELEPAS sambutan lebaran yang masih berbaki beberapa hari lagi, ramai yang masuk hospital kerana faktor kesihatan. Malah, penyanyi Heliza Helmi juga terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami demam yang teruk pada hari raya ketiga. Bercerita mengenai pengalaman itu, jelas Heliza, demam teruk yang menyebabkan badannya lemah sehingga seminggu itu berpunca daripada kerja berlebihan. Malah, doktor yang merawatnya juga meminta supaya Heliza dimasukkan semula ke wad tetapi ditolak olehnya. "Saya demam sangat teruk. Memang tidak boleh nak gerak. Demam saya sampai ke urat. Saya juga selesema sehingga kahak saya penuh dengan darah. "Mungkin ada hikmah sebenarnya saya sakit ketika itu, kerana ia memberi saya waktu rehat daripada jadual kerja yang sangat padat," jelasnya. Tambah Heliza, dia sebenarnya terlampau dibebani dengan kerja malah sudah mendapat nasihat daripada ramai pihak yang berpesan kepadanya untuk berehat. "Sebelum ini ramai juga yang meminta saya untuk berehat. Malah, selepas bertemu dengan dua orang doktor, mereka juga memberitahu perkara yang sama. "Faktor terlampau penat bekerja membuatkan badan saya lemah sehingga diserang demam yang teruk," katanya. Menurut Heliza, buat masa ini, terlalu banyak kerja yang dilakukan termasuklah menghadiri program motivasi, menguruskan perniagaan dan menyanyi. "Ramai yang tegur badan saya semakin susut. Tapi hendak buat macam mana, saya sendiri sebenarnya seronok dengan keadaan kini. "Bagi saya, Tuhan sebenarnya memberi saya peluang dan selagi ada nyawa, saya akan melakukan perkara yang terbaik," ujarnya. Jelas Heliza, dia bersyukur kerana kini keadaannya semakin pulih dan kembali rancak dengan jadual kerja. Ditanya bidang mana akan menjadi keutamaan buat dirinya sama ada kerjaya seni atau perniagaan, jelas Heliza, dia belum berfikir lagi ke arah itu. Buat masa sekarang, dia tidak mahu lagi memberi fokus terhadap sesuatu bidang. "Saya seronok bekerja sebenarnya. Sebab itu buat masa ini, saya lebih selesa untuk selarikan semua kerja yang saya lakukan. "Saya sudah terbiasa bekerja sebenarnya. Malah, masa terluang pun saya kerap berfikir tentang kerja," ujarnya. Ditanya sama ada faktor kerja menjadi penghalang buat dirinya mencari jodoh, jelas Heliza, bukan itu faktor utama. Serah ketentuan pada ilahi Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi berhijab, Heliza Helmi terutamanya golongan lelaki yang begitu memuji kecomelan penyanyi ini. Namun, dalam usia yang kini mencecah usia 27 tahun, Heliza belum lagi bertemu dengan jejaka yang mampu menjadi imam dalam hidupnya. Malah, jika dibandingkan usianya dengan wanita-wanita yang lain, ramai yang sudah bergelar suri. Mengakui tidak cemburu rakan-rakan lain yang bahagia melayari bahtera perkahwinan, Heliza jelas gembira dan sentiasa berdoa dipertemukan jodohnya. "Rakan-rakan semua sudah berkahwin. Sudah semestinya kalau ditanya, saya juga mahu mendirikan rumah tangga. "Tetapi, buat masa ini, saya bersyukur kerana masih mempunyai keluarga yang sangat memahami dan begitu menyayangi diri saya," katanya. Jelasnya, dia merasakan dirinya belum puas untuk membalas jasa yang telah dicurahkan oleh ibu bapanya. "Buat masa ini, saya lebih selesa untuk membalas jasa keluarga. Rasanya, sehingga saya berkahwin pun belum cukup sebenarnya nak membalas jasa keluarga," katanya. Ditanya apakah kriteria lelaki yang menjadi pilihan untuk hidup bersamanya, jelas Heliza, dia hanya mahukan yang terbaik daripada Tuhan. "Bukan saya memilih atau sebagainya, tetapi saya sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya lelaki yang dijodohkan dengan saya itu adalah yang terbaik untuk saya. "Sukar sebenarnya hendak membuat kriteria kerana kalau dia lelaki soleh sekalipun, tetapi tidak memahami pun payah juga sebenarnya. "Sebab itu saya lebih selesa untuk berdoa supaya jodoh yang diberikan Tuhan itu adalah yang terbaik untuk saya," ujarnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails