Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mahu segera timang anak - Black

TERKENA buatan orang, gosip putus tunang dan ditipu perancang perkahwinan adalah antara cerita panas yang mengisi perjalanan cinta penyanyi Black Hanifah dan pasangannya, Cira atau Naquia Yasirah Mohamad Khairi, 28, sebelum mereka sah bergelar suami isteri pada pukul 12.06 tengah hari Jumaat lalu. Usai majlis pernikahan selesai dengan sekali lafaz di Zebra Square, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, terpancar kelegaan pada wajah Black kerana akhirnya, wanita berasal dari Pulau Pinang itu menjadi suri hidupnya. "Alhamdulillah, saya gembira tidak terkata kerana majlis pernikahan berjalan lancar. Sekarang, saya masih menyesuaikan diri dengan panggilan suami dan memanggil Cira dengan panggilan isteri," katanya yang tersasul menyebut perkataan tunang ketika ditemu bual pihak media selepas majlis pernikahan selesai. Walaupun detik perkenalan mereka cukup singkat, hanya dua bulan sebelum mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 26, yakin dia tidak tersalah pilih. "Saya memang mencari wanita yang tidak mengenali saya sebagai penyanyi sebaliknya sebagai lelaki biasa. Ketika pertama kali bertemu dengannya, dia langsung tidak tahu saya penyanyi, reaksinya itu yang menambat hati saya. "Sejak pertemuan yang diaturkan oleh rakan saya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu, saya berusaha menambat hatinya kerana bagi saya sukar untuk bertemu dengan wanita yang tidak kisah tentang glamor dan status saya sebagai penyanyi," ujarnya. Isterinya yang duduk di sebelah mengakui cerita Black itu kerana ketika Black menyertai program realiti Mentor, dia terbang ke Melbourne, Australia untuk menyambung pelajaran dan menguruskan restoran milik ibu saudaranya di sana. "Memang saya tidak kenal siapa Black, saya tahu lagu-lagunya tetapi saya tidak sangka dialah penyanyi tersebut. "Dia seorang yang kelakar, manis, penyayang dan sangat menjaga keluarganya, sebab itu saya tertarik kepadanya dan rasa dia mampu menjaga saya dengan baik," ucapnya sambil tersipu malu.
Tidak sorok isteri Meskipun majlis pertunangan mereka berlangsung senyap-senyap dan tidak dihebohkan kepada pihak media, Black menjelaskan dia tidak pernah mahu menyorokkan identiti isterinya itu. Majlis pertunangan mereka tidak dihebahkan atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak, selain Black bimbang andai perhubungan mereka tidak kekal lama. "Keluarga minta pertunangan tidak dihebahkan dan saya juga kalau boleh tidak mahu kecoh-kecoh. Kalau tidak jadi kahwin nanti apa orang akan kata, akhirnya saya juga yang malu. "Saya langsung tidak berniat untuk sorok identiti isteri saya, cuma ketika itu waktunya belum tepat. Saya minta maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak. Saya tunaikan janji dengan kongsi berita perkahwinan kerana ketika itu sah kami akan berkahwin," ceritanya. Cira yang merupakan anak saudara kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, suami aktres Datin Paduka Umie Aida pula memberitahu, dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan identitinya kerana tidak mahu menganggu kerjaya Black. "Saya bukannya menyorok dan saya juga bukannya selebriti, jadi buat apa saya mendedahkan diri kepada peminat suami dan media. "Ketika itu memang saya tidak mahu masuk campur langsung dengan urusan kerjayanya. Saya tidak mahu dengan kehadiran saya nanti menyebabkan wujudnya halangan antara dia dengan peminat," balasnya tegas. Disoal sudah bersedia untuk menghadapi segala dugaan selepas bergelar isteri kepada penyanyi popular, Cira hanya tertawa dan berkata, dia tidak akan berkahwin dengan Black andai dia tidak bersedia. "Sebelum kami berkahwin pun sudah dengar macam-macam cerita. Selagi kami percaya antara satu sama lain dan saya sokong kerjayanya bagi saya tidak ada masalah," katanya. Anak Bercakap tentang perancangan keluarga, terus-terang Black memberitahu dia inginkan sebuah keluarga yang besar kerana mereka berdua lahir daripada keluarga yang kecil. "Kalau boleh saya inginkan anak segera dan tidak mahu tangguh. Bagi saya anak adalah rezeki daripada Allah. Saya anak bongsu daripada tiga adik-beradik dan Cira anak kedua juga daripada tiga adik-beradik, jika boleh saya mahu anak yang ramai (ketawa)," tuturnya. Justeru, Black sedar dia harus memantapkan ekonomi keluarga selepas berkahwin. "Perancangan saya tentang kerjaya pula adalah bekerja dengan lebih keras. Saya akan bekerja seperti biasa selepas majlis perkahwinan ini kerana sekarang sudah ada keluarga sendiri yang ingin ditanggung.
"Bagaimanapun, saya bukanlah cari duit sebab ingin terlalu kaya. Cukuplah bersederhana, asal cukup makan, pakai itu sudah memadai buat kami," katanya jujur. Black merancang membawa isterinya berbulan madu sambil menunaikan umrah di Mekah bersama ahli keluarganya awal tahun depan. "Jika tiada aral melintang kami mahu tunai umrah dahulu sebelum bercuti. Cara itu lebih baik pada pandangan saya," ucapnya mengakhiri bicara. Penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti itu memberi mas kahwin sebanyak RM80 serta wang hantaran berjumlah RM12,000 kepada pengantin perempuan. Rombongan pengantin lelaki memberi tujuh dulang hantaran berbalas sembilan. Barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah minyak wangi, cincin, telekung, set kosmetik, iPad mini dan sepersalinan baju. Barangan hantaran pihak perempuan pula ialah jam tangan, kasut, sirih junjung, al-Quran, songkok, tali pinggang dan dompet, cincin serta minyak wangi.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails